Salahuddin ucap tahniah kepada KP Jakim baru

Kepada :
Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz
Ketua Pengarah,

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras 4-9 Blok D7, Parcel D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62519 Putrajaya.
(No. Fax : 03-8889 2033)

Y.Bhg. Datuk;
UCAPAN TAHNIAH

Perkara di atas adalah dirujuk.

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat), saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan setinggi tahniah di atas perlantikan Y.Bhg. Datuk sebagai Ketua Pengarah JAKIM yang baru bermula 15 Julai 2007 baru-baru ini.

Kami berharap dengan perlantikan Y.Bhg Datuk, JAKIM akan dapat berperanan dengan lebih cemerlang dalam usaha mendaulatkan Islam dan memelihara kepentingan umat Islam di Malaysia.

Kami mendoakan kerahmatan Allah dan kesihatan kepada Y.Bhg. Datuk agar dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan sebaik mungkin.

Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Y.Bhg. Datuk dan seluruh Kakitangan JAKIM.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan amanah;

SALAHUDDIN AYUB
Ketua Whip PAS di Parlimen (Kubang Kerian) merangkap
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Anggota parlimen tidak fasih bahasa Malaysia – Rais

Rais selar anggota BN (MCA, MIC, GERAKAN, UPKO, PBS, SAPP, SPDP, PPP, PBRS,PRS) tidak fasih berbahasa Malaysia?
KANGAR, 14 Ogos
: Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini menyelar anggota Parlimen yang masih belum menguasai bahasa Malaysia sedangkan mereka dipilih mewakili rakyat untuk bersuara di Parlimen.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku ketika negara telah mencapai kemerdekaan sejak 50 tahun lalu sedangkan bahasa yang sama juga telah menyatukan rakyat berbilang kaum negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan debat kemerdekaan ala parlimen antara universiti-universiti Malaysia 2007 di sini hari ini, Dr Rais berkata, selain gagal menguasai bahasa Malaysia ada juga anggota parlimen yang menggunakan kata-kata kesat dan kurang berhemah di Parlimen.

“Mereka yang sepatutnya menjadi contoh kepada pembudayaan bahasa Malaysia yang baik akhirnya melakukan sesuatu yang merugikan dengan kegagalan menguasai bahasa itu,” katanya.

Ditanya sama ada kelemahan menguasai bahasa Malaysia itu pernah ditegur di Parlimen, Rais berkata “kalau (siapa) makan cili terasa pedasnya.

Masalahnya tak ada sesiapa beri cili kepada mereka.”

Katanya, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA) kini giat membudayakan bahasa Malaysia melalui pelbagai program termasuk debat dan forum.

Lebih 200 peserta menyertai pertandingan debat kemerdekaan selama lima hari yang bermula 10 Ogos lalu. Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh KeKKWA, Arkib Negara, Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).- Bernama

Fakta Dewan Rakyat ke 11
BN – 199 (Umno-110, MCA-31, MIC-9, PBB-11, Gerakan-10, SUPP-6, UPKO-4, PBS-4, SPDP-4, Bekas PBDS-4, SAPP-2, PRS-2, PPP-1, PBRS-1)

Pembangkang – 20 (DAP-12, PAS-6, Keadilan-1, Bebas-1)

Anggota Wanita-33 (BN-18, DAP-3, Menteri-3, Timbalan Menteri-3, SU Parlimen-6)
Bilangan (ADR – 219, Senator-1)

Undang2 Islam, PM diminta nyatakan pendirian Umno

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar meminta Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti segera menyatakan pendirian sebenar Umno berhubung isu undang-undang Islam dan undang-undang sivil khususnya dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan perkahwinan

Sebelum ini, Abdullah dilaporkan memberi reaksi apabila ditegur oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Bernard Dompok berhubung isu negara Islam dalam satu pertemuan antara parti-parti komponen Barisan Nasional di Sabah baru-baru ini.

“Abdullah dan pimpinan Umno/BN selama ini ujarnya, hanya berani mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam sebaliknya daripada sudut praktikalnya ia tidak membezakannya dengan negara lain,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut, Bernard Dompok turut mendesak Perdana Menteri supaya segera menyelesaikan isu berkaitan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Isu ini bukan sahaja disebutkan oleh Bernard mendesak status negara Islam, bahkan Hakim Mahkamah Persekutuan juga pernah menyatakannya supaya diselesaikan masalah pertembungan undang-undang negeri khususnya berkaitan dengan undang-undang Agama Islam,” tambahnya lagi.

Kamarudin yang juga Setiausaha Agung PAS turut kesal dengan tindakan PM yang hanya memberi reaksi kepada Bernard yang hanya bersifat jangka pendek, sekaligus tidak menunjukkan keseriusan beliau sebagai ketua negara.

PAS sebelum ini telah beberapa kali mencuba untuk melaksanakan undang-undang Islam tetapi dibantah oleh orang-orang Umno yang enggan mengimplimentasikannya walaupun mereka mengaku Malaysia adalah sebuah negara Islam.