Sekat Mahasiswa Terlibat Pilihan Raya: Mustapa Lupa Diri

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius ugutan yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad yang melarang mahasiswa terlibat dalam kempen pilihan raya umum ini. Bagi DPP Pusat, ugutan ini merupakan satu sekatan ke atas kebebasan mahisiswa untuk berfikir, bercakap dan bertindak dalam membina jati diri mereka, sekali gus untuk mengelakkan golongan muda berpendidikan tinggi tidak menyokong BN. Ironisnya, di sebalik tegahan untuk mahasiswa terlibat itu, Mustapa sendiri memperalatkan mahasiswa untuk kepentingan politik BN.

DPP Pusat mengakui bahawa mahasiswa terhalang daripada terlibat dalam aktiviti politik termasuk kempen pilihan raya di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Tetapi, sebagai satu proses latihan kepemimpinan dan pembinaan modal insan, kerajaan patut membenarkan mahasiswa menentukan sendiri jati diri mereka terutama apabila berpeluang terlibat dalam pilihan raya yang berlaku empat atau lima tahun sekali ini. Kita menerima hakikat mahasiswa tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di luar musim pilihan raya, tetapi untuk pilihan raya umum ini mereka perlu diberi kelonggaran. Jika generasi muda yang sebaya dengan mahasiswa di luar kampus boleh terlibat, maka golongan intelektual kita dihalang? Bukankah sebahagian daripada mahasiswa mempunyai hak mengundi, maka mengapa hak terlibat dalam kempen pilihan raya hendak disekat?

Taktik yang digunakan oleh Kerajaan BN dengan mengenakan ugutan untuk menarik balik biasiswa atau pinjaman pendidikan adalah satu kezaliman. Apakah Kerajaan BN terlalu takut jika mahasiswa terlibat sedangkan mereka sendiri mendakwa begitu yakin untuk menguasai dua pertiga kerusi Parlimen. Ugutan-ugutan seperti tarik biasiswa, dipecat universiti dan dikenakan pelbagai tindakan disiplin yang lain hanya sesuai untuk zaman batu sahaja. Sekarang ini zaman teknologi maklumat di mana segala maklumat politik boleh masuk ke kocek baju mahasiswa. Maka tidak perlu ugutan yang tidak bertamadun ini dibuat oleh seorang menteri. Apakah menteri berfikir bahawa tahap pemikiran mahasiswa setaraf dengan masyarakat hulu atau orang yang tidak berpelajaran.

Jika Menteri Pengajian Tinggi benar-benar ikhlas untuk menghalang mahasiswa terlibat dengan kempen politik kerana bercanggah dengan AUKU, maka mengapa menteri sendiri melakukan sebaliknya. Bukankah Kementerian Pengajian Tinggi telah membenarkan Putera dan Puteri Umno masuk ke kampus dan mengadakan program dengan kepemimpinan mahasiswa. Baru-baru ini pun Menteri Pengajian tinggi sendiri melancarkan program Baktisiswa yang disertai 1,500 mahasiswa di Kelantan sebagai satu strategi politik BN. Apakah Datuk Mustapa terlupa bahawa terdapat ramai mahasiswa dari pelbagai universiti telah didaftarkan oleh agen Menteri Pengajian Tinggi sebagai pengundi di Jeli. Menteri perlu telus dan soal ini dan jangan bersikap munafik bila menjelang pilihan raya. Mahasiswa disekat kebebasan mereka jika menguntungkan pembangkang, tetapi mereka diperalat demi kelangsungan politik sempit BN.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS

4 Respons

  1. otak intelek pelajar di geruni oleh semua kerajaan di dunia, kerana jika di cantum, ia merupakan senjata yang boleh menjatuhkan kerajaan. lihat amerika zaman perang vietnam, pelajar Iran semasa Shah…

    Kerajaan sekarang takut intelek itu memberangsangkan yang bukan intelek…

  2. pelajar ipta bagaikan ank derhaka kt mak bapak..masuk u sbb kouta x bsyukur..dpt biasiswa lgi/ptptn..x bsyukur…dpt grade lg..x bsyukur…dpt kerja kerajaan..tp dia sekarang membangkang kerajaan….dia mula lupa akn sejarah diri..siapa yg mendegreekan kamu semua..kalu bukn sbb kouta dptka kalian masuk ke ipta…bila negara dibwh pemerintahan org len mampukah hak istimewa org melayu dipertahnkn…mase diorang x memerintah dah mcm2 tuntutan dah dibuat ..inikn pulk kalu dia yg memrinth…pkla kalian sebelum bumi malaysia terkubur macm singapura…pkla sebelum terlambat..kajila btl2..berjuanglah demi agama dan bangsa..

  3. to malaysiaku.. apa yg u ckp tu betul, tp itu semua adalah tanggungjawab kerajaan kepade students/rakyat.. dah tanggungjawab dieorang bg kite semua kemudahan tu so ape slhnyeee

  4. jangan mengigit jari yang memberi makan

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: