Pemuda terus desak Tubuh Suruhanjaya DiRaja siasat Klip Video

Pemuda Barisan Alternatif (BA) akan terus mendesak kerajaan sehingga bersetuju menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kesahihan dan kandungan klip video peguam kanan Datuk VK Lingam yang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Demo di Masjid Negara pada 28 Sept 2007
Klip video yang dikatakan bagi mengatur pelantikan hakim, didedahkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, Pemuda BA akan meneruskan program untuk mendesak kerajaan bagi menubuhkan suruhanjaya diraja melalui ceramah dan penerangan di seluruh negara.

Menurut Salahuddin yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS, penubuhan suruhanjaya diraja penting untuk membolehkan mereka yang terlibat dengan skandal tersebut dibawa ke muka pengadilan.
Demo di Masjid Negara pada 28 Sept 2007
“Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu bertindak segera kerana krisis kehakiman sudah mencapai tahap bahaya.

“Apa hendak jadi dengan negara kita jika sistem kehakimannya sama seperti di negara Amerika Latin,” katanya dalam satu perhimpunan di Masjid Negara Jumaat lalu.

Pemuda BA menolak penubuhan panel siasatan bebas kerana ia tidak mempunyai kuasa menjalankan siasatan penuh.

Minggu lalu Kerajaan mengumumkan melantik bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor untuk mengetuai panel bebas bagi menyiasat klik video tersebut. Dua lagi anggotanya ialah Pengerusi Majlis Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar. Kedua-duanya adalah bekas pesuruhjaya Suhakam.