Negara Berkebajikan PAS: Najib Cuba Kelirukan Rakyat

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyelar perbuatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang cuba memberikan gambaran salah tentang Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS, sedangkan beliau sendiri kelihatan tidak memahami maksud Negara Berkebajikan. Adalah sesuatu yang dangkal apabila seorang pemimpin cuba memberitahu rakyat bahawa Negara Berkebajikan akan menyebabkan Malaysia akan bangkrap, tetapi amalan kronisme, nepotisme dan rasuah yang diamalkan oleh Kerajaan BN tidak pula dikaitkan dengan kemungkinan tersebut.

Negara Berkebajikan bukanlah bermaksud semua penganggur akan dibayar atau mendapat imbuhan, subsidi dan welfare seperti yang difahami dari konsep Negara Kebajikan di Barat. Ada perbezaan antara Negara Berkebajikan dengan Negara Kebajikan (Welfare State). Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS ialah negara yang mengutama kebajikan rakyat melebihi kebajikan pemimpin, keluarga pemimpin dan kroni pemimpin. Kerajaan Berkebajikan akan sentiasa bersedia untuk membail out rakyat supaya dapat hidup selesa dan tidak dibebani oleh kos hidup tinggi yang diwujudkan sendiri oleh kerajaan. Pada hari ini kerajaan sengaja menaikkan cukai, membiarkan peningkatan inflasi, menaikkan tol dan harga bahan api untuk kepentingan kroni mereka. Kerajaan BN tahu syarikat konsesi tol telah mengaut untung besar ekoran pertambahan kenderaan, tetapi terus menaikkan tol bagi mengisi kantung kroni mereka.

Adalah sesuatu yang sangat amat dangkal bagi Timbalan Perdana Menteri untuk mengaitkan tawaran PAS ini dengan kebangrapan negara. Jika rakyat diberi layanan yang sempurna untuk keselesaan minimum hidup mereka, kerajaan hanya perlu menghabiskan beberapa juta sahaja. Lihat bagaimana Kelantan yang diwar-warkan sebagai miskin boleh menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat seperti projek Jihad Ternak, Takaful Armalah, Takaful Khairat Kematian untuk warga emas, Ladang Rakyat, bantuan perubatan untuk pesakit kronik dan sebagainya. Ia langsung tidak menjejaskan negara, tetapi memberi manfaat besar kepada rakyat. Jika ia boleh menjejaskan negara sehingga bangkrap, sudah tentu negeri semiskin Kelantan sudah lama bangkrap.

Tetapi yang anehnya, pada hari ini rakyat bercakap di mana-mana tentang keborosan Kerajaan BN dalam membelanjakan wang rakyat melalui projek-projek mega dan megah. Rakyat tidak mendapat apa-apa manfaat untuk hidup mereka apabila berbilion wang Petronas dipaksa untuk membina menara berkembar selain hanya boleh berbangga dan berseronok kerana ia adalah yang tertinggi di dunia. Ini belum diambil kira tentang pembaziran, penyelewengan, rasuah, salah laku, kronisme, nepotisme dan lain-lain amalan negatif dalam pentadbiran kewangan negara. Najib patut memberitahu rakyat berapakah kebocoran wang rakyat yang berlaku apabila pembelian kapal selam dibeli melalui kroni beliau. Berapa pula wang rakyat habis kerana projek angkasa lepas dan berapa lagi habis untuk menggantikan Nuri. Mengapa ia tidak dilabelkan sebagai punca kebangkrapan negara?

Rakyat patut sedar bahawa apa yang ditawarkan oleh PAS adalah sesuatu yang realistik dan tidak akan menjejaskan kepentingan negara. Kita jangan melihat tawaran PAS dalam kerangka amalan buruk Kerajaan BN. Duit negara telah mengalami kebocoran akibat tadbir urus yang lemah dan salah laku pemimpin. PAS telah membuktikan di Kelantan bagaimana bersih dan telusnya pentadbiran kerajaan sehingga kerajaan yang miskin berupaya menjaga kebajikan rakyat. PAS amat percaya jika wang rakyat diuruskan dengan ikhlas, amanah dan penuh keimanan kepada Allah, maka tidak ada masalah bagi kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat sebaik mungkin. PAS berhasrat memindahkan amalan menjaga kepentingan kroni dengan wang negara kepada memanfaatkan kekayaan negara untuk rakyat.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat