Ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Haji Haron hari ini mengemukakan usul tergempar di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) bagi membincangkan isu tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan mengenai tindakan Kekerasan anggota Polis Di Raja Malaysia yang mengancam keselamatan Tetamu Negara Dalam Pertandingan Karate Asia di Nilai, Negeri Sembilan.
Harian Metro dan Malaymail hari ini melaporkan pada 24 Ogos 2007, Tetamu Negara dalam Pertandingan Karate Asia merangkap Ketua Juri Kontigen Karate Republik Indonesia, Donald Pieters Luther Kolopita telah dipukul oleh empat orang pegawai polis Malaysia sewaktu beliau berjalan kaki balik ke Hotel beliau setelah menghadiri mesyuarat teknikal di Hotel Alison Kelana yang berakhir di tengah malam.
“Kerana ketiadaan teksi, beliau terpaksa berjalan kaki pulang ke Hotel penginapan beliau. Ketika berjalan beliau di tahan 4 orang pegawai polis yang tidak berpakaian seragam yang dan tidak mengenalkan diri, mengikuti beliau dari Hotel Alison Kelana,” kata teks usul yang dikemukakannya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Sekiranya usul tersebut menepati kehendak peraturan mesyuarat 18 (2), maka mesyuarat Dewan akan membahaskannya pada hari isnin. Teks penuh usul akan disiarkan esok.
Sementara itu, di Jakarta, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menggesa anggota-anggota polis Malaysia yang didakwa membelasah seorang pengadil republik itu dihukum sewajarnya, lapor akhbar negara itu Kompas hari ini.
Yudhoyono berasa kesal dengan kejadian tersebut memandangkan selama ini kerjasama dua negara itu berjalan dengan baik, kata menteri sukan republik itu Adhyaksa Dault di sidang akhbar di Istana Presiden semalam selepas menyampaikan taklimat kes yang menimpa Donald Pieter Luther Kolopita dua hari lalu.
Menurut Adhyaksa, Yudhoyono meminta atlet-atlet Indonesia bersabar dan menunggu siasatan selesai.
Susulan kejadian tersebut, Indonesia menarik diri daripada Kejohanan Karate-Do Senior Asia ke-8 yang diadakan di Nilai selama tiga hari bermula Jumaat.
Manakala Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar yang berada di Jakarta berkata hakikat bahawa polis Malaysia telah menggantung kerja empat anggotanya yang didakwa memukul seorang pengadil karate Indonesia menunjukkan kes itu diberi perhatian serius oleh Malaysia.
Beliau yang bertalu-talu ditanya oleh media Indonesia sama ada kerajaan Malaysia sudah meminta maaf kepada pemerintah dan rakyat Indonesia berkait insiden itu, berkata media massa tidak seharusnya mengemukakan pertanyaan itu tanpa mengetahui latar belakang sebenar kejadian.
“Dalam kejadian ini, bukan kerajaan Malaysia yang melakukan kesalahan. Anda semua seharusnya tidak membuat andaian tanpa mengetahui latar belakang insiden itu yang sebenarnya,” katanya dalam tiga pertemuan dengan media massa pada lawatan kerja dua harinya ke sini pada Selasa.
Beliau diajukan pertanyaan itu pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada seminar 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia, selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan ketika hendak memasuki kereta meninggalkan Istana Presiden di sini selepas kunjungan hormat itu.
Syed Hamid yang diiringi Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada sidang akhbar di Istana Presiden, berkata anggota polis berkenaan kini digantung kerja dan ditahan gaji setengah bulan sehingga siasatan selesai.
Teruskan membaca
Filed under: ADR Rantau Panjang, Usul | 48 Comments »