Bajet 2008: Pendidikan percuma antara desakan PAS sebelum ini – Dato’ Halim

Ahli Parlimen (PAS-Pengkalan Chepa) Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman yang ditemui berkata beberapa desakan yang dibuat PAS sebelum ini akhirnya diakui oleh Perdana Menteri, antaranya adalah desakan PAS yang pernah menyarankan kerajaan memberi pendidikan secara percuma kepada rakyat.

Dato Ab Halim Menurutnya, penghapusan yuran sekolah dan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) menandakan kerajaan akhirnya akur dengan desakan PAS yang pernah menyarankan kerajaan memberi pendidikan secara percuma kepada rakyat.

“Apa yang diberi percuma dalam bidang pelajaran sepatutnya sudah lama dilaksanakan, bahkan kita selalu tegaskan dalam bajet-bajet yang lalu, kita pernah bercakap pada tahun lepas sepatutnya perkara ini sudah lama percuma,” katanya selepas pembentangan Bajet 2008 oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat.

Sementara itu, beliau agak terkilan kerana tidak ada peruntukan yang ketara untuk menjadikan koperasi sebagai satu ejen yang ketiga dalam pembangunan negara sebagaimana yang pernah diisytihar oleh Abdullah Badawi baru-baru ini.

Tambahnya, bajet kali ini juga langsung tidak menyentuh tentang projek koridor Pantai Timur sebaliknya menumpukan pada pembangunan ekonomi dan kewangan Islam termasuklah koridor di sebelah negeri maju.

“Langsung tidak disebut, saya rasa projek itu belum siap lagi dan mungkin akan diistiharkan tidak lama lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut melahirkan kebimbangan apabila usaha kerajaan untuk mengimbangkan pembangunan di wilayah yang mundur dengan wilayah yang maju tidak akan tercapai dalam waktu terdekat ini kerana lebih menumpukan kepada pembangunan negeri yang maju sahaja.

PM bentang Bajet 2008 “Jurang kemajuan akan lebih melebar lagi, jika tidak ada keseimbangan dalam usaha untuk membangunkan kedua-dua wilayah berkenaan,” tegasnya.

Abdul Halim menyambut baik peruntukan sebanyak RM300 untuk suri rumah atau penjaga Orang Kurang Upaya (OKU) walaupun jumlahnya tidak besar.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai tiadanya pengumuman faedah bonus oleh Abdullah, Abdul Halim yakin kerajaan akan mengumumkannya apabila hampir pilihan raya nanti.

“Banyak perkara yang belum diumumkan oleh kerajaan termasuklah bonus kakitangan kerajaan yang menjadi ‘point’ penting terutamanya mereka di sektor awam, bahkan pengumuman bonus boleh dibuat tanpa bajet,” katanya.

Bajet 2008: Kerajaan akui rakyat menderita susah untuk beli buku teks sekolah

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata pihaknya tertunggu-tunggu pengumuman kerajaan mengenai pengurangan kos pembiayaan perubatan terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Dato KamarudinKatanya, agak mendukacitakan kerana pengurangan pembiayaan kos kesihatan tidak diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2008 ini.

Kamarudin berkata, Perdana Menteri hanya mengumumkan projek-projek besar pembangunan, namun di saat beliau akan menjejaki tahun keempat pemerintahannya pada bulan hadapan, pengumuman hanya sekadar pengumuman tanpa sebarang pelaksanaan.

Menurutnya, pengumuman kerajaan mengenai pemansuhan yuran persekolahan dan buku teks sekaligus menggambarkan kerajaan akhirnya mengakui rakyat menderita kerana susah untuk membiayai pembelian buku untuk anak-anak.

“Tetapi yang kita tunggu ialah bagaimana kerajaan nak mencadangkan kos pendidikan tinggi kanak-kanak kerana kos pengajian di peringkat IPT sangat tinggi dan keluarga terpaksa memperuntukkan perbelanjaan untuk kos ini,”katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, pengumuman kemudahan pinjaman bank untuk petani dan pengusaha kecil untuk membiayai pembelian rumah kos rendah dan sederhana hanya membebankan rakyat kerana rata-rata golongan ini tidak tahu merancang untuk bayaran balik.

Jelasnya, lebih baik kemudahan memiliki rumah tersebut diberikan secara percuma.

Bajet 2008: Sektor korporat diutamakan

Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berkata, walaupun sektor korporat mendapat limpah ruah di atas Bajet 2008 tetapi sektor pertanian dan sektor luar bandar masih lagi kabur.

Salahuddin “Nampaknya ia tidak seperti kukuhnya sektor korporat yang mendapat limpahan dari bajet ini,” katanya semasa ditemui di lobi parlimen selepas selesai pembentangan bajet oleh Perdana Menteri.

Begitu juga dengan penghapusan yuran sekolah dan bantuan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) kepada semua pelajar pada tahun depan, katanya sepatutnya rakyat yang menyambut kemerdekaan ke-50 tahun baru-baru ini telah lama menikmati penghapusan tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap mengalu-alukan tindakan tersebut.

Sementara itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan-Permatang Pauh) semasa diminta mengulas bajet tersebut berkata walaupun banyak imbuhan diberikan tetapi daripada mana pendapatan negara akan datang.

DS Wan Azizah “Kalau kita melihat persepsi indeks rasuah dan bagaimana pelaburan asing (FDI) menurun jika dibandingkan dengan negara China, India dan Vietnam.

“Walaupun peruntukan diberikan kepada banyak sektor namun apa yang kita perlukan adalah untuk perbaiki indeks persepsi rasuah bagi memastikan ransangan ekonomi supaya tidak ada ketirisan, kebocoran dan pembaziran, itu yang paling penting,” katanya.

Teruskan membaca