Dato Halim: Jenayah meningkat… PM lemah…

Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga suka mengambil bahagian dalam ucapan bajet ini. Oleh kerana Yang Berhormat Papar telah menyentuh mengenai projek angkasa, saya ingin menyambung dalam projek angkasa lepas ini.

Walaupun kita berbangga dan mengucap syukur di atas kejayaan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang telah pun berjaya ke ISS dan kembali ke bumi, tetapi projek angkasa lepas selepas ini perlu diteliti dengan baik.

Apabila ditanya kepada Perdana Menteri, Perdana Menteri menjawab bahawa beliau akan meneliti dengan sebaik-baiknya. Jadi saya ingin Kerajaan Malaysia supaya projek angkasa ini diteliti dengan baik. Bagi saya perlu kerajaan memperkukuhkan ataupun perkasakan infrastruktur projek angkasa. Seperti menghantarkan Sputnik dan pembina-pembina yang lain.

Contoh seperti Jepun. Jepun tidak pernah hantar angkasawan, China tidak pernah lagi hantar angkasawan, tetapi mereka menghantarkan Sputnik-sputnik untuk membuat kajian di angkasa lepas tentang perkara-perkara yang perlu. Apa yang dapat dibuat oleh Sputnik ini bukan sahaja tidak perlu kepada manusia, tetapi lebih berjaya mengikut laporan-laporan daripada Jepun dan juga daripada China.

Jadi begitu juga saya ingin menyatakan, saya mengucapkan tahniah kepada menteri yang bertanggungjawab tentang sains dan teknologi ini iaitu Yang Berhormat Dato’ Seri Jamaludin Jarjis yang mengatakan akan mempertimbangkan perkara yang lebih penting. Iaitu dalam masa 10 tahun lagi sebagaimana jawapan Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan bahawa sumber-sumber minyak dan juga gas akan berkurangan dan mungkin 10 tahun lagi kita terpaksa import. Ini akan membebankan tarif-tarif dan juga pengguna-pengguna di dalam Malaysia.

Jadi Dato’ Seri Jamaludin mengatakan kita akan pertimbangkan dan satu kertas kepada Kabinet akan dikemukakan pada awal tahun depan. Seperti Iran, Iran dalam masa 15 tahun lagi akan berkurangan minyak, sebab itu ia telah mengaktifkan usaha-usaha untuk mengeluarkan tenaga nuklear untuk jana kuasa air dan sebagainya. Ini ditentang oleh Amerika.

Jadi saya menyokong penuhlah, kalau Yang Berhormat Dato’ Seri Jamaludin Jarjis dapat mengemukakan kepada Kabinet untuk masa depan bagi menggantikan tenaga bakar ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya berbalik kepada SME ataupun syarikat menengah kecil ini. Di Malaysia terdapat lebih daripada 516,000 syarikat-syarikat menengah kecil ataupun SME yang
sangat berperanan dalam membangunkan ekonomi negara. Ia merupakan sektor ekonomi yang menyediakan 3.4 million atau juta peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

65.1% disumbangkan oleh sektor swasta bagi SME ini. Cuma 1.6% sahaja disumbangkan oleh syarikat-syarikat berskala besar. SME-SME ini juga menyumbangkan aktiviti tambah nilai sebanyak RM150 bilion pada tahun 2005, yang merupakan tulang belakang ekonomi negara dan
menyediakan peluang pekerjaan untuk menyara hidup rakyat ataupun pekerja Malaysia.

Jadi sekarang ini dalam jawapan Setiausaha Parlimen kepada soalan Dato’ Lim Bee Kau, Padang Serai, Yang Berhormat menjawab hanya bahagian-bahagian aktif sahaja. Jadi daripada 519,000 ini, saya hendak minta penjelasan daripada kerajaan, berapa jumlah syarikat yang berdaya maju? Berapa yang kurang berdaya maju dan berapa yang tidak langsung berdaya maju mengikut sektor?

Di Jepun, 80% daripada ekonomi Jepun dikendalikan oleh SME ataupun syarikat menengah kecil ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya pergi kepada masalah apa yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada petang ini iaitu ECR. Saya mendapat laporan-laporan awal daripada akhbar melalui apa yang disiarkan oleh Petronas. Dalam Program ECR ini ataupun Koridor Pantai Timur ini, belanja yang hendak dibelanjakan ialah RM112 bilion dalam masa 15 tahun.

Saya tidak tahu berapa banyak untuk negeri Kelantan. Cuma saya hendak bangkitkan untuk negeri Kelantan ini, perlu ditumpukan kepada infrastruktur yang lebih untuk menjayakan projek ECR ini. Pertama sekali, negeri Kelantan tidak ada pelabuhan. Walaupun ada di dalam ECER ini, dikatakan bahawa Projek Tok Bali, itu pelabuhan perikanan laut dalam. Bukan pelabuhan untuk perniagaan.

Jadi perlu, sama ada Tok Bali ini akan dijadikan pelabuhan perikanan bersama-sama dengan pelabuhan perniagaan yang lain supaya barang-barangan yang dikeluarkan, yang dihasilkan dari negeri Kelantan boleh dieksport dan juga kita perlu kepada satu status kargo.

Landasan Pengkalan Chepa itu perlu dipanjangkan untuk membawa barang-barangan oleh kapal
terbang. Buah-buahan, tidak ada gunanya kita tumpukan pertanian di Kelantan kalaulah pertanian itu tidak dapat dibawa segera keluar daripada Kelantan untuk kawasan-kawasan di
dunia. Jadi, perlu ini, perlu dua perkara iaitulah pelabuhan dan juga penerbangan kargo ini
daripada Landasan Pengkalan Chepa.

Menyentuh soal Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, polis-polis yang menjaga lapangan terbang ini di bawah MAB mengadu. Dia tahu bahawa pagar-pagar terutamanya di sebelah Barat lapangan terbang itu telah pun bocor kerana hakisan-hakisan air masin. Wap air masin itu telah menjahanamkan sebahagian pagar itu. Kambing boleh masuk, anjing boleh masuk, jadi kebimbangannya bahawa keselamatan, misalnya Perdana Menteri, menteri-menteri pergi ke Kelantan. Mungkin ada orang-orang yang tertentu, yang sama ada bersifat militan atau terrorist menyusup masuk.

Jadi saya minta supaya diambil langkah-langkah segera memperbaiki pagar-pagar ini, supaya keselamatan lapangan terbang itu terjaga.

Tuan Yang di-Pertua, di dalam laporan awal tentang ECER ini, lima projek besar yang akan dibawa iaitu, pertanian, pelancongan, pendidikan, pembuatan serta minyak dan gas. Saya rasa dengan adanya Wilayah Pembangunan Iskandar, dengan adanya NCR, dengan adanya pula ECR ini, saya rasa untuk menarik pelabur-pelabur asing untuk ECR ini agak dim ataupun samar-samar sedikit. Sebab tentunya mereka akan pergi kepada WPI, atau NCR.

Jadi untuk ini saya mencadangkan kalaulah di Kelantan ini, di Koridor Pantai Timur ini, hendak dimajukan, hendak ditarik pelabur-pelabur asing ini mestilah satu projek yang lebih besar dari pertanian, yang lebih menarik daripada pertanian ini dibawa.

Salah satu daripadanya, gas kita yang dibawa ke Songkhla. 69% akan digunakan di Gurun sebagai tenaga bakar dan untuk dieksport balik ke Thailand. 31% lagi tidak tahu ke mana, terpaksa dijual. Saya mencadangkan kerajaan mengambil inisiatif ini, ambillah sedikit 18% daripada Songkhla ini melalui pantai, tidak melibatkan tanah.

Melalui pantai ini dan daratkanlah di Bachok atau di Pasir Puteh. Kalau di Bachok ialah tempat Timbalan Menteri Kewangan kita, Dato’ Dr. Awang Adek bin Hussin. Kalau di Pasir Puteh, tempat Yang Berhormat yang di belakang saya ini. Semuanya kawasan Barisan Nasional. Kalau di darat di sini, katakanlah dengan paip 18 inci sahaja, yang khas untuk membawa, untuk menjanakan IPP, dan juga untuk membuat projek down stream. Ini akan menjadi boost, akan menjadi lonjakan kepada pembangunan ekonomi di Kelantan dan saya rasa pelabur-pelabur semuanya akan pergi ke sana.

Ini saya rasa satu lonjakan ekonomi perlu diberi, kalau kita untuk membangunkan Malay Belt ataupun kawasan-kawasan Melayu Islam seperti di Kelantan dan Terengganu. Besut terutama sekali. Besut, Setiu, Pasir Puteh dan Bachok. Kalau ini kita dapat buat, kita akan berjaya.

Pelabur asing akan datang dengan berduyun-duyun ke sana. Kalau kita hanya menumpukan kepada pendidikan, pendidikan itu bagus. Kalau kita hendak tengok kepada UKM, UKM ini hendak menjadi satu kawasan yang membangun, mengambil masa 20 hingga 30 tahun.

Baru sekarang Bangi itu membangun. Jadi kalau Universiti Kelantan ini diletakkan di Jeli, ataupun diletakkan di Bachok, dia tidak boleh memberi impak yang pesat kepada lonjakan ekonomi, walaupun baik. Begitu juga dengan pelancongan. Pelancongan sekarang ini, kerajaan telah memutuskan untuk menjadikan Lapangan Terbang Terengganu sebagai eastern great, tidak Kelantan.

Jadi bagaimana projek pelancongan ini boleh berjaya kalaulah tidak ada satu program dari segi infrastrukturnya yang boleh memberikan sumbangan besar kepada kehadiran pelancong-pelancong? Pelancong daripada Hadyai, Kota Bharu, Kota Kinabalu, tidak boleh hendak buat. Tidak ada dasar satu program pendaratan yang kekal di sini. Kalau dari Jepun, dari Hong Kong, dari China, terpaksa datang ke Kuala Lumpur.

Dari Kuala Lumpur barulah tercicir, apa-apa yang tercicir. Pelancong tercicir, barulah pergi ke Kelantan, ke Kota Bharu. Kita tidak mungkin berjaya, kalau tidak ada infrastruktur yang baik.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin sedikit lagi mengenai sumber jenayah. Banyak sudah sahabat-sahabat kita, Yang Berhormat-Yang Berhormat kita telah bercakap tentang gejala jenayah di Malaysia. Gejala jenayah di Malaysia sudah mencapai satu tahap yang sangat membimbangkan, di mana ia semakin berbentuk keganasan dan kekerasan.

Bukan lagi jenayah biasa. Tiga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, Tan Sri Bakri Omar, Tun Hanif, juga turut menjadi mangsa pecah rumah. Kematian bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Albert Mah pada 18 Februari 2007, telah mengukuhkan lagi kebimbangan rakyat tentang tahap keselamatan dalam negara.

Perkembangan trend jenayah sudah berkembang daripada jenayah tradisional kepada jenayah sindiket. Kepada penjenayah-penjenayah trans border. Johor Bahru menjadi target daripada penjenayah Singapura, daripada Indonesia untuk menghancurkan kedudukan ini dan untuk mengambil kesempatan di atas kekayaan dan mungkin keselamatan tidak begitu ketat di Johor Bahru.

Kesan perkembangan ini bukan sahaja membabitkan implikasi sosial, ekonomi yang berat kepada masyarakat, ia juga menghakiskan keyakinan masyarakat terhadap keamanan, keselamatan, harta dan nyawa.

Fakta-fakta kajian Royal Malaysia Police yang dilakukan telah menunjukkan korelasi jenayah di Malaysia terdapat unsur-unsur ekonomi yang menjadi penyebabnya. 95% daripada penjenayah adalah golongan yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,142.

Tuan Yang di-Pertua, kalau kita tengok apa yang disiarkan oleh kolej ini, di dalam penjara di Malaysia ini, sebagaimana disiarkan oleh pihak penjara yang tidak ada kerjamenganggur, menyumbangkan kepada jenayah yang terpaksa ditangkap dan dibawa ke penjara sebanyak 8,543. Iaitu kira-kira 17.3%. Pendapatan di bawah RM250 yang telah melakukan jenayah dan di jel sebanyak 4,027 iaitu 8.2%.

Pendapatan yang berada di antara RM250 hingga RM500, pendapatan sebulan yang telah pun terlibat dalam jenayah ini ialah 11,880 iaitu kira-kira 24.1%. RM750 sehingga RM1,000 iaitu 7,573 yang telah ditangkap kerana jenayah ini dan menyumbang sebanyak 15.5%. Lain-lainnya semuanya ialah 49,243 yang telah ada di penjara.

Jadi perkara-perkara seperti ini, kalau kita tengok sebagaimana jawapan Timbalan Menteri, di
antara punca-punca penjenayah ini ialah keadaan ekonomi yang sangat rendah bagi pendapatan sesuatu isi rumah itu sendiri.

Tuan Yang di-Pertua, apabila menghadapi masalah jenayah ini, kita tidak harus lari daripada kenyataan kerana maklumat ini yang tidak benar akan membawa maut dan menurunkan kewaspadaan dan dedikasi untuk membanteras jenayah ini sendiri. Kalau kita bertanya kepada masyarakat Johor, sekarang ini masyarakat Johor banyak mengatakan, Johor Bahru tidak aman.

Perkara yang paling asas tentang potensi perlakuan jenayah ini ialah angka-angka pelajar yang telah dibuang sekolah. Yang Berhormat Timbalan Menteri Pelajaran mengatakan sejak 2003 hingga tahun ini seramai 21,011 orang pelajar sekolah rendah dan menengah telah dikenakan hukuman buang sekolah. Setelah pelajar ini dibuang ke mana mereka?

Mereka ini hendak makan, jalan yang paling cepat ialah jenayah. Terlibat dalam jenayah. Pada tahun 2004, kes ragut di seluruh negara sepanjang tahun lalu mencapai 14,368 kes. Apakah pelajar yang dibuang sekolah ini akan bergabung dengan penjenayah-penjenayah, gengster-gengster, tak perlu kita mencari jawapannya. Bagaimana dengan pelajar kita yang tidak dapat masuk institusi pengajian tinggi?

Mengikut HOMCA, terdapat hampir 200,040 murid lepasan PMR, SPM, STPM, masih menjadi penganggur di rumah. Apakah mereka ini berhak bekerja di sektor perkhidmatan dan sangat memerlukan pekerjaan dengan kebanjirannya tenagatenaga pekerja asing ini lagi menyempitkan peluang untuk mereka bekerja dan lagi mendorong untuk mereka terlibat dalam jenayah.

Apakah kita boleh ambil kira data Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang baru ini dijawab dalam Parlimen ini, Datuk Fu Ah Kiow yang hanya mengatakan 2% sahaja jenayah yang dilakukan oleh pendatang-pendatang asing dari 198,000 kes penjenayah ini dilakukan oleh orang asing.

Apakah jumlah angka banduan asing di dalam tahanan sebanyak 24,000 daripada 50,000 di penjara Malaysia boleh dijustifikasikan bahawa ucapan itu betul atau tidak.

Jadi kalau mengikut laporan ini, jawapan itu sangat diragui. Mengikut Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, negara perlu membelanjakan RM1.168 juta setiap hari untuk menjaga banduan ini dalam 54 penjara dan 15 pusat tahanan.

Kita juga perlu membelanjakan RM260 juta untuk membina penjara baru untuk menampung kekurangan tempat.

Apakah sampai waktunya untuk kita bersama-sama menghadapi gejala jenayah ini dengan hati
terbuka dan berganding bahu untuk mengatasi masalah yang boleh menghancurkan keharmonian, mengancam negara ini.

Saya berpandangan Tuan Yang di-Pertua, kita mestilah mengakui masalah jenayah adalah satu gejala yang diakibatkan oleh masalah tidak keseimbangan pendapatan di mana masyarakat miskin menjadi cenderung untuk melakukan jenayah sama ada oleh orang-orang-orang Melayu, terutama sekali oleh orang India.

Peningkatan jenayah berbentuk kekerasan telah meningkat secara drastik. Kes kegiatan penjenayah trans border ini sedang menyerang anak-anak muda kita terutama di sempadan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Yang Berhormat, sila gulung.
Dato’ Haji Ab. Haji bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Ya, sikit lagi. Seminit lagi. Jadi saya mencadangkan kalau tidak sekarang pun selepas pilihan raya ini supaya Perdana Menteri melantik Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang kedua kerana Perdana Menteri ini terlalu banyak kerja dan tidak dapat menumpukan sebagaimana Menteri Kewangan.

Perdana Menteri juga Menteri Kewangan dan di sana ada Menteri Kewangan yang kedua dan ada dua timbalannya. Jadi sekarang ini sama ada lantik daripada mana-mana senator seperti orang-orang yang mempunyai pakar dalam soal-soal seperti ini seperti Tun Hanif, dilantik sebagai Menteri Kedua bagi menangani masalah-masalah ini.

Kita tidak boleh dengan keadaan sekarang ini nama Perdana Menteri sekarang ini mulai terpalit dan tercemar mengatakan bahawa Perdana Menteri lemah ekoran jenayah emningkat, kerana tidak ada penumpuan yang dibuat. Itulah sahaja Tuan Yang di-Pertua. Sekian, terima kasih.
————-
Ucapan perbahasan Bajet 2008 pada 29 Oktober 2007

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: