Soalan dan Usul MP PAS – 6 November 2007

Soalan Jawab Lisan

  • Soalan ke 21 – Dr. Mohamed Hayati Bin Othman [ Pendang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan peranan yang dimainkan oleh Kementerian ini dengan Kementerian lain dan Kerajaan negeri di dalam menghadapi masalah pemanasan global sekarang dan masa depan.
  • Rang Undang-Undang dan Usul

  • Pertimbangan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 (D.R.43/2007) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2008 seperti berikut :-

    (Menteri Kewangan) mencadangkan “ Bahawa Dewan ini, mengikut seksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan iaitu satu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada empat puluh lapan bilion satu ratus lapan belas juta dua ratus enam puluh sembilan ribu ringgit (RM48,118,269,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2008, dan bagi tujuan-tujuan dan butiranbutiran perbelanjaan pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Bajet Persekutuan 2008, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 13 Tahun 2007, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan lapan dan sembilan senarai tersebut. ” Dalam Jawatankuasa Sebuah-buah Majlis (5 November 2007)

  • Mengapa hasil pertanian (padi) tidak meningkat, tanya Ismail Noh

    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Timbalan Menteri Pertanian. Saya tertarik dengan apa yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tentang peningkatan penghasilan terutama di negara kita.

    Sebenarnya saya melihat dan semua kita melihat bahawa negara kita ini kaya dengan tanah-tanah pertanian yang begitu subur dengan padinya dan lain-lain lagi. Kalau kita bandingkan dengan Thailand misalnya, barangkali ramai yang kurang bersetuju apabila saya bandingkan dengan Thailand.

    Tetapi oleh kerana saya bersempadan dengan sempadan saya dengan Thailand, saya melihat Thailand lebih ceria dan lebih maju dalam pertanian.

    Apakah kita tidak sekali-sekali tidak mengambil kesempatan ini untuk kita bertukar fikiran, percubaan dan perkara-perkara seumpama dengannya kita dapat meniru ataupun setidak-tidaknya kita buat sedikit kajian tentang kejayaan mereka.

    Bagaimana mereka dapat menghasilkan buah mempelam yang baik, dapat menghasilkan sayuran yang baik dan sebagainya.

    Saya melihat satu … Yang Berhormat Timbalan Menteri, tidak usahlah kita pergi ke Thailand, saya di Kelantan, saya melihat petani yang terdiri daripada kalangan orang-orang Thai yang berada di Kelantan dengan petani yang terdiri daripada orang-orang Melayu yang berada di Kelantan, saya melihat petani Thailand yang duduk di Kelantan jauh lebih maju daripada petani Melayu yang berada di negeri Kelantan.

    Mengapa keadaan ini boleh berlaku sedangkan mereka juga terdiri daripada rakyat Kelantan. Mungkin mereka ini berulang alik ke Thailand mendapat input pertanian ataupun setidak-tidaknya pandangan-pandangan daripada pakar-pakar mereka daripada Thailand dan mereka bawa kembali ke Kelantan. Sebab itulah Tumpat misalnya, petani-petani Thailand yang berada di Tumpat begitu hebat sekali dan pergantungan sayur di Kota Bharu pun sebahagian daripada sayur daripada Tumpat.

    Mengapa mereka berhasil sedangkan orang Melayu kita masih tidak ataupun dalam kadar yang lama. Barangkali ada satu yang silap bagi kita dan saya rasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melihat di mana perkara-perkara yang kita perlu baiki.

    Barangkali untuk kita melihat kesemuanya itu tidak mungkin. Cuma kita boleh perbaiki satu demi satu.

    Dulu saya ingat di waktu saya kecil-kecil dahulu, Tuan Yang di-Pertua, di Kelantan misalnya masyhur dengan tanaman padi. Tetapi sekarang ini apabila KADA mengambil tanggungjawab ini jauh daripada untuk mendapat 10 tan metrik satu ekar. Jauh daripada itu.

    Malah petani masing-masing suka tinggal tanah pertanian mereka dan mereka mencari kerja-kerja lain.

    Bila kita tanya mereka, mengapa mereka tinggalkan kawasan-kawasan pertanian mereka, ladang-ladang, tanah-tanah dan bendang-bendang padi mereka? Mereka kata pertama sekali kerana bahan-bahannya terlalu mahal. Bajak sawahnya mahal, benih padinya mahal, racunnya mahal, upahnya mahal dan semuanya mahal dan membebankan rakyat di kampung.

    Jadi bagaimana kami dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik sedangkan bebanan untuk melaksanakan kerja-kerja ini terlalu berat.

    Jadi ini saya rasa perlu difikirkan oleh kementerian, bagaimana untuk mengatasi sehingga petani kita kembali semula ke ladang dan mereka melakukan kerja dengan seikhlas hati. Bila saya melihat kepada KADA misalnya, KADA buat tanah ini secara berkelompok, barangkali kewangannya ada, orangnya ada. Satu perkara yang tidak ada iaitu keikhlasan.

    Keikhlasan ini timbul daripada petani sendiri sebenarnya dan selagi mereka tidak ikhlas buat tanah, bajak tanah, hasilnya tidak lumayan. Apa pandangan Yang Berhormat?

    Dato’ Seri Mohd. Shariff bin Omar (timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani): Tuan Yang di-Pertua, terima kasih atas pandangan Ahli Yang Berhormat. Sebenarnya kalau banding dengan negara jiran, tidak ada bezanya dan kita pun lebih kurang sama cumanya dari segi saiz kawasan pertanian itu lebih besar berbanding dengan saiz Malaysia dan sebab itu dari segi pengeluarannya lebih banyak.
    (1 November 2007)

    Dr Hayati nak teknik2 moden diajar kepada penternak

    Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Tuan Yang di-Pertua, sambungan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Timbalan Menteri. Tadi Timbalan Menteri ada menyebut perkara-perkara berhubung dengan teknik-teknik moden, pengembang-pengembang pertanian dan penternak-penternak kambing.

    Saya telah beberapa kali menyentuh berhubung dengan teknik-teknik moden ini, kerana saya berjumpa ramai di antara penternak-penternak kambing ini, dia kata teknik-teknik moden ini selalunya tidak diajar kepada mereka oleh pengembang-pengembang pertanian di peringkat bawahan.

    Saya bagi contoh macam disebut oleh Timbalan Menteri tentang permanian berhadas. Selalunya kalau dibiarkan kambing ini mengawan dengan sendiri, mungkin anaknya tidak sebanyak mungkin mereka boleh dapat dengan teknik-teknik permanian berhadas.

    Satu lagi disentuh oleh Timbalan Menteri tentang benih-benih ataupun semen ataupun mani daripada induk jantan daripada kambing tersebut. Pernah disebut tentang ia mungkin diimport daripada negara luar sebagai semen yang di sejuk bekukan.

    Jadi saya hendak tahu setakat ini, setakat sekarang ini bagaimanakah pengembang-pengembang pertanian ini boleh dimasukkan ke dalam masyarakat supaya mereka ini diajar dengan teknik-teknik macam mana nak masukkan semen ini ke dalam rahim induk kambing-kambing tempatan.

    Sebab inilah yang saya rasa yang penting yang perlu mereka ketahui supaya mereka boleh menggunakan teknik ini untuk membanyakkan anak-anak kambing itu sendiri. Saya rasa kalau hendak bagi dia mengawan sendiri, memang agak sukarlah, orang kata kalau manusia ini tidak sekufu. Kambing ini mungkin tidak berkenan dengan kambing tempatan maka dia tidak berapa hendak mengawan. Jadi minta ulasan daripada Timbalan Menteri.

    Dato’ Seri Mohd. Shariff bin Omar [Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani]: Terima kasih Yang Berhormat dari Pendang. Soalan mengenai dengan aktiviti pengembangan tentang pembiakan secara bukan secara natural, mating dengan menggunakan EI ataupun menggunakan semen dan embrio dengan izin.

    Sebenarnya kaedah menggunakan EI ini untuk makluman Yang Berhormat, sudah pun meluas sekali dan penternak-penternak kita sudah pun mahir, melalui kaedah yang ditunjukkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Kalau kita pergi di sebelah Pantai Timur, khususnya Kelantan, kita boleh tanya dia, DIY, “do it yourself”.

    Itu istilah yang dipakai oleh penternak-penternak kita. Kalau tanya penternak-penternak kita, memang dia tahu DIY, dengan izin, “do it yourself”. Maknanya kita sudah ajar dia, cara dia macam mana…
    (1 November 2007) – Sewaktu mencelah penggulungan perinkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani oleh Timbalan Menteri.

    Ucapan Ezam Mohd Noor pada Forum Jenayah dan Rasuah

    Ucaptama Salahuddin pada Forum Jenayah dan Rasuah