Soalan MP PAS – 30 Oktober 2007

Soalan Jawab Lisan

  • Soalan No. 7 – Tuan Haji Ismail Bin Noh [ Pasir Mas ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah Kerajaan sedar bahawa penguasaan J-Qaf tulisan dan bacaan jawi makin pupus di kalangan generasi muda Melayu di negara kita, dan adakah wujud usaha-usaha lain selain J-Qaf yang diperkenalkan itu.
  • Usul dan Rang Undang-Undang

  • Rang Undang-undang Perbekalan 2008 – Menyambung semula Perbahasan atas masalah, “ Bahawa Rang Undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang ”. (22 Oktober 2007) DAN
    Usul dibuat oleh YAB Menteri Kewangan dan masalah dicadangkan:
    “ Bahawa Dewan ini, mengikut seksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan iaitu satu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada empat puluh lapan billion satu ratus lapan belas juta dua ratus enam puluh sembilan ribu ringgit (RM48,118,269,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2008, dan bagi tujuan-tujuan dan butiran-butiran perbelanjaan pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Bajet Persekutuan 2008, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 13 Tahun 2007, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan lapan dan sembilan senarai tersebut. ”
  • Dr Mashitah ‘dibelasah’ Ahli Parlimen DAP (Kuching)

    Sidang Dewan yang agak hambar hari ini pada awalnya bertukar menjadi ‘kecoh’ apabila Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim dikritik kerana gagal menjawab soalan dengan tepat dan mengundang kemarahan ahli parlimen DAP.

    Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen yang sebelum ini mengemukakan pertanyaan kepada Perdana Menteri tentang berapakah jumlah peruntukan untuk ahli Parlimen bagi kawasan Parlimen Bandar Kuching dalam tahun 2003 hingga 2007 yang telah dipohon dan dikeluarkan termasuk senarai kos projek dan badan yang telah menerima peruntukan tersebut dan jumlah masing-masingnya.

    Namun setelah Mashitah menjawab, Chong Chieng membidas dan merasa kecewa kerana soalan yang ditanya tidak dijawab dengan betul, sekadar secara umum malah tanpa butiran terperinci seperti yang diminta.

    Jawapan Mashitah ini dilihat seolah-olah cuba mengelak daripada memberi jawapan secara terperinci, katanya.

    “Siapakah penerima peruntukan? Saya minta satu senarai. Saya difahamkan setiap ‘state development officer’ negeri mendapat peruntukan untuk pembangunan rumah RM3 juta dan adakah peruntukan di Bandar Kuching disalurkan?” katanya yang tidak berpuasa hati dengan penjelasan Mashitah.

    Mashitah yang kemudiannya menjawap bahawa beliau akan memberi jawapan bertulis kepada soalan tersebut dan turut menafikan dakwaan tentang peruntukan pembangunan perumahan yang disebut oleh ahli parlimen DAP itu.

    Chong Chieng kemudian bingkas bangun dan menyatakan rasa kesangsiannya bagaimana Mashitah boleh menafikan dakwaannya sedangkan beliau sendiri tidak memberi jawapan secara tepat.

    “Tanpa membuat sebarang siasatan, YB kata saya salah tentang peruntukannya RM 3 juta, jika salah apakah angka sebenarnya?” soal beliau lagi yang mahu penjelasan.

    Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Chong Eng yang turut mencelah kesal kerana setiap kali soalan ditanya lazimnya dijawab secara ringkas dan seolah-olah menyembunyi sesuatu.

    “Saya hairan mengapa tidak ada jawapan, kerana soalan telah diberikan beberapa bulan lalu sampai sekarang tak boleh beri senarainya?” kata Chong.

    Suasana dewan menjadi sedikit hingar-bingar apabila kedua-dua pihak ahli parlimen kerajaan dan pembangkang cuba meluahkan rasa tidak puasa hati atas situasi yang berlaku yang kemudiannya cuba ditenangkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib.

    Speaker tegur ramai Ahli tidak hadir sidang

    KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib hari ini menegur ketidakhadiran beberapa anggota Parlimen untuk mengemukakan soalan pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

    Beliau membuat teguran itu kira-kira pukul 11 pagi selepas anggota Parlimen dari Sungai Petani Datuk Mahadzir Mohd Khir tidak hadir untuk mengemukakan soalannya.

    “Yang tak hadir kena rekod. Banyak sangat yang tak hadir hari ini,” katanya.

    Terdahulu, soalan pertama dari Datuk Tengku Putera Tengku Awang (BN-Hulu Terengganu) dan soalan keenam dari Tuan Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang) juga tidak dikemukakan berikutan kedua-duanya juga tidak hadir.

    Pada sesi hari ini, didapati semua Ahli Parlimen BN dari Terengganu dan Kelantan tidak hadir. Hanya Haji Ismail Noh ( PAS – Pasir Mas) tidak hadir di Dewan Rakyat.

    Manakala Ahli Parlimen PAS Kelantan terdiri daripada Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Dato’ Kamarudin Jaffar (Tumpat), Dato Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa) dan Haji abdul Fatah Haron (Rantau Panjang) hadir pada sidang Parlimen walaupun turut dijemput hadir pada majlis pelancaran Wilayah Koridor di Kota BHaru petang ini.

    Bahkan Abdul Fatah Haron turut membahaskan Bajet 2008 pada sesi sebelah petang.

    Selepas itu, empat lagi soalan secara berturut-turut tidak dikemukakan kerana ketidakhadiran anggota Parlimen yang berkenaan.

    Sementara itu, ketika ditemui kemudiannya, Ramli berkata persidangan Dewan Rakyat boleh diteruskan kerana ketidakhadiran beberapa anggota Parlimen tidak menjejaskan perjalanan sidang itu.
    Katanya keadaan sebegitu berlaku pada masa-masa tertentu kerana anggota Parlimen yang tidak hadir berkemungkinan mempunyai sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

    “Mereka mungkin mempunyai sebab seperti berada di luar negara atau sebagainya. Buat masa ini, saya tidak boleh komen sebab kita masih belum tahu alasan mereka tidak dapat hadir untuk menyoal (kemukakan soalan).

    “Kita akan rekod. Kalau misalnya tidak ada alasan yang baik, pada masa hadapan kita akan pertimbangkan tentang soalan mereka (yang akan dikemukakan),” katanya selepas menerima kunjungan Speaker Parlimen Sri Lanka WJM Lokubondera di pejabatnya di bangunan Parlimen.