Dr Hayati: Jangan keliru dengan penghapusan yuran sekolah… kata Timbalan Menteri pelajaran

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya ruang untuk sama-sama membahaskan Bajet 2008. Seperti mana yang kita tahu dalam pembentangan Bajet 2008 yang akan menjanjikan sejumlah RM176.9 bilion di mana RM128.8 bilion untuk belanja mengurus dan RM48.1 bilion untuk pembangunan dengan defisit sebanyak 3.1% iaitu berkurangan daripada 3.2% pada tahun yang lepas.

Dan dengan pelbagai jenis insentif serta bantuan kepada rakyat yang memberikan gambaran bahawa kerajaan amat prihatin dalam membela golongan kurang berada setelah menerima tekanan rakyat dengan kenaikan harga minyak yang membebankan sebelum ini.

Walaupun kita telah mencadangkan agar yuran peperiksaan semua jenis dihapuskan termasuklah…, namun tahun ini barulah
kerajaan sedar bahawa golongan yang belajar agama juga perlu diberikan perhatian.

Penghapusan yuran persekolahan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Bajet 2008 rupa-rupanya hanyalah RM4.50 untuk sekolah rendah dan RM9.00 untuk sekolah menengah setahun ataupun RM0.38 dan RM0.75 untuk sebulan. Ini disahkan oleh kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran baru-baru ini yang menasihatkan ibu bapa supaya jangan terkeliru dengan penghapusan yuran persekolahan seperti disebut dalam Bajet 2008. Beliau dilaporkan berkata ibu bapa hendaklah memahami hanya yuran persekolahan itu sahaja dimansuhkan manakala bayaran lain tetap tidak berubah.

Ertinya ibu bapa tetap akan membayar ratusan ringgit untuk pelbagai yuran sekolah pada hari pertama persekolahan anak mereka nanti. Tuan Yang di-Pertua, umum mengetahui bahawa beberapa perancangan telah dibuat oleh kerajaan agar kekayaan negara dapat diagihkan kepada rakyat secara merata. Ini termasuk Wilayah Pembangunan Iskandar dan Koridor Utara yang telah dilancarkan pada 31 Julai yang lepas.

Walaupun Wilayah Pembangunan Iskandar yang akan dibangunkan dengan dua setengah kali keluasan negara Singapura, kita merasa hairan kenapa pada kali ini, ia diterima dengan senyuman oleh negara sekutu Israel itu walaupun sebelum ini ia sentiasa memberi masalah kepada Malaysia di dalam perundingan misalnya berhubung isu-isu penjualan air, tanah KTM di Singapura, kompleks CIQ, pengeluaran Caruman Kumpulan Simpanan Pusat (CPF) dan paling akhir adalah tentang jambatan bengkok.

Kenapakah kali ini Singapura agak seronok dengan cadangan Wilayah Pembangunan Iskandar ini? Apakah kerana segala insentif yang diberikan oleh negara ini memberi banyak peluang dan ruang kepada mereka mengembangkan sayap ke dalam negara ini dengan mudah dan direstui melalui kegiatan ekonomi dan perluasan wilayah secara tidak langsung dan terhormat. Contohnya sudah ada, lihatlah berapakah peratus pemilikan rumah di Johor Bahru yang dimiliki oleh warga Singapura terutamanya rumah-rumah mewah.

Rakyat merasakan insentif yang digariskan oleh Perdana Menteri seperti bebas untuk mendapatkan modal dari seluruh dunia, tiada had pengambilan pekerja warga asing, tidak tertakluk kepada syarat FIC dalam pemilikan ekuiti dan sudah pasti sekiranya free access zone yang dijanjikan kepada pemodal di Wilayah Pembangunan Iskandar ini tidak ditarik balik.

Maka wajarlah kegelisahan yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir itu akan berlaku. Nasib baik free access zone ini ditarik balik, kalau tidak sahabat Singapura dari Israel pun akan dapat tempat dan harta di wilayah Johor nanti.

Satu lagi kebimbangan yang ingin rakyat mendapat jawapan adalah apakah nanti syarikat Singapura atau lainnya tidak akan menjadi tuan di atas negara kita dan apakah peranan jawatankuasa peringkat menteri itu nanti dalam merunding hak mereka dalam mendapat peluang memiliki segala kekayaan di dalam negara.

Selain itu, apakah penjajahan ekonomi ini tidak akan menghalau rakyat dari tanah tumpah darah mereka. Apakah janji kerajaan seperti terkandung dalam Kanun Tanah Negara bahawa setiap tanah rizab Melayu dapat diganti dengan kadar yang sama akan dipatuhi kerana selama ini syarat ini tidak dipatuhi dan rakyat telah banyak kehilangan tanah mereka.

Tuan Yang di-Pertua, satu lagi bentuk pembangunan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri adalah NCER – Northern Corridor Economic Region pada 31 Julai 2007 meliputi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan juga Perlis. Rakyat di luar bandar memang sudah lama menanti pembelaan terhadap taraf hidup mereka. Rata-rata merasakan mungkin ini merupakan satu peluang untuk mereka menambah keselesaan hidup., Tidaklah seperti apa yang pernah berlaku di Pedu, terpaksa menjual kura-kura, dan di Baling terpaksa menjual tenggiling untuk mencari rezeki untuk hidup.

Dato’ Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Minta penjelasan.
Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Sila.
Dato’ Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Saya tertarik dengan Yang Berhormat kata terpaksa menjual kura-kura dan tenggiling untuk hidup. Adakah Yang Berhormat sendiri turun dan melihat kerajaan telah memberi bantuan dan segala-galanya kepadanya.

Namun, sebagai nak cari simpati lagi, sebenarnya dia bukan jual kura-kura, kura-kura itu lintas depan rumah dia, dia tangkap kura-kura itu. Digembar-gemburkan seolah-olah dia pergi cari kura-kura. Zaman la ni, kura-kura mana ada dah, kalau hidup atas kura-kura, tidak hidup dia.

Jadi kadang-kadang media dan juga mungkin digembar-gemburkan sebegitu rupa seolah-olah kerajaan Malaysia ini begitu zalim sampai orang kena cari kura-kura. Sedangkan orang yang cari kura-kura itu bukanlah teruk sangat, dia boleh kerja tapi dia penyegan dia tak mahu kerja. Jadi kalau boleh Yang Berhormat tidak usahlah guna itu, fasal negeri Kedah, saya berasa jugalah, Yang Berhormat pun dari negeri Kedah. Terima kasih.

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Jerai, ini yang dilaporkan di akhbar ya. Walau bagaimanapun kita ketahui bahawasanya dengan pelaburan sebanyak RM177 bilion dalam jangka waktu sehingga tahun 2025 meliputi kawasan seluas 8,000 hektar. Di mana 167,598 hektar yang merupakan 64% adalah kawasan pertanian padi di Semenanjung Malaysia. Apakah kesan pembangunan ini akan dapat dirasai oleh rakyat marhaen sehingga tahun 2025?

Rakyat telah banyak melihat hak dan tanah mereka sudah hilang tetapi hidup mereka masih lagi dihimpit masalah. Satu persatu keluasan tanah diambil dan dipindah milik menjadi hak orang lain di negeri Kedah, contohnya.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Yusof bin Yacob) mempengerusikan Mesyuarat]
Misalnya di Tandok, di Alor Mengkudu, Derga, Alor Malai, Simpang Ampat,, Mergong, Kuala Sungai dan banyak lagi. Kini setelah kerajaan melancarkan NCER dan mengharapkan hasil padi akan bertambah menjadi 10 tan satu hektar dan mencapai tahap kecukupan beras negara 90%. Bagaimanakah akan dapat nanti dengan sedikit demi sedikit keluasan tanah ini dikurangkan tahun demi tahun menjadi hutan batu tanpa menambah keluasan tanah tersebut.

Di dalam blue print NCER ada disentuh tentang 1,000 hektar tanah terbiar yang akan dibangunkan untuk projek pertanian. Kita alu-alukan langkah ini, tetapi janganlah dikecilkan kawasan pertanian yang sedia ada dan mendapat hasil yang agak lumayan sekarang ini. Salah satu contohnya adalah di kawasan Parlimen Jerai sendiri iaitu di zon industri petroleum Yan iaitu lebih kurang 3,000 ekar ataupun 4,500 relung merupakan kawasan padi yang baik dan menghasilkan padi yang lumayan untuk rakyat, tetapi akan dijadikan kawasan industri petrokimia untuk disalurkan ke Bachok.

Apa yang malang lagi kawasan penapisan minyak dan industri petroleum ini akan dijalankan oleh syarikat swasta dengan kerjasama luar daripada Iran, China dan Arab Saudi. Kenapakah syarikat minyak Petronas awal-awal lagi mengatakan mereka tidak berminat untuk projek ini. Kajian daripada OSK International menunjukkan bahawa perjalanan minyak dari Selat Melaka lebih menguntungkan berbanding kalau dibuat melalui jalan darat dari Yan ke Bachok. Sila.

Dato’ Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Terima kasih Yang Berhormat daripada Pendang. Yang Berhormat sedia maklum zon perindustrian minyak yang akan insya- Allah akan dibina di Yan ini. Pertamanya akan memberi satu nafas baru dari segi pertumbuhan ekonomi bagi rakyat dalam kawasan Parlimen saya itu. Keduanya juga pertumbuhan ekonomi bagi negeri Kedah yang hari ini mungkin berada dalam keadaan, ya lah, kita tanam padi, kita tak boleh tanam kelapa sawit, jadi kita tidak dapat apa-apa. Kita berkorban untuk rakyat Malaysia.

Kajian yang telah dibuat bahawa bukan semua rakyat di kawasan Sungai Limau itu akan terlibat dan mereka ini akan diberi penempatan semula, diberi kawasan yang baik, welfare mereka dilihat dan juga mereka yang hilang mata pencarian akan diberi pekerjaan, alternatif kepada mereka dan ini akan membangunkan negeri Kedah. Adakah Yang Berhormat tidak mahu melihat Kedah membangun? Dan kawasan Yang Berhormat pun sempadan kawasan saya dan kita lihat petani-petani yang tua-tua ini pun dah tak berapa menang dah, tak larat dah.

Jadi mungkin dengan adanya kawasan perindustrian minyak ini, pertamanya ia akan membangun dan merubah corak macam di Kerteh, Terengganu; yang dulunya rakyat susah. Hari ini Petronas membina loji minyak di situ, hari ini rakyat kawasan itu telah hidup dalam keadaan yang selesa dan menguntungkan mereka sendiri. Jadi apakah Yang Berhormat tidak bersetuju dengan cadangan yang begitu baik untuk negeri Kedah Darul Aman?

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Yang Berhormat Jerai. Kita tidak menghadapi masalah dengan industri petroleum ini, tetapi kalau dengan adanya industri petroleum menyebabkan 4,500 relung kawasan bendang ini akan terhapus menjadi kawasan, itu yang menjadi masalah. Sebab ada satu lagi berita yang mengatakan, saya hendak tanya kepada kementerian, adakah ini benar ataupun tidak? Berita mengatakan bahawa projek penapisan minyak ini juga akan dibangunkan oleh Syarikat Al-Bukhari iaitu milik jutawan Syed Mokhtar yang melalui Kuala Jerlun menuju ke Bukit Kayu Hitam seterusnya menghala ke Songkhla dan seterusnya ke Kelantan yang tanahnya telah diberikan oleh PKNK dengan harga RM0.20 satu kaki persegi.

Apakah berita ini benar ataupun tidak? Kalau sekiranya ini benar, maka saya rasa ini lebih membela rakyat daripada mengambil tanah sawah mereka di Yan, kita gunakan tanah kawasan ladang di Bukit Kayu Hitam daripada di Yan. Itu persoalan yang saya kemukakan kepada kementerian. Sebab saya pernah bertanya soalan berhubung dengan ZP ini kepada Perdana Menteri dalam sidang sebelum Dewan berhenti rehat 10 Julai yang lepas. Perdana Menteri mengatakan kerajaan masih mengkaji projek ini tetapi sebenarnya ia telah pun diluluskan oleh kerajaan pada 3 Januari 2007 walaupun laporan EIA masih belum diperolehi pada ketika itu.
Kita tahu kesan-kesan daripada industri …

Dato’ Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Penjelasan Yang Berhormat, boleh bagi penjelasan sedikit?
Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Sikit saja.
Dato’ Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Fasal ini melibatkan kawasan Parlimen saya Tuan Yang di-Pertua. Jadi kalau boleh Yang Berhormat kena faham kena faham. Walaupun diluluskan, tetapi kerajaan tidak akan – ini setahu sayalah – mengeluarkan projek tersebut selagi kelulusan daripada pihak EIA tidak dapat. Ini kerana kerajaan mementingkan kehidupan rakyat daripada pertumbuhan ekonomi.

Namun, kalau EIA tidak ada halangan dan kelulusan diberi, persetujuan dia dapat maka sudah tentu kita akan menjalankan projek ini untuk kesejahteraan negeri Kedah. Walaupun ia lulus pada dasarnya, tetapi pada pandangan saya, setahu saya masih lagi menunggu kelulusan daripada EIA untuk mereka mengeluarkan pelaburan mereka itu. Terima kasih Yang Berhormat.

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih kepada Jerai yang telah membantu saya mendapatkan penjelasan. Kita tahu bahawasanya kebanyakan projek-projek yang dirancang di dalam NCER ini melibatkan pertanian. Sebab kawasan utara merupakan
keluasan tanaman padi yang luas mewakili periuk nasi negara kita ini. Kerajaan ada memberikan janji kepada petani untuk mendapat pendapatan yang lebih melalui apabila terlaksana NCER ini. Kita tahu sektor pertanian juga merupakan sektor yang sangat-sangat memerlukan pembangunan insan, dari ladang ke kilang, ke meja penyelidikan dan ke sektor pasaran.

Sektor pertanian negara masih lagi berintensif buruh baik industri kelapa sawit mahupun sayur-sayuran. Salah satu faktor yang menyebabkan intensiti penggunaan buruh yang tinggi adalah kerana kekurangan tenaga terlatih dalam bidang kejuruteraan pertanian, bioteknologi pertanian dan pengendalian pasca tuai yang moden dan berteknologi tinggi.

Contohnya dalam industri sawit misalnya, bergantung kepada buruh murah yang tiada kemahiran untuk menampung kos pengeluaran. Kita masih belum ada mesin untuk memetik buah kelapa sawit dari atas pokok. Perkara yang sama diperhatikan di dalam pengeluaran sayur-sayuran. Kemajuan bagi teknologi yang meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan dan pertanian berkembang di seluruh dunia. Di negara kita teknologi ini hanya menjadi ujian penyelidikan atau saintifik di makmal di universiti, ia belum sampai ke ladang dengan sepenuhnya kepada pekebun, pengusaha dan peniaga dengan pesatnya.

Begitu juga dengan industri bioteknologi, ia berfungsi terus kepada sains dan teknologi, bermakna industri ini dipandu oleh tenaga mahir dalam bidang ini. Industri ini bukan hanya memerlukan saintis untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan R&D yang ditetapi pengusaha dan pengeluar yang terlatih dalam bidang ini amat diperlukan untuk menggerakkan industri ini. Kerajaan telah memperuntukkan dana untuk memajukan tanaman hortikultur, herba dan juga rempah. Peruntukan disediakan untuk menerokai industri baru seperti minyak kelapa dara, nira nipah dan juga kambing boer.

Satu komoditi yang saya fikirkan perlu diberi perhatian adalah tanaman kopi. Ia merupakan nilai dagangan kedua terbesar dunia selepas petroleum juga merupakan tanaman yang mudah tumbuh di kawasan koridor utara ini seperti di Sik dan juga Baling. Dengan kajian benih dan spesies yang bermutu mungkin ia akan mendatangkan hasil yang lumayan kepada petani-petani di kampung-kampung. Bagaimanapun pembangunan industri baru memerlukan sokongan awalan kerana risiko pengeluaran dan pemasaran adalah terlalu tinggi.

Pasaran kepada herba dan rempah masih lagi tidak menentu dan persaingan daripada pasaran luar negara adalah juga cukup tinggi. Insentif kewangan perlu disediakan untuk membantu pengusaha ini meminimumkan risiko pengeluaran dan pemasaran.

Pada masa yang sama R&D ke atas keluaran ini perlu dipertingkatkan untuk memastikan nilai tambah yang mencukupi. Keputusan untuk membangun sektor ternakan juga diterima dengan baik namun isu asas industri ini perlu diberi penekanan yang tegas terutama isu penggantungan industri ini kepada import bahan makanan dan juga ternakan hidup.

Pergantungan kepada input yang diimport adalah faktor utama yang menyebabkan Malaysia tidak mampu untuk mengeluarkan daging lembu, kambing dan juga keluaran tenusu. Isu ini harus ditangani untuk meningkatkan daya saing industri ini.

Kita merasa begitu senang apabila melihat dalam TV hari ini apabila Menteri Pertanian telah pergi ke Indonesia dan berusaha untuk menanam jagung untuk makanan haiwan ini dan kita harap usaha ini akan juga dibangunkan di negara kita. Seperti mana yang disiarkan oleh surat khabar dua, tiga hari lepas tentang Sime Darby telah menanam jagung di kawasan Bukit Kayu Hitam.

Saya dapati jagung ini terlalu mahal iaitu RM2 satu tongkol, jadi kalau jagung begini yang hendak dijadikan makanan haiwan ianya tidak sesuai untuk perusahaan penternakan dalam negara kita ini.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Gulung Yang Berhormat, gulung.

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Sikit lagi, sikit lagi. Malaysia juga bercadang untuk merintis pengeluaran baja, teknik fertigasi pengeluaran, mekanisasi dan automasi. Pernyataan polisi ini sudah lama dinanti-nantikan kerana mekanisasi dan kaedah pengeluaran perkebunan di Malaysia masih terkebelakang kalau dibandingkan dengan Thailand.

Namun tiada insentif yang disediakan untuk menggalakkan firma swasta mencari alternatif kepada penggantungan tenaga buruh murah yang tidak terlatih dari luar negara. Di kala ini tiada polisi yang menghalang firma atau syarikat pertanian daripada menggunakan buruh murah dari luar negara yang hanya memiliki kudrat tetapi tanpa mempunyai kemahiran.

Buruh murah ini diperlukan untuk memastikan tahap keuntungan yang mencukupi. Mungkin beberapa polisi fiskal seperti insentif diperkenalkan untuk mengelakkan syarikat perladangan ini bergantung kepada buruh asing dan pada masa yang sama memberi insentif ke arah mekanisasi dan automasi. Infrastruktur pertanian seperti jalan penghubung yang masih menggunakan jalan tanah merah dan juga berselut dan berlubang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Banyak jalan-jalan pertanian masih lagi belum diberi penurapan dan saya rasa ini telah banyak kali disentuh oleh ramai wakil-wakil rakyat dan saya harap ini juga perlu diberi perhatian di dalam NCR ini.

Salah satu daripada masalah yang dihadapi oleh rakyat ataupun petani adalah permohonan mereka untuk mendapat sokongan daripada wakil-wakil rakyat. Saya membawa satu borang permohonan pada hari ini daripada seorang pengusaha kopi. Dia membuat kopi, memerlukan sokongan daripada Ahli Parlimen dan apabila saya telah menandatangani program ini apabila sampai kepada pegawai pertanian, pegawai pertanian menolak kerana dia mengatakan ia daripada wakil rakyat pembangkang tetapi apabila saya lihat di sini di Bahagian 6 dinyatakan sokongan oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen.

Kenapakah pegawai itu mengatakan saya tidak layak untuk memberi sokongan kepada permohonan yang diminta kerana di kawasan saya memang tidak mempunyai Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional memang saya menjadi Ahli Parlimen di kawasan tersebut. Jadi saya harap penjelasan daripada pihak kementerian perlulah diberikan terhadap borang permohonan individu.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Ya, cukuplah.
Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Projek pemprosesan program mempelbagaikan dan menambah pendapatan petani, penternak dan nelayan. Borang ini tidak pun dikomen oleh pegawai yang menerima, dia terus mengatakan tidak boleh. Dia kata pergi
jumpa dengan Yang Berhormat Datuk Rozai ataupun Yang Berhormat Suraya. Dengan itu saya ucapkan terima kasih.
———————
Perbahasan Bajet pada 24 Oktober 2007

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: