Umno dedahkan sikap tidak hormati Institusi Raja

Umno masih kalut dalam isu pemilihan Menteri Besar Terengganu mendedahkan sikap sebenar Umno yang langsung tidak menghormati institusi raja, kata Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar.

Harakahdaily dipetik, Beliau kesal dengan sikap yang ditunjukkan Umno terutamanya apabila Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor membuat kenyataan terbuka untuk memecat keahlian Adun Kijal, Dato’ Ahmad Said.

Ia ditambah lagi dengan kegilaan Umno Terengganu yang dikepalai bekas Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Rosol Wahid yang bertindak memprotes secara terang watikah yang diperkenan oleh Pemangku Sultan Terengganu melalui Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), ujarnya.

Sambil menyifatkan ia satu penghinaan kepada institusi beraja, beliau juga menyatakan tindakan Umno ini sebenarnya menunjukkan perpecahan yang dialami parti itu selepas kekalahan besar dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Beliau turut kesal dengan kenyataan terbuka Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terhadap isu lantikan Menteri Besar Terengganu.

Katanya, Gani tidak sepatutnya membuat kenyataan terbuka sebaliknya beliau perlu bertemu secara tertutup dengan Sultan bagi menyampaikan pandangan.

Dengan membuat kenyataan secara terbuka ini ia satu yang memalukan selain mendedahkan tindakan campur tangan politik membabitkan Peguam Negara, katanya.

Anggota Exco Kerajaan Selangor Angkat Sumpah

Sementara itu, di Klang (Selangor) Sepuluh Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, empat daripadanya wanita, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini, Isnin hari ini.

Mereka terdiri daripada empat orang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga orang dari PAS dan tiga orang dari DAP.

Empat anggota exco daripada PKR adalah Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr Xavier Jayakumar, daripada DAP ialah Theresa Kok, Ronnie Liu dan Ean Yong Hien Wah, manakala daripada PAS ialah Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, Dr Halimah Ali dan Iskandar Abdul Samad.
Teruskan membaca