PAC: Kerajaan diminta ambil tindakan kepada pegawai menyeleweng

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini mahu kerajaan mengambil tindakan tegas, termasuk tindakan undang-undang, terhadap pegawai yang menyebabkan pembaziran wang awam sehingga kerugian berjuga-juta ringgit seperti yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Pengerusinya Datuk Shahrir Samad berkata kerajaan mesti bertindak bagi mengekang kegiatan-kegiatan seperti itu di kalangan pegawai-pegawainya agar ia tidak berulang setiap tahun.

“Kita mahu melihat adanya tindakan terhadap mereka yang telah melakukan tindakan tindak betul dan tidak mengikut peraturan.

“Jika tindakan undang-undang tidak boleh diambil terhadap mereka, kita juga mahu tahu mengapa tidak. Kita mahukan setiap yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara itu ada kesudahannya supaya ia tidak berlaku lagi di masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengenai laporannya yang dibentangkan di Parlimen 7 September lalu.

Turut hadir di sesi berkenaan ialah wakil dari Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara.

Antara laporan itu yang menarik perhatian ramai ialah pendedahan mengenai pembelian 13 peralatan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga kerajaan menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ini termasuk pembelian dua menara kren pada harga RM5.72 juta, hampir dua kali ganda harga pasaran iaitu RM2.98 juta dan alat pengangkat kereta pada harga RM5,741 seunit (RM50 seunit pada harga pasaran).

Kementerian itu juga dilaporkan telah membayar RM181,900 untuk 17 set buku teknikal (RM10,700 satu set) sedangkan jika dibeli terus dari Dewan Bahasa dan Pustaka harga buku berkenaan hanyalah RM417 satu set.

Shahrir berkata, pihaknya akan memanggil wakil Kementerian Belia dan Sukan bagi menjelaskan laporan Ketua Audit Negara itu pada 4 Oktober depan.

“Selain isu IKBN, kita juga akan meneliti banyak lagi laporan ketua audit yang perlu diberi perhatian, termasuk isu pengagihan baja padi yang telah menjejaskan usaha meningkatkan pendapatan petani di luar bandar.

“Dalam hal ini kita tidak memilih. Sekiranya kita rasa sesuatu tidak kena berlaku, tidak kira ia membabitkan RM10 juta atau hanya beberapa ringgit, kita mesti teliti. Kerana itu, kita akan mengadakan mesyuarat lebih kerap, iaitu setiap dua minggu mulai hari ini,” tambahnya.

Jawatankuasa itu juga, katanya, mahu agar kawalan dalaman di setiap kementerian, jabatan dan agensi diperkukuhkan dengan memperkenalkan jawatan pegawai audit dalaman yang profesional bagi mengekang kegiatan-kegiatan yang boleh membazirkan wang kerajaan.

Untuk memastikan keberkesanan audit dalaman itu, beliau mencadangkan sesiapa sahaja yang menjawat jawatan itu tidak melapor kepada jabatan di mana mereka bertugas, tetapi mesti menjadi sebahagian daripada Jabatan Audit Negara.

Mangsa kebakaran perlu bantuan

Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Puan Siti Hajar Othman (warga emas)
Dr Hayati sampaikan bantuan kpd mangsa kebakaran
Pada jam 2.00 petang 26 September, di Kampong Baru Paya Mengkuang, Sempadan Kawasan Parlimen Jerai dan Pendang, berlaku kebakaran rumah warga emas Puan Siti Hajar Othman sehingga meranapkan sama sekali rumah dua tingkat.

Semasa kebakaran, Puan Siti Hajar tiada dirumah kerana menziarahi anaknya yang tinggal di Tunjang.

Rumah ini turut dihuni oleh anak beliau, Azahari Jaafar yang bekerja di Pulau Pinang. Ketika kebakaran hanya isteri Azahari dan anak mereka sahaja ada dirumah.

Punca kebakaran mungkin disebabkan litar pintas dari tingkat atas. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tetapi semua dokumen penting habis musnah dijilat api.

Puan Siti Hajar juga berniaga sambilan ditepi rumah beliau untuk menambah wang saku dengan menjual ABC dan cendol serta minuman dan makanan ringan lain.
Dengan linangan air mata beliau menceritakan kesukaran untuk menyambut Aidul Fitri dengan suasana rumah yang musnah dijilat api tersebut.

Diharap beliau tabah menghadapi ujian Allah dan bersabar diatas musibah ini.

Sesiapa ingin membantu membaikpulih rumah warga emas, Puan Siti Hajar bolehlah menghubungi
019-3363604