Pakatan Rakyat akan buat Usul Undi Tidak Percaya bila tiba masa sesuai – MP PAS Tumpat

Pakatan Rakyat tidak akan membentangkan usul untuk membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Rakyat, Isnin depan atau dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata semua parti komponen Pakatan Rakyat termasuk daripada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan hanya berbuat demikian pada masa yang difikirkan sesuai.

“Tidak betul dakwaan kata kami hendak bentang usul tidak percaya kepada Perdana Menteri pada Isnin ini, siapa yang buat kenyataan macam itu?

“Kami hanya akan buat pada masa akan datang, bukan pada masa terdekat, kerana tidak mahu tergesa-gesa,” katanya yang juga Setiausaha Agung PAS ketika diminta mengulas pihak yang akan membentang atau mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata usul undi tidak percaya terhadap Abdullah tidak akan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin ini kerana ia perlu melalui beberapa proses serta prosedur tertentu.

Nazri berkata, beberapa peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat (buku peraturan yang mengawal selia perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat) berhubung pembentangan usul atas sebarang perkara perlu dipatuhi terlebih dulu.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Pas sudah tentu bersama-sama dengan rakan kongsi dalam pakatan untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.
Teruskan membaca