Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya saya bangkit dalam ucapan bahas bajet baru-baru ini di mana pembahagian ataupun keutamaan mesti diberi kepada kawasan luar bandar.
Apa yang saya hendak timbulkan pada petang ini iaitu, apakah kerajaan telah mengenal pasti keutamaan-keutamaan yang seharusnya diberikan kepada pembangunan luar bandar itu sendiri.
Misalnya dari segi jalan raya, api elektrik, bekalan air bersih, sekolah, bantu-bantuan lain kepada masyarakat kampung yang boleh kita lihat secara umumnya bahawa kerajaan telah menumpukan usaha-usaha ini ke arah pembangunan luar bandar sebenarnya. Bukan hanya secara global, tetapi secara khusus mesti diberi keutamaan.
Saya melihat contohnya, daripada perjalanan saya daripada Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Di Pahang sendiri saya lihat, di negeri Timbalan Perdana Menteri. Di sana ada waris saya, keluarga saya, saya melihat jalan ke rumahnya itu pun belum lagi diselesaikan.
Saya melihat infrastruktur di negeri Pantai Timur biarlah kalau negeri Kelantan itu kerana diperintah oleh parti pembangkang tetapi saya kira di era Perdana Menteri kita ini, beliau tidak akan tinggal Kelantan, tersisih daripada negeri-negeri lain. Saya ucap terima kasih di atas usaha yang telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Apa yang saya timbulkan pada hari ini ada lagi kampung-kampung yang tercicir, tertinggal, barangkali terlepas pandang. Saya kira bahawa kementerian dapat ataupun mesti membuat suatu kajian secara detail di mana lagi kampung-kampung tertinggal di negara kita ini.
Apa pandangan Timbalan Menteri?
Datuk Dr. Tiki anak Lafe (Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah): Terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas. Saya setuju bahawa kerajaan ataupun kementerian memberi keutamaan kepada beberapa projek masalah yang dihadapi di luar bandar. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kementerian memang sudah pun mempunyai program-program seperti mana yang sering kita bincangkan dalam Dewan yang mulia ini, iaitu dari segi infrastruktur.
Ada dua jenis jalan yang dibina menggunakan peruntukan di bawah kementerian iaitu jalan luar bandar. Jalan luar bandar merupakan jalan yang dibina daripada jalan utama kepada kampung ataupun perkampungan atau rumah panjang.
Yang kedua adalah projek jalan kampung yang dibina di dalam kampung itu sendiri. Namun demikian, projek-projek ini dibina, dilaksanakan mengikut keutamaan dengan mengambil kira beberapa perkara khasnya keutamaan yang diberi.
Senarai keutamaan yang dipersetujui oleh kerajaan atau kementerian dengan pihak berkuasa negeri atau kerajaan negeri juga mengambil kira pandangan daripada wakil rakyat dan juga pejabat-pejabat daerah di mana projek itu dicadangkan.
Begitu juga dengan air, api, oleh sebab itu kementerian sudah beberapa tahun ini telah menukar pendekatan dan sebagainya, meletakkan pegawai pemantau, dan baru-baru ini kita juga menubuhkan unit teknikal yang kita rasa diperlukan untuk mempercepatkan lagi liputan program projek yang kementerian laksanakan.
Namun demikian kita juga sedar, bahawa kementerian atau kerajaan mempunyai cabaran. Satu daripadanya adalah peruntukan dan oleh sebab itulah kita menjalankan projekprojek ini, melaksanakan projek-projek ini secara berperingkat-peringkat.
Memang kementerian, saya sendiri kalau boleh saya pun hendak bina semua jalan ini mungkin dalam satu bulan, satu hari tetapi dengan mengambil kira hakikat bahawa dari segi peruntukan, dari segi faktor-faktor yang lain, ini merupakan isu-isu yang perlu diambil kira. Jadi oleh sebab itulah memang ada lagi kawasan kampung yang belum lagi menikmati kemudahan-kemudahan asas seperti mana yang telah disebut oleh Yang Berhormat tadi.
Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Saya kurang puas hati Yang Berhormat Timbalan Menteri kerana peruntukan yang saya tahu banyak, peruntukan yang sampai kepada setiap negeri itu saya rasa mencukupi. Tinggal lagi kita barangkali tidak membuat suatu analisa yang terperinci dalam suatu jajahan, dalam suatu mukim, dalam suatu tempat.
Teruskan membaca
Filed under: ADR Pasir Mas, Ucapan | Leave a comment »