Perlantikan Hakim Zaki penuh kontroversi dan luarbiasa

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub bersama pemimpin Dewan Pemuda menyerahkan memorandum berkaitan pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi yang penuh kontroversi sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan semasa pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di pejabatnya semalam.

Rombongan pemuda jumpa MRR
Rombongan Pemuda itu diketuai oleh Ketua Pemudanya Salahuddin Ayub, Timbalannya Ustaz Nasruddin Tantawi, Setiausaha Pemuda Sabki Yusof dan beberapa AJK dan pimpinan pemuda yang lain dan turut hadir sama mengiringi Engku Ibrahim ialah Penolong Setiausaha Dato’ Sabtu Awab.

Pelantikan Zaki sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan sangat kontroversi dan mendapat perhatian banyak pihak termasuk pengamal undang-undang, kata Salahuddin.

Sebelum ini, beliau telah membawa usul di Parlimen bagi membahaskan pelantikan Zaki Tun Azmi itu namun ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Salahuddin berkata beliau pernah menyemak rekod-reokd prosedur pelantikan hakim di negara-negara Komanwel dan tidak pernah berlaku sebagaimana yang terjadi di Malaysia ini, malah dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa dan memeranjatkan banyak pihak.

Teks memorandum adalah seperti berikut:
Mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billal Shah dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, yang ada dengan beberapa amat kemuliaan dan kebesarannya.

Dengan sembah dan salam takzim, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Adalah dengan ini patik Salahuddin bin Ayub, selaku Ketua Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyokong dan bersimpati dengan kami, dengan ini mengangkat sembah mengadu dan membawa ke perhatian Duli-duli Tuanku mengenai perlantikan Tan Sri Datuk Zaki Tun Azmi sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.


Patik sekalian membantah perlantikan Tan Sri Datuk Zaki Tun Azmi sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di atas kemaslahatan umat dan negara kita, kerana kedudukan Tan Sri Datuk Zaki Tun Azmi yang boleh menimbulkan kontroversi serta menimbulkan persoalan yang boleh menjejaskan kredibiliti, integriti dan reputasi badan kehakiman di dalam negara kita.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Patik merasa terpanggil untuk mempersoalkan perlantikan Tan Sri Datuk Zaki Tun Azmi kerana sistem perlantikannya tidak berdasarkan kepada amalan biasa sistem perlantikan hakim kanan negara kita. Menurut pandangan patik, dalam amalan biasa, merujuk kepada amalan penuh berprestij Negara-negara Commonwealth, adalah jarang-jarang dan aneh sifat amalannya melantik seorang peguam secara terus untuk menjadi hakim di Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Negara.

Biasanya amalan yang dilaksanakan ialah hakim-hakim mahkamah persekutuan akan melalui proses perlantikan sebagai hakim mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan terlebih dahulu. Realitinya, warga perundangan dan kehakiman Negara ini pastinya terkejut dengan perlantikan Tan Sri Datuk Zaki Tun Azmi ini kerana lebih ramai lagi hakim-hakim yang lebih senior di mahkamah tinggi dan rayuan yang lebih layak dan berpotensi dilantik sebagai hakim-hakim di mahkamah persekutuan. Melalui amalan ini, patik khuatir besar kemungkinan di masa akan datang perlantikan hakim bukan atas dasar kelayakannya, tetapi kerana hubungan politik atau hubungan rapat mereka dengan pemerintah!

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Adapun perlantikan Tan Sri Datuk Zaki Tun Azmi sebagai hakim mahkamah persekutuan telah menimbulkan reaksi yang tidak sihat kerana umum mengetahui beliau adalah “a long standing UMNO’s lawyer” dan memegang jawatan dalam biro-biro parti Umno. Patik sekalian merasa bimbang perlantikan beliau ini akan mengwujudkan satu tren yang kurang baik dalam amalan perlantikan hakim-hakim di Negara ini.

Untuk pengetahuan Tuanku, Tan Sri Datuk Zaki Tun Azmi pernah memegang jawatan penting dalam UMNO seperti Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2004, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO, dan Pengerusi Jawatankuasa Rayuan UMNO. Patik amat curiga dan mempersoalkan bagaimana seorang yang ada latarbelakang dan berpengaruh dalam UMNO serta partisan ini boleh diangkat menjadi hakim Mahkamah Persekutuan secara terus, sedangkan kes-kes yang dikendalikannya menuntut beliau bersikap berkecuali, adil, telus dan tegas.

Kecurigaan patik sekalian bertambah memandangkan patik sekalian telah acapkali mengadu ke mahkamah berhubung isu keadilan, ketelusan, rasuah dan lain-lain yang melibatkan semua pihak. Malangnya yang ramai menjadi mangsa adalah rakyat biasa seperti patik sedangkan kes-kes profil tinggi yang melibatkan pihak pemerintah boleh lepas begitu sahaja.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Institusi kehakiman dan perundangan dalam negara kita sedang diperhatikan dan menjadi bualan mulut masyarakat umum. Patik bimbang rakyat biasa akan hilang rasa hormat dan hilang percaya terhadap institusi perundangan negara kita. Patik merujuk kepada krisis keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara dalam isu pendedahan video klip perbualan antara seorang peguam terkemuka dengan seseorang yang dipercayai hakim, begitu juga dengan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaaribu, serta kes-kes rasuah yang berprofil tinggi yang dilepaskan begitu sahaja.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Lantaran itu patik sekalian memohon sembah ke bawah Duli-duli Tuanku sekalian agar demi mempertahankan kedaulatan dan keyakinan rakyat terhadap Raja dan Negara dan demi membela institusi kehakiman dan mahkamah, patik sekalian memohon agar Duli-duli Tuanku menimbang kembali perlantikan Tan Sri Datuk Zaki Tun Azmi sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dengan mengutamakan hakim-hakim yang lebih kanan dan layak bagi menduduki jawatan tersebut.

Patik sekalian juga memohon agar Duli-duli Tuanku menitahkan agar pihak kerajaan mempertimbangkan perlantikan hakim-hakim serta penjawat awam utama negara diberi kepada mereka yang berkelayakan, mempunyai reputasi tinggi, berwibawa serta dihormati.

Patik yang memohon,
SALAHUDDIN BIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS

13 Ramadhan 1428/ 25 September 2007

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: