Salahuddin cadangkan konsep house arrest bagi kesalahan tidak berbahaya

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Memandangkan apa yang dilaporkan tadi terdapat kesesakan di penjara-penjara dalam negara kita.

Tidakkah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan apa yang dikatakan konsep house arrest bagi kesalahan-kesalahan yang dikategorikan tidak begitu berbahaya seperti sebagai contoh hukuman-hukuman yang dikatakan denda kurang daripada RM2,000 dan seumpamanya untuk kita mengatasi masalah ini.

Jadi ada negara lain di dunia ini yang telah menggunakan house arrest dan didapati ia sangat berkesan dan tidak menyesakkan penjara-penjara dalam negara mereka. Apa cadangan kementerian?

Datuk Fu Ah Kiow (Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri): Setakat ini kerajaan belum memikirkan pelaksanaan konsep tersebut tetapi apa yang telah diluluskan oleh Parlimen ialah sistem CSO di mana kalau mereka yang terbabit dalam kesalahan kecil-kecilan, mereka boleh diperintah oleh mahkamah untuk menjalankan kerja khidmat masyarakat untuk mereka yang di bawah umur 21 tahun. Itu adalah dalam pelaksanaan dan persiapan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Soalan asal Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh bin Tun Said [Kota Belud] minta Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan apakah langkah yang diambil untuk mengatasi masalah kesesakan di penjara seluruh negara yang kebanyakannya dihuni warga asing. Mengikut perangkaan bahawa hampir separuh atau kira-kira 24,000 daripada 49,000 penghuni penjara seluruh negara ini terdiri daripada warga asing. [21 Nov. 2007]