“pemimpim Umno penakut untuk dedahkan penyelewengan pemimpin mereka… kata Abdul Fatah

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Terima kasih, lagi saya ucapkan terima kasih kerana Tuan Yang di-Pertua telah memberi peluang kepada saya untuk bersama-sama memberi pandangan dan buah fikiran sewaktu membahaskan Belanjawan 2008 ini.

Walaupun keadaan sekarang ini boleh dikatakan negara tidak tenteram, huru-hara sana sini, pentadbiran ‘hiruk pikuk habis kerana pada zaman terakhir ini kita boleh melihat di mana pegawai polis memberanikan diri mendedahkan penyelewengan Ketua Polis Negara, pegawai BPR memberanikan diri mendedahkan penyelewengan Ketua Pengarah mereka sendiri dan Ketua Audit Negara dan beberapa orang kakitangannya sudah berani mendedahkan penyelewengan berlaku di beberapa jabatan dan kementerian dan pertikaian terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim juga telah berlaku.

Cuma pemimpin UMNO penakut sedikit, tidak memberanikan diri untuk mendedahkan penyelewengan berlaku terhadap pemimpin mereka. Ini sudah menjadi lumrah di akhir-akhir ini saya tidak tahu kenapa berlaku demikian. Rakyat boleh dikatakan sekarang ini duduk dalam keadaan takut sekarang ini.

Berlaku rogol sana sini, berlaku rompak, bunuh-membunuh, boleh dikatakan setiap hari berlaku macam ini. Saya hendak kata negara ini aman pun saya tidak berani lagi kerana keadaan ini berlaku. Pelajar universiti diugut terutama sekali sewaktu berlaku pilihan raya kampus baru-baru ini. Ini semua gejala pemimpin tidak konsisten dalam pentadbirannya.

Kontraktor berebut-rebut untuk mendapatkan projek terutama sekali apabila mengisytiharkan Koridor Ekonomi Utara, Timur, Selatan dan sebagainya. Ini boleh dikatakan keadaan yang tidak tenteram di negara kita ini. Ada yang berebut projek, ada yang menekan pelajar, ada yang mengambil kesempatan di atas kelemahan kerajaan hari ini, ada yang sedang bodek untuk menjadi pemimpin di masa hadapan ini. Ini berlaku dalam negara kita sekarang ini.

Saya hendak sebut sedikit ialah masalah campur tangan ahli politik di kampus sekarang ini, sudah menjadi keterlaluan sehingga sekarang ini.

Baru-baru ini pilihan raya berlaku di beberapa universiti. Sewaktu kempen pilihan raya itu, tidak nampak sangat perkara yang akan menjadi persoalan kepada pelajar-pelajar yang tidak menyokong parti aspirasi iaitu parti yang pro kerajaan, tetapi bagi mereka-mereka yang tidak menyokong parti aspirasi ini, kesan selepas pilihan raya itu boleh dilihat oleh semua pelajar universiti, mahasiswa-mahasiswa sekalian boleh melihat sehingga beberapa pelajar dibuang daripada kolej mereka itu.

Terutama sekali seorang pelajar bernama Mohd Suhi, pelajar UPM telah dibuang daripada kolej 17 pada 2 Oktober lalu dengan notis tidak sampai 24 jam, iaitu notis serta-merta kerana kononnya pelajar ini tidak menyokong parti aspirasi yang menjadi dukungan ataupun menjadi penyokong penuh kepada Barisan Nasional khususnya UMNO di beberapa universiti.

Perkara seperti ini berlanjutan sehingga bukan sahaja berlaku di UPM malah berlaku juga di universiti-universiti lain termasuk Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra dan beberapa universiti lain.

Saya rasa ini tidak patut berlaku kerana pada satu masa pihak pemimpin kerajaan menyeru kepada parti PAS khususnya pembangkang ini supaya jangan campur politik kepada para pelajar tetapi sebaliknya UMNO sendiri yang menerajui penubuhan kelab UMNO di luar negeri di kalangan pelajar-pelajar sehingga menjemput mereka ini hadir di Perhimpunan Agung UMNO dan diberi peluang untuk berucap, tetapi bagi pelajar-pelajar atau mahasiswa yang hadir untuk mendengar atau melihat perhimpunan agung parti lain mereka itu dikena tindakan disiplin.

Kadang-kadang ditarik biasiswa mereka itu dan masalah ugut kepada keluarga mereka itu sudah menjadi lumrah kepada pemimpin UMNO. Jadi saya harap pemimpin-pemimpin UMNO janganlah cuba mengganggu pelajar-pelajar ataupun mahasiswa-mahasiswa ini dengan keadaan yang agak terbuka.

Kalau peringkat awal dulu mereka ini menyokong di belakang tabir tetapi di akhir-akhir ini oleh sebab kita pihak pembangkang tidak campur, tidak mendesak, tidak buka tembelang mereka ini, nampak mereka lebih memberanikan diri untuk campur tangan secara langsung sama ada memberi wang kepada parti prokerajaan dan pihak aspirasi untuk membuat poster, sepanduk dan belanja sehingga memberi hamper kepada pengundi-pengundi pada hari mengundi di beberapa kampus di Malaysia ini.

Ini satu perkara yang agak malang kepada mahasiswa-mahasiswa yang berada di beberapa universiti di Malaysia ini kerana mereka ini dikongkong sehingga tidak boleh mengembang fikiran mereka ini kepada perkara-perkara yang patut mereka mengkritik kerajaan secara terbuka sebagai seorang mahasiswa yang bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara ini.

Yang kedua saya hendak cakap masalah agama sikit. Di akhir-akhir ini, kita lihat tidak ada pemimpin yang memberanikan diri untuk menyelesaikan masalah konflik agama ini. Walaupun kita ada menteri tetapi menteri kita kalau berlaku sesuatu nampak sensitif sedikit diantara agama ini dia cuba escapism melarikan diri daripada tanggungjawab mereka ini.

Seolah-olah mereka ini tidak yakin, yang Islam ini belum memberi kepuasan kepada semua masyarakat yang selama ini menjamin keamanan. Sebab itu di Kelantan di akhir-akhir ini kita membina sebuah masjid tiga dimensi iaitu rupa bentuk kebudayaan India, kebudayaan Cina dan kebudayaan Melayu.

Ini bagi menggambarkan bahawasanya Islam ini bukan khusus untuk Melayu sahaja, tetapi kepada bangsa-bangsa lain juga dibuka kepada soal-soal ini.

Kalau kita lihat peristiwa 13 Mei dahulu pada tahun 1970, Tun Abdul Rahman Yakob dilantik menjadi Menteri Pelajaran bagi merangka strategi penyatuan kaum melalui pendidikan iaitu menggunakan satu jenis sekolah dikatakan sekolah umum maknanya semua Melayu, Cina, India dijadikan satu sekolah, tetapinya ditentang hebat oleh pemimpin-pemimpin waktu itu termasuk pemimpin MCA waktu itu Tan Siu Seng dan Ho Khai Bo waktu itu.

Akhirnya Tun Abdul Rahman Yakob dihantar menjadi Ketua Menteri Sarawak dan ianya diganti oleh Tun Hussein Onn walaupun diakhirnya menerima kekalahan.

Persoalan sekolah, bagi anak-anak yang belajar akademik tidak ada masalah tetapi yang penting ialah bagaimana dengan sekolah agama? Barangkali oleh sebab kerajaan beria sangat hendak menghapuskan Sekolah Agama Rakyat ini dengan menarik bantuan per kapita.

Ini juga oleh sebab kurang yakin terhadap agama Islam ini boleh menyatukan semua rakyat. Sebab itu kalau boleh ia cuba hendak menghapuskan sistem pendidikan yang ada sekarang ini, menjurus kepada sistem pendidikan agama yang ditaja oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Pusat.

Ini satu perkara yang saya hendak tegas di sini supaya kerajaan sedar dan berhati-hati. Cara pelaksanaan yang digunakan oleh kerajaan sekarang ini, jika tidak berhati-hati kita akan menyesal di masa hadapan ini. Bangsa adalah keturunan ataupun zuriat asal daripada Adam, semuanya daripada Adam kemudian dipecahkan menjadi berbagai-bagai bangsa dan kaum.

Kita tidak boleh hapus keistimewaan yang ada pada bangsa dan kaum masing-masing. Kaum Cina terkenal dengan kaum yang rajin, kaum India terkenal dengan petah bercakap, Melayu terkenal dengan sabar dan lemah lembut cuma Perdana Menteri waktu itu yang mengatakan Melayu ini mudah lupa, itu saya tidak iktiraflah.

Di manakah silap kita ini? Bagi saya rakyat kita ini tidak ada tanda-tanda, this thing at fault tetapi kalau pihak Perdana Menteri nampak ada perkara ini, bolehlah beritahu kepada kami sebenarnya, kami akan menerima pandangan daripada Perdana Menteri.

Kita lihat pula cabaran-cabaran yang lain seperti cabaran ICT, memang payah kalau tidak sehati sejiwa. Hendak mencari wahdatul amal ini tidak mudah kalau tidak ada wahdatul fikri hendak mencari penyatuan gerak kerja ini tidak mungkin berlaku kalau tidak ada penyatuan fikiran terlebih dahulu.

Sebab itu seluruh pemimpin khususnya pemimpin UMNO ini mesti sedar perkara ini kalau tidak diusahakan penyatuan fikiran di kalangan kita ini, kita akan lihat keadaan negara ini akan bercelaru. Contoh pada hari ini, hari ini kita akan melihat pelancaran koridor timur yang akan berlaku di Sekolah Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu.

Saya dijemput dan dimaklumkan Kerajaan Persekutuan melalui Petronas sebagai anchor akan menjemput Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar Kelantan akan berucap sama-sama dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Ini satu langkah yang baik dan bijak cuma saya bimbang ialah hasil daripada pertemuan kita pada petang ini antara dua pemimpin negeri dan negara ini sama ada akan diteruskan oleh pemimpin khususnya pemimpin UMNO yang menerajui UMNO di Kelantan itu.

Ini kerana sebelum pada ini ternyata Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan ini tidak menjemput Ketua Kerajaan Kelantan sewaktu Perdana Menteri melawat negeri Kelantan urusan rasmi beberapa kali pada tahun ini termasuk untuk letak batu asas Jambatan Kedua Sultan Yahya baru-baru ini.

Saya berterima kasih kepada Petronas yang sanggup menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah konflik di antara pemimpin UMNO Kelantan dengan kerajaan negeri Kelantan.

Dan kalau pemimpin UMNO Kelantan dengan Parti PAS Kelantan itu biasa, itu lumrah. Namun atas nama kerajaan dan kalau berlaku seperti mana yang saya sebutkan tadi, amat malanglah kita orang Melayu khususnya di pantai timur ini. Saya berharap pihak Perdana Menteri akan menilai selepas pada petang ini, bagaimanakah campur tangan orang politik khususnya UMNO Kelantan terhadap perancangan yang akan dibuat melalui Petronas di dalam pembentukan ekonomi pantai timur khususnya negeri Kelantan ini.

Saya perlu juga sebut di sini ialah masalah perpaduan yang tidak dirancang;, timbul sendiri dari hasil pergaulan berinteraksi. Kalau di Kelantan khususnya tidak payah kita sebut, tidak payah kita rancang, kerana budaya orang Melayu dan orang bukan Melayu khususnya Cina
di Kelantan ini, mereka memahami di antara satu sama lain.

Orang Cina tidak akan ziarah rumah orang Melayu pada waktu Maghrib, dia tahu waktu itu waktu kita sedang berlumba-lumba untuk sembahyang dan mungkin juga orang India. Kita orang-orang Melayu juga tidak akan ke rumah sahabat kita kaum Cina pada waktu petang kerana mereka ini biasanya makan malam, makan petang.

Ini budaya yang ditunjukkan oleh Kelantan. Sebab itulah sewaktu berlaku peristiwa 13 Mei dulu, walaupun Kelantan ini mempunyai majoriti Melayu, tidak berlaku apa-apa pertumpahan darah kalau hendak dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Sepatutnya di Kelantan ini, dipimpin oleh Kerajaan PAS waktu itu boleh membuat apa sahaja terhadap kaum lain kerana majoriti Melayu. Oleh sebab pemimpin PAS pada waktu itu memahami keadaan pentadbiran Islam yang sebenarnya, tidak setakat menyebut sahaja Islam iini, tidak menghina atau tidak ada diskriminasi terhadap kaum yang lain, malah dia melaksanakannya dengan baik pada waktu itu.

Apatah lagi keadaan sekarang ini dipimpin oleh Yang Berhormat Tuan Guru Dato’ Nik Aziz,
lebih-lebih lagi dalam keadaan orang lain menuduh kerajaan Kelantan berlaku diskriminasi.

Namun apabila kaum Cina di luar negeri datang sendiri ke negeri Kelantan, dan baru ini dibaca di surat khabar, ditulis oleh kaum Cina, beberapa orang Cina dari negeri Perak yang menghadiri
satu rombongan ke Kelantan. Mereka mengatakan mereka terkejut dengan tohmahan-tohmahan sebelum ini.

Rupa-rupanya Kelantan ini tidak ada diskriminasi dan ia contoh Islam yang sebenar yang ditadbir secara menyeluruh oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Demikian juga masalah sekolah, di Kelantan ini kalau kita lihat sekolah. Sekolah Chong Hwa, Sekolah Chong Ching di Kota Bharu, tidak semuanya dimonopoli oleh kaum Cina. Ia boleh dikatakan di antara 5% hingga 10% kaum Melayu di sekolah tersebut.

Demikian juga kalau lihat sekolah kebangsaan, di beberapa tempat; ramai kaum-kaum Cina belajar di sana. Jadi saya harap kepada mereka-mereka yang berada di peringkat UMNO yang berada di luar negeri ini, ambillah contoh teladan bagaimana rakyat Kelantan, bagaimana pemimpin kerajaan Kelantan ini mencari perpaduan di kalangan kaum-kaum yang berada di negeri Kelantan khususnya di negara kita, Malaysia ini.

Tidak payah kita sebut waktu kita berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO misalnya, waktu berucap sesama UMNO. Kita memberi semangat kepada UMNO seolah-olah tidak ada bangsa lain, UMNO sahaja di negara kita ini.

Apabila kita hadir dalam perhimpunan parti lain pula, Parti GERAKAN, Parti MCA, lain pula kita bercakap. Ini diperhatikan oleh rakyat dan saya harap pemimpin UMNO berhati-hati. Walaupun semangat begitu tinggi sewaktu berada bersama-sama dengan orang-orang UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO dalam perhimpunan-perhimpunan tertentu, tetapi ingatlah kita berada di negara kita ini bukan kita menguasai sepenuhnya dari segi pentadbiran, ekonomi dan sebagainya.

Saya yakin dan percaya titik pertemuan pada petang ni menjadi satu sejarah bagi rakyat Kelantan kalaulah campur tangan politik tidak banyak sangat. Saya hendak kata tidak boleh langsung pun, tidak boleh juga sebab masing-masing menggunakan konsep parti menguasai kerajaan; tetapi jangan campur banyak sangat seperti mana saya sebutkan dalam ucapan saya sewaktu soal jawab baru-baru ini.

Saya rasa, saya menyatakan bahawasanya rosaknya akhlak murid-murid sekolah ini hasil daripada campur tangan orang politik khususnya UMNO di sekolah –sekolah menyebabkan guru, ibu bapa rasa cemuh dengan tingkah laku dan sikap pemimpin-pemimpin UMNO sebahagiannya. Tidaklah Ahli Parlimen Dewan ini, UMNO yang lain tetapi UMNO juga.

Parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain tidak menjadi maslah yang banyak, saya juga tidak tahu kenapa jadi demikian. Jadi, Sarawak terutama sekali golongan UMNO tidak ada sebab itu ia tenang dalam pentadbirannya. Sabah itu ada sedikit sebanyak kerana perangai pemimpin UMNO di Malaysia ini di bawa ke Sabah.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Ya, gulung Yang Berhormat.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Ini menyebabkan Sabah itu ada sedikit berlaku perkara yang tidak senang.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Gulung Yang Berhormat ya.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Gulung dah? Allahuakbar. Tuan Yang di-Pertua, sebagai menggulung ini saya hendak sebut kepada pemimpin UMNO khususnya, saya tidak suka sebut pemimpin Barisan Nasional. Ini kerana saya anggap selain daripada pemimpin UMNO ini, akhlaknya agak lebih baik sikit.

Bukan bermakna pemimpin UMNO akhlak tidak comel, tidak baik, molek juga tetapi parti lain itu lebih sikit, orang putih kata “one step beyond”, lebih sikit sahaja. Jadi saya minta maaf lah, itu yang saya nampak. Jikalau ada pemimpin UMNO merasai dia lebih baik daripada parti-parti komponen yang lain dari segi akhlaknya, berilah hujah yang sebenarnya.

Namun pandangan saya, pandangan umum, pandangan peramal kerajaan, itulah hakikat yang sebenarnya. Itulah hakikat yang sebenarnya, sebab itu pemimpin UMNO penakut untuk mengkritik pemimpin-pemimpin mereka, kecuali beberapa kerat yang ada dalam Dewan ini seperti Kinabatangan, Jasin sendiri.

Jasin ini bolehlah kita bagi kredit, dan beberapa pemimpin yang lain itu setakat just pass.
Selain itu, selebihnya semua pentingkan diri, kalau kita hendak mengkritik, kritiklah cara hebat sikit supaya pemimpin khususnya menteri-menteri itu mendengar dan melaksanakan apa yang dikritik. Kalau hendak bodek pun, bodek bagi pandai sikit baru separuh akan datang ini duduk sebelah sini. Kalau setakat duduk sebelah sini, tidak jadi…

Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Ya, Yang Berhormat, masa dia dah habis.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Tak bagi peluang. Jadi susah, hendak mengkritik secara berseloroh tidak berani, nak bodek tidak pandai. Inilah nasib pemimpin UMNO sekarang ini. Sekian. Terima kasih.
————–
Ucapan perbahasan Bajet 2008 pada 29 Oktober 2007

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: