Barisan Pak Lah – Kabinet cacamerba menongkah kehendak rakyat

Oleh Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kegagalan Kerajaan BN menamakan tokoh-tokoh berwibawa dan bersih untuk menganggotai Kabinet kerajaan semalam. Kabinet yang penuh dengan individu yang bermasalah ini bukan sahaja tidak menggambarkan sikap serius BN dalam memahami mesej rakyat dalam pilihan raya lepas yang tidak mahu pemimpin korup memerintah negara.

Bagi DPP Pusat, Kabinet yang dibentuk semalam adalah satu Kabinet yang cacamerba dan menongkah kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang adil, cekap dan bersih.

Kabinet yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang sentiasa ‘mengantuk’ dan Timbalan Perdana Menteri yang ‘dibersihkan’ oleh ketuanya di luar mahkamah langsung menggembirakan rakyat. Perdana Menteri sendiri mempunyai beberapa skandal yang dipersoalkan oleh rakyat seperti isu Khairy Jamaluddin, kekayaan Kamaluddin Abdullah dan penglibatan Patrick ‘Badawi’ Lim.

Sedangkan timbalannya pula masih dipersaoalkan dengan isu Altantuya, komisyen kapal selam dan komisyen helikopter yang mencecah RM1 bilion. Menteri-menteri lain seperti Muhyiddin Yassin, Zaid Ibrahim, Nazri Aziz, Azalina Othman, Rais Yatim, Noh Omar, Hishamuddin Hussein, Muhammad Taib dan Shafie Afdhal adalah antara yang disebut-sebut oleh rakyat kerana pelbagai skandal sama ada seks, rasuah, tidak cekap, anti Islam dan lain-lain termasuk melarikan berkilo-kilo wang tunai ke luar negara.

Kita gembira melihat beberapa menteri rasuah dan tauke judi digugurkan, selain beberapa menteri yang disentap sendiri oleh rakyat. Tetapi, Pak Lah masih mahu melantik saki-baki menteri yang terjebak dengan pelbagai skandal untuk menganggotai Kabinet baru ini. Apa yang jelas, Kabinet ini amat cacamerba kerana tidak lagi mewakili pemimpin-pemimpin utama parti, tetapi lebih kepada mengukuhkan kedudukan Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

Beberapa menteri dari team timbalannya digugurkan, mungkin kerana mahu mengurangkan tekanan, selain melain begitu ramai anggota Kabinet dari Sabah dan Sarawak sebagai strategi untuk mengelakkan pemimpin dari Malaysia Timur menyertai pakatan pembangkang sedangkan Kedah, Melaka dan Perlis tidak mendapat menteri. Adakah Kabinet ini hanya untuk mengukuhkan kedudukan Pak Lah yang semakin tercabar, atau untuk membangunkan negara?

Perlantikan menteri dari kalangan bukan orang politik seperti Datuk Amirsham A Aziz dan beberapa Ahli Dewan Negara seperti Muhammad Taib dan Zaid Ibrahim juga menunjukkan bahawa BN sudah ketandusan pemimpin berwibawa. Kerajaan BN terpaksa melantik semula tokoh yang pernah didakwa di mahkamah kerana membawa wang keluar negara.

Ketua Penerangan Umno itu hanya dibebaskan daripada kesalahan tidak mengisytiharkan wang yang dibawa, bukannya dibersihkan daripada dakwaan rakyat tentang di mana wang sebanyak itu diperolehi. Zaid Ibrahim yang terkenal kerana sikap anti Islam termasuk menyekat perlaksanaan hudud melalui proses mahkamah dibawa menganggotai Kabinet Hadhari selepas tokoh ulamak Umno, Abdullah Mohd Zain digugurkan.

Seperti juga krisis kepemimpinan yang berlaku di Perlis dan Terengganu, Kabinet Pak Lah juga tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahlinya sendiri. Penarikan diri dua orang Timbalan Menteri selepas pengumuman oleh Perdana Menteri menjelaskan kekalutan ini. Lebih kusut lagi apabila seorang bekas menteri meletakkan semua jawatan parti apabila beliau tidak dilantik sebagai menteri. Ini adalah bantahan terbuka mereka terhadap Kabinet cacamerba ini.

Ia juga adalah lanjutan daripada desakan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir supaya Pak Lah meletakkan jawatan. Radzi Sheikh Ahmad yang selama ini dikenali sebagai orang kuat Pak Lah digugurkan, mungkin kerana tidak cemerlang atau Pak Lah telah mendapat pengganti dari Johor Bahru.

Apa yang diperhatikan oleh rakyat ialah barisan Kabinet baru ini masih tidak dapat melepaskan diri mereka daripada amalan-amalan buruk dalam pentadbiran awam seperti kronisme, nepotisme dan rasuah. Ia jelas tidak mewakili aspirasi rakyat untuk sebuah kerajaan yang bersih dan adil.

Lebih ketara lagi bahawa Kabinet ini tidak mendapat sokongan padu daripada pimpinan tertinggi Umno sendiri, selain terpaksa berhempas pulas untuk mengelakkan beberapa parti komponen BN meninggalkan pakatan tersebut. Kabinet cacamerba ini boleh dikatakan sebagai Kabinet untuk mempertahankan survival politik Pak Lah sama ada daripada tumbangnya Kerajaan BN atau tercabarnya beliau oleh timbalannya.

Salahuddin kunjungi MB Perak baru

Pertemuan dan kunjungan hormat Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan rombongan ke Pejabat YAB. Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, sebagai Menteri Besar Perak ke-10 pada 18 Mac 2008.

PM Pak Lah patut ikuti jejak Presiden MCA dan Gerakan

Oleh Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menghargai sikap pemimpin Cina dalam komponen BN iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Pemangku Presiden Gerak, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang sanggup melepaskan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab di atas kekalahan BN dalam pilihan raya baru-baru ini. Dr Koh Tsu Koon awal-awal lagi telah menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Pemangku Presiden Gerakan dan Ong Ka Ting pula menolak untuk dilantik ke Kabinet.

Amalan ini menjadi kebiasaan di negara maju di mana pemimpin mengambil tanggungjawab di atas kelemahan parti atau kerajaan.

Malangnya di Malaysia, walaupun pelbagai isu, skandal dan penyelwengan yang didedahkan, pemimpin-pemimpin Umno/BN enggan untuk meletakkan jawatan. Hanya bersandarkan prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ mereka ‘menebalkan muka’ untuk terus memegang jawatan walaupun secara moralnya mereka sudah bersalah.

Sikap tidak bertanggungjawab ini disokong pula oleh penguasaan mereka ke atas institusi seperti polis, BPR, hakim dan mahkamah sehingga kesalahan mereka tidak dapat dibuktikan. Lihatlah bagaimana permainan mereka dalam membeli para hakim dalam isu pita video Lingam yang sama sekali meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi keadilan tersebut.

Trend tidak mahu mengaku salah ini telah menghinggapi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tetap ‘berdegil’ untuk terus menjadi ketua kerajaan walaupun rakyat telah menolak BN. Mesej dari rakyat dengan menafikan kuasa majoriti 2/3 dan menyerahkan lima negeri kepada pembangkang dibuat ‘lembu kenyang’ sahaja oleh Pak Lah.

Apa yang penting bagi Pak Lah ialah dia mesti terus berkuasa untuk membolehkan kroni dan anak menantunya terus merampas kekayaan negara dan menindas rakyat seluruhnya. Seolah-olah inilah peluang terakhir untuk Pak Lah mengaut apa sahaja harta kekayaan negara sebelum rakyat menolak mereka secara total dalam pilihan raya akan datang.

DPP Pusat menyokong desakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir supaya Pak Lah bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya ke-12 baru-baru ini dan seterusnya meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri. Rakyat telah menolak kepemimpinan Pak Lah, termasuk dasar Islam Hadhari dan projek-projek koridor meganya.

Rakyat juga telah menolak dasar-dasar zalim BN termasuk dasar ekonomi yang memihak kepada kroni dan anak menantu sehingga membebankan rakyat. Keadaan ini menunjukkan bahawa BN pimpinan Pak Lah sudah tidak relevan dan beliau perlu meletakkan jawatan atau menyerahkan semula mandat kepada rakyat.

————
Salahuddin juga Ketua DEwan pemuda PAS Pusat

Wan Azizah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia 2008-2011

Salah satu keputusan bersejarah bagi tahun 2008, para pemimpin Parti KeADILan Rakyat (PKR), PAS dan DAP bersetuju untuk membentuk satu barisan yang lebih padu bagi memenuhi tuntutan sebuah ‘kerajaan menunggu’ di peringkat Pusat dan negeri-negeri.

Sehubungan itu, parti-parti terbabit juga sebulat suara bersetuju mencadangkan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia sehinggalah Ketua Umum KeADILan, Dato Seri Anwar Ibrahim layak bertanding untuk kerusi Parlimen.

Berikut disiarkan kenyataan penuh tiga perenggan pemimpin-pemimpin parti terbabit:

Adalah diumumkan bahawa kami Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Ustaz Abdul Hadi Awang pagi pihak Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersetuju dalam satu pertemuan pada malam 18 Mac 2008 bahawa hasrat rakyat sebagaimana yang ditunjukkan dalam pilihanraya ke-12 baru-baru ini perlulah dihormati dan dilaksanakan oleh kami dan parti-parti kami.

Kami bersetuju bahawa kerjasama yang lebih erat perlu dipertimbangkan dengan serius dengan mengambil kira hasrat rakyat untuk mewujudkan kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang baru dan boleh membawa perubahan-perubahan besar kepada rakyat.

Kami juga bersetuju mencadangkan YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat, iaitu parti pembangkang terbesar di Parlimen ke-12, sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang baru, sehingga Dato Seri Anwar Ibrahim layak bertanding untuk kerusi Parlimen

Anwar Ibrahim
Lim Kit Siang
Ustaz Abdul Hadi Awang