Dr Hayati minta kerajaan bantu Jururawat Desa

Dr Mohd Hayati Othman (PAS – Pendang) mendedahkan wujudnya penganiayaan kepada jururawat desa yang bertugas di tengah malam terutamanya di kawasan luar bandar bagi mengendalikan kes bersalin di rumah.

Beliau berkata, banyak masalah timbul ke atas jururawat desa yang terpaksa pergi ke rumah mereka yang mahu bersalin khasnya apabila dijemput oleh suami kepada wanita yang mahu bersalin itu.

Katanya, sebagaimana pengalaman beliau sendiri berlaku kes-kes jururawat dianiayai apabila suami wanita itu pergi ke klinik desa dan membawa jururawat ke rumah mereka.

“Ada di antara mereka (jururawat) yang dianiaya. Ini pernah berlaku,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu beliau bertanya apa syarat-syarat yang dikenakan kepada jururawat-jururawat desa yang enggan datang ke rumah mereka yang mahu bersalin di sebelah malam.

“Ini supaya mereka tidak dikenakan tindakan disiplin jika mereka tidak pergi ke rumah orang mahu bersalin,” katanya.

Katanya jika jururawat pergi mereka terpaksa naik motor dengan suami wanita yang mahu bersalin.

Oleh kerana itu katanya, apa syarat-syarat yang dikenakan kepada setiap panggilan kepada jururawat desa untuk menghadapi kes-kes seperti itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Abdul Latif Ahmad ketika menjawab soalan berkenaan berkata, lazimnya kementerian mempunyai Standart Operating Procedures (SOP) kepada panggilan-panggilan kecemasan, klinik desa atau Jururawat Masyarakat.

Katanya, setiap klinik desa mempunyai dua jururawat masyarakat yang bertugas on call 24 jam selang sehari.

Bagaimanapun katanya biasanya mereka tidak dilengkapi dengan ambulan.

“Jadi keperluan untuk merawat kelahiran-kelahiran biasa, biasanya akan dirujuk kepada klinik kesihatan bukannya klinik desa.

Dalam soalan asal Dato’ Bung Moktar Radin (BN – Kinabatangan) meminta kementerian berkenaan menyatakan langkah-langkah diambil dalam memastikan kelancaran operasi di pusat kesihatan seluruh negara terutamanya bagi daerah laur bandar seperti Tongod dan Kinabatangan.