Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya hendak balik masalah AUKU sebentar tadi yang ditimbulkan dan Yang Berhormat telah menyatakan dalam Dewan yang mulia ini bahawa AUKU tidak pernah menyekat, tidak pernah menghalang potensi karisma dan juga kecemerlangan pelajar-pelajar kita dan pensyarah-pensyarah kita.
Yang Berhormat, baru-baru ini diadakan pilihan raya kampus dan kita menyaksikan tindakan-tindakan yang paling tidak bertamadun. Dekan tak nak sign borang pencalonan, laptop dirampas, kempen-kempen tidak diizinkan.
Sepatutnya universiti kita menjadi contoh, betapa suburnya demokrasi dalam negara kita, pensyarah-pensyarah yang dilihat katakan tidak berpihak diambil tindakan dan seumpamanya.
Tidakkah Yang Berhormat sedar ini AUKU ini sebenarnya, kita bukan will forward, kita backward dan ini membunuh karisma, potensi warga universiti.
Cuba kita muhasabah Yang Berhormat. Kita sudah merdeka 50 tahun. Tak ada satu pun, tak ada satu pun universiti kita memenangi Noble Laureates, tak ada pun. Kita melihat potensi pelajar universiti dibunuh. Cuba kita lihat Universitiy of Columbia baru-baru ini. An open debates, sama ada mereka bersetuju atau tidak bersetuju itu lain cerita.
Harvard University, Cambridge University, Oxford University, debates politiknya satu budaya yang menyuburkan minda. Ini kita di universiti, pelajar hanya menyerahkan memorandum kepada Timbalan Naik Canselor, diambil tindakan, digantung pengajian dan seumpamanya.
Tidakkah ini bermakna AUKU ini sebenarnya dah sampai masa dipinda, review semula kerana ini telah membunuh setiap potensi pelajar-pelajar dan warga universiti dalam negara kita. Adakah Yang Berhormat bersetuju dengan pandangan saya? Terima kasih.
Datuk Ong Tee Keat (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi): Tuan Yang di-Pertua, cara Yang Berhormat Kubang Kerian tadi
berpolemik itu mungkin ada pasarannya dalam ceramah politik. Dalam Dewan yang mulia ini kalau kita masing-masing, kita faham tentang apa sebenarnya dalam sesuatu akta termasuk AUKU, maka saya rasa dan saya yakin penuh bahawa Yang Berhormat pun tahu juga sebenarnya isi kandungan dan AUKU dengan pilihan raya kampus ini sebenarnya dia tidak ada hubung kait yang dimaksudkan.
“AUKU tidak berniat, yang saya cakap tadi itu. AUKU tidak berniat menyekat kebebasan. Kalau kita baca dengan teliti khasnya isi kandungan yang tersurat dan tersirat.
Yang Berhormat sebenarnya cuba hendak hubung kaitkan pilihan raya kampus apa yang berlaku baru-baru ini dengan adanya AUKU. Sebenarnya Yang Berhormat sendiri pun tahu juga, bahawa pilihan raya, pengendalian pilihan raya kampus adalah dalam bidang kuasa dan tugas ITPA masing-masing.
Yang Berhormat juga cuba hendak hujahkan setakat ini kita belum lagi melahirkan seorang Noble Prize Laureates dan ini disebabkan oleh kononnya AUKU. Saya hendak tanya Yang Berhormat apakah Yang Berhormat maksudkan bahawa kalaulah AUKU ataupun akta-akta yang sedemikian rupa dimaksudkan, maka kita akan menghasilkan Noble Prize Laureates.
Sebenarnya apa yang dibangkitkan itu adalah bercorak polemik yang kalau hendak pancing undi mungkinlah tapi kalau secara bernas, kita sama-sama hendak berusaha, hendak menambah baik lagi mutu pengajian tinggi kita tanpa mengira fahaman politik, itu bukan caranya.
Teruskan membaca →
Filed under: ADR Kubang Kerian, IPT, Ucapan | 1 Comment »