Dr Mashitah ‘dibelasah’ Ahli Parlimen DAP (Kuching)

Sidang Dewan yang agak hambar hari ini pada awalnya bertukar menjadi ‘kecoh’ apabila Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim dikritik kerana gagal menjawab soalan dengan tepat dan mengundang kemarahan ahli parlimen DAP.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen yang sebelum ini mengemukakan pertanyaan kepada Perdana Menteri tentang berapakah jumlah peruntukan untuk ahli Parlimen bagi kawasan Parlimen Bandar Kuching dalam tahun 2003 hingga 2007 yang telah dipohon dan dikeluarkan termasuk senarai kos projek dan badan yang telah menerima peruntukan tersebut dan jumlah masing-masingnya.

Namun setelah Mashitah menjawab, Chong Chieng membidas dan merasa kecewa kerana soalan yang ditanya tidak dijawab dengan betul, sekadar secara umum malah tanpa butiran terperinci seperti yang diminta.

Jawapan Mashitah ini dilihat seolah-olah cuba mengelak daripada memberi jawapan secara terperinci, katanya.

“Siapakah penerima peruntukan? Saya minta satu senarai. Saya difahamkan setiap ‘state development officer’ negeri mendapat peruntukan untuk pembangunan rumah RM3 juta dan adakah peruntukan di Bandar Kuching disalurkan?” katanya yang tidak berpuasa hati dengan penjelasan Mashitah.

Mashitah yang kemudiannya menjawap bahawa beliau akan memberi jawapan bertulis kepada soalan tersebut dan turut menafikan dakwaan tentang peruntukan pembangunan perumahan yang disebut oleh ahli parlimen DAP itu.

Chong Chieng kemudian bingkas bangun dan menyatakan rasa kesangsiannya bagaimana Mashitah boleh menafikan dakwaannya sedangkan beliau sendiri tidak memberi jawapan secara tepat.

“Tanpa membuat sebarang siasatan, YB kata saya salah tentang peruntukannya RM 3 juta, jika salah apakah angka sebenarnya?” soal beliau lagi yang mahu penjelasan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Chong Eng yang turut mencelah kesal kerana setiap kali soalan ditanya lazimnya dijawab secara ringkas dan seolah-olah menyembunyi sesuatu.

“Saya hairan mengapa tidak ada jawapan, kerana soalan telah diberikan beberapa bulan lalu sampai sekarang tak boleh beri senarainya?” kata Chong.

Suasana dewan menjadi sedikit hingar-bingar apabila kedua-dua pihak ahli parlimen kerajaan dan pembangkang cuba meluahkan rasa tidak puasa hati atas situasi yang berlaku yang kemudiannya cuba ditenangkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Speaker tegur ramai Ahli tidak hadir sidang

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib hari ini menegur ketidakhadiran beberapa anggota Parlimen untuk mengemukakan soalan pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Beliau membuat teguran itu kira-kira pukul 11 pagi selepas anggota Parlimen dari Sungai Petani Datuk Mahadzir Mohd Khir tidak hadir untuk mengemukakan soalannya.

“Yang tak hadir kena rekod. Banyak sangat yang tak hadir hari ini,” katanya.

Terdahulu, soalan pertama dari Datuk Tengku Putera Tengku Awang (BN-Hulu Terengganu) dan soalan keenam dari Tuan Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang) juga tidak dikemukakan berikutan kedua-duanya juga tidak hadir.

Pada sesi hari ini, didapati semua Ahli Parlimen BN dari Terengganu dan Kelantan tidak hadir. Hanya Haji Ismail Noh ( PAS – Pasir Mas) tidak hadir di Dewan Rakyat.

Manakala Ahli Parlimen PAS Kelantan terdiri daripada Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Dato’ Kamarudin Jaffar (Tumpat), Dato Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa) dan Haji abdul Fatah Haron (Rantau Panjang) hadir pada sidang Parlimen walaupun turut dijemput hadir pada majlis pelancaran Wilayah Koridor di Kota BHaru petang ini.

Bahkan Abdul Fatah Haron turut membahaskan Bajet 2008 pada sesi sebelah petang.

Selepas itu, empat lagi soalan secara berturut-turut tidak dikemukakan kerana ketidakhadiran anggota Parlimen yang berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui kemudiannya, Ramli berkata persidangan Dewan Rakyat boleh diteruskan kerana ketidakhadiran beberapa anggota Parlimen tidak menjejaskan perjalanan sidang itu.
Katanya keadaan sebegitu berlaku pada masa-masa tertentu kerana anggota Parlimen yang tidak hadir berkemungkinan mempunyai sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Mereka mungkin mempunyai sebab seperti berada di luar negara atau sebagainya. Buat masa ini, saya tidak boleh komen sebab kita masih belum tahu alasan mereka tidak dapat hadir untuk menyoal (kemukakan soalan).

“Kita akan rekod. Kalau misalnya tidak ada alasan yang baik, pada masa hadapan kita akan pertimbangkan tentang soalan mereka (yang akan dikemukakan),” katanya selepas menerima kunjungan Speaker Parlimen Sri Lanka WJM Lokubondera di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Soalan dan Usul MP PAS – 29 Oktober 2007

Soalan Jawab Lisan

  • Soalan ke 15 – Dato’ Haji Abdul Halim Bin Abdul Rahman [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sejauh mana pemantauan ke atas projek-projek Kerajaan yang telah dianugerahkan kepada Bumiputera supaya projek tersebut tidak di ‘alibabakan’.
  • Soalan ke 22 – Tuan Haji Abdul Fatah Bin Haji Harun [ Rantau Panjang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sejauh mana perkembangan Projek saluran paip rentas semenanjung yang bernilai AS$7 bilion di bahagian utara Malaysia yang mengunjur dari Yan di Kedah ke Bachok di Kelantan.
  • Usul dan Rang Undang-Undang

  • Rang Undang-undang Perbekalan 2008 – Menyambung semula Perbahasan atas masalah, “ Bahawa Rang Undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang ”. (22 Oktober 2007) DAN

    Usul dibuat oleh YAB Menteri Kewangan dan masalah dicadangkan:
    “ Bahawa Dewan ini, mengikut seksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan iaitu satu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada empat puluh lapan billion satu ratus lapan belas juta dua ratus enam puluh sembilan ribu ringgit (RM48,118,269,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2008, dan bagi tujuan-tujuan dan butiran-butiran perbelanjaan pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Bajet Persekutuan 2008, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 13 Tahun 2007, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan lapan dan sembilan senarai tersebut. ”

  • Nazri, Husam Musa dan Ezam akan berentap dalam Forum ‘Rasuah dan Jenayah’ 4 November di KL

    Forum Jenayah dan Rasuah Ketua Whip PAS di Parlimen, Salahuddin Haji Ayub menjemput dan merpersilakan suluruh rakyat yang prihatin masalah rasuah dan jenayah di negara ini ke Majlis Forum ‘Rasuah dan Jenayah’ yang akan berlangsung pada 4 November 2007, jam 2.00 hingga 6.00 petang di Hotel KL Internasional, Kg Baru, Kuala Lumpur.

    Forum tersebut akan membariskan ahli Penal iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Nazri Aziz; Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa dan Pengerusi GERAK, Ezam Mohd Noor serta Ketua Program Pengajian Sejarah dan Strategi UKM, Prof Madya Mohd Agus Yusoff sebagai Moderator.

    Salahuddin sendiri akan merasmikan Forum dan akan membentangkan kertas kerja berkaitan dengan Rasuah dan Jenayah di Malaysia.

    Penyertaan adalah percuma dan terhad. Untuk daftar penyertaan sila taip DP [jarak] Nama dan hantar kepada 32244.

    Ismail Noh: ..dalam pembahagian kekayaan negara, jangan ada kepentingan politik..

    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua di atas kebenaran untuk sama-sama membincang tentang bajet yang telah dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini.

    Saya ada dua, tiga perkara yang ringkas, insya-Allah untuk disebut di dalam Dewan yang mulia ini. Pertama sekali saya memulakan dengan sepotong ayat Al-Quran, daripada Surah Al-Hasyar, petikan daripada ayat yang ketujuh… [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Bermaksud supaya “Harta kekayaan jangan hanya beredar di kalangan orang-orang kaya di kalangan kamu semata-mata”.

    Berdasarkan kepada ayat Al-Quran yang telah saya petik daripada Surah Al-Hasyar sekejap tadi, mengajar kepada kita supaya harta kekayaan tidak hanya tertumpu ataupun terlonggok hanya kepada golongan kaya.

    Yang kedua, tidak dibenarkan sekali-kali golongan miskin hidup dalam sebuah negara yang kaya dalam keadaan hina-dina, seolah-olah tidak diberi jaminan tentang kehidupan mereka untuk masa kini dan seterusnya. Kita lebarkan sedikit daripada orang kaya kepada orang miskin, kita lebarkan bagaimana, kita melihat bahawa pembangunan di negara kita ini, ianya tertumpu
    kepada pusat-pusat bandar di Kuala Lumpur, di Johor Bahru, di Ipoh dan lain-lain tempat.

    Tetapi ianya tidak merata kepada seluruh negara yang pada pagi ini kita mendengar ucapan-ucapan dukacita, sedih dan berbagai-bagai lagi daripada penyokong-penyokong kerajaan sendiri khususnya daripada Sabah, dari Sarawak dan daripada Semenanjung yang melahirkan rasa tidak puas hati mereka tentang layanan kerajaan kepada negeri-negeri yang termundur, yang termiskin di negara kita ini.

    Jadi, saya bersetuju dengan pandangan-pandangan ikhlas daripada sahabat-sahabat kita, daripada penyokong-penyokong kerajaan yang mengemukakan pandangan-pandangan tersebut kerana kita tidak mahu melihat bandar-bandar besar di negara kita ini begitu maju, begitu hebat, begitu terpesona, tetapi bila kita melihat kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia, kita nampak dengan jelas kemunduran menghantui kehidupan mereka. Kita ibaratkan negara ini sebagai satu jasad ataupun jisim manusia.

    Kalau kita melihat daripada dada ke atas, kita dapat melihat bagaimana indahnya. Mukanya cantik, kepalanya cantik dan segala-galanya cantik. Kalau kita lihat daripada aras dada ke bawahnya terlalu buruk, terlalu hodoh, bagaimana? Sudah tentu kita tidak akan rela dengan keadaan sedemikian dan bagi kita sudah tentu kita akan jaga segala anggota yang ada pada kita.

    Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula. Yang Berhormat bagi Pasir Mas. Yang Berhormat gulunglah.

    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sambung semula ucapan saya sekejap tadi. Saya bandingkan bahawa pembangunan negara mesti diseimbangkan di antara satu negeri satu wilayah dengan wilayah yang lain. Saya
    bandingkan dengan satu jasad di mana jasad itu mesti diseimbangkan. Kita tidak boleh hanya semata-mata untuk memperelok di bahagian atas tanpa kita mengambil sikap sederhana kepada anggota-anggota kita yang lain. Kita mesti perelokkan semuanya.

    Begitulah bandingan kalau dapat saya bandingkan bahawa negara kita ini kita berada dalam satu negara yang mesti kita lihat bahawa Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebagainya adalah dalam suatu ikatan, federation negara kita wang kita kuatkuasakan melalui undang-undang ikatan sosial yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara kita di mana pembangunan ini mesti diseimbangkan di antara satu sama lain dengan tidak memberi keutamaan kepada mana-mana pihak semata-mata.

    Sebab itulah saya menyokong penuh ucapan yang telah dibuat oleh sahabat-sahabat sebelum daripada saya ini dan saya yakin bahawa suara-suara ini tidak akan kedengaran dalam sesi-sesi selepas daripada ini. Apa yang kita dengar sebenarnya seolah-olah baru hendak mula, 50 tahun kita merdeka baru kita hendak mula sekarang ini pembangunan-pembangunan kepada
    wilayah-wilayah kita sama ada di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
    Teruskan membaca

    Dr Hayati: Jangan keliru dengan penghapusan yuran sekolah… kata Timbalan Menteri pelajaran

    Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya ruang untuk sama-sama membahaskan Bajet 2008. Seperti mana yang kita tahu dalam pembentangan Bajet 2008 yang akan menjanjikan sejumlah RM176.9 bilion di mana RM128.8 bilion untuk belanja mengurus dan RM48.1 bilion untuk pembangunan dengan defisit sebanyak 3.1% iaitu berkurangan daripada 3.2% pada tahun yang lepas.

    Dan dengan pelbagai jenis insentif serta bantuan kepada rakyat yang memberikan gambaran bahawa kerajaan amat prihatin dalam membela golongan kurang berada setelah menerima tekanan rakyat dengan kenaikan harga minyak yang membebankan sebelum ini.

    Walaupun kita telah mencadangkan agar yuran peperiksaan semua jenis dihapuskan termasuklah…, namun tahun ini barulah
    kerajaan sedar bahawa golongan yang belajar agama juga perlu diberikan perhatian.

    Penghapusan yuran persekolahan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Bajet 2008 rupa-rupanya hanyalah RM4.50 untuk sekolah rendah dan RM9.00 untuk sekolah menengah setahun ataupun RM0.38 dan RM0.75 untuk sebulan. Ini disahkan oleh kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran baru-baru ini yang menasihatkan ibu bapa supaya jangan terkeliru dengan penghapusan yuran persekolahan seperti disebut dalam Bajet 2008. Beliau dilaporkan berkata ibu bapa hendaklah memahami hanya yuran persekolahan itu sahaja dimansuhkan manakala bayaran lain tetap tidak berubah.

    Ertinya ibu bapa tetap akan membayar ratusan ringgit untuk pelbagai yuran sekolah pada hari pertama persekolahan anak mereka nanti. Tuan Yang di-Pertua, umum mengetahui bahawa beberapa perancangan telah dibuat oleh kerajaan agar kekayaan negara dapat diagihkan kepada rakyat secara merata. Ini termasuk Wilayah Pembangunan Iskandar dan Koridor Utara yang telah dilancarkan pada 31 Julai yang lepas.

    Walaupun Wilayah Pembangunan Iskandar yang akan dibangunkan dengan dua setengah kali keluasan negara Singapura, kita merasa hairan kenapa pada kali ini, ia diterima dengan senyuman oleh negara sekutu Israel itu walaupun sebelum ini ia sentiasa memberi masalah kepada Malaysia di dalam perundingan misalnya berhubung isu-isu penjualan air, tanah KTM di Singapura, kompleks CIQ, pengeluaran Caruman Kumpulan Simpanan Pusat (CPF) dan paling akhir adalah tentang jambatan bengkok.

    Kenapakah kali ini Singapura agak seronok dengan cadangan Wilayah Pembangunan Iskandar ini? Apakah kerana segala insentif yang diberikan oleh negara ini memberi banyak peluang dan ruang kepada mereka mengembangkan sayap ke dalam negara ini dengan mudah dan direstui melalui kegiatan ekonomi dan perluasan wilayah secara tidak langsung dan terhormat. Contohnya sudah ada, lihatlah berapakah peratus pemilikan rumah di Johor Bahru yang dimiliki oleh warga Singapura terutamanya rumah-rumah mewah.

    Rakyat merasakan insentif yang digariskan oleh Perdana Menteri seperti bebas untuk mendapatkan modal dari seluruh dunia, tiada had pengambilan pekerja warga asing, tidak tertakluk kepada syarat FIC dalam pemilikan ekuiti dan sudah pasti sekiranya free access zone yang dijanjikan kepada pemodal di Wilayah Pembangunan Iskandar ini tidak ditarik balik.

    Maka wajarlah kegelisahan yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir itu akan berlaku. Nasib baik free access zone ini ditarik balik, kalau tidak sahabat Singapura dari Israel pun akan dapat tempat dan harta di wilayah Johor nanti.

    Satu lagi kebimbangan yang ingin rakyat mendapat jawapan adalah apakah nanti syarikat Singapura atau lainnya tidak akan menjadi tuan di atas negara kita dan apakah peranan jawatankuasa peringkat menteri itu nanti dalam merunding hak mereka dalam mendapat peluang memiliki segala kekayaan di dalam negara.
    Teruskan membaca

    Wan Azizah prihatin dengan masalah pelancong asing, terima kasih kata Timbalan menteri

    Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan susulan.

    Saya ingin merujuk kepada petikan surat khabar NST 20 September yang lalu bertajuk dengan izin, “Immigration Officer robbed us of RM15,000” yang melaporkan kisah bagaimana dua orang pelancong dari Sri Lanka Krishnapillai Akilaswaran dan Piratheeen 28 tahun, ditahan di lapangan terbang KLIA pasport dan wang tunai sebanyak RM15,000 dalam bentuk US Dolar telah dirampas kemudian mereka dimasukkan dalam kem tahanan Semenyih selama lima minggu.

    Sebelum mereka dibebaskan pada 18 Oktober 2007 di depan wakil kedutaan Sri Lanka. Kedua-dua pelancong tersebut hanya dibebaskan selepas desakan dari pihak peguam dan pihak kedutaan Sri Lanka dan juga selepas satu aduan yang telah membabitkan Pengarah Penguat Kuasa Imigresen yang dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah.

    Memandangkan bahawa tahun melawat Malaysia belum berakhir, saya ingin bertanya kepada pihak kementerian apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kementerian Pelancongan supaya pelancong tulen genuine visitors dengan izin tidak diganggu ataupun ditahan sewenang-wenangnya.

    Mengenai kes dua orang pelancong dari Sri Lanka yang mengalami pengalaman yang begitu pahit di Malaysia apakah ada pampasan yang akan dibayar oleh Kementerian Pelancongan. Terima kasih.


    Memang Yang Berhormat begitu prihatin dengan isu ini kalau ada maklumat yang terperinci atau spesifik boleh dihantar kepada saya supaya kita boleh bincang di dalam mesyuarat kita yang kita ada dua minggu sekali. Sekian, kata Timbalan Menteri Pelancongan mengakhiri jawapan.

    Semasa menjawab soalan tambahan Dr Wan Azizah, Dato’ Donald Lim Siang Chai [Timbalan Menteri pelancongan] berkata:

    Terima kasih Yang Berhormat dari Permatang Pauh. Yang Berhormat begitu prihatin dengan isu-isu pelancong asing yang datang ke Malaysia. Saya memang alu-alukan. Untuk maklumat Yang Berhormat, memang ada satu jawatankuasa yang ditubuhkan atas arahan Jemaah Menteri.

    Jawatankuasa itu ialah untuk membincangkan isu-isu dalam industri pelancongan dan juga aduan-aduan seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat atau laporan di dalam surat khabar. Jawatankuasa ini diketuai oleh Kementerian Pelancongan dipengerusikan oleh Menteri atau Timbalan Menteri disertai oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Imigresen, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pihak kastam, polis, pihak LPKP dan juga ada pihak swasta dari industri pelancongan seperti MAS, AirAsia, persatuan hotel, MATTA.
    Teruskan membaca

    Video klip Linggam: Zaid sokong cadangan pembangkang supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuh

    KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan mempersoalkan rasional penubuhan panel bebas khas untuk menyiasat kesahihan rakaman klip video yang kononnya membabitkan perbualan seorang peguam dengan seorang yang dikatakan hakim kanan mengenai pelantikan hakimhakim, memandangkan ia tidak mempunyai kuasa memanggil mana-mana pihak memberi keterangan.

    Datuk Mohd Zaid Ibrahim (BN-Kota Baru) berkata kerana ketiadaan kuasa, anggota panel khas itu hanya terpaksa bergantung kepada ihsan individu tertentu untuk memberi maklumat atau keterangan.

    Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata dalam keadaan sedemikian, adalah lebih wajar jika ditubuhkan Suruhanjaya Diraja yang sekurang-kurangnya mempunyai kuasa untuk memanggil pihak-pihak tertentu untuk memberi keterangan.

    “Dengan menubuhkan panel ini, kerajaan seperti tiada keyakinan terhadap polis dan Badan Pencegah Rasuah, sebab kalau percaya, tidak perlu lantik panel,” katanya.

    Mohd Zaid turut melahirkan rasa khuatir publisiti terhadap kes berkenaan yang diketengahkan oleh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga pemimpin parti pembangkang, boleh mendorong rasa simpati rakyat terhadap parti itu.

    Dewan Rakyat ditangguh 15 minit akibat gangguan audio

    KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan selama 15 minit akibat gangguan audio yang menyebabkan pembesar suara gagal berfungsi.

    Masalah itu menyebabkan sesi soal jawab bagi soalan pertama pagi ini yang dikemukakan oleh Hamim Samuri (BNLedang) mengenai hotel kadar murah, tidak dapat didengar, begitu juga jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Donald Lim Siang Chai.

    Ketika ingin menjawab soalan tambahan wakil yang sama, Lim berkata beliau tidak dapat dengar soalan itu dan akan menjawabnya secara bertulis.

    Berikutan itu Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib menangguhkan persidangan selama 15 minit bagi membolehkan masalah itu diatasi oleh petugas teknikal.

    Masalah audio itu dapat diatasi dan persidangan disambung semula pukul 10.30 pagi.

    Kilp Video perlantikan Hakim: Wan Azizah kemuka usul gesa kerajaan tubuh Suruhanjaya Diraja

    teks penuh adalah seperti berikut;
    Tan Sri Yang Dipertua
    Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) dengan ini saya ingin mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan

    Saya Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Permatang Pauh) mohon mencadangkan:

    “BAHAWA SATU SURUHANJAYA DIRAJA DITUBUHKAN UNTUK MENYIASAT PENYALAHGUNAAN KUASA DALAM PERLANTIKAN HAKIM-HAKIM NEGARA”

    Tan Sri Yang diPertua,

    Sejak 20 September 2007, media tempatan dan antarabangsa telah melaporkan dengan meluas, pendedahan bukti berbentuk video oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan dalam perlantikan hakim-hakim Malaysia.
    Teruskan membaca