Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak tidak tepat – Dato Seri Hadi

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan BN perlu mengulangkaji tindakan salah yang telah dibuat seterusnya membetulkan situasi dengan segera bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat sekarang ini.

“Kerajaan BN juga disaran agar membuat kerjasama dengan negara-negara Islam yang lain untuk menangani masalah kenaikan harga minyak memandangkan kebanyakan negara Islam memiliki sumber galian tersebut,” kata Presiden PAS pada sidang media pelancaran kempen mengumpul tandatangan bantahan kenaikan harga barang oleh Pemuda PAS Wilayah Persekutuan di pejabat Agung PAS semalam.

Tegasnya, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak adalah tidak tepat dengan sifat negara yang sebelum ini pernah mendabik dada dengan menyatakan negara ini sedang maju ke depan.

“Minyak merupakan suatu hasil negara yang boleh menguntungkan serta dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Namun, keuntungan daripadanya telah dibazirkan kepada projek mewah yang telah ditiriskan dengan amalan penyelewangan dan rasuah yang berleluasa,” ujarnya.