Pemuda MCA perlu dedah siapa melanggar Perlembagaan Negara

ADR TumpatAhli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar mendesak Pemuda MCA mendedahkan mana-mana pihak yang dimaksudkan badan itu sebagai mereka yang didakwa melanggar perlembagaan negara.

“Jika ia ditujukan kepada Pemuda Umno (kerana kenyataan Pemuda MCA yang menyatakan kami tidak menghunus keris) maka Pemuda Umno perlu menafikan jika mereka tidak terbabit dengan dakwaan. Jika ia ditujukan kepada Umno secara umumnya, pemimpin Umno perlu menjawab atau menafikannya,”kata Kamarudin hari ini.

Sementara katanya, jika ia dilaungkan kepada Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien kerana isu penggunaan bahasa untuk UPSR, Hishamuddin perlu menjawab telahan Pemuda MCA itu.

Atau jika ianya berkaitan dengan unsur provokatif yang sering menjadi penghias kata oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, menantu PM itu perlu menjawab atau menafikan kecaman Pemuda MCA, kata Kamarudin yang juga Setiausaha Agung PAS.

Menurut Kamarudin lagi, tuduhan yang dilemparkan Pemuda MCA itu satu tuduhan yang bahaya dan bersifat provokatif.

Justeru itu beliau mendesak semua pihak yang tersabit dengan tuduhan itu menjawab secara terbuka sementara Pemuda MCA pula perlu mengemukakan bukti atas tuduhan itu.

Sambil menyifatkan tuntutan dalam resolusi Pemuda MCA serta laungan kepada pihak yang dikatakan melanggarkan perlembagaan itu suatu kemelut perkauman dalam Barisan Nasional (BN), beliau bimbang isu ini akan menjadi bahan untuk mencetus sentimen tertentu.