Dato Kamarudin cadang kerajaan dirujuk Majlis Fatwa sebelum bertindak

Ucapan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin bin Jaffar ketika membahaskas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2007 (2007) -peringkat Jawatankuasa (Jabatan Perdana Menteri) pada 5 September 2007.

Dato Kamarudin Terima kasih Tuan Pengerusi, saya akan seperti biasa bercakap ringkas sahaja. Pertamanya saya bersetuju dengan banyak pandangan yang dinyatakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sebelum ini.

Saya fikir apa yang kita baru dengar daripada Yang Berhormat Santubong banyak di antaranya point-point yang baik kecualilah berkaitan dengan isu cap jari itu yang saya fikir bukanlah balik ke zaman batu.

Hari ini pun kalau kita ditahan di bawah ISA ataupun apa-apa hukuman jenayah, bukan satu jari bekas polis Yang Berhormat tahu, bukan dua ibu jari, 10 jari diambil copnya kalau kita dan saya ada pengalaman masa ditahan di bawah ISA. Kalau kita ingin keluarkan wang kita dari KWSP, sekali lagi ibu jari kanan kena ibu jari kiri pun kena.

Di samping itu kita tidak menolak pembaharuan-pembaharuan hendak menggunakan e-voting ke hendak menggunakan auto registration untuk voters dengan izin itu sudah tentu kita akan menyokong selagi ianya tidak mengikut amalan Presiden George Bush yang diakui oleh Santubong telah menipu dalam pilihan raya, presiden di Amerika Syarikat yang lalu.

Tuan Pengerusi, saya hendak mula dengan Maksud B.1 Parlimen. Saya juga sama dengan rakan-rakan menyokong apa yang diperuntukkan sini iaitu penambahan untuk membiayai kenaikan kemudahan elaun dan sebagainya. Di samping cadangan daripada rakan-rakan saya juga ingin mencadangkan sebagaimana kita dengar akhir-akhir ini ramai tokoh negara Yang Mulia Raja Nazrin kita sudah dengar daripada Yang Berhormat Sungai Petani, Bekas Ketua Polis Negara ada menegur kerajaan, Pengerusi SPR membuat cadangan cap jari, maknanya pemimpin-pemimpin institusi-institusi negara hari ini aktif dalam memberikan pandangan yang tidak in the box sahaja, tidak terkongkong dengan jawatan khusus mereka sahaja.

Oleh itu apa tidak kalau Yang Berhormat Speaker Dewan Rakyat, Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga ikut aliran moden baru yang canggih ini yang mana berani berucap, berani menegur, berani mempertahankan meningkatkan lagi kedudukan Parlimen, berani melawan orang-orang sama ada Menteri yang jaga Parlimen yang mencabar dan menggugat kedudukan Parlimen kita ini senada dengan tokoh-tokoh negara yang memimpin institusi-institusi lain yang hari ini agak sanggup untuk mempertahankan institus-iinstitusi penting negara yang diancam sebegitu kuat oleh pihak-pihak yang tidak ada minat untuk menaikkan demokrasi dalam negara kita ini.

Tuan Pengerusi, begitu juga peranan Ahli-ahli Parlimen. Kita patut lebih berani, kita patut berani bersuara. Contoh yang terkini ialah saya sanjung Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Integriti yang memberi suatu pandangan apabila bertemu dengan rakyat di Kuala Terengganu bahawa rakyat Terengganu tidak suka kepada Monsoon Cup ini. Ini satu keputusan, satu kesanggupan yang amat berani dan saya sanjung Yang Berhormat Gerik.

Ini yang kita mahu. Kita dapat elaun lebih, kita dapat bilik yang nyaman dan sebagainya. Oleh itu kita gunakan amanah yang rakyat berikan kepada kita dan menyuarakan apa yang benar-benar disebut dan dihasratkan oleh rakyat tanpa takut, tanpa segan-silu yang ada pada kita setakat hari ini.

Tuan Pengerusi, saya juga ingin mencadangkan supaya Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas sebagaimana kita tahu dahulunya oleh Yang Berhormat Ranau tetapi diambil alih oleh Gerik oleh sebab-sebab yang tertentu.

Ini amalan yang baik supaya Menteri-menteri ataupun yang memegang jawatan eksekutif dalam Parlimen kita ini seboleh-bolehnya tidak memegang jawatan-jawatan dalam Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas tetapi diberi kepada tokoh-tokoh yang amat ramai yang ada di sebelah backbenchers ini untuk menjadi pengerusi dan sesetengahnya kepada kami jugalah sebagai pengerusi ataupun timbalan pengerusinya [Disampuk] kerana itu juga apa yang diamalkan oleh Parlimen-parlimen besar Negara, misalnya PAC di negara-negara Komanwel, semuanya dipegang oleh pemimpin pembangkang dan bukannya daripada pihak kerajaan, terutama Ketua Pembangkang sendiri, saya setuju.

Tuan Pengerusi, tentang Suruhanjaya Pilihan Raya, Maksud B.4, saya ingin mencadangkan supaya amalan yang amat baik yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu merujuk kepada Majlis Fatwa untuk membuat keputusan yang penting dan yang mungkin ditegur atau ditolak oleh masyarakat tertentu.

Ini suatu amalan yang baik dan saya ingin mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya seterusnya menggunakan lagi khidmat para alim ulama, pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh agama untuk memastikan amalan-amalannya yang lain dalam pindah-memindah pengundi, dalam membuang senarai pengundi, dalam memasukkan pengundi dari mana-mana negara untuk menjadi pengundi juga perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa sama ada perbuatan itu betul dari sudut agama ataupun tidak.

Seterusnya saya ingin mencadangkan supaya…
Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: [Bangun]
Tuan Pengerusi [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat Pendang.

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tumpat. Ini pengalaman saya sendirilah semasa Pilihan Raya Kecil Pendang 2002 di mana saya menghadapi satu pilihan raya kecil, 11 orang pengundi di Kampung Gua Kepayang apabila mereka pergi ke tempat mengundi, mereka dapati nama mereka telah dipotong dan dikatakan meninggal dunia, tetapi apabila kami berjumpa dengan pengurus pilihan raya pada tempat itu, setelah bertengkar dan bertekak, ditunjukkan bukti-bukti bahawa mereka ini masih hidup, maka dikeluarkan satu lagi senarai yang tidak dipotong nama mereka dan seterusnya mereka boleh mengundi. Ini merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh SPR supaya pembohongan dalam pilihan raya ini tidak akan terus berlaku. Terima kasih.

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Yang Berhormat Pendang. Saya amat bersetuju dengan apa yang beliau sebutkan tadi dan saya fikir SPR mesti terus menerus membersihkan operasi dan perjalanan mereka supaya keyakinan rakyat yang sepenuhnya kepada sistem pilihan raya kita akan terjamin dan apa-apa keputusan mana-mana pilihan raya dalam negara kita ini diterima sebagai keputusan sebenar, yang dikehendaki oleh rakyat dan apabila itu berlaku, kami dengan sukarela sama ada menang ataupun kalah, akan menerimanya.

Saya juga ingin mencadangkan supaya amalan Suruhanjaya Pilihan Raya ini dilakukan oleh jabatan-jabatan, agensi-agensi dan kementerian-kementerian kerajaan yang lainnya supaya apa-apa keputusan yang ingin dibuat dirujuk dahulu kepada pakar-pakar agama, Majlis Fatwa dan sebagainya supaya tidak ada masalah lagi.


Bahkan makanan pun perlu disahkan halal atau tidaknya, apatah lagi dasar-dasar penting negara, keputusan-keputusan penting negara perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa supaya ianya dapat dilakukan tanpa waswas oleh semua rakyat yang ada dalam negara ini.

Tuan Pengerusi, mungkin yang akhirnya, Maksud B.4 iaitu perbelanjaan sebanyak RM18.25 juta untuk perbelanjaan tambahan sambutan perayaan 50 tahun kemerdekaan. Saya yakin Ahli-ahli Yang Berhormat dari pihak kami di sini akan juga menyentuhnya tetapi yang amat kita rasa terlalu berlaku dalam sambutan perayaan kemerdekaan kali ini selain daripada perbelanjaan yang tinggi ialah ianya sangat UMNO centric. Ianya terlalu banyak menonjolkan penglibatan hanya UMNO dan Perikatan dalam mencapai kemerdekaan.

Dalam pada itu, anehnya ia juga mengiktiraf Dato’ Onn bin Jaafar sebagai juga pelopor kemerdekaan, tetapi kalau kita kaji apabila merdeka itu tercapai dalam tahun 1957, Dato’ Onn bin Jaafar adalah daripada parti Independence of Malaya Party (IMP) selepas meninggalkan UMNO, dan selepas itu Parti Negara, tetapi ianya diiktiraf. Kalau prinsip yang sama yang pemimpin negara kenakan kepada Dato’ Onn bin Jaafar iaitu tidak semestinya dalam tahun 1957 itu, orang itu UMNO baru diiktiraf sebagai pelopor kemerdekaan, kenapa tidak diiktiraf yang lain-lainnya.

Yang dalam awal tahun 40-an lagi kalau kita tidak lihat kepada tahun 1957. Kalau kita lihat kepada tahun 1947, ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya, kalau kita lihat kepada tahun 1937 ada Kesatuan Melayu Muda, kalau kita lihat 100 tahun sebelum merdeka, 1906, ada pelopor-pelopor reformasi Islah dan sebagainya. Banyak tokoh lain lagi.

Jadi saya rasa adalah suatu keadaan yang melampau jika sumbangan tokoh-tokoh lain itu tidak diberi pengiktirafan langsung. Walaupun kita baca dalam ucapan Yang Mulia Raja Nazrin, beliau mendesak dan menggesa supaya tokoh-tokoh ini yang benar-benar terlibat tanpa, pada istilah beliau, tokoh kemerdekaan adalah tokoh kemerdekaan, tidak kira parti, tidak kira bangsa, tidak kira agama dan oleh itu mestilah diiktiraf.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: [Bangun]
Tuan Pengerusi [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat Rantau Panjang.
Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Ya.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Adakah Yang Berhormat Tumpat bersetuju kalau saya sebutkan nama ini juga diiktiraf oleh kerajaan sebagai mereka yang terlibat dengan kemerdekaan. Misalnya Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, orang-orang ini kalau tidak silap saya dalam sejarahnya memang termasuk golongan orang-orang yang memperjuangkan kemerdekaan tetapi tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia kerana ia tidak tergolong dalam orang-orang UMNO di saat-saat akhirnya.

Adakah Yang Berhormat bersetuju kalau kita masukkan juga sebagai pejuang-pejuang kemerdekaan.

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Memang saya menyokong dan memang ini pun nama-nama yang disebut oleh Yang Mulia Raja Nazrin dan bukan dua ini sahaja, tokoh-tokoh lain sebagaimana saya sebut dari pelbagai bangsa, dari pelbagai agama, dari pelbagai parti dan kumpulan-kumpulan politik, dari tokoh-tokoh belia, tokoh-tokoh kesatuan sekerja yang terlibat dan menyumbang ke arah kemerdekaan dan ini tidak harus ditutup dengan sebegitu mudah tanpa kita menafikan peranan UMNOkah, peranan Perikatan kah, itu bukan kita nafikan, tetapi penglibatan orang-orang lain seharusnya diterima dan diiktiraf sama. Terima kasih Tuan Pengerusi.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: