PRU 12: Peluang rakyat tebus semula hak yang digadai BN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan kenyataan dangkal Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa sekiranya rakyat mengundi pembangkang akan menggadai masa depan negara.

Salahuddin Bagi DPP Pusat, sebarang perubahan yang dibuat oleh rakyat tidak akan menjejaskan negara, bahkan perubahan ini bertujuan menambahkan kebaikan kepada rakyat dan negara setelah sekian lama di perintah secara zalim oleh Kerajaan BN.

Adalah satu kenyataan yang silap bagi seorang pemimpin apabila menganggap perubahan adalah menggadai masa depan. Bukankah untuk kita lebih berjaya dan mencapai sesuatu yang lebih bermakna kita perlu berubah, dan mengundi pembangkang adalah satu cara kita berubah.

Nabi Muhammad SAW sendiri berhijrah ke Madinah apabila kerajaan Mekah yang dikuasai oleh orang Quraisy menolak Islam. Ini adalah satu bentuk perubahan untuk kebaikan, bukannya menggadai masa depan.

Rakyat harus melihat apakah keadaan sedia ada dengan kos hidup yang begitu tinggi, indeks kebebasan media yang teruk, indeks rasuah yang tinggi, perlaksanaan demokrasi tempang, salah guna kuasa dan penyelewengan yang begitu meluas dan sebagainya sebagai suatu yang cukup baik? Atau kita perlu berubah sekarang.

Bagi rakyat di negara maju seperti Eropah dan AS, mengundi pembangkang bertujuan untuk memulihkan semula negara yang dirosakkan oleh regim sebelumnya. Lihatlah bagaimana rakyat Britain, Australia dan AS membuat perubahan. Mereka tidak menggadai masa depan negara.

Hari ini, parti pembangkang di AS mendapat sambutan begitu meluas kerana dasar-dasar zalim regim George W Bush. Mereka mahu mengundi pembangkang untuk kebaikan. Dahulupun, di rantau ini, rakyat menjatuhkan Suharto dan tentera menjatuhkan Takhsin Sinawatra dengan tujuan untuk kebaikan kepada negara. Mereka bukan menggadai masa depan.

Kita harus sedar bahawa telah banyak perkara yang tergadai di Negara ini hasil kerakusan Kerajaan BN selama 50 tahun. Tanah rezab Melayu telah tergadai, bahasa Melayu tergadai, agama Islam tergadai, pendidikan Melayu tergadai, bahkan tanah-tanah ladang Felda juga hampir tergadai.

Di Felda Kemahang 3, rakyat terpaksa menebus semula hak mereka yang tergadai di Mahkamah Tinggi. Tiba-tiba pada hari ini, Menteri Felda memberitahu peneroka jangan gadai masa depan negara kepada pembangkang. Pilihan raya ini adalah peluang seluruh rakyat menebus semula segala hak yang telah digadai oleh BN, dan tawaran negara kebajikan oleh PAS adalah untuk menebus semula segala yang tergadai itu.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Bukti BN khianati Bahasa Melayu – Salahuddin

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius tindakan Kementerian Pelajaran yang dipimpin oleh Ketua Pemuda Umno, Datu Seri Hishamuddin Hussein yang telah meminggirkan karya-karya bermutu oleh Sasterawan Negara daripada senarai buku-buku baru teks untuk Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) dan Sastera Selektif SPM.

Dasar terbaru Kementerian Pelajaran ini membuktikan bahawa Kerajaan BN memang berniat jahat terhadap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sekali gus bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu mempunyai kedudukan istimewa di negara ini apabila Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjamin dikedudukannya sebagai bahasa rasmi. Selain itu, Akta Pelajaran 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan Dasar Bahasa Kebangsaan telah menjamin kedudukan bahasa Melayu.

Tetapi Kerajaan BN semenjak dahulu berusaha untuk merendahtarafkan bahasa Melayu dengan menghapuskan tulisan Jawi, kemudian menggunakan bahasa Inggeris di universiti. Kerajaan BN juga bertanggungjawab terhadap dasar penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar mata pelajaran sains dan metametik di sekolah. Pada hari ini, bahasa Melayu menjadi bahasa kelas dua sahaja.

Jika kita perhatikan, Kementerian Penerangan pernah bertelagah dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana isu istilah ‘kecapaian’ dahulu, diikuti oleh bahasa rojak ‘infotainment’ oleh RTM. Kemudian berkembang perkataan-perkataan sesat seperti ‘sureheboh’ dan ‘tariking’. Di Putrajaya, Kerajaan BN sengaja menggunakan istilah asing seperti parcel, presint, Palace of Justice dan sebagainya untuk meminggirkan bahasa Melayu.

Inilah sikap dangkal dan bebal yang tunjukkan oleh Kerajaan BN semenjak dahulu yang tidak mahu mengangkat bahasa sendiri, sebaliknya memuja bahasa penjajah.

Dalam isu Komsas, komponen sastera hanya meliputi 35 hingga 40 minit seminggu dengan jumlah guru opsyen bahasa Melayu yang begitu kritikal. Tiba-tiba, subjek yang boleh membantu pelajar menggunakan bahasa Melayu tinggi dan indah telah disisihkan melalui penggunaan karya-karya popular. Sedangkan karya-karya Sasterawan Negara dan penerima Anugerah Sea Write begitu berkualiti tidak dimanfaatkan.

Apa erti kita melantik Sasterawan Negara dan menubuhkan DBP, jika Kementerian Pelajaran sendiri meminggirkan mereka. Perkara ini berlaku semenjak 2000 lagi, dan pemilihan teks untuk 2010 kelak juga menghadapi isu yang sama. Mengapa Kementerian Pelajaran gagal melakukan sesuatu untuk tempoh satu dekad bagi mengatasi masalah ini.

DPP Pusat berasa terkilan apabila beberapa Sasterawan dan penulis mapan tanah air terpaksa bersungut dan ada yang ‘meletak jawatan’ sebagai Sasterawan Negara kerana membantah kelemahan Kementerian Pelajaran. Sikap tidak cakna terhadap kualiti pembelajaran bahasa ini juga dapat diperhatikan apabila sesetengah sekolah sengaja meletakkan subjek Sastera Selektif untuk pelajar yang tidak cemerlang kerana mematuhi dasar nisbah aliran sains-sastera 60:40 oleh Kementerian Pelajaran.

Ketika rakyat negara ini begitu kurang membaca, sepatutnya karya-karya besar dijadikan teks di sekolah untuk menggalakkan perkembangan bahasa dan sastera, sekali gus satu proses membina modal insan.

DPP Pusat mengutuk sekeras-kerasnya pengkhianatan oleh Kerajaan BN ke atas bahasa Melayu ini. Dasar-dasar yang tidak memihak kepada bahasa kebangsaan ini akan melahirkan generasi baru yang tidak patriotik, di samping melemahkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Kita jangan terlalu mengutama sains dan teknologi sehingga mengabaikan aliran sastera.

Sastera untuk membina jati diri anak bangsa, sains dan ternologi untuk membina alat-alat membangunkan bangsa. Jika alat-alatnya canggih, tetapi penggunanya tiada jati diri, maka lahirlah bangsa yang maju teknologi, tetapi runtuh akhlaknya!

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat