Kenaikan harga minyak, demonstrasi akan diadakan minggu depan – Salahuddin

Ekoran kenaikan harga petrol dan diesel yang mendadak hingga meninggalkan kesan kritikal terhadap rakyat terutama golongan pendapatan sederhana dan rendah, Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran membantah kenaikan harga tersebut.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, rakyat seluruh negara perlu membuktikan bantahan tersebut dengan menghadiri demonstrasi yang akan diadakan minggu depan di Kuala Lumpur.

Menurut beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS, penindasan terbaru kerajaan BN itu mesti dibantah oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian menyelar sikap Perdana Menteri yang mengingatkan rakyat supaya jangan berdemonstrasi kerana kerajaan tetap memberi subsidi minyak sebanyak 0.30 sen.

“Apakah PM tidak sedar himpitan hidup rakyat boleh menyebabkan mereka melakukan apa saja dan tidak mustahil kadar jenayah akan meningkat seperti kes kecurian, ragut, rasuah dan sebagainya,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat seluruh negara khususnya pemuda supaya menyertai demonstrasi aman yang akan diadakan di Kuala Lumpur minggu depan.

“Saya akan mengumumkan tempat yang sesuai untuk mengadakan demonstrasi dalam sidang media, Sabtu ini,” katanya.

Isu Kenaikan Harga Minyak: Salahuddin sedia berdebat dengan Menteri

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub tidak akan teragak-agak untuk berdebat secara langsung dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Samad mengenai kenaikan harga minyak.

Jelas Salahuddin, beliau akan menggunakan peluang dan ruang sebaik-baiknya serta akan mengemukakan hujah-hujah yang lebih ’emperical’ bagaimana seharusnya kerajaan bertindak dalam menghadapi pengurangan subsidi dengan menteri berkenaan secara langsung melalui saluran RTM pada 9.30 malam, 10 Jun ini (Selasa).

Beliau berkata demikian dalam sidang media mesyuarat Exco Dewan Pemuda PAS di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Katanya, kesan kenaikan harga minyak yang tidak munasabah ini merupakan isyarat terakhir kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletak jawatan.

Kerajaan katanya juga tidak mengambil pengajaran daripada tsunami politik yang berlaku selepas pilihan raya lalu.

“Hari ini rakyat mungkin kesal kerana tidak memberi pelapis kepada kami. Jika kami memerintah mungkin situasi ini tidak berlaku,” katanya.

Jelasnya situasi yang berlaku hari ini, rakyat berdepan dengan kenaikan harga barangan seperti kenaikan harga beras dan minyak masak yang menjadi keperluan harian rakyat.

“Jika sebelum ini bagi rakyat yang berpendapatan rendah, mereka terpaksa membeli beras yang berharga RM18 untuk 10 kilogram, tetapi kini harga tersebut telah melambung.

“Jika semua menteri pada hari Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga minyak itu tersenyum, apa mesej sebenarnya yang ingin mereka sampaikan kepada rakyat?” soalnya.

Sementara itu katanya, pihaknya akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya 10 Jun ini.

Tambahnya Pemuda PAS bersama Angkatan Muda KeADILan (AMK) akan turut mengadakan bantahan melalui perhimpunan aman pada 13 Mei ini pada jam 2.00 petang yang bermula dari Menara City Bank ke KLLC.

Jelasnya beliau menerima banyak sistem pesanan ringkas (sms) sebagai respons mengenai perhimpunan tersebut. Sehubungan itu beliau tidak menolak kemungkinan lebih 10,000 orang akan menyertai daripada pelbagai kelompok masyarakat.

Dalam pada itu beliau juga menaruh keyakinan perhimpunan tersebut akan berlangsung dengan aman dan terkawal.

“Berdasarkan pengalaman perhimpunan Bersih yang lalu, satu perhimpunan yang agak besar tetapi berlaku dalam keadaan aman. Kami akan pastikan perhimpunan itu berlangsung dengan aman. Dan kami akan memohon permit bagi perhimpunan aman itu,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan tetap meneruskan perhimpunan walaupun tidak mendapat permit, beliau secara berseloroh menjawab, ” Itu biasa…” katanya yang disambut ketawa pihak media.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan dalam sesi Parlimen lepas, beliau dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain banyak membangkitkan mengenai isu Petronas yang banyak ‘disembunyikan’ kerajaan.
Teruskan membaca