Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua di atas kebenaran untuk sama-sama membincang tentang bajet yang telah dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini.
Saya ada dua, tiga perkara yang ringkas, insya-Allah untuk disebut di dalam Dewan yang mulia ini. Pertama sekali saya memulakan dengan sepotong ayat Al-Quran, daripada Surah Al-Hasyar, petikan daripada ayat yang ketujuh… [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Bermaksud supaya “Harta kekayaan jangan hanya beredar di kalangan orang-orang kaya di kalangan kamu semata-mata”.
Berdasarkan kepada ayat Al-Quran yang telah saya petik daripada Surah Al-Hasyar sekejap tadi, mengajar kepada kita supaya harta kekayaan tidak hanya tertumpu ataupun terlonggok hanya kepada golongan kaya.
Yang kedua, tidak dibenarkan sekali-kali golongan miskin hidup dalam sebuah negara yang kaya dalam keadaan hina-dina, seolah-olah tidak diberi jaminan tentang kehidupan mereka untuk masa kini dan seterusnya. Kita lebarkan sedikit daripada orang kaya kepada orang miskin, kita lebarkan bagaimana, kita melihat bahawa pembangunan di negara kita ini, ianya tertumpu
kepada pusat-pusat bandar di Kuala Lumpur, di Johor Bahru, di Ipoh dan lain-lain tempat.
Tetapi ianya tidak merata kepada seluruh negara yang pada pagi ini kita mendengar ucapan-ucapan dukacita, sedih dan berbagai-bagai lagi daripada penyokong-penyokong kerajaan sendiri khususnya daripada Sabah, dari Sarawak dan daripada Semenanjung yang melahirkan rasa tidak puas hati mereka tentang layanan kerajaan kepada negeri-negeri yang termundur, yang termiskin di negara kita ini.
Jadi, saya bersetuju dengan pandangan-pandangan ikhlas daripada sahabat-sahabat kita, daripada penyokong-penyokong kerajaan yang mengemukakan pandangan-pandangan tersebut kerana kita tidak mahu melihat bandar-bandar besar di negara kita ini begitu maju, begitu hebat, begitu terpesona, tetapi bila kita melihat kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia, kita nampak dengan jelas kemunduran menghantui kehidupan mereka. Kita ibaratkan negara ini sebagai satu jasad ataupun jisim manusia.
Kalau kita melihat daripada dada ke atas, kita dapat melihat bagaimana indahnya. Mukanya cantik, kepalanya cantik dan segala-galanya cantik. Kalau kita lihat daripada aras dada ke bawahnya terlalu buruk, terlalu hodoh, bagaimana? Sudah tentu kita tidak akan rela dengan keadaan sedemikian dan bagi kita sudah tentu kita akan jaga segala anggota yang ada pada kita.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula. Yang Berhormat bagi Pasir Mas. Yang Berhormat gulunglah.
Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sambung semula ucapan saya sekejap tadi. Saya bandingkan bahawa pembangunan negara mesti diseimbangkan di antara satu negeri satu wilayah dengan wilayah yang lain. Saya
bandingkan dengan satu jasad di mana jasad itu mesti diseimbangkan. Kita tidak boleh hanya semata-mata untuk memperelok di bahagian atas tanpa kita mengambil sikap sederhana kepada anggota-anggota kita yang lain. Kita mesti perelokkan semuanya.
Begitulah bandingan kalau dapat saya bandingkan bahawa negara kita ini kita berada dalam satu negara yang mesti kita lihat bahawa Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebagainya adalah dalam suatu ikatan, federation negara kita wang kita kuatkuasakan melalui undang-undang ikatan sosial yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara kita di mana pembangunan ini mesti diseimbangkan di antara satu sama lain dengan tidak memberi keutamaan kepada mana-mana pihak semata-mata.
Sebab itulah saya menyokong penuh ucapan yang telah dibuat oleh sahabat-sahabat sebelum daripada saya ini dan saya yakin bahawa suara-suara ini tidak akan kedengaran dalam sesi-sesi selepas daripada ini. Apa yang kita dengar sebenarnya seolah-olah baru hendak mula, 50 tahun kita merdeka baru kita hendak mula sekarang ini pembangunan-pembangunan kepada
wilayah-wilayah kita sama ada di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Teruskan membaca →
Filed under: ADR Pasir Mas, Ucapan | Leave a comment »