Mesyuarat Pertama Penggal Pertama, Parlimen ke 12 Pada 28 April hingga 27 Mei 2008
Soalan Jawab Lisan
1. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan data Indeks Jenayah dari tahun 1999 hingga kini?
2. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan apakah mekanisme yang akan digunakan bagi menggantikan mekanisme kawalan harga ke atas barangan keperluan yang beliau anggap tidak realistik.
3. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh manakah siasatan dan tindakan polis terhadap pihak yang membakar Jalur Gemilang dalam peristiwa di Batu Burok?
4. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Perdana Menteri menyatakan adakah rancangan supaya semua menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta mereka kepada umum dua kali dalam tempoh lima tahun penggal perkhidmatan meliputi harta keluarga mereka?
5. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah rancangan kerajaan untuk memastikan penyertaan aktif ekonomi bumiputera di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)?
6. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Perdana Menteri program-program yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk memelihara memelihara kesucian agama Islam?
7. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Perdana Menteri menyatakan apakah yang beliau maksudkan dengan kenyataannya 6 Mac lalu bahawa kerajaan akan memastikan bahawa sekiranya ada keperluan untuk menaikkan harga minyak, ia tidak akan membebankan rakyat dan apakah kaitannya dengan kenyataan bahawa kira-kira 4,000 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau harga barangan mulai 1 April ini.
8. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Pelajaran menyatakan sejauh manakah perlaksanaan kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan akan mengkaji semula penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek matematik dan sains.
9. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh manakah dan berapakah jumlah perbelanjaan yang digunakan dari pemotongan subsidi harga minyak sebanyak RM4.4 bilion yang dikatakan akan digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam.
10. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Pelajaran menyatakan apakah halangan untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat ijazah pertama?
Soalan bertulis:
1. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Pelajaran menyatakan:
a. Peratus kelulusan dalam mata pelajaran Matematik dan Sains yang diajar dalam Bahasa Inggeris sama ada di sekolah rendah.
b. Peratus kelulusan dalam mata pelajaran Matematik dan Sains yang diajar dalam Bahasa Inggeris sama ada di sekolah menengah.
2. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Pelajaran menyatakan peratusan peruntukan untuk pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
3. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Perdana Menteri menyatakan:
a. Statistik terbaru penduduk paling miskin mengikut bangsa.
b. Statistik terbaru penduduk paling miskin mengikut negeri.
4. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Kerja Raya menyatakan kutipan tol bagi setiap lebuh raya sepanjang tahun lalu.
5. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah peruntukan kerajaan pusat seperti yang ditetapkan Perlembagaan yang telah diberikan kepada kerajaan-kerajaan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan tahun lalu.
USUL-USUL
1. YB Tuan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) akan mencadangkan,
“Bahawa Dewan ini mengutuk keras tindakan ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang menerbitkan filem pendek, ‘Fitna’ yang telah mencemarkan kesucian agama Islam.
Dewan ini berpandangan bahawa hak kebebasan individu tidak boleh disalahgunakan untuk melakukan apa sahaja, termasuk mencabul hak masyarakat. Tindakan Geert Wilders telah mencalarkan hati 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia.
Dewan ini juga melahirkan kebimbangan sekiranya perbuatan biadap seperti ini dibiarkan akan merangsang tindakan di luar batas undang-undang. Ia adalah satu bentuk provokasike atas umat Islam supaya melakukan keganasan.
Dewan ini dengan ini mendesak Parlimen Belanda supaya mengambil tindakan yang keras terhadap seorang manusia yang tidak bertamadun seperti Geert Wilders”.
2. YB Tuan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) akan mencadangkan,
“Bahawa Dewan ini mendesak Kerajaan Malaysia mengkaji semula dasar-dasar yang digubal untuk membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar yang dilihat memberikan keuntungan ekonomi, politik dan sosial kepada Singapura.
Dewan ini berpandangan bahawa WPI tidak seharusnya menjadi satu laluan kepada Singapura untuk ‘menjajah’ negara ini dalam bentuk baru (neo-colonialism)”.
3. YB Tuan Salahuhhin Ayub (Kubang Kerian) akan mencadangkan,
“Bahawa Dewan ini mendesak kerajaan menurunkan harga petrol sebanyak RM0.30 memandangkan kos hidup rakyat semakin meningkat pada hari ini.
Dewan ini berpandangan bahawa kenaikan harga minyak dalam Dollar US tidak boleh dijadikan sandaran untuk mengekalkan harga petrol kerana nilai Ringgit Malaysia lebih kukuh daripada Dollar US sekarang.
Dewan ini mencadangkan kos untuk mengurangkan harga petrol ini disubsidikan oleh Petronas sepenuhnya”.
4. YB Tuan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) akan mencadangkan,
“Bahawa Dewan ini akan memengkaji semula Peraturan Dewan bagi membolehkan urusan pembangkang didahulukan sebelum urusan kerajaan.
Dewan ini berpandangan bahawa Dewan ini adalah Dewan Rakyat yang perlu membawa suara rakyat dan mengambil berat kepentingan rakyat. Sebelum ini Dewan ini pernah mengamalkan dasar mengutamakan urusan pembangkan sehingga banyak kepentingan rakyat dapat dibahaskan sebelum ia dipinda bagi memberi keutamaan kepada urusan kerajaan.
Dewan ini melahirkan rasa kesal kerana pihak kerajaan gagal mengambil berat pandangan-pandangan pembangkang, khususnya usul-usul yang dikemukakan semenjak urusan kerajaan diutamakan”.
5. YB Tuan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) akan mencadangkan,
“Bahawa Dewan ini mendesak supaya semua tahanan ISA dibicarakan di mahkamah terbuka atau dibebaskan jika kerajaan tidak mempunyai bukti di atas segala tuduhan ke atas mereka.
Dewan ini amat kesal di atas penyalahgunaan ISA untuk kepentingan politik parti pemerintah”.
6. YB Tuan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) akan mencadangkan,
“Bahawa Dewan ini mengutuk keras tindakan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya lepas.
Dewan ini berpandangan bahawa tindakan tersebut adalah satu persekongkolan antara SPR dan BN untuk membolehkan pengundi hantu beroperasi bagi memenangkan BN.
Dewan ini mendesak supaya sebuah Suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat tindakan SPR yang mensabotaj rakyat dalam pilihanraya lepas”.
Filed under: ADR Kubang Kerian, Soalan dewan | Leave a comment »