Yang tergugat bukan Negara tetapi BN – Dato’ KJ

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar (kanan sekali) berkata amaran Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung isu kebebasan bersuara dilihat tidak berasas malah dianggap cuba menutup kelemahan pentadbiran serta kepimpinannya kerana tidak berupaya untuk menjawab segala pendedahan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Yang jelas tergugat dan merasa terancam akan hak kebebasan bersuara ini adalah BN dan Abdullah sendiri bukannya keamanan negara seperti yang didakwa dan oleh sebab itu amaran ini dilontarkan bagi ‘menutup’ mulut rakyat khususnya parti pembangkang daripada membicarakan hal salah-laku dan kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan BN,” katanya pada ‘Seminar Demokrasi : Aspirasi & Realiti’ anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).

“Ini berkait rapat dengan pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh media dan akhbar alternatif, laman web dan bloggers yang semakin mengancam BN dan begitu sulit untuk menjawabnya,” katanya.

“Abdullah semakin lemah untuk berdepan dengan dakwaan, tidak mampu menjawab dan BN pula semakin gusar oleh itu isu keamanan dan keganasan diguna untuk menangkis hujah-hujah kepincangan kerajaan BN.

“Dan amaran ini seolah-olah permulaan persiapan untuk menggugut parti pembangkang dalam menghadapi pilihan raya yang telah dekat malah sebagai isyarat untuk membenarkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diguna pakai kepada sesiapa yang mempersoalkan kewibawaan kerajaan selama ini,” katanya.

Sebelum ini media alternatif seperti akhbar Harakah, Suara Keadilan dan laman internet sering mendedahkan isu-isu kepentingan nasional seperti pembelian jet esklusif PM, kapal (yacth), isu kenaikan harga minyak dan tol, pembaziran, salah laku pemimpin BN dan menteri, pegawai kerajaan dan polis termasuk berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa, memberi ruang kepada kritikan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad terhadap kelemahan pentadbiran Abdullah termasuk dalam isu AP, Proton, Jambatan Bengkok dan lain-lain lagi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, yang sering dilihat membangkit isu-isu menggugat keamanan negara dan mencetus suasana tidak senang di kalangan masyarakat berbilang kaum semenjak 50 tahun lalu ialah Umno dan bukannya parti pembangkang seperti yang ditohmahkan Perdana Menteri itu.

“Kenapa menyalahkan pembangkang? Lihat percakaran antara Umno dan MCA berhubung isu negara Islam, pergeseran Umno-MCA 1987 dan kenyataan-kenyataan berbau sentimen perkauman di perhimpunan agung Umno lalu, siapa yang mencetusnya atas nama kebebasan bersuara?” soalnya.

Abdullah cuba ‘mangsakan’ dan labelkan parti pembangkang sebagai ‘ekstremis’

“Apabila terancam dan sulit untuk menjawab, maka yang sering menjadi mangsa ialah parti pembangkang termasuk rakyat yang mempersoalkannya dan kemudiannya mengarahkan semua pihak menghentikan polemik yang mereka sendiri cetuskan,” katanya yang melihat kepimpinan Abdullah dan kenyataannya yang dilemparkan semakin bercelaru dan menambahkan keliru orang ramai.

Sebagai contoh kecelaruan Abdullah dan BN juga dapat dilihat dalam isu negara Islam apabila Timbalannya Dato’ Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa Malaysia adalah negara Islam tetapi disanggah oleh pemimpin parti komponen MCA, katanya.

Ironinya, Abdullah pula seolah-olah menyangkal kenyataan Timbalan dan menantunya sendiri Khairy Jamaludin apabila menyatakan Malaysia bukan sebuah negara sekular atau teokratik seperti tanggapan pihak tertentu tetapi sebaliknya negara ini berpegang kepada prinsip kerajaan demokrasi berparlimen malah mahu polemik berhubung persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam mahupun sekular dihentikan segera.

Kamarudin juga turut menyelar sikap angkuh PM yang menunjukkan seolah-olah beliau sahaja yang berkuasa dalam menentukan kebebasan bersuara di negara ini, seperti kata-kata Abdullah yang dipetik :”“Saya bagi banyak kebebasan dan semua orang boleh bersuara, macam-macam boleh cakap tetapi pandai-pandailah uruskan kebebasan, kalau tidak dihargai semuanya (kebebasan) akan hilang.”

“Hak kebebasan bersuara bukan milik PM atau BN tetapi merupakan hak asasi serta hak rakyat jelata dan diperuntukkan dalam perlembagaan negara,” kata Ahli Parlimen Tumpat itu.

Suara rakyat ditekan wujudkan rasa ‘memberontak’

Malah katanya, jika Abdullah benar-benar memahami hak asasi ini,berpandangan positif dan tidak gentar untuk menjawab isu-isu semasa, kembalikan hak tersebut dan beri permit (yang telah dihadkan) kepada akhbar Harakah dan Suara Keadilan.

Kamarudin juga menyangkal dakwaan Abdullah bahawa hak kebebasan bersuara akan menjemput ‘ekstremis’ yang akan mengundang keganasan malah berpendapat bahawa pendekatan serta kenyataan ini dianggap bertujuan untuk ‘memangsakan’ parti dan pemimpin -pemimpin politik pembangkang supaya dilabelkan sebagai ‘pengganas’ dan merupakan antara taktik kotor yang sering kali digunakan menjelang satu-satu pilihan raya.

“Saya berharap rakyat tidak tertipu dengan tohmahan ini dan berharap semua pendokong PAS dan Barisan Alternatif (BA) bersiap sedia dengan fitnah dan ‘perang’ yang sudah mula dicetuskan oleh Umno-BN menjelang pilihan raya umum ke 12,” katanya.

Panel lain terdiri daripada Senator Dato Dr Mohd Fuad Zarkasyi dari Umno dan Ezam Mohd Noor dari Gerak.

Seminar akan dimulakan dengan Ucapan Perdana yang akan disampaikan oleh Presiden Wadah, Dato’ Dr Siddiq Fadzil, manakala terdapat tiga slot pembentangan kertas kerja iaitu Dr Mohd Nor Nawawi dari CESMACS, Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: