Kenaikan Harga Minyak: MP PAS cadang Parlimen adakan sidang tergempar

Kepada :
YB. TAN SRI DATUK PANDIKAR AMIN HAJI MULIA, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen,

YB. Tan Sri;
PERMOHONAN SUPAYA DIADAKAN PERSIDANGAN TERGEMPAR DEWAN RAKYAT BAGI MEMBINCANGKAN ISU KENAIKAN HARGA MINYAK DAN IMPLIKASINYA KEPADA RAKYAT

Perkara di atas adalah penuh hormat dirujuk.

Isu kenaikan harga bahan api yang begitu tinggi pada awal bulan ini telah menggemparkan seluruh rakyat kerana inilah pertama kali harga petrol dinaikkan sehingga 78 sen seliter dan disel pula RM1 seliter.

Kita menyedari bahawa kenaikan harga bahan api global berada pada tahap yang amat tinggi iaitu mencecah USD135 setong, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kerajaan menaikkan harga petrol sehingga 30 peratus. Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak yang penting dan kita mendapat banyak manfaat daripada kenaikan harga ini.

Yang menjadi isu ialah kenaikan harga bahan api ini telah memberikan kesan berantai dan tekanan inflasi yang menyebabkan rakyat terpaksa menanggung peningkatan kos hidup yang lebih tinggi. Kenaikan harga petrol bukan semata-mata memberi kesan kepada pengangkutan harian rakyat, tetapi seluruh pengangkutan perdagangan, industri dan sektor-sektor ekonomi yang lain termasuk pertanian dan perikanan. Kerajaan tidak akan berupaya memberikan satu alasan untuk menyekat kenaikan harga barang dan perkhidmatan dalam keadaan kos menyedia, mengangkut dan menguruskan barangan dan perkhidmatan meningkat dengan mendadak.

Kita boleh bayangkan tentang kenaikan harga barang-barang yang diangkut dari kawasan perindustrin di Lembah Kelang ke kawasan saya di Kubang Kerian. Sudah tentu kosnya mendadak ekoran kenaikan diesel sehingga 40 peratus. Ini belum diambil kira kos pembuatan dan pemprosesan yang turut meningkat. Dalam beberapa bulan terdekat ini harga utiliti seperti elektrik pula akan naik.

Saya tidak nampak apa pendekatan yang berkesan untuk kerajaan menangani masalah ini. Saya sedar menteri telah menegur pengusaha bas yang menaikkan tambang, tetapi adakah kita sedar bahawa rakyat sendiri bersungut tentang arahan tidak logik menteri tersebut.

Mana mungkin tambang kenderaan awam tidak dinaikkan sedangkan kos penangkutan meningkat. Pembayaran rebet sebanyak RM625 setahun untuk kenderaan tertentu adalah tidak memadai kerana ia hanya bernilai sekitar RM2 sehari.

Seorang pengundi saya yang berulang-alik dari tempat kerja dengan motosikal sejauh 40 km sehari yang mengalami kenaikan kos RM2 sehari untuk petrol sehaja. Bagaimana jika mereka menaiki kereta dan diambil kira pula peningkatan kos sara hidup harian ekoran kenaikan petrol ini.

Jika kita cuba memperkatakan kesan-kesan yang wujud akibatan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel ini, kita dapat memberikan ratusan hujah tentang kesan buruknya. Kerajaan sebagai pembuat dasar boleh mendiamkan diri, tetapi rakyat telah menderita akibat bebanan ini sedangkan kerajaan tidak sanggup menaikkan gaji kakitangan hingga ke tahap gaji minimum.

Saya tidak boleh bayangkan betapa “fakirnya” kakitangan bawahan yang tinggal di Kuala Lumpur ekoran bencana inflasi ini.

Atas asas-asas ini saya merasakan bahawa wakil-wakil perlu berunding untuk mencari satu penyelesaian yang boleh memberikan kepuasan kepada rakyat dan kerajaan dengan situasi menang-menang. Kerajaan boleh mengurangkan beban subsidi tetapi rakyat tidak ditambah oleh beban peningkatan kos hidup.

Sebagai ahli Dewan rakyat, saya merasakan mustahak untuk dewan yang mulia ini bersidang secara tergempar khusus untuk merundingkan masalah ini.

Saya sebagai mewakili ahli-ahli Parlimen PAS memohon kepada YB Tan Sri supaya dapat memanggil satu persidangan tergempar Dewan Rakyat dalam masa terdekat untuk membolehkan satu isu yang melibatkan kepentingan seluruh rakyat dan negara ini boleh dirundingkan.

Saya berharap permohonan saya mendapat perhatian pihak YB Tan Sri demi kebaikan rakyat dan negara.

Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan amanah;

YB SALAHUDDIN AYUB, Ketua Whip, Ahli Parlimen PAS. Turut sama menyerahkan meorandum tersebut Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad adan Ahli Parlimen Titi wangsa, Dr Lo’ Lo Mohd Ghazali.