Salahuddin: kita terkebelakang 20 tahun dalam pembangunan sumber manusia

Ucapan YB Salahuddin Haji Ayub, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembangunan Sumber Manusia (Pindaan) 2007 pada 29 Ogos 2007.

Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk bersama membahaskan satu akta untuk meminda Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001.

YB Salahuddin Ayub Tuan Yang di-Pertua, setelah saya melihat keseluruhan daripada akta ini dan juga yang telah diperjelaskan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri sebentar tadi, saya merasakan dengan izin, keywordnya ataupun inti pati daripada pindaan adalah untuk memastikan bahawa setiap pekerja yang diambil oleh setiap majikan untuk bekerja di negara ini mestilah memiliki tahap pendidikan dan juga tahap pengetahuan yang up-to-date. Biasa dengan teknologi tinggi ataupun yang disebut sebagai pekerja yang lebih kompeten dan lebih berdaya saing untuk menghadapi cabaran hari ini dan juga cabaran masa hadapan.

Saya tidak punyai masalah untuk menyokong akta ini untuk dipinda kerana saya yakin dan percaya bahawa setiap individu, setiap insan yang diambil bekerja terutama di dalam Negara ini mestilah menjadikan diri mereka sebagai insan yang bersedia untuk menerima pendekatan pendekatan baru di dalam kita menjadikan ataupun mencapai kepada matlamat menyediakan modal insan yang produktif yang boleh bertanggungjawab terhadap apa yang dicita-citakan oleh masyarakat dan negara pada hari ini.

Namun begitu saya melihat bahawa kita agak terkebelakang di dalam mungkin kita terkebelakang 20 tahun di dalam menyediakan facilities ini, kemudahan ini dan tetapi apa yang penting ialah saya yakin dan percaya bahawa Kementerian Pembangunan Sumber Manusia tidak boleh bersendirian di dalam mencapai maksud dan matlamat yang murni ini.

Kementerian ini juga seharusnya melihat kepada apakah peranan yang telah dimainkan oleh Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, di dalam memastikan setiap graduan yang lahir daripada IPTA kita ataupun IPTS dalam negara kita ini telah benar-benar mencapai standard ataupun piawaian yang boleh dibanggakan bukan sekadar di peringkat negara tetapi di peringkat antarabangsa di dalam kita menghadapi cabaran globalisasi yang semakin mencabar pada hari ini. Kita menghadapi beberapa isu di dalam membincangkan tentang sumber manusia ini.

Yang pertama, adakah mutu pendidikan kita telah mencapai standard yang diharapkan kalau dibandingkan dengan graduan-graduan yang dilahirkan oleh pusat-pusat pengajian di luar negara? Ini satu isu yang saya rasa sedang bermain dalam jiwa pelajar-pelajar kita sama ada mereka masih menuntut di peringkat universiti ataupun mereka telah memiliki segulung ijazah dalam bidang mereka di IPTA kita, kerana berdasarkan kepada pengalaman yang telah dilalui oleh graduan dalam era pada hari ini kita menyaksikan bahawa syarikat-syarikat multinasional lebih berminat untuk mengambil pelajar-pelajar ataupun graduan-graduan yang dilahirkan oleh universiti-universiti daripada luar negara.

Jadi di sini, kita harus mempersoalkan apa sebenarnya yang salah, what went wrong dengan mungkin mutu ataupun standard pembelajaran dalam IPTA kita. Sebagai satu contoh, seorang graduan yang memiliki ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan elektrikal daripada IPTA kita dengan seorang yang memiliki ijazah daripada Universiti of Yales sebagai contoh atau Universiti of Tokyo sebagai contoh. Apabila mereka ini ditemu duga ataupun memohon untuk bekerja di syarikat-syarikat yang berprestij maka mereka berhadapan dengan satu dilema di mana mereka cukup diserang dengan satu mungkin bukan virus tetapi suatu sindrom iaitu inferiority complex.

Jadi dalam kita menyelesaikan masalah ataupun isu yang berkaitan dengan sumber manusia ini seharusnya juga kita melihat the way forward, kita harus melihat ke hadapan dalam kita menentukan modul kita, cara kita dan juga kita perlu melihat kita dengan jelas tentang keperluan-keperluan dan pendekatan baru yang seharusnya kita ambil dan kita telaah supaya IPTA kita ataupun mana-mana badan yang ingin memberikan training dengan izin ataupun memberikan latihan-latihan yang berasaskan kepada teknologi tinggi ini benar-benar mampu untuk melahirkan individu yang boleh mencapai tahap yang dibanggakan.

Saya bersetuju dengan pindaan ini bahawa wang ini mestilah digunakan untuk melatih pekerja-pekerja kita, kita tidak mahu nasib pekerja kita sama ada mereka bekerja dalam Negara ini ataupun mereka bekerja di luar negara sama ada buat sementara waktu atau seterusnya mereka tetap membawa bendera Malaysia, imej Malaysia dan kita perlu belajar apabila kita perlu menerima secara keseluruhannya sebagai contoh dalam industri pembantu rumah apabila kita mengambil manusia-manusia ini datang ke dalam negara kita. Maka ada satu report yang dikeluarkan oleh ILO baru-baru ini yang datang ke Malaysia adalah kelasnya kelas apa? C, D ataupun E?

Yang kelas pertama kelas A, B+ ini dihantar ke negara-negara Timur Tengah, dihantar ke negara-negara maju yang lain dan kita menerima hasil ataupun modal insan yang begitu rendah kualitinya dan mereka tidak keterlaluan kalau saya katakan ada sebahagian rakyat Malaysia yang menjadikan mereka sebagai hamba dan kita tidak mahu Malaysia ini menjadi perlu lagi tokoh seperti Abraham Lincoln untuk memperjuangkan kembali kes-kes seperti ini.

Jangan jadikan Malaysia ini sebagai satu medan untuk memperhambakan manusia oleh golongan-golongan dan individu-individu yang tertentu dan kerajaan harus juga peka dengan perkara ini supaya setiap individu yang masuk ke negara ini mesti diklasifikasikan bukan hanya dengan bermatlamatkan material semata-mata.


Ada pihak yang mengaut keuntungan, ada orang tengah, syarikat-syarikat yang mengaut keuntungan tetapi hasil yang tercemarnya adalah tetap terpalit kepada negara kita sendiri. Oleh itu biarlah pekerja kita dalam apa sektor sekali pun pertanian, sektor industri dan sector berteknologi tinggi dan sekarang kita bercakap tentang bio-tech. Adakah kita benar-benar dapat untuk melahirkan individu yang seperti ini yang kita harus belajar daripada negara yang lain.

Kalau kita mengambil contoh untuk kita merangsang pemikiran kita untuk the way forward, untuk maju ke hadapan. Kita harus belajar dari Jepun sebagai contoh. Jepun juga bermula bukan dengan apa yang mereka dapat pada hari ini, daripada Maharaja Meiji mereka bangun dan bangkit dan pemangkinnya adalah bom atom yang jatuh di Hiroshima dan Nagasaki.

Mereka beriltizam untuk tidak mahu menjadi kuasa dunia dengan melalui ketenteraan. Mereka beriltizam untuk menguasai dunia dengan jenama, jenama-jenama mereka yang membeli dunia. Oleh itu kita melihat bahawa iltizam ini telah menjadikan Jepun dalam fasa 1 membina negara industri Asia adalah dengan budaya meniru, budaya menciplak. Mereka meniru sebenarnya. Sebab itu pada awal 60an dan 70an terkenal dengan getah tiruan. Barang-barang tiruan daripada Jepun dan seumpamanya.

Tetapi mereka meletakkan time frame, lama mana mereka harus meniru, lama mana mereka harus menciplak identiti orang lain sebagai produk mereka dan mereka mencapai maksud ini yang akhirnya isu kedua yang ingin saya bangkitkan pada hari ini adalah apabila kita hari ini berhasrat, beriltizam untuk menyediakan sumber manusia yang bertaraf dunia kelas pertama, maka kita harus juga ada satu time frame kita, kita melatih mereka.

Tetapi, isu yang kedua yang saya ingin dedahkan dalam perbahasan petang ini adalah isu pemindahan teknologi. Kita boleh habis banyak duit, kita boleh menghabiskan berbilion atau trilion ringgit lagi untuk kita memanggil dan menggalakkan pelabur-pelabur asing datang ke dalam negara kita. Betul sekarang ini ada Sharp-Roxy di negara kita, betul sekarang ini ada Honda dan Toyota yang semakin rancak melabur dalam negara kita dan Proton kereta nasional juga bermula dengan apa yang Jepun telah buat 30 tahun yang lalu tentang industri meniru ini, menciplak ini .

Tetapi apa masalahnya adalah yang kita harus terima hakikat pada hari ini ialah apabila kita mewujudkan Proton kita mengambil pakar-pakar Jepun datang dalam negara kita setelah sampai pada tahap yang ada pada hari ini tidak berlaku apa yang dikatakan pemindahan teknologi.

Kita hanya membuat pintu, kita hanya memasang kereta-kereta mereka di sini. Banyak syarikat-syarikat kereta berjenama dunia menjadikan Malaysia sebagai tempat pelaburan mereka. Mereka datang, kereta mereka assemble di sini, dalam negara kita. Itu bagus untuk pelaburan, tetapi apabila kita membincangkan tentang sumber manusia pada masa yang akan datang, Proton sampai hari ini kita tidak mampu untuk mendapatkan teknologi ini. Ini seharusnya yang harus kita akui. Jepun tidak memberikan kita teknologi ini, pengalaman seorang sahabat saya yang pernah menjawat jawatan tinggi di Proton, di bayar gaji RM10 ribu tetapi hanya duduk diam-diam sahaja dan pemindahan itu mereka tidak bagi kepada kita.

Maka sebab itulah apa yang penting di sini walau apa pun yang kita laksanakan pada hari ini kita harus keluar daripada kelompok daripada paradigma meniru ini dan menciplak ini kepada paradigma untuk kita menjadi bangsa dan negara yang mampu untuk mengeluarkan produk kita sendiri.

Tadi saya merasakan Tuan Yang di-Pertua, saya boleh bersetuju dengan wang ataupun apa sahaja modal yang perlu diberikan untuk kita melahirkan tenaga manusia ini, tetapi kita tidak boleh duduk di takuk lama. Kita tidak boleh hanya sekadar untuk melihat kejayaan itu pada tahap yang lama kerana kita harus bersaing kerana saya jelas mendengar ucapan dari Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi bahawa apa yang penting ialah kita mesti boleh bersaing dengan orang lain, kita mesti lebih competent dengan orang lain.

Saya membaca sebuah buku yang bertajuk Belajar dari China yang ditulis oleh “Ai Wibowo”, bila Ding Xiao Peng membuka tirai, untuk menarik pelabur-pelabur asing melabur di China dia mengambil masa tidak sampai lima tahun untuk mengeluarkan, melatih penguruspengurus China, yang apabila balik ke Tanah Besar China, merekalah pengurus-pengurus yang world class, bertaraf dunia. Kita boleh buat, kita ada kemampuan, dan kita ada iltizam tetapi kita harus ada satu way forward yang jelas untuk memastikan apa yang kita mahu capai.

Saya rasa setelah 50 tahun merdeka ini, kita hanya tidak mahu bergema dengan laungan merdeka sahaja tetapi yang penting bagi saya merdeka itu mestilah dalam bentuk kita cuba menguasai dunia ini secara beransur-ansur.

Jepun dan China juga menguasai dunia secara beransur-ansur. Orang Inggeris mengatakan Rome was not built in one day. Maka seharusnya kita mesti bermula pada hari ini dan kita harus lebih peka, lebih ikhlas dan lebih iltizam untuk melahirkan pekerja-pekerja Negara pada masa akan datang. Saya mengharapkan dengan sejumlah tabungan yang diperuntukkan ini akan dapat melahirkan cita-cita kita bersama. Sekian, terima kasih.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: