Kes AKSB: Tindakan BPR dedah maklumat dalam media menghairankan

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar melahirkan tandatanya dan terkejut dengan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dianggap berbeza dalam menangani kes Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berbanding kes-kes lain terutamanya yang membabitkan kes berprofil tinggi.

“Pada kebiasaannya, apabila sesuatu kes itu diajukan kepada Dewan Rakyat, BPR akan memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kes dalam siasatan dan maklumat itu sulit atau ia masih berada dalam siasatan dan ia tidak boleh dihebahkan.

“Tetapi dalam kes AKSB, saya berasa sangat hairan bagaimana BPR boleh membuat penjelasan secara terperinci kepada media,” ujarnya.

Semalam Berita Harian melaporkan BPR menyiasat AKSB berhubung penyelewengan projek membaik pulih infrastruktur bekalan air pada tujuh daerah Kelantan yang membabitkan kos RM600 juta.

Siasatan dibuat selepas BPR menerima maklumat ada bahan digunakan bagi kerja membaik pulih paip lama dan menaik taraf loji bekalan air di negeri itu, tidak mengikut spesifikasi.

Menurutnya, menteri yang berkaitan akan berdolak dalih dengan pelbagai alasan seolah-olah ingin menutup aib pihak tertentu.

“Tetapi kenapa kali ini dalam membicarakan kes pengurusan air Kelantan, ia diumumkan kepada khalayak tidak seperti kes-kes sebelum ini? Kamaruddin mempersoalkan tindakan BPR dalam kes ini.

“Saya mendesak supaya tindakan BPR dalam menjalankan siasatan dalam kes-kes yang membabitkan rasuah tidak ditekan atau dipengaruhi oleh mana-mana parti politik,” tegasnya lagi.

Beliau mengingatkan BPR supaya keputusan kes ini kelak tidak akan dikaitkan dengan mana-mana parti politik dan juga tidak dengan maksud untuk menjatuhkan mana-mana individu mahupun parti politik.

Kamaruddin yang juga merupakan Setiausahan Agung PAS mengulas siasatan awal BPR terhadap AKSB berhubung penyelewengan dalam projek membaik pulih infrastruktur bekalan air tertumpu kepada pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Merbau Chondong, Machang yang bernilai RM65 juta.

Sumber badan itu dipetik sebagai berkata, pegawai BPR sudah mula memeriksa dan mengambil dokumen berkaitan projek berkenaan di pejabat AKSB, di Kota Bharu serta syarikat yang diberi kontrak melaksanakannya, Rabu lalu.