Salahuddin kecewa dengan kenyataan Pesuruhjaya Suhakam

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendesak agar Pesuruhjaya Suhakam, Dato’ N. Siva Subramaniam meletakkan jawatan daripada suruhanjaya tersebut berikutan kenyataannya bahawa polis tidak menggunakan kekerasan dalam perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November lalu.

Dalam sidang media yang diadakan di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub melahirkan kekecewaan kerana sebelum ini, Suhakam dalam laporan inkuiri awam berhubung tragedi ‘Bloody Sunday’ juga menyokong perhimpunan aman seta mengharapkan pihak polis menghapuskan permohonan permit untuk berhimpun.

“Kenyataan Siva itu telah menghakis kepercayaan kami kepada Suhakam, sedangkan badan ini dikatakan bertanggungjawab membela hak asasi manusia.

“Kami mengharapkan Suhakam tidak mengikis kepercayaan rakyat dengan pendirian seperti yang ditunjukkan Siva itu. Sedangkan dalam perhimpunan tersebut ada antara peserta yang cedera parah akibat kekasaran pihak polis,”katanya.

Selain Yap Swee Seng dan Salahuddin, sidang media tersebut dihadiri oleh beberapa orang jawatan kuasa Bersih yang lain antaranya, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Teresa Kok,Maria Chin Abdullah dan Khai Loon.

Salahuddin turut menjelaskan, surat jawapan daripada Yang di-Pertuan Agung yang dihantar kepada Bersih yang menyatakan akan menerima memorandum tersebut menunjukkan bahawa baginda bersedia mendengar tuntutan Bersih terhadap empat perkara ke arah pilihan raya adil dan bersih.

Dalam sidang akhbar itu juga, jawatankuasa Bersih menunjukkan surat jawapan daripada Yang di-Pertuan Agung sebagaimana yang diminta oleh para wartawan.

“Jika tuntutan ini sebagai tuntutan yang tidak penting dan remeh, kenapa baginda bersedia untuk menerima penyerahan memorandum kami. Dan pada 10 haribulan itu juga setiausaha sulit baginda menerima memorandum tersebut.

“Ini bermakna baginda amat prihatin dengan tuntutan rakyat dan bukan soal mengheret baginda dalam kancah politik,” tegas Salahuddin.

Sementara itu Salahuddin yang ditemui sejurus sidang akhbar memberi isyarat yang jelas kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya melihat perhimpunan 100,000 orang ini sebagai kebanjiran bantahan rakyat dan tidak menjadikan SPR sebagai bilik gerakan BN.

Jelasnya, Abdul Rashid harus belajar daripada perhimpunan tersebut dan melihat sebagai protes rakyat yang terbesar di negara kita.

Salahuddin juga tidak menolak kemungkinan Bersih akan mengadakan perhimpunan yang lebih besar sekiranya pihak SPR dan kakitangannya menjadikan SPR sebagai bilik gerakan BN.

Dalam sidang media itu juga, Bersih menggalakkan semua rakyat memakai pakaian berwarna kuning pada setiap hari Sabtu. Bersih turut mengumumkan penyertaan Parti Pasok Sabah ke dalam Bersih menjadikan enam buah parti politik yang menyertai pertubuhan tersebut.

Sementara itu, Jawatankuasa Bersih, Yap Swee Seng menegaskan kenyataan Siva itu amat memeranjatkan kerana dilihat bertentangan dengan mandat Suhakam untuk membela hak asasi manusia.

Malahan katanya dilihat berbeza dengan kenyataannya selama ini berhubung beberapa insiden kekejaman polis yang berlaku.

Jelas Pengarah Eksekutif Suaram ini, laporan daripada media antarabangsa mengenai perhimpunan tersebut secara langsung jelas menunjukkan kekejaman yang dilakukan polis.

Beliau melahirkan kekesalan bagaimana Siva menyatakan tiada kekejaman yang berlaku pada hari tersebut.

Soalan dan Usul MP PAS – 14 November 2007

Soalan Jawab Lisan

  • Soalan ke 16 – Tuan Haji Abdul Fatah Bin Haji Harun [ Rantau Panjang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan di atas cadangan SPR dan lain-lain pihak untuk melaksanakan cap dakwat pada ibu jari pengundi pada pilihan raya akan datang.
  • Soalan ke 19 – Dato’ Kamarudin Bin Jaffar [ Tumpat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan kedudukan permohonan Presiden Transparency International yang mahukan kedua-dua kes Bekas Ketua Pengarah BPR dan Ketua Polis Negara yang dibebaskan dari dakwaan rasuah oleh Peguam Negara, didedah kepada umum secara terbuka bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.
  • Soalan ke 24 – Dr. Mohamed Hayati Bin Othman [ Pendang ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan
    (a) jumlah lawatan rasmi YAB. Perdana Menteri keluar negara sejak beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri;
    dan
    (b) nyatakan negara yang dilawati beliau dan jumlah perbelanjaan untuk kesemua lawatan tersebut.
  • Rang Undang-Undang dan Usul

  • Menyambung Semula Pertimbangan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 (D.R.43/2007) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2008 seperti berikut :-
    (Menteri Kewangan) “ Bahawa Dewan ini, mengikut seksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan iaitu satu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada empat puluh lapan bilion satu ratus lapan belas juta dua ratus enam puluh sembilan ribu ringgit (RM48,118,269,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2008, dan bagi tujuan-tujuan dan butiranbutiran perbelanjaan pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Bajet Persekutuan 2008, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 13 Tahun 2007, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan lapan dan sembilan senarai tersebut. ” Dalam Jawatankuasa Sebuah-buah Majlis (13 November 2007)

  • Abdul Fatah: Apakah jaminan WPI tidak terjatuh terus kepada pelabur asing?

    Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Ya, saya bagi pihak Kubang Kerian, pohon Soalan 11.

    11. Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah pelaburan untuk Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) sehingga kini dan jangkaan pelaburan seterusnya.

    Tuan Yang di-Pertua: Ya, sila Yang Berhormat, Soalan 11.
    Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Tuan Yang di-Pertua, soalan 10 Tuan Yang di-Pertua.
    Tuan Yang di-Pertua: Soalan 11.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan telah memperuntukkan dana melebihi RM4 bilion untuk pembangunan infrastruktur Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor.

    Ini merupakan komitmen kerajaan yang bersungguh-sungguh dalam memajukan Wilayah Pembangunan Iskandar dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara keseluruhannya. Dalam hal ini kerajaan akan terus berusaha menggalakkan pelaburan di WPI sama ada pelaburan tempatan mahupun asing untuk menjadikan wilayah itu sebagai hab pertumbuhan terbesar di rantau ini.

    Manakala jangkaan pelaburan modal yang diperlukan bagi keseluruhan pembangunan WPI sehingga tahun 2025 pula adalah berjumlah RM382 bilion.

    Tuan Yang di-Pertua, dari segi pelaburan asing memang banyak pelabur luar telah menyatakan keinginan untuk melabur di WPI. Seperti mana yang diumumkan sedikit masa lalu setakat ini antara pelabur asing yang berminat melabur di WPI ialah dari India, China, Singapura, Jepun serta dari negara-negara Timur Tengah. Mereka dijangka akan membawa masuk modal asing yang besar ke WPI dalam tempoh 20 tahun akan datang.

    Baru-baru ini pada 29 Ogos 2007, perjanjian juga telah dimeterai di antara pelabur daripada beberapa negara Arab untuk melabur di WPI ini. Pelabur ini ialah sekumpulan pelabur dari Abu Dhabi, Kuwait, Saudi Arabia dan Lebanon dengan jumlah pelaburan melebihi RM4.1 bilion untuk melaksanakan beberapa projek seperti hartanah, pelancongan dan rekreasi.

    Ini merupakan pelaburan luar yang pertama dilaksanakan di WPI. Pelaburan awal dalam
    pembangunan induk atau Note 1 oleh firma rantau teluk itu melibatkan pembangunan tanah seluas kira-kira 890 hektar yang terletak dalam kawasan Nusa Jaya, antara pusat pentadbiran negeri Johor dan jambatan kedua ke negara jiran, Singapura.

    Pelabur berkenaan adalah dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk ataupun GCC iaitu Aldar Properties PJSC, Mubadala Development Company, Kuwait Finance House dan Millennium Development International Company. Pelaburan tersebut juga merupakan pembangunan hartanah terbesar oleh pelabur asing tunggal di negara ini dan dipercayai ialah salah satu daripada pembangunan hartanah terbesar di peringkat serantau.
    Teruskan membaca

    Perhimpunan aman: Lim Kit Siang vs Nazri Aziz