PKFZ: “RM4.6 bilion bukan untuk menyelamatkan syarikat” – Awang Adek

Kerajaan meluluskan skim pinjaman mudah, dengan kadar faedah empat peratus setahun, kepada Lembaga Pelabuhan Klang untuk menguruskan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin bagaimanapun berkata kerajaan masih belum memutuskan syarat dan terma skim pinjaman itu.

“Pada dasarnya kadar faedah pinjaman itu empat peratus, dengan tempoh pembayaran balik selama tujuh tahun dan kerajaan masih berbincang untuk memuktamadkan syarat-syarat lain.

“Ini bukannya untuk menyelamatkan syarikat, ia wang yang dikenakan kadar faedah,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2007) 2007, di Dewan Rakyat hari ini.

PKFZ merupakan projek nasional yang menyediakan infrastruktur untuk membantu pertumbuhan kargo di Pelabuhan Klang, Selangor. Ia melibatkan kos keseluruhan RM4.6 bilion (termasuk kos pengambilan tanah).

Awang Adek berkata PKFZ yang pada asalnya dirancang dibangunkan menerusi dua fasa, dijangka mampu membiayai sendiri pembangunannya menggunakan wang yang terkumpul daripada hasil projek tersebut.

Dewan Rakyat: Soalan MP PAS pada 5 Sept 2007

Soalan Jawab Lisan

  • Soalan No 6 – Dato’ Haji Abdul Halim Bin Abdul Rahman [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI menyatakan apakah pelan tindakan dan program yang konkrit untuk menjadikan badan koperasi sebagi ejen pembangunan negara yang berkesan.
  • Soalan No. 17 – Dato’ Kamarudin Bin Jaffar [ Tumpat ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan jumlah pengguna kereta api dan kapal terbang dari Kelantan ke Kuala Lumpur bagi tahun 2006.
  • Soalan No. 19 – Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan adakah helikopter Nuri akan ditamatkan terus perkhidmatannya.
  • Isu Lojing: Sazmi berbohong, kata Ahli Parlimen Tumpat

    Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Paduka Sazmi Miah berbohong kepada Parlimen dalam isu pembalakan tanah tinggi Lojing.

    Kamarudin mendakwa Sazmi sendiri sebenarnya gagal dalam menjalankan tugasnya dalam menjaga isu-isu alam sekitar dengan membiarkan banyak kawasan terus digondolkan untuk tujuan pembalakan.

    Sazmi dikatakan hanya menimbulkan isu Lojing di Kelantan untuk memburuk-burukkan pentadbiran kerajaan PAS Kelantan, sedangkan dakwaan yang dibuat itu hanyalah permainan politiknya menjelang pilihan raya umum akan datang, katanya ketika ditemui di luar dewan.

    Dewan Rakyat hari ini Sazmi mendakwa kerajaan Kelantan memberi hak kepada pelbagai syarikat dalam dan luar untuk membalak di Lojing.

    Mengulas lanjut dakwaan Sazmi itu beliau juga menyatakan kenyataan Sazmi bahawa Setiausaha Parlimen itu melihat kira-kira 80 buah lori balak dalam jangka masa satu malam melalui jalan dari Gua Musang ke Pahang juga adalah tidak logik.

    “Jika benar adanya lori yang lalu di situ membawa balak dan Sazmi menyaksikannya, kenapa tidak beliau membuat laporan polis serta-merta dan mengarahkan jabatannya menahan lori-lori terbabit sebagai bukti.

    “Dakwaan ini sengaja direka oleh beliau untuk memburuk-burukkan kerajan Kelantan.Lojikkan dari jam 12.00 malam hingga 1.00 pagi 80 buah lori lalu di kawasan itu serentak dan beliau boleh menyaksikan untuk mengiranya?,”katanya lagi.

    Justeru beliau menyeru kepada rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas yang didakwa Sazmi di Dewan Rakyat hari ini.

    Sambil menyifatkan Sazmi hilang modal politik beliau mahu Sazmi menyatakan status kononnya kerajaan ada bukti untuk membuat pendakwaan ke atas syarikat dan mereka yang terbabit dengan pembalakan itu.

    Sementara itu, Abdul Fatah Harun (PAS Rantau Panjang) akan menjawab apa yang didakwa Sazmi pada peringkat Jawatankuasa yang melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

    “Memang apa yang didakwa Sazmi adalah tuduhan melulu dan tidak benar sama sekali,” kata Abdul Fatah.

    Terdengar dari suara perlahan Kamarudin menyatakan seolah Sazmi merapu dan membuat tuduhan yang melulu sambil Abdul Fatah meminta Sazmi berhenti dari membuat tuduhan.