Generasi Muda Perlu Tolak BN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius seruan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mahu generasi muda menyokong BN untuk kelangsungan pembangunan negara. Bagi DPP Pusat, seruan dangkal Ketua Pemuda Umno ini jelas memperlihatkan kebimbangan mereka terhadap kebangkitan generasi muda yang mulai meluat dengan dasar-dasar BN yang menindas rakyat. Lagipun, tidak ada satu sebab yang munasabah untuk generasi muda perlu mengekalkan BN setelah sebahagian kepentingan rakyat digadai oleh pemimpin BN demi kepentingan politik sempit mereka.

Cerita tentang kebobrokan pemimpin BN dalam menghancurkan masa depan negara sudah begitu banyak diperkatakan dan telah difahami oleh generasi muda. Mereka telah melihat bagaimana dasar-dasar BN telah meruntuhkan jati diri golongan muda melalui aktiviti-aktiviti tidak sihat yang dianjurkan sendiri oleh Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, pemimpin BN terlibat dalam pelbagai skandal penyelewengan, salah laku, rasuah, seks haram dan lain-lain yang memberikan contoh buruk kepada generasi muda. Sedangkan golongan agama yang cuba membimbing generasi muda ‘digam’ bagi memastikan golongan muda terus terpinggir daripada kehidupan beragama serta dilalaikan dengan hiburan melampau.

Alasan Ketua Pemuda Umno bahawa Kerajaan BN telah berusaha melabur dalam pembangunan modal insan dan pendidikan adalah satu pembohongan. Memang semua kerajaan bertanggungjawab menyediakan pendidikan untuk rakyat. Cuma Kerajaan BN sahaja yang membohongi rakyat, terutama generasi muda bahawa Malaysia mengamalkan pendidikan percuma, sedangkan bayaran yang dikenakan melebihi yuran biasa. Di universiti, golongan mahasiswa yang bakal mewarisi kepemimpinan negara disekat pembinaan dan latihan kepemimpinan mereka melalui campur tangan politik BN. Putera dan Puteri Umno berkeliaran di kampus-kampus mempengaruhi mahasiswa, tetapi kebebasan mahasiswa tersekat oleh AUKU yang digubal oleh Kerajaan BN.

DPP Pusat berpandangan bahawa sudah cukup untuk generasi muda melihat satu demi satu hak dan kebebasan rakyat dinodai oleh Kerajaan BN. Kini bukan sahaja keruntuhan moral, rasuah dan penyelewengan yang berlaku di kalangan pemimpin BN, bahkan mereka juga telah menyelewengkan harta rakyat dengan mengagihkan kekayaan Negara kepada kroni dan anak menantu mereka. Dalam masa yang sama, hak-hak yang dijamin kepada generasi muda seperti biasiswa, tanah rezab Melayu, peranan bahasa kebangsaan, kebebasan bersuara dan berhimpun, kebebasan mengamalkan agama dan sebagainya juga telah dicabul dan tergadai. Pilihan raya ini adalah peluang terbaik untuk generasi muda menebus semula semua hak rakyat yang digadai oleh BN dengan menolak mereka dalam pilihan raya ini.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Sekat Mahasiswa Terlibat Pilihan Raya: Mustapa Lupa Diri

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius ugutan yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad yang melarang mahasiswa terlibat dalam kempen pilihan raya umum ini. Bagi DPP Pusat, ugutan ini merupakan satu sekatan ke atas kebebasan mahisiswa untuk berfikir, bercakap dan bertindak dalam membina jati diri mereka, sekali gus untuk mengelakkan golongan muda berpendidikan tinggi tidak menyokong BN. Ironisnya, di sebalik tegahan untuk mahasiswa terlibat itu, Mustapa sendiri memperalatkan mahasiswa untuk kepentingan politik BN.

DPP Pusat mengakui bahawa mahasiswa terhalang daripada terlibat dalam aktiviti politik termasuk kempen pilihan raya di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Tetapi, sebagai satu proses latihan kepemimpinan dan pembinaan modal insan, kerajaan patut membenarkan mahasiswa menentukan sendiri jati diri mereka terutama apabila berpeluang terlibat dalam pilihan raya yang berlaku empat atau lima tahun sekali ini. Kita menerima hakikat mahasiswa tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di luar musim pilihan raya, tetapi untuk pilihan raya umum ini mereka perlu diberi kelonggaran. Jika generasi muda yang sebaya dengan mahasiswa di luar kampus boleh terlibat, maka golongan intelektual kita dihalang? Bukankah sebahagian daripada mahasiswa mempunyai hak mengundi, maka mengapa hak terlibat dalam kempen pilihan raya hendak disekat?

Taktik yang digunakan oleh Kerajaan BN dengan mengenakan ugutan untuk menarik balik biasiswa atau pinjaman pendidikan adalah satu kezaliman. Apakah Kerajaan BN terlalu takut jika mahasiswa terlibat sedangkan mereka sendiri mendakwa begitu yakin untuk menguasai dua pertiga kerusi Parlimen. Ugutan-ugutan seperti tarik biasiswa, dipecat universiti dan dikenakan pelbagai tindakan disiplin yang lain hanya sesuai untuk zaman batu sahaja. Sekarang ini zaman teknologi maklumat di mana segala maklumat politik boleh masuk ke kocek baju mahasiswa. Maka tidak perlu ugutan yang tidak bertamadun ini dibuat oleh seorang menteri. Apakah menteri berfikir bahawa tahap pemikiran mahasiswa setaraf dengan masyarakat hulu atau orang yang tidak berpelajaran.

Jika Menteri Pengajian Tinggi benar-benar ikhlas untuk menghalang mahasiswa terlibat dengan kempen politik kerana bercanggah dengan AUKU, maka mengapa menteri sendiri melakukan sebaliknya. Bukankah Kementerian Pengajian Tinggi telah membenarkan Putera dan Puteri Umno masuk ke kampus dan mengadakan program dengan kepemimpinan mahasiswa. Baru-baru ini pun Menteri Pengajian tinggi sendiri melancarkan program Baktisiswa yang disertai 1,500 mahasiswa di Kelantan sebagai satu strategi politik BN. Apakah Datuk Mustapa terlupa bahawa terdapat ramai mahasiswa dari pelbagai universiti telah didaftarkan oleh agen Menteri Pengajian Tinggi sebagai pengundi di Jeli. Menteri perlu telus dan soal ini dan jangan bersikap munafik bila menjelang pilihan raya. Mahasiswa disekat kebebasan mereka jika menguntungkan pembangkang, tetapi mereka diperalat demi kelangsungan politik sempit BN.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS

Parlimen bubar hari ini, 1 Mac dijangka pengundian

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen di bawah peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Pembubaran itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-12 diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pembubaran ini dibuat selepas beliau menghadap dan mendapat restu dari Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktaffi Billah Shah pagi tadi.

Yang di-Pertuan Agong telahpun menandatangani peristiharan pembubaran Parlimen hari ini, dan dengan itu juga negeri-negeri dinasihati membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Perdana Menteri juga menyatakan semalam beliau enggan mengumumkan kemungkinan Parlimen dibubar hari ini kerana belum bertemu Yang di-Pertuan Agong lagi.

Perdana Menteri juga menyatakan, tarikh penamaan calon dan pengundian akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.