Salahuddin ucap tahniah kepada Penyelidik di IPTA

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Pengerusi, Tuan Pengerusi. Saya cuma ada dua perkara sahaja iaitu mengenai Butiran 020200 – Jabatan Metrologi Malaysia.

Saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak kementerian sejauh manakah efektifnya Sistem
Amaran Awal tentang tsunami dan juga bencana-bencana alam yang lain yang telah mula dipasang dalam negara kita.

Apakah progress dan perkembangannya dan adakah kita yakin dan percaya bahawa Sistem Amaran Awal ini telah sedikit sebanyak membantu negara di dalam menghadapi bencana-bencana alam yang semakin tidak terduga yang sedang berlaku di dalam negara kita akibat daripada global warming dan juga perubahan cuaca yang tidak menentu.

Oleh itu saya harap mendapat penjelasan sama ada sistem ini telah pun dipasang dan di manakah tempat-tempatnya dan apakah keberkesanannya pada tahap yang ada pada hari ini.

Kedua, Tuan Pengerusi, 030500 – Bahagian Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). Isu yang penting untuk diberitahu dalam Dewan yang mulia ini ialah tentang isu bagaimana setiap hasil penyelidikan ini, adakah telah dapat dikomersialkan.

Saya difahamkan bahawa di Malaysia, pengalaman Sistem Inovasi Kebangsaan atau National Innovation System diperkenalkan oleh Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN) melalui MOSTI, kementerian yang berkenaan dalam framework R&D yang dijalankan oleh kebanyakan daripada universiti-universiti dalam negara kita yang telah dinaiktarafkan kepada universiti penyelidikan.

Isu yang sering kali dibangkitkan apabila hasil-hasil penyelidikan yang dilakukan oleh pakar-pakar kita, alhamdulillah, saya mengucapkan tahniah kepada para penyelidik yang bekerja bertungkus-lumus di IPTA kita.

Melakukan pelbagai jenis penyelidikan ini termasuklah seperti dalam bidang biotech, kita cuba mengkomersialkan tanaman halia sebagai satu asas penting dalam dunia kosmetik dan seumpamanya.

Saya difahamkan bahawa mengikut maklumat yang diberikan kepada saya, bahawa kita memang mungkin cukup geran dari segi penyelidikan; tetapi bila sampai pada tahap hasil-hasil penyelidikan itu untuk dikomersialkan, kita menghadapi halangan-halangan seperti kita tidak mendapat sokongan padu daripada pihak-pihak sektor industri dan juga pihak swasta.

Mungkin budaya industri dalam negara kita ataupun pihak swasta ini tidak sampai lagi pada tahap yang diamalkan di negara-negara maju atau di negara seperti Hong Kong, sebagai contoh, industri-industri dalam negara tersebut, mereka bukan sahaja yakin dengan hasil-hasil
penyelidikan tetapi dengan cepat mereka menjadi sebahagian daripada melakukan aktiviti penajaan terhadap penyelidikan di negara mereka.

Jadi saya ingin mendapat satu kefahaman daripada MOSTI, apakah langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh kementerian ini untuk meyakinkan badan-badan industri ini dan khususnya apabila kita melihat kepada implikasi ataupun impak kajian fundamental yang bergantung kepada kejayaan sains gunaan ini.

Jadi adakah perkara-perkara seperti ini telah sampai kepada tahap yang kita perlukan ataupun kita masih lagi tidak berjaya. Saya juga difahamkan hanya lebih kurang 1.3% sahaja daripada hasil penyelidikan yang dibuat oleh universiti kita ini telah pun berjaya dikomersialkan. Jadi rank itu ataupun jarak itu masih jauh untuk kita melihat segala hasil kajian R&D yang dibuat oleh IPTA kita ini berjaya dikomersialkan.

Keduanya, saya ingin bertanya tentang perpindahan teknologi. Saya juga mendapat maklumat bahawa walaupun Proton sebagai contoh, kita mengadakan usaha sama dengan Mitsubishi tetapi difahamkan sampai ke hari ini, kita tidak dapat teknologi. Vendor, alhamdulillah, kita boleh buat, parts atau bahagian-bahagian yang kita boleh buat dan ramai rakyat dalam negara kita boleh menjadi vendor yang baik.

Namun teknologi, Mitsubishi tidak memindahkan teknologi automobil itu kepada kita. Kita masih lagi gagal untuk mendapat teknologi itu.

Dalam hal ini saya juga sebagai rakyat Malaysia, kita berbangga dengan angkasawan kita, kita berjaya menghantar angkasawan kita. Itu watershed yang kita harapkan dalam pembentukan minda negara pada masa yang akan datang. Tuan Pengerusi, bila kita bercakap tentang inovasi dan bahagian kementerian ini yang paling penting ialah Bahagian Sains, Teknologi dan Inovasi ini, kita harus meniru bagaimana Iran, sebagai contoh, bila mereka membeli Sukhoi, mereka minta ialah perpindahan teknologi. Mereka minta teknologi Sukhoi itu.

Kita beli Sukhoi, kita hantar angkasawan. Bukan tidak baik menghantar angkasawan tetapi dari
segi keutamaannya, aulawiatnya macam mana.

Jadi Iran membeli Sukhoi, mereka dapat teknologi dan hari ini mereka berjaya mencipta pesawat-pesawat dengan menggunakan teknologi ini. Apa yang penting adalah teknologi.

Kita beli Sukhoi, kita menghantar angkasawan dan kita belanja hampir RM100 juta tetapi kita tidak dapat teknologi itu. Yang Berhormat Larut tadi menyebut bahawa kita hendak beli Soyuz. Pada saya, kalau hendak beli pun, kerajaan kena memikirkan banyak kali. Buat apa ada Soyuz depan mata kita?

Kita ada Proton depan mata kita tetapi kita tidak dapat teknologi itu, tetapi yang penting ialah kita mahukan teknologi.

Jadi saya mengharapkan supaya pada masa-masa yang akan datang, yang penting bagi saya adalah IPTA kita ada ramai kepakaran. Kita ada ramai profesor, kita ada ramai penyelidik yang bertaraf dunia, tetapi yang penting pada hari ini yang mesti difikirkan oleh kementerian ialah bagaimana hasil penyelidikan ini mesti dikomersialkan sebanyak mungkin.

Barulah kita boleh mencipta, membeli dunia dengan jenama seperti mana Jepun dan Korea hari ini membeli dunia dengan Honda, dengan Mitsubishi, dengan Matsushita. Korea membeli dunia dengan Sang Yong, dengan Kia.

Jadi kalau kita berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikan kita dalam apa barangan sekalipun, ini yang kita mahu mencipta. Bukan sekadar nama yang hanya sementara waktu tetapi kita mahukan jenama-jenama yang boleh membeli dunia. Itu sahaja, Tuan Pengerusi. Terima kasih.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: