Dewan Rakyat: Menteri nafi wujud penyelewengan dalam zon bebas PKFZ

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy hari ini menafikan wujudnya penyelewengan dalam pelaksanaan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang menelan belanja RM4.6 bilion.

Beliau yang menjelaskan perkara itu turut menolak dakwaan bahawa projek berkenaan merupakan satu kegagalan.

Chan dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini menjelaskan kos keseluruhan PKFZ itu antara lain termasuk kos pembelian tanah (RM1.807 bilion).

Dato’ Kamarudin Jaffar (PAS – Tumpat)
turut mempersoalkan kerugian PKFZ berbilion ringgit dan menggesa kementerian mengkaji kegagalan PKFZ.

Bagaimanapun soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tumpat itu akan dijawab oleh Menteri terbabit pada 26 November 2007.

Kos itu juga dibahagikan untuk kerja pembangunan kemudahan infrastruktur sebanyak RM1.845 bilion, yuran profesional sebanyak 10 peratus dan perubahan kerja yang dihadkan kepada 20 peratus (sekiranya digunakan), katanya.

“PKFZ merupakan satu projek nasional yang melibatkan penyediaan infrastruktur untuk membantu pertumbuhan kargo di Pelabuhan Klang. Seperti projek strategik dan besar yang lain-lain, kerajaan akan memberi bantuan kewangan untuk pelaksanaan projek berkenaan.

“Begitu juga untuk projek PKFZ, kerajaan telah meluluskan pinjaman mudah kepada Lembaga Pelabuhan Klang,” katanya.

Lim dalam soalannya bertanya sebab penyelewengan dan kos berlebihan berbilion ringgit bagi PKFZ tidak dipantau walaupun terdapat amaran daripada Jabatan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara, dan sama ada perkara itu sengaja ditutup.

Tun Dr M diminta beri pandangan

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed diminta memberikan penjelasan setakat mana Kabinet yang dipimpin beliau terlibat dalam pembangunan Perlabuhan Klang Free Trade Zone (PKFZ) sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung bebanan bernilai RM4.6 bilion.

Ini ekoran dari kenyataan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik bahawa Kabinet yang dipimpin Tun Dr Mahathir meluluskan projek itu.

PKFZ terpaksa dibail –out oleh kerajaan ekoran kegagalan projek itu manakala rakan kongsi dari Dubai, Jebel Ali Free Zone (Jafza), terpaksa mengundur diri selepas tidak tahan dengan masalah yang berlaku dalamnya.

Jafza adalah pemaju Jebel Ali Free Zone di Dubai yang menempatkan 4,500 kilang yang menjadi pembekal kepada pelbagai jenis barangan di Timur Tengah.

Jafza sepatutnya mempunyai kontrak selama 15 tahun untuk mengurus dan bertindak sebagai konsultan kepada PKFZ.

Hari ini, usul Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mengenainya telah ditolak oleh Dewan Rakyat dari dibincangkan.

Menurut Lim, Perbendaharaan telah mencadangkan tanah di situ dibeli dengan harga RM10 sekaki persegi tetapi telah diminta oleh Ling kepada Kabinet agar ianya dibeli dengan harga RM25 sekaki persegi dengan andaian ia berdaya maju dan tidak akan memerlukan seringgit pun dari wang rakyat untuk membantunya.

“Linglah menteri yang paling kuat mencadang dan menyokong agar Kabinet membeli tanah 1,000 untuk PKFZ dengan harga RM1.8 bilion bila tanah itu yang sudah dibeli oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd hanya dengan harga RM95 milion atau RM3 sekaki persegi pada tahun 1999,” kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya.

Pengerusi Kuala Dimensi Sdn Bhd adalah Bendahari Umno, Azim Zabidi. Syarikat ini juga mendapat kontrak untuk melaksanakan projek ini secara turnkey.

PAC minta penjelasan
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) selepas membuat penyelidikan terperinci mengenai kontroversi peningkatan kos pembangunan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berjumlah RM4.632 bilion.

Beliau berkata, PAC tidak terburu-buru bertemu dan mendapatkan keterangan LPK mengenai kontroversi berkenaan sehingga selesai penyelidikan dan memperoleh semua maklumat berkaitan.

“Memang banyak perkara nak dibincangkan dengan LPK, tetapi sebelum itu kita perlu buat persiapan rapi, termasuk mengumpul maklumat dan penyelidikan terperinci supaya memudahkan kita apabila bertemu mereka.

“Kita kena kaji setiap perkara sebelum kita dapat mengemukakan pelbagai soalan, termasuk mengapa terpaksa membuat pinjam daripada kerajaan dan bagaimana kos pembinaan boleh melambung naik,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kelmarin, Kementerian Pengangkutan berkata, kos bagi projek PKFZ di Pulau Indah, Selangor beroperasi November tahun lalu, meningkat kepada RM4.632 bilion selepas LPK memutuskan untuk memajukannya serentak bagi keseluruhan kira-kira 400 hektar kawasannya.

Jumlah kos keseluruhan PKFZ itu, termasuk kos pembelian tanah, kos pembangunan bersama dengan kos faedah 7.5 peratus, yuran profesional 10 peratus dan kos lain yang hanya dihadkan kepada 20 peratus jika digunakan.

Kos RM4.6b PKFZ diperjelas

Kos bagi projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah, Selangor meningkat kepada RM4.632 bilion selepas Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) memutuskan untuk memajukannya serentak bagi keseluruhan kira-kira 400 hektar kawasannya.

Bagaimanapun, atas nasihat Jebel Ali Free Trade Zone (Jafza) yang ketika itu bertindak sebagai pengurus zon bebas berkenaan, LPK membangunkannya secara serentak membabitkan keseluruhan 400 hektar kawasan dengan kos RM1.845 bilion.

“Selepas mengambil kira kos pembelian tanah, kos pembangunan bersama dengan kos faedah 7.5 peratus, yuran profesional 10 peratus dan kos-kos lain yang hanya dihadkan kepada 20 peratus jika digunakan, jumlah kos keseluruhan PKFZ adalah dianggarkan berjumlah RM4.632 bilion,” katanya.

Mengenai kos keseluruhan pembelian tanah, kementerian itu berkata, harga RM1.088 bilion atau RM25 sekaki persegi yang dibayar LPK kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) bagi 400 hektar tanah tapak PKFZ itu adalah berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta selepas mengambil kira kerja-kerja prasarana yang dilaksanakan di tanah berkenaan.

Kerja prasarana itu termasuk penambakan tanah, perparitan, pembinaan jalan masuk dan jambatan, penyediaan lampu jalan, bekalan air serta bayaran kepada agensi utiliti.

Selepas mengambil kira bayaran kadar faedah 7.5 peratus kerana tempoh pembayaran kepada KDSB bagi pembelian itu dibuat dalam tempoh 15 tahun, jumlah keseluruhan kos pembelian tanah ialah sebanyak RM1.807 bilion.

Memperincikan kos pembangunan PKFZ, kementerian itu berkata, sejumlah RM1 bilion dibelanjakan bagi membina kemudahan utama merangkumi empat blok bangunan pejabat lapan tingkat untuk sewaan, 512 unit bangunan untuk industri ringan, pejabat Pihak Berkuasa Zon Bebas serta pejabat kastam dan laluan pemeriksaan, sebuah pusat pameran, tempat meletak kereta bertingkat serta bangunan keselamatan.

Sebanyak RM845 juta pula dibelanjakan bagi menaik taraf simpang masuk dan jalan raya, kerja infrastruktur elektrikal, pembinaan hotel kelas perniagaan, kerja penanaman kabel sepanjang 42 kilometer, dan kerja elektrikal lain.

Kementerian itu berkata, berikutan kos keseluruhan PKFZ membabitkan kos yang tinggi, kerajaan bersetuju meluluskan pinjaman mudah kepada LPK bagi membolehkannya membiayai kos pembangunan PKFZ dengan butirannya sedang diuruskan.

“PKFZ adalah projek nasional membabitkan penyediaan infrastruktur untuk membantu pertumbuhan kargo di Pelabuhan Klang, menjana pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan peluang pekerjaan dan perkhidmatan, serta aktiviti sampingan,” katanya.

Kementerian Pengangkutan juga berkata, kerajaan menghormati keputusan Jafza mengundur diri daripada perjanjian pengurusan zon bebas itu yang dimeterainya dengan LPK pada Oktober 2003. Tndakan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan kerjasama dan peluang perniagaan antara JAFZA dengan LPK pada masa depan.

LPK dan Jafza telah menamatkan kontrak pengurusan dan pentadbiran bagi zon bebas itu atas persetujuan bersama pada 18 Julai lalu berdasarkan perubahan dasar semasa syarikat berpangkalan di Dubai itu.

Projek PKFZ sebelum ini dilaporkan dikritik peserta industri logistik yang mengatakan ia berdepan risiko untuk menjadi projek gajah putih. Mereka juga mempersoalkan bagaimanapun kos pembangunannya meningkat begitu tinggi.

Turut mendapat perhatian ialah harga bagi pembelian tanah bagi tapak zon bebas itu yang dikatakan terlalu tinggi. Laporan sebelum ini menyebut, kerajaan negeri memberikan tanah berkenaan kepada Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) yang kemudian menjualnya kepada KDSB pada harga RM95 juta atau RM3 sekaki persegi.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: