Parlimen Bocor: Aneh, bagaimana sampah boleh dibuang ke atas? tanya Dato Halim

“Mengapa parlimen bocor? Dua tahun dahulu kita sudah dapat laporan ‘water proofing’ yang sedia ada. Tetapi apa sudah jadi? Semua kotoran daripada bawah dibuang ke atas. Ada kayu, ada simen dan macam-macam. Semuanya merosakkan ‘water proofing’ yang sedia ada.”

Dato Ab Halim b Ab Rahman Itulah antara jawapan yang diberikan Menteri Kerja Raya, Dato’ S.Samy Vellu sewaktu menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai kes kebocoran bangunan parlimen yang dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

“Kalau orang tidak usik ‘water proofing’ yang sedia ada tidak ada masalah. Lebih baik saya panggil semua ahli parlimen untuk tengok. Saya sendiri sudah memeriksa beberapa kali. Saya minta jangan buang sampah sarap di sana. Saya akan letak papan tanda ‘Dilarang membuang sampah sarap di sini’,”katanya yang disambut gelak ketawa ahli parlimen yang lain.

Sementara itu, jawapan Samy mengenai kebocoran Parlimen diselar Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan Chepa).

“Mendengar jawapan daripada menteri tadi, aneh juga. Bagaimana sampah boleh dibuang ke atas? Adakah itu punca yang sebenar? Saya nak tanya, Parlimen ini sudah lebih daripada 40 tahun. Bagaimana nak jamin jangka hayat ini agar ‘fresh’ balik ataupun boleh bertahan.

“Bolehkah YB jamin bahawa Parlimen ini setelah dibaiki tidak bocor lagi ataupun perlu dibuat semua daripada kita menghabiskan wang yang begitu banyak?” soalnya.

Samy dalam jawapannya menyatakan pihaknya mengetahui apa yang berlaku serta mempunyai kelayakan untuk memeriksa kebocoran yang berlaku.

“Saya tidak tuduh sesiapa membuang sampah di sana tapi sampah ada. Bila sampah terdapat di sana, ‘water proofing’ sedia ada akan rosak,” katanya.

Terdahulu Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menyatakan kekesalan dengan kebocoran bangunan yang berlaku semalam, walaupun kosnya ditambah kepda RM12 juta untuk memperbaiki bumbung. Beliau turut mempersoalkan kenapa pemulihan lebih menumpukan kepada perkara ‘kosmetik’, tidak kepada struktur.

“Setelah meneliti jawapan panjang lebar Yang Berhormat Menteri, memang saya rasa daripada segi teorinya saya boleh terima tetapi daripada segi praktikalnya saya minta YB menerangkan apakah tindakan yang diambil.

“Kita lihat bangunan parlimen dan mahkamah bocor. Dan saya tidak dapat dengar satu jawapan apabila perunding atau kontraktor yang membina telah melakukan kecuaian. Dan kita juga tidak mendengar satu klause yang menyatakan penalti atau hukuman akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Beliau juga secara sinis menyatakan sejak kemerdekaan, JKR membelanjakan dalam mana-mana kontrak kerajaan untuk kerja pemantauan dan penyeliaan.

“Saya tak nampak di mana barunya benda ini. Dulu, kini dan selamanya itulah JKR,” katanya yang tidak berpuas hati dengan pendekatan yang digunakan JKR baru-baru ini yang menyatakan pemantauan penyediaan bagi menangani kes kebocoran bangunan parlimen dan mahkamah menjadi satu ‘competent’ baru. – mks.

Teks Penuh
Teruskan membaca

Bina Parlimen baru jadi isu MP BN

Ahli Parlimen Dato’ Paduka Badruddin Hj Amiruddin (BN-Jerai) menggamat Dewan Rakyat apabila mencadangkan pembinaan bangunan Parlimen yang baru sebagai simbol keagungan pentadbiran negara setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan.

Beliau telah menjadi seperti individu yang diberi tanggungjawab untuk membawa usul pembinaan parlimen baru di samping usul menjaga kebajikan ahli-ahli parlimen yang lain.

Persoalan ini pada peringkat awal dikemukakan Ahli Parlimen, Dato’ Dr Mohd Shahrom Mohamad (BN-Lipis) dalam sesi soal jawab lisan mengenai struktur binaan bagi bangunan parlimen yang dirasakan perlu kepada penstrukturan semula ataupun dibina bangunan yang baru.

Sambil menyokong kenyataan daripada Lipis, Badruddin menyatakan bahawa satu parlimen baru harus dibina di satu tempat yang boleh dibanggakan.

Beliau membuat perbandingan dengan mengambil contoh, ‘Palace of Justice’ yang dibina di Putrajaya sebagai satu tempat melaksanakan rang undang-undang, manakala Parlimen pula merupakan satu tempat yang lebih tinggi peranannya yang berkuasa meluluskan undang-undang itu.

Tindakan ahli-ahli parlimen yang membicarakan mengenai pembinaan bangunan parlimen baru ini dilihat seolah-olah ingin melengahkan soalan-soalan yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh sebelum itu.

Gelugor yang mengemukakan soalan mengenai tindakan Ketua Pemuda Umno, Dato’ Hishamudin Tun Hussein yang mengangkat keris dalam Mesyuarat Agung pergerakan turut mengemukakan soalan-soalan lain yang lebih serius berhubung tindakan dan penjelasan kerajaan terhadap salah laku timbalan Menteri Penerangan, Dato’ Zahid Hamidi yang membuat ugutan dan kes pegawai-pegawai dalam Dewan Negara yang meletakan jawatan.

Selain itu, Badruddin juga menyatakan hasrat seterusnya mencadangkan agar ahli-ahli parlimen dibawa melawat ke parlimen-parlimen di negara-negara membangun yang lain bagi mendapatkan gambaran untuk membina sebuah parlimen bertaraf dunia atau ‘world class’ di Malaysia.

“Di negara-negara tertentu ada beberapa buah bangunan parlimen yang dibina mengikut peredaran masa. Selain memperbaiki parlimen yang telah sedia ada, kita harus mengira parlimen baru yang menunjukkan kita sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dibina,” jelasnya dengan penuh bersemangat.

Hujah yang digunakan beliau untuk mengukuhkan cadangannya untuk membina parlimen kedua itu adalah kerana beliau tidak berpuas hati terhadap pelan susun atur parlimen dengan menyatakan ruangan pameran yang terletak di sebelah belakang, berdekatan dengan kantin sebagai tidak sesuai kerana baginya ia sepatutnya ditempatkan di sebuah galeri yang indah yang mencacatkan bentuk dan ciri-ciri sebuah parlimen.

Kenyataan Badruddin itu turut dicelah oleh Ahli Parlimen, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan Chepa), yang meminta penjelasan mengenai kriteria yang perlu ada dalam sebuah parlimen sebenar yang dimaksudkan oleh beliau.

“Bentuk yang saya maksudkan ialah yang melambangkan negara merdeka, kerana parlimen yang ada sekarang ini tidak memiliki galeri pameran yang selesa, dan kita tidak boleh tunjuk laporan saya yang bernas ni,” jawabnya sambil berseloroh dengan diikuti gelak tawa ahli-ahli parlimen lain.

Kata-kata Badruddin terhenti seketika apabila disampuk oleh Timbalan Speaker,,” itu point yang tidak berkaitan” seterusnya memberi laluan kepada Ahli Parlimen,Dato’ Dr Wan Junaidi (BN-Santubong).

“Pengisian kepada Parlimen lebih penting yang perlu kita sama-sama teliti dan perhalusi. Kita perlu fokus dengan sikap dan mentaliti individu yang mengisi Dewan Rakyat.

“Di mana Parlimen ini terletak tidak penting, tetapi kita perlu memastikan ia berfungsi sebagai paksi keadilan serta menjalankan peranannya sebagai pemutus beberapa ketetapan,” jelas Wan Junaidi.

“Ini adalah masa yang paling sesuai untuk bergerak sebagai parlimen yang bebas, yakni tidak dikongkong oleh eksekutif,”katanya.

Ketika menjelaskan bahawa Parlimen sekarang ini yang ketat dikawal oleh kuasa eksekuti, Wan Junaidi mencadangkan agar Akta Perkhidmatan Parlimen disemak semula.

Ujarnya, Parlimen hendaklah keluat dari pengawasan Kementerian Kewangan dan memiliki belanjawan dan peruntukannya sendiri, seperti bagaimana ia berlaku sebelum ini sebelum akta tersebut dipinda pada 1992.

Wan Junaidi juga berpandangan bahawa kuasa eksekutif negara telah diambil alih oleh kuasa pelaksana.

“Semua undang-undang dibuat oleh Peguam Negara dan kemudian diluluskan oleh Dewan Rakyat,” katanya, sambil mengukuhkan kenyataan bahawa Parlimen yang memutuskan sebarang keputusan untuk meluluskan undang-undang dan keputusan.

“Kita perlu membebaskan Parlimen kita daripada kuasa pelaksana supaya ia menjadi satu badan yang tersendiri kepada kerajaan. Itulah maksud separation of power yang terkandung di dalam perlembagaan,”tambahnya.

Najib tidak bertanggungjawab, kata Salahuddin

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub tidak berpuas hati dengan jawapan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung perkhidmatan helikopter Nuri (TUDM) yang akan diberhentikan secara berperingkat sehingga tahun 2012.

Salahuddin berkata, keputusan kerajaan itu tidak bertanggungjawab, tidak proaktif dan memperjudikan nyawa anggota TUDM terbabit.

“Berapa banyak lagi nahas Nuri yang perlu menyedarkan Najib dan kerajaan? Adakah kerajaan perlu tunggu satu lagi tragedi anggota TUDM mati terhempas?” kata Salahuddin.

Dalam kejadian terbaru, enam pegawai TUDM terkorban dalam nahas Nuri 14 Julai lalu di Genting Sempah.

Salahuddin mendesak kerajaan menghentikan perkhidmatan Nuri dengan segera dan menggantikannya dengan helikopter baru tanpa perlu menunggu lima tahun.

Jawapan bertulis Najib itu dibuat bagi menjawab soalan Salahuddin kepada Menteri Pertahanan sama ada perkhidmatan helikopter Nuri akan dihentikan setelah mengorbankan banyak nyawa anggota TUDM.

Live Sidang Parlimen 6 September 2007

Siaran Langsung (percubaan) Sidang Parlimen setiap isnin hingga Khamis mulai Jam 9.50 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 hingga 5.30 petang. Siaran langsung boleh dikuti melalui WebTV, LIVE SIDANG PARLIMEN