Soalan MP PAS pada 31 Oktober 2007

Soalan Jawab Lisan

  • Soalan ke 14 – Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Setiausaha Suruhanjaya Pilihan raya sekarang melakukan tindakan yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila menyatakan bahawa mana-mana pengundi yang masih menggunakan kad pengenalan lama tidak akan dibenarkan mengundi.
  • Soalan ke 16 – Tuan Haji Ismail Bin Noh [ Pasir Mas ] minta PERDANA MENTERI menyatakan bilakah Kerajaan akan menyelaraskan perlaksanaan Syariah Muamalah dan Syariah Jenayah supaya ianya dapat diseiringkan.
  • Rang Undang dan Usul

  • Rang Undang-undang Perbekalan 2008 – Menyambung semula Perbahasan atas masalah, “ Bahawa Rang Undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang ”. (22 Oktober 2007) DAN
    Usul dibuat oleh YAB Menteri Kewangan dan masalah dicadangkan:
    “ Bahawa Dewan ini, mengikut seksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan iaitu satu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada empat puluh lapan billion satu ratus lapan belas juta dua ratus enam puluh sembilan ribu ringgit (RM48,118,269,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2008, dan bagi tujuan-tujuan dan butiran-butiran perbelanjaan pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Bajet Persekutuan 2008, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 13 Tahun 2007, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan lapan dan sembilan senarai tersebut. ” (Peringkat Menteri/Timbalan Menteri Mengulung
  • Salahuddin sempat mencelah isu Kehakiman

    Dato Halim: Jenayah meningkat… PM lemah…

    Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga suka mengambil bahagian dalam ucapan bajet ini. Oleh kerana Yang Berhormat Papar telah menyentuh mengenai projek angkasa, saya ingin menyambung dalam projek angkasa lepas ini.

    Walaupun kita berbangga dan mengucap syukur di atas kejayaan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang telah pun berjaya ke ISS dan kembali ke bumi, tetapi projek angkasa lepas selepas ini perlu diteliti dengan baik.

    Apabila ditanya kepada Perdana Menteri, Perdana Menteri menjawab bahawa beliau akan meneliti dengan sebaik-baiknya. Jadi saya ingin Kerajaan Malaysia supaya projek angkasa ini diteliti dengan baik. Bagi saya perlu kerajaan memperkukuhkan ataupun perkasakan infrastruktur projek angkasa. Seperti menghantarkan Sputnik dan pembina-pembina yang lain.

    Contoh seperti Jepun. Jepun tidak pernah hantar angkasawan, China tidak pernah lagi hantar angkasawan, tetapi mereka menghantarkan Sputnik-sputnik untuk membuat kajian di angkasa lepas tentang perkara-perkara yang perlu. Apa yang dapat dibuat oleh Sputnik ini bukan sahaja tidak perlu kepada manusia, tetapi lebih berjaya mengikut laporan-laporan daripada Jepun dan juga daripada China.

    Jadi begitu juga saya ingin menyatakan, saya mengucapkan tahniah kepada menteri yang bertanggungjawab tentang sains dan teknologi ini iaitu Yang Berhormat Dato’ Seri Jamaludin Jarjis yang mengatakan akan mempertimbangkan perkara yang lebih penting. Iaitu dalam masa 10 tahun lagi sebagaimana jawapan Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan bahawa sumber-sumber minyak dan juga gas akan berkurangan dan mungkin 10 tahun lagi kita terpaksa import. Ini akan membebankan tarif-tarif dan juga pengguna-pengguna di dalam Malaysia.

    Jadi Dato’ Seri Jamaludin mengatakan kita akan pertimbangkan dan satu kertas kepada Kabinet akan dikemukakan pada awal tahun depan. Seperti Iran, Iran dalam masa 15 tahun lagi akan berkurangan minyak, sebab itu ia telah mengaktifkan usaha-usaha untuk mengeluarkan tenaga nuklear untuk jana kuasa air dan sebagainya. Ini ditentang oleh Amerika.

    Jadi saya menyokong penuhlah, kalau Yang Berhormat Dato’ Seri Jamaludin Jarjis dapat mengemukakan kepada Kabinet untuk masa depan bagi menggantikan tenaga bakar ini.

    Tuan Yang di-Pertua, saya berbalik kepada SME ataupun syarikat menengah kecil ini. Di Malaysia terdapat lebih daripada 516,000 syarikat-syarikat menengah kecil ataupun SME yang
    sangat berperanan dalam membangunkan ekonomi negara. Ia merupakan sektor ekonomi yang menyediakan 3.4 million atau juta peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

    65.1% disumbangkan oleh sektor swasta bagi SME ini. Cuma 1.6% sahaja disumbangkan oleh syarikat-syarikat berskala besar. SME-SME ini juga menyumbangkan aktiviti tambah nilai sebanyak RM150 bilion pada tahun 2005, yang merupakan tulang belakang ekonomi negara dan
    menyediakan peluang pekerjaan untuk menyara hidup rakyat ataupun pekerja Malaysia.

    Jadi sekarang ini dalam jawapan Setiausaha Parlimen kepada soalan Dato’ Lim Bee Kau, Padang Serai, Yang Berhormat menjawab hanya bahagian-bahagian aktif sahaja. Jadi daripada 519,000 ini, saya hendak minta penjelasan daripada kerajaan, berapa jumlah syarikat yang berdaya maju? Berapa yang kurang berdaya maju dan berapa yang tidak langsung berdaya maju mengikut sektor?

    Di Jepun, 80% daripada ekonomi Jepun dikendalikan oleh SME ataupun syarikat menengah kecil ini.
    Teruskan membaca

    Dato Kamarudin: Terengganu negeri kedua isi rumah termiskin, jawab Kerajaan kepada Wakil BN Kuala Nerus

    Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bercakap tentang perbahasan Rang Undang-undang Belanjawan 2008 ini dengan bercakap ringkas sahaja.

    Saya mendapati bahawa ucapan-ucapan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat daripada dua-dua pihak adalah amat baik sekali, mengandungi cadangan-cadangan, fakta-fakta, rintihan-rintihan
    yang amat baik sekali yang saya harap pihak kerajaan akan mengambil masa dan memberikan sedikit tumpuan supaya masalah-masalah rakyat yang disebutkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sebelum ini dapat dijelaskan dengan sebaik-baiknya.

    Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mulakan hanya dengan membaca jawapan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada satu soalan lisan yang bertarikh 3 September 2007, hari Isnin yang tidak dapat dijawab oleh sebab-sebab teknikal masa dan oleh kerana keputusan dan
    cadangan Tuan Yang di-Pertua, antaranya supaya mencetak soalan-soalan yang tidak dijawab
    dengan jawapan-jawapannya sekali, maka saya terbaca dan ianya diletakkan soalan yang
    terakhir bernombor 28 pada 3 September itu.

    Soalannya datang daripada Yang Berhormat kita daripada Kuala Nerus kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan soalannya minta menyatakan bilangan terakhir rakyat termiskin mengikut kaum dan negeri dan soalan seterusnya setakat manakah kejayaan strategi
    kerajaan membasmi kemiskinan di kalangan rakyat termiskin dan apakah strategi kerajaan untuk mencapai matlamat miskin sifar.

    Jawapan daripada pihak Jabatan Perdana Menteri berbunyi berikut, “Berdasarkan pendapatan garis kemiskinan yang baru dan perangkaan daripada penyiasatan pendapatan isi rumah terkini tahun 2004, bilangan isi rumah termiskin adalah berjumlah 67,300 isi rumah.

    Pecahannya mengikut negeri adalah seperti turutan berikut. Mengikut negeri yang paling banyak keluarga isi rumah yang termiskin, nombor 1 yang termiskin ialah negeri Sabah dengan 32,400 isi keluarga; nombor 2, Terengganu dengan 8,300 isi rumah yang miskin…”

    Nombor 2, Terengganu, patutlah Yang Berhormat bagi Kuala Nerus ingin tahu dan saya mengucap syabas kepadanya kerana minat untuk mengetahui, khususnya kedudukan negeri Terengganu.

    “Nombor 3, negeri Perak, 5,700 isi rumah yang miskin; nombor 4, negeri Sarawak, 5,200 isi rumah yang miskin; nombor 5, negeri Kedah, 5,000 isi rumah yang miskin; nombor 6 barulah dicapai oleh negeri Kelantan, kalau Kedah 5,000, Kelantan 3,600 isi rumah miskin…”

    Kemudian, “Nombor 7, Pahang; nombor 8, Johor; nombor 9, Perlis; nombor 10, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur; nombor 11, Selangor, nombor 12, Negeri Sembilan; nombor 13, Melaka; dan nombor 14, Pulau Pinang.”

    Jadi ini, Tuan Yang di-Pertua, adalah hakikat yang amat penting untuk seluruh kita faham dan mengetahui dan untuk pihak kerajaan terutamanya mengambil tindakan yang besar dan yang penting untuk mengelakkan supaya berlaku kemiskinan isi rumah, kemiskinan tegar dan sebagainya.
    Teruskan membaca

    ..tidak semudah menuduh PAS menolak sekolah Kebangsaan.. ucap Dato’ Kamarudin

    Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ringkas sahaja untuk Yang Berhormat bagi Rembau.

    Ekoran daripada soalan daripada Yang Berhormat bagi Cameron Highlands yang memberi gambaran bahawa setengah-setengah orang-orang Melayu menganggap bahawa sekolah kebangsaan tidak cukup Islamic dan saya yakin yang mungkin cenderung difahamkan dengan “setengah-setengah Melayu” itu daripada Kelantan, Kedah, Terengganu, Perlis dan sebagainya.

    Tetapi yang saya hendak tanya Yang Berhormat bagi Rembau ini, tidakkah faktanya yang memulakan dan membesarkan tradisi sekolah-sekolah Islam di luar sekolah kebangsaan ini di negeri Johor yang mempunyai banyak sekolah agama ini.

    Johor yang memulakannya dan tradisi besarnya yang memberi gambaran bahawa sekolah kebangsaan tidak lengkap dari sudut Islam. Bukan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis yang mendahuluinya.

    Jadi adakah tidak semudah itu saya pohon pandangan Rembau mengambil tafsiran Cameron Highlands dan kita kaji lagi apa yang sebenarnya masalah supaya tidak semudah kita menuduh bahawa PAS sahaja yang menolak sekolah kebangsaan ataupun orang-orang yang berminat tinggi tentang Islam sahaja yang menolak sekolah kebangsaan, tetapi tidak semudah itu sebenarnya.

    Dato’ Firdaus bin Harun [Rembau]: Terima kasih, saya tidak ada bangkitkan soal tuduhan PAS tadi. Tidak ada pun, boleh cek apa yang saya ucapkan tadi. Jadi hendak menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh soal persepsi sahaja dan perkara ini telah ditandatangani oleh Kementerian Pelajaran dengan Program j-QAF iaitu Quran, Bahasa Arab, Fardu Ain dan sudah pun bermula dua, tiga tahun lepas.

    Dalam masa yang sama juga untuk menjadikan sekolah kebangsaan tadi betul-betul sekolah aliran perdana, pengajaran Bahasa Tamil dan juga Mandarin telah pun dimulakan. Pada tahun ini di 70 buah sekolah tidak salah saya projek perintis cuma yang saya hendak tahu tadi kesannya setakat ini bagaimana.

    Tuan Yang di-Pertua, jadi sebab itulah kalau boleh saya mencadangkan supaya pemantauan yang berkala dilakukan oleh pihak kementerian terhadap usaha-usaha yang dilakukan ini supaya dengan itu kita akan dapat memupuk perpaduan negara di peringkat yang lebih awal dengan kos yang lebih efektif. Perkara kedua yang saya hendak sebut ialah soal sekolah-sekolah kurang murid dan sekolah-sekolah yang muridnya kurang daripada 50 orang murid, ada 2,529 buah sekolah.
    (29 Oktober 2007)

    Dato halim: Rakyat Malaysia memilih kerja, kata Menteri dan….

    Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Apabila perkara ini bangkit di Parlimen, Menteri Sumber Manusia, termasuk timbalannya menjawab bahawa rakyat Malaysia ini manja, memilih kerja dan sebagainya, sedangkan kementerian tidak ada jalan untuk memulihkan ini sehingga security guard sendiri dimonopoli oleh security company yang semuanya boleh dikatakan bumiputera, sekarang ini berganti dengan Bangla.

    Apa pandangan Puchong?
    Tuan Lau Yeng Peng [BN Puchong]: Kalau katakan tidak ada cara untuk menyelesaikan itu tidak betullah. Barisan Nasional sudah diberikan mandat lebih daripada 50 tahun, saya ingat memang keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional memang ada.

    Mungkin pada masa sekarang ini kita mengalami suatu keadaan yang sedikit kepincangan, yang kita perlu untuk merancang strategi yang berlainan sejajar dengan perubahan-perubahan masa yang sedang berlaku.

    Tuan Yang di-Pertua, satu lagi contoh yang ingin saya bangkitkan di sini ialah kalau lihat surat khabar hari ini lebih daripada 10,000 pekerja asing telah membanjiri stesen-stesen minyak. Bukankah suatu masa dahulu kita dengar ada satu dasar bahawa stesen minyak ini self service.

    Di manakah dasar self service ini? Lebih daripada 10,000 di stesen minyak di sini! Bagaimana kalau kita hendak mengadakan self service sejajar dengan negara maju, di mana kita akan mendidik rakyat kita supaya lebih berdisiplin, lebih berpelajaran tinggi dan mempunyai nilai-nilai
    murni yang tinggi, tetapi kita menggunakan pekerja-pekerja asing di sini.

    Satu perkara yang saya sangat bimbang, yang tadi saya tidak sambung dalam perbahasan saya iaitu mengenai sektor-sektor tertentu. Hari ini kalau kita lihat di hotel-hotel dan restoran-restoran tertentu, bolehkah kita tengok seorang anak tempatan menjadi waitress atau menjadi pelayan? Kebanyakannya telah dibanjiri oleh pendatang asing.

    Saya tidak menyatakan bahawa saya menyekat ataupun membantah bahawa kita tidak akan memberi peluang kepada orang-orang asing untuk mencari rezeki di negara kita ini. Saya welcome. Saya mengalu-alukan tetapi dengan satu sistem atau satu dasar, kontrol secara progressively, dengan izin.

    Itulah cara yang baik sekali. Kalau ini berlaku, seperti yang saya nyatakan tadi, saya merasa bimbang bahawa peluang anak-anak muda kita kerana dalam sektor ini, permintaan kemahiran untuk mengendalikan sesebuah restoran atau sesebuah hotel ini kemahirannya tidak tinggi, mengapa kita tidak berikan peluang kepada anak-anak tempatan kita?

    Mereka yang lepasan SPM dan lepasan STPM yang mungkin tidak ada peluang ataupun tidak ingin melanjutkan pelajaran lagi, kita latih mereka di peringkat ini.

    Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan sahabat saya Yang Berhormat bagi Puchong. Berdasarkan kepada hujah-hujah dan kes-kes yang telah kita dengar sebentar tadi, baik daripada pembangkang dan pihak kerajaan sendiri yang pernah juga saya membawa usul di dalam Parlimen ini, tetapi malangnya ditolak.

    Bersetuju atau tidak dengan pandangan saya bahawa it is very timely, dengan izin. Sudah masanya kerajaan membentangkan satu kertas putih tentang dasar pekerja asing dalam negara kita dan tahap ini sangat kritikal dan kita perlu kepada satu keputusan yang jelas
    tentang masa depan negara kita terhadap dasar pekerja asing ini.

    Setuju atau tidak, sahabat saya dari Puchong?
    Tuan Lau Yeng Peng [Puchong]: Saya setuju apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat dari Kubang Kerian iaitu sekarang ini adalah timing atau masa yang paling tepat sekali. Ini juga apa yang dinyatakan oleh beberapa orang Yang Berhormat di sini kerana kalau kita tidak berbuat sesuatu sekarang, saya bimbang, tadi saya ada nyatakan bahawa negara kita akan mengalami satu krisis. Krisis apa? Krisis bermacam-macam.

    Kalau hari ini kita lihat beberapa bulan yang lepas, saya baca satu artikel daripada Utusan Malaysia yang mengatakan bahawa Pengarah CID terus terang mengatakan bahawa jumlah kadar jenayah telah dilakukan ataupun komited daripada orang asing cuma 28% iaitu jenayah yang serius.

    “pemimpim Umno penakut untuk dedahkan penyelewengan pemimpin mereka… kata Abdul Fatah

    Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Terima kasih, lagi saya ucapkan terima kasih kerana Tuan Yang di-Pertua telah memberi peluang kepada saya untuk bersama-sama memberi pandangan dan buah fikiran sewaktu membahaskan Belanjawan 2008 ini.

    Walaupun keadaan sekarang ini boleh dikatakan negara tidak tenteram, huru-hara sana sini, pentadbiran ‘hiruk pikuk habis kerana pada zaman terakhir ini kita boleh melihat di mana pegawai polis memberanikan diri mendedahkan penyelewengan Ketua Polis Negara, pegawai BPR memberanikan diri mendedahkan penyelewengan Ketua Pengarah mereka sendiri dan Ketua Audit Negara dan beberapa orang kakitangannya sudah berani mendedahkan penyelewengan berlaku di beberapa jabatan dan kementerian dan pertikaian terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim juga telah berlaku.

    Cuma pemimpin UMNO penakut sedikit, tidak memberanikan diri untuk mendedahkan penyelewengan berlaku terhadap pemimpin mereka. Ini sudah menjadi lumrah di akhir-akhir ini saya tidak tahu kenapa berlaku demikian. Rakyat boleh dikatakan sekarang ini duduk dalam keadaan takut sekarang ini.

    Berlaku rogol sana sini, berlaku rompak, bunuh-membunuh, boleh dikatakan setiap hari berlaku macam ini. Saya hendak kata negara ini aman pun saya tidak berani lagi kerana keadaan ini berlaku. Pelajar universiti diugut terutama sekali sewaktu berlaku pilihan raya kampus baru-baru ini. Ini semua gejala pemimpin tidak konsisten dalam pentadbirannya.

    Kontraktor berebut-rebut untuk mendapatkan projek terutama sekali apabila mengisytiharkan Koridor Ekonomi Utara, Timur, Selatan dan sebagainya. Ini boleh dikatakan keadaan yang tidak tenteram di negara kita ini. Ada yang berebut projek, ada yang menekan pelajar, ada yang mengambil kesempatan di atas kelemahan kerajaan hari ini, ada yang sedang bodek untuk menjadi pemimpin di masa hadapan ini. Ini berlaku dalam negara kita sekarang ini.

    Saya hendak sebut sedikit ialah masalah campur tangan ahli politik di kampus sekarang ini, sudah menjadi keterlaluan sehingga sekarang ini.

    Baru-baru ini pilihan raya berlaku di beberapa universiti. Sewaktu kempen pilihan raya itu, tidak nampak sangat perkara yang akan menjadi persoalan kepada pelajar-pelajar yang tidak menyokong parti aspirasi iaitu parti yang pro kerajaan, tetapi bagi mereka-mereka yang tidak menyokong parti aspirasi ini, kesan selepas pilihan raya itu boleh dilihat oleh semua pelajar universiti, mahasiswa-mahasiswa sekalian boleh melihat sehingga beberapa pelajar dibuang daripada kolej mereka itu.

    Terutama sekali seorang pelajar bernama Mohd Suhi, pelajar UPM telah dibuang daripada kolej 17 pada 2 Oktober lalu dengan notis tidak sampai 24 jam, iaitu notis serta-merta kerana kononnya pelajar ini tidak menyokong parti aspirasi yang menjadi dukungan ataupun menjadi penyokong penuh kepada Barisan Nasional khususnya UMNO di beberapa universiti.

    Perkara seperti ini berlanjutan sehingga bukan sahaja berlaku di UPM malah berlaku juga di universiti-universiti lain termasuk Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra dan beberapa universiti lain.

    Saya rasa ini tidak patut berlaku kerana pada satu masa pihak pemimpin kerajaan menyeru kepada parti PAS khususnya pembangkang ini supaya jangan campur politik kepada para pelajar tetapi sebaliknya UMNO sendiri yang menerajui penubuhan kelab UMNO di luar negeri di kalangan pelajar-pelajar sehingga menjemput mereka ini hadir di Perhimpunan Agung UMNO dan diberi peluang untuk berucap, tetapi bagi pelajar-pelajar atau mahasiswa yang hadir untuk mendengar atau melihat perhimpunan agung parti lain mereka itu dikena tindakan disiplin.
    Teruskan membaca

    Filem luar menimbulkan masalah sosial yg parah kepada rakyat – Dr hayati

    Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita tahu di Kementerian Penerangan mengawal RTM1 dan RTM2, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) mengawal stesen-stesen swasta tetapi yang menerima bahan adalah rakyat ramai.

    Soalan yang ingin saya tanyakan, apakah KTAK dengan Kementerian Penerangan ini sentiasa duduk semeja dan berbincang apakah bahan-bahan yang didedahkan kepada rakyat, kerana kalau kita lihat banyak filem-filem daripada luar negara yang dihidangkan kepada rakyat menggambarkan bahawasanya masalah sosial yang begitu parah, misalnya filem daripada Brazil umpamanya, dari Filipina.

    Maknanya kalau rakyat yang ramai terutamanya anak-anak sekolah yang melihat filem ini tentulah memberi kesan kepada bentuk sosial mereka di masa akan datang.

    Soalan tambahan saya ialah apakah kementerian sentiasa dan akan terus memberikan kerjasama antara kedua-dua ini, kerana kita takut KTAK kata Kementerian Penerangan punya masalah, Kementerian Penerangan mengatakan KTAK punya masalah. Itulah soalan saya, terima kasih

    Dato’ Shaziman bin Abu Mansor: Terima kasih Yang Berhormat. Saya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat. Suka juga saya maklumkan di dalam Dewan yang mulia ini, hubungan antara kementerian ini dan Kementerian Penerangan dan juga kementerian-kementerian lain amat baik.

    Berhubung dengan siaran TV swasta ataupun radio swasta, memang ada suatu jawatankuasa yang kita panggil Jawatankuasa Penyiaran Radio dan TV Awam dan Swasta yang mana dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian ini dan kita sering bermesyuarat di antara kementerian.

    Hasilnya dalam satu peringkat hari ini, ini peringkat terakhir yang mana satu garis panduan menyeluruh untuk semua siaran TV sama ada awam dan swasta termasuk juga radio, dalam peringkat akhir.

    Pada hari ini berada di meja Pegawai Perundangan di kementerian ini untuk dihalusi, kerana apabila garis panduan ini diketengahkan lagi ia akan melibatkan aspek-aspek akta yang ada dalam Akta Komunikasi 1998 sebagaimana yang kita ketahui.

    Maka kita yakin apabila garis panduan ini dapat dihalusi dan dipersetujui oleh Jabatan Peguam Negara, maka garis panduan ini dapat diterima pakai sama ada oleh radio ataupun TV swasta termasuklah TV iaitu RTM1 dan RTM2 dan sebagainya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
    (29 Ogos 2007)

    PAC: BPR jangan hanya tangkap bilis semata-mata

    Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) bukan setakat menangkap ‘bilis’ malah mengheret sama ke muka pengadilan ‘jerung-jerung’ yang terlibat dalam penyelewengan seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

    Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Abdul Samad turut menggesa kerajaan menyenaraihitamkan syarikat-syarikat pembekal yang terlibat dalam kes salah urus dana awam itu.

    ‘‘Kita berasa sungguh kecewa dengan penyelewengan ini yang tidak seharusnya berlaku. Tindakan tegas perlu dikenakan sama kepada pembuat keputusan. Saya merasakan banyak lagi tangkapan boleh dibuat.

    ‘‘Adalah tidak wajar jika ‘bilis’ sahaja ditangkap memandangkan ‘jerung’ dilepaskan. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam urusan rundingan dan melakukan penyelewengan perlu didakwa,” katanya.

    Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini hari ini mengenai Pengurusan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan.

    PAC turut dihadiri oleh Datuk Kamarudin Jaffar (PAS Tumpat), Dr Tan Seng Giaw (DAP Kepong).

    Mengenai mesyuarat hari ini Shahrir berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membelanjakan sebanyak RM226 juta pada tahun ini untuk memberi bantuan subsidi baja kepada 292,000 petani di seluruh negara.

    Tambahnya, kementerian akan menjalankan satu kajian secara menyeluruh mengenai skim bantuan subsidi itu dan ia akan mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan.

    ‘‘Kajian ini dijangka dibentangkan di Parlimen pada Ogos tahun depan dan ia akan fokus kepada pelbagai isu seperti masalah penyakit, perparitan, benih dan bajak yang timbul dalam aktiviti penanaman padi,” ujarnya.

    Sementara itu, Dato Kamaruddin ketika ditemui meminta kerajaan tidak lagi menggunakan lambang ‘dacing’ pada beg berisi baja kepada petani.