Yang bersalah dihukum, pegawai kerajaan yang berani diberikan tempat yang baik

Ucapan Perbahasan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian] pada 4 September 2007

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan saya peluang untuk bersama-sama membahaskan Anggaran Belanjawan Tambahan ini dan masa yang sedikit ini saya cuba memfokuskan kepada beberapa perkara yang menyentuh tentang bagaimana kita pada hari ini mengajak rakyat untuk bersama menyambut dan berbangga dengan perayaan Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-50.

Namun begitu saya merasakan bahawa bila kita menyambut kemerdekaan yang ke-50 ini, di samping kita mengajak rakyat untuk berbangga dengan hasil dan nikmat kemerdekaan ini, saya mengharapkan pemimpin-pemimpin negara khususnya pihak kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional supaya melihat kembali tentang beberapa perkara yang menyentuh tentang integriti, tentang kewibawaan dan juga tentang maruah yang mesti dipertaruhkan untuk menjadikan negara kita ini lebih ke hadapan pada masa yang akan datang.

Saya terbaca satu syair yang pernah diungkap oleh Shakespeare dalam Hamlet. Shakespeare pernah mengatakan “there is something rotten in the state of Denmark”. Perkara yang saya hendak bangkitkan pada pagi ini ialah tentang bagaimana perkara-perkara yang melibatkan tentang maruah dan integriti kerajaan ini, mestilah segera diambil tindakan dan diperbetulkan supaya rakyat dan semua pihak dalam negara sama ada kami di pihak pembangkang, rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa dalam negara kita ini boleh menghormati negara ini di atas integritinya.

Kami bersedia untuk memberikan taat setia kepada kerajaan yang ada pada hari ini, tetapi berasaskan kepada prinsip-prinsip yang telah dipersetujui yang menjadi asas kepada pembentukan negara ini.

Di antaranya ialah sosial kontrak yang telah dipersetujui bersama oleh semua kaum dan rakyat yang di atas prinsip inilah ditegakkan sebuah negara yang bernama Malaysia.

Kita tidak perlu kepada sorak sorai, tepukan gemuruh untuk menyatakan betapa patriotiknya kita dan betapa taatnya kita kepada negara ini. Kita tidak diberikan peluang untuk menegur dan mengkritik kepada perkara-perkara yang melibatkan tentang integriti.

Saya teringat kepada seorang guru Inggeris yang mengajar saya di sekolah dahulu, beliau mengatakan bahawa “Your altitude determine your attitude”.

Ini menunjukkan kepada kita, betapa manusia itu khususnya pemimpin diukur dan dinilai mengenai integritinya, cakapnya, you say what you mean, and you mean what you say dengan izin. Ini yang diperhitungkan oleh rakyat. Ini yang akan diperkirakan oleh rakyat dalam jangka pendek dan juga dalam jangka masa panjang untuk menentukan wibawa kita sebagai seorang pemimpin.

Bila kita bercakap tentang rasuah Tuan Yang di-Pertua. Pada hari ini, kita melihat bahawa semacam ada satu fenomena baru dalam era selepas kemerdekaan ini. Semacam ada suatu pelepasan secara terhormat terhadap kes-kes besar yang berlaku di dalam negara kita, yang kita tidak langsung nampaknya diberikan perkiraan tentang banyak sekali laporan-laporan polis, laporan-laporan BPR yang melibatkan tentang pemimpin, tentang pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang menentukan wibawa negara ini.

Kita mahu supaya Parlimen ini, negara ini ditegakkan di atas prinsip keadilan bagi semua rakyat yang menandakan betapa tersohornya kita menyambut kemerdekaan ini. Jikalau perkara ini menjadi suatu fenomena yang saya sebutkan tadi sebagai rotten dan bau busuk ini menjalar bukan sahaja dicium bau busuk ini dalam masyarakat negara kita, tetapi menjalar bau busuk ini ke seluruh nusantara dan seluruh dunia. Maka ini adalah menjadi suatu perkiraan yang saya rasa sangat penting untuk kita nilai pada hari ini.

Sebagai contoh, saya ingin menyoal kembali tentang satu laporan polis, bukan satu tetapi 30 laporan polis setakat bulan April yang lalu terhadap Ketua Menteri Sabah yang banyak 30 laporan polis. Apakah tindakan yang telah diambil sebagai contoh.

Apa hasil daripada siasatan yang telah dibuat oleh Polis Diraja Malaysia dan ACA sendiri terhadap isu ini. Bukan satu tetapi 30. Kita menyaksikan juga kes Dato’ Zakaria Darus, 17 laporan, satu pun tak sangkut yang melibatkan tentang integriti beliau, tentang maruah beliau. Kita pun bukan ingin menjatuhkan maruah seseorang tetapi seharusnya keadilan itu diberikan ruang untuk memberikan hukuman ataupun melepaskan individu yang seperti ini.

Teruskan membaca

Campurtangan politik melampau punca pegawai kecewa?

Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya ialah masalah yang berlaku sama ada berlakunya mungkin sindrom tidak menurut perintah ataupun berlakunya denial syndrom ini, adakah benar ada dakwaan yang mengatakan kadang-kadang pegawai kerajaan ini mereka bekerja bersungguh-sungguh, mereka bekerja dengan begitu taat dan patuh di atas segala perintah yang diberikan kepada mereka, tetapi kadang–kadang berlaku apa yang dikatakan campur tangan politik yang melampau ke atas jabatan-jabatan kerajaan ini.

Sebagai contoh apa yang berlaku di antara polis dengan KDN dan perundangan-perundangan yang lain. Mereka bekerja siang dan malam untuk menyiapkan kertas-kertas siasatan tetapi akhirnya apa yang berlaku campur tangan politik.

Adakah sindrom ini berlaku di dalam kerajaan kita yang menyebabkan ada anggota walaupun segelintir yang merasakan frust, mereka kecewa dengan sikap seperti ini, adakah benar dakwaan ini. Terima kasih.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Haji Abdul Rahman bin Suliman: Tuan Yang di Pertua, kekecewaan ini adalah satu perkara yang lain. Apa yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat tadi iaitu mereka berlagak lebih daripada yang sepatutnya dan saya kata bahawa kalau ada pun ini adalah satu kes selalunya yang sangat terasing atau kes yang kecil.

Jadi sebab itu apa yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat tidaklah dalam rangka jawapan saya tadi kepada Yang Berhormat sebab saya juga tidak mengakui bahawa adanya sikap pegawai kerajaan yang berlagak seperti tuan di zaman penjajahan.

Kaji semula arahan tandatangan surat aku janji – Dato KJ

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan adakah kementerian akan mengkaji semula arahan menandatangani aku janji yang dikenakan kepada pensyarah universiti.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi [Datuk Ong Tee Keat]:
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 17 Tahun 2001, penguatkuasaan Surat Aku Janji untuk pegawai awam, kerajaan telah memutuskan supaya setiap pegawai awam diwajibkan menandatangani Surat Aku Janji berkuat kuasa 1 hari bulan Januari tahun 2002.

Tujuannya ialah untuk menimbulkan kesedaran di kalangan mereka akan betapa pentingnya melaksanakan tugas dengan setia, jujur, bertanggung jawab, dedikasi dan profesional. Ini selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan perkhidmatan awam yang cekap dan berwibawa supaya Malaysia terus maju dalam suasana yang aman dan harmoni.

Dengan berkuat kuasanya Pekeliling ini, semua pegawai dikehendaki menandatangani dua salinan Surat Aku Janji. Untuk pegawai bukan warga negara, mereka boleh menandatangani Surat Aku Janji dalam versi bahasa Inggeris. Satu salinan Surat Aku Janji tersebut disimpan sama ada oleh Pihak Berkuasa Melantik, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan dalam fail peribadi pegawai untuk tujuan rekod. Satu salinan lagi untuk simpanan pegawai. Bagi memudahkan pegawai memahami kandungan Surat Aku Janji ini, mereka boleh merujuk kepada Pekeliling tersebut.

Untuk menguatkuasakan pemakaian Surat Aku Janji ini kepada pegawai yang sedang berkhidmat, satu peruntukan khusus telah dimasukkan dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993. Manakala bagi pegawai yang dilantik selepas tarikh berkuat kuasa, satu peruntukan khusus telah dimasukkan ke dalam Perintah Am Bab A (Pelantikan Dan Kenaikan Pangkat) Tahun 1973.

Semua pihak yang berkuasa melantik, dikehendaki memasukkan penandatanganan Surat Aku Janji ini sebagai salah satu syarat pelantikan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, arahan menandatangani Aku Janji adalah terpakai kepada semua kakitangan awam dan bukan hanya dikuatkuasakan kepada pensyarah universiti sahaja.

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Saya menanyakan tentang sama ada kerajaan akan mengkaji semula, yang kita mendengar tadi ialah sejarah tentang Aku Janji, suratsurat pekeliling, urusan pentadbiran, akta-akta perkhidmatan awam dan sebagainya.

Teruskan membaca

Sekarang buah-buahan tempatan terlambak diatas pokok, apakah langkah kementerian?

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Baik, terima kasih Tuan Yang di-Pertua, pada tahun ini tidak ada berlaku lambakan buah-buahan pasaran tempatan di pasaran. Memang, saya rasa memang tidak berlaku lambakan kerana buah ini berlambak di atas pokok. Macam baru-baru ini saya balik, buah rambutan sekilo sekupang. Itu ambil di pokok. Siapa yang hendak ambil, hendak jual berapa duit?

Maknanya orang sudah tidak sanggup lagi hendak panjat pokok, hendak ambil buah hendak jual. Jadi saya hendak tanya, kalau dahulu kerajaan menggalakkan rakyat untuk tanam. Misalnya, buah dokong, satu kilo lapan ringgit, rambutan, dia masuk tin eksport sampai ke Vietnam di sana. Pertanyaan saya, usaha-usaha yang dilakukan oleh kementerian.

Sekarang ini sekilo seringgit pun tak laku. Jadi setakat manakah usaha kerajaan dalam proses hiliran untuk menggalakkan hasil pak tani ini dapat masuk ke pasaran? Misalnya kalau kita lihat di Thailand, buah durian muda pun dia boleh eksport sampai ke Mekah. Buah-buahan yang terdapat di negara kita

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih.
Dato’ Seri Mohd. Shariff bin Omar: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat daripada kawasan Pendang. Kerajaan menggalakkan supaya buah-buahan kita diproses bukan sahaja dijual secara segar. Ini adalah tindakan untuk menambah nilai kepada hasil-hasil pertanian.

Jadi, melalui MARDI , MARDI telah diarah untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan supaya buah-buahan termasuk rambutan, durian, diproses, ditambah nilai. Kita mempunyai program yang kita namakan program menambah pendapatan melalui aktiviti pemprosesan di mana penduduk di kampung akan dibantu melalui program pembekalan mesinmesin untuk tujuan pemprosesan.

Jadi pihak FAMA dan jabatan pertanian sedang mengambil tindakan untuk menggalakkan petani-petani memproses buah-buahan supaya bekalan buah-buahan secara segar itu dapat dikurangkan dan yang keduanya, kita dapat menambah nilai kepada buahbuahan itu. Dengan cara ini, bukan sahaja kita dapat mengurangkan bekalan buah-buahan segar, yang keduanya, kita akan dapat memberi peluang pekerjaan dan akan mendapat pendapatan yang lebih tinggi apabila kita memproses hasil-hasil pertanian, hasil-hasil buahbuahan yang terdapat di negara kita.

Golongan atasan lebih cenderung nikmati buah-buahan impot berbanding makanan tempatan

Abdul Fatah Harun (Pas-Rantau Panjang) berkata golongan atasan termasuk Anggota Parlimen lebih cenderung menikmati buah-buahan dan bahan makanan yang diimport berbanding makanan tempatan sehingga menyebabkan kadar import makanan negara meningkat.

Abdul Fatah berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika menjawab soalan Abdul Fatah, Rohani berkata, imbangan dagangan bagi bahan makanan mengalami defisit yang antaranya disebabkan oleh faktor import bahan makanan ternakan yang tinggi dan hasil tenusu, gula serta bijirin yang tidak dihasilkan dalam negara.

Ketika menjawab soalan asal Dato’ Jacob Dungau Sagan [ Baram ] yang meminta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan jumlah pengimport dan pengeksport bahan-bahan pertanian dan makanan di negara ini dan apakah tindakan yang diambil oleh Kementerian bagi mengurangkan nisbah pengimport dan pengeksportan ini.

Rohani berkata projek seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan serta Pusat Fidlot Nasional yang kini giat dilaksanakan merupakan aktiviti utama yang akan menyumbang kepada sasaran peningkatan hasil tersebut.

Beliau berkata selain sektor tanaman, penekanan juga akan diberikan terhadap sektor perikanan melalui peningkatkan pengeluaran akuakultur bagi menampung keperluan domestik dan pasaran eksport, memandangkan potensi eksport sektor itu adalah amat tinggi.

“Pencapaiaan sasaran dalam sektor tanaman, ternakan dan perikanan dalam pengeksportan dan pengimportan hasil-hasil agromakanan ini akan membolehkan negara mengurangkan defisit dalam imbangan perdagangan secara beransur-ansur dan seterusnya mencapai lebihan dalam imbangan dagangan makanan negara,” katanya menjawab soalan Datuk Jacon Dungau Sagan (BN-Baram).

Rohani berkata negara mengimport RM19.9 bilion dan mengeksport RM11.4 bilion bahan makanan tahun lepas.

Siapa dalang pembalakan haram di Sabah?

Teks Ucapan YB Salahuddin Ayub sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan tambahan 2007 (2007)

Yang Dipertua,
Pada 13-08-2007, rakyat Malaysia khususnya di Sabah telah dikejutkan dengan berita dimana pihak BPR telah menahan 1,000 batang kayu balak yang diangkut oleh 20 unit trak pengangkutan kayu balak, di Keningau. Operasi tersebut telah diketuai oleh Pengarah BPR, SAC 1 Mohd Jamidan Abdullah dari ibu pejabat BPR (Kuala Lumpur).

Pada hari berikutnya En Sam Manan, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, telah pantas menyangkal dakwaan resmi BPR, dengan mengatakan bahawa, kayu balak berkenaan adalah kayu balak yang ditumbangkan dari kawasan balak berlesen sah dan semua duti dan duti royalti sudah dibayar.

Bagaimanapun, selepas penyelidikan lanjut, pada 16-08-2007, Datuk Ahmad Said Hamdan, Ketua Pengarah BPR telah mengesahkan bahawa balak yang ditahan adalah balak haram dan semua duti dan royalti tidak berbayar.

Selain dari itu, daripada 20 unit trak pengangkutan balak yang ditahan sebanyak 19 unit disahkan beroperasi secara haram kerana tidak berdaftar dan tidak mempunyai lesen-lesen khusus seperti GDL dan cukai jalan.

Yang lebih malang lagi, 2 unit trak tahanan dengan muatan yang dibawah kawalan pihak Jabatan hutan telah berjaya dilarikan.

Persoalannya adalah:

1. Siapakah dalang aktiviti haram ini?

2. Mengapakah Pengarah Perhutanan Sabah pantas membuat kenyataan membela pembalakan haram berkenaan?

3. Mengapa hanya pegawai BPR dari Ibu Pejabat sahaja yang maklum, bersedia dan berjaya mengambil tindakan berkenaan?

4. Dan yang lebih penting, apakah pihak berkuasa hanya akan menahan kayu balak itu, sedangkan pelaku dan dalang aktiviti haram ini tidak akan didedahkan dan didakwa mengikut undang-undang Negara yang ada?

5. Apakah pihak berkuasa seperti BPR dan Polis akan terus menyelidik dan mengambil tindakan keatas pembalak-pembalak haram lain yang berleluasa dikawasan lain dalam negeri Sabah?

————–
Ucapan disampaikan pada 4 September 2007