Najib nafi akuan bersumpah Raja Petra

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan dalam akuan bersumpah Raja Petra Kamarudin berhubung pembabitannya dan isteri, Rosmah Mansor dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Najib ketika mengadakan sidang medianya hari ini menafikan bahawa isterinya itu terbabit dalam pembunuhan Altantuya

Begitupun ujar Najib, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan bersumpah Raja Petra itu.

Selanjutnya baca….

Kerajaan tidak bercadang mewajibkan pendaftaran pemilih

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamad Nazri Aziz menyatakan kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan pendaftaran pemilih wajib bagi semua rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. .

Ujar Nazri, ini kerana kerajaan percaya sistem pendaftaran pemilih yang diamalkan sekarang agak selesa dan tidak menyusahkan orang ramai.

Katanya, sekiranya pendaftaran pemilih dijadikan sebagai mandatori ia akan melibatkan penguatkuasaan undang-undang yang boleh menyusahkan orang ramai.

Katanya lagi, tindakan mewajibkan pendaftaran pemilih akan bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan hak kebebasan diri dan ia juga bercanggah dengan sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Sementara itu Abdul Halim dalam soalan tambahannya menyatakan, sehingga akhir tahun 2007, terdapat kira-kira empat juta pengundi muda yang belum mendaftar.

Tambahnya, 80 peratus daripada jumlah itu adalah pengundi muda.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan ‘road show’ tetapi gagal untuk menarik minat golongan muda mendaftar, katanya.

Beliau juga ingin tahu langkah berkesan yang dicadangkan kerajaan supaya golongan belia terutama kaum Melayu mendaftar sebagai pemilih.

Petronas dicadang bantu pesakit kronik miskin

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) mencadangkan agar Petronas mewujudkan tabung khas bagi membantu pesakit kronik yang miskin.

Semasa bangun mengutarakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini, Ustaz Nasharudin bertanyakan sama ada Petronas akan menubuhkan tabung bagi membolehkan rakyat miskin mendapat rawatan penyakit kronik di Pusat Perubatan Prince Court milik Petronas.

Katanya dengan cara ini rakyat yang miskin tidak perlu bersusah payah bagi mendapatkan rawatan penyakit kronik dengan belanja yang besar di hospital swasta lain.

Begitupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Amirsham Abul Aziz yang menjawab soalan itu menyatakan Petronas tidak bercadang untuk berbuat demikian.

Soalan itu ditimbulkan selepas soalan asal yang dikemukakan Mohamad Azmi Ali (KeADILan-Gombak) berhubung rasional Petronas mewujudkan ‘Prince Court Medical Centre’ yang menelan belanja RM544 juta.

Menurut Menteri tersebut, penglibatan Petronas dalam bidang ini dibuat atas dasar tanggung jawab sosial, dan selaras dengan misi korporatnya.

Ia juga selaras dengan usaha kerajaan menyediakan pelacongan kesihatan bertaraf dunia, katanya._

Tetapkan gaji minima bagi elak kebanjiran pekerja asing

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS Marang) hari ini mencadangkan agar kerajaan menerima cadangan MTUC untuk menetapkan gaji minima bagi mengekang kebanjiran tenaga kerja asing di Malaysia.

Semasa bagun bagi mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Sumber Manusia, Dr S Subramaniam (BN Segamat), Presiden PAS berkata, pelaksanaan gaji minimum boleh menarik minta warga tempatan bekerja di sektor tertentu yang kini didominasi oleh warga asing.

Ujarnya lagi, dengan keadaan kos hidup yang meningkat hari ini berikutan kenaikan harga minyak dan barangan, kerajaan perlu memastikan akta gaji minimum ini dilulus dan dilaksanakan.

Sementara itu menjawab soalan itu, Dr Subramaniam berkata, kerajaan kini sedang mengkaji peruntukan gaji minimum tersebut.

Namun keadaan tertentu di beberapa sektor pekerjaan di negara ini menyebabkan pengambilan pekerja asing tidak boleh dielak.

Namun beliau turut berkata, dalam sektor tertentu tidak dinafikan adanya masalah berhubung gaji yang terlalu rendah yang menyebabkan ia hanya diisi oleh pekerja asing.

Kecelaruan dalam Pengajian Tinggi Negara – Salahuddin

Tuan Yang Dipertua,
Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mempunyai peranan yang amat penting dalam pembangunan negara, dan penerusan kemandirian negara di dalam era global yang serba mencabar kini. Walaupun bilangan IPT di negara ini masih belum mencapai angka (nisbah universiti kepada rakyat) yang setanding dengan negara maju, inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan dalam menambah bilangan IPT adalah satu langkah yang baik. Di waktu yang sama, penekanan kepada kualiti pendidikan adalah satu aspek yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali.

Beberapa senario negatif yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi adalah:

1. Menurunnya “employability” para graduan yang dikaitkan dengan kemahiran insaniah yang rendah, seperti kelemahan berkomunikasi, rendahnya keyakinan diri, gerun dalam menyampaikan pendapat, dan budaya pemikiran yang sempit.Yang paling menakutkan ialah hasil kajian sebuah akhbar mendapati pelajar IPT menganggap rasuah sebagai suatu perkara lumrah dan 60% mengatakan akan melakukan rasuah jika perlu. Fenomena ini sudah tentu berkait langsung dengan sekitaran pendidikan negara yang berbudaya jumud. Di IPT, AUKU dan akujanji mengikat keupayaan pelajar untuk lebih berani dalam meneroka ilmu dan menyampaikan idea dan perasaan mereka.

2. Ketidak-seimbangan perancangan pihak kerajaan dalam keghairahan memasyhurkan pendidikan tinggi negara. Pengishtiharan universiti penyelidikan adalah satu langkah yang boleh dipuji, tetapi perancangan dan pelaksanaannya kelihatan kurang cermat. Maklum-balas yang diperolehi dari ramai ahli akademik di universiti berkenaan (UM,UPM,UKM dan USM), menunjukkan ketidak-puasan hati serta kegelisahan di kalangan mereka. Mereka dikenakan dengan pelbagai bebanan baru dalam bentuk puluhan KPI yang mesti dicapai tanpa penyediaan prasarana sokongan yang mencukupi. Pensyarah memikul tanggungjawab penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan, di samping penambahan beban pengajaran serta pentadbiran.

3. Di waktu yang sama, pengambilan pensyarah baru dan kakitangan sokongan masih lagi tertakluk kepada dasar lama JPA yang menjadikan pengajaran sebagai asas utama pengambilan kakitangan. Dalam keadaan begini, pensyarah rata-ratanya memilih untuk memberi perhatian kepada penyelidikan yang lebih diberatkan dalam kriteria kenaikan pangkat. Pengajaran pula dilakukan secar ala kadar yang menyebabkan mutu pengajaran rendah.

4. Kegagalan pihak kerajaan dalam meningkatkan kadar pengkomersilan produk hasil penyelidikan tempatan. UPM mendahului dalam pengkomersilan dengan 7 produk sahaja, manakala UKM dan UM belum berjaya mengkomersilkan sebarang produk, walaupun begitu banyak pingat yang dimenangi saban tahun oleh penyelidik kita. Di sebalik pelbagai skim geran yang dibangunkan kerajaan seperti CRDF, TechnoFund dan skim Cradle dan produk yang diselidiki, kadar pengkomersilan masih di tahap rendah. Antara punca yang dkenalpasti ialah:

a. Masa yang sangat terhad dalam proses pengkomersialan produk oleh para penyelidik, kerana bebanan kerja yang lain yang berat.
b. Tiadanya keseriusan di pihak industri dalam meningkatkan lagi produk ke peringkat sedia-pasar (commercial-ready)
c. Tiadanya “track-record” oleh produk berkenaan yang menimbulkan keraguan di pasaran terutamanya produk berteknologi baru
d. Tiadanya komitmen termasuk di kalangan syarikat GLC dalam membantu mengaplikasi kan produk berkenaan
e. Tiadanya polisi yang jelas yang dilaksanakan secara tegas oleh pihak kerajaan bagi memastikan produk dan teknologi tempatan diguna-pakai

Tuan Yang Dipertua,
Berdasarkan kepada senario di atas, maka saya mencadangkan agar KPT:

1. Menyemak semula AUKU ke arah membentuk budaya pendidikan yang menghasilkan pelajar yang mempunyai lebih kebebasan berfikir, keberanian mengeluarkan pandangan secara beretika, dan keyakinan diri yang tinggi, yang dapat meningkatkan “employability”mereka dan daya-saing negara.
2. Memastikan elemen kerohanian berlandaskan kepercayaan agama diintegrasikan di dalam kurikulum, bukannya diasing-asingkan seperti sekarang, bagi meningkatkan nilai dan kemahiran insaniah para pelajar
3. Memberi autonomi Pentadbiran dan Pengurusan kepada universiti penyelidikan agar mereka dapat membangunkan prasarana yang seimbang dalam meningkatkan kualiti penyelidikan dan juga pengajaran. Antaranya ialah dalam urusan pengambilan pensyarah dan kakitangan sokongan.
4. Membangunkan skim yang sesuai bagi membenarkan penyelidik yang berjaya dalam pembangunan produk agar tidak dibebankan dengan tugasan lain dalam tempoh tertentu bagi memastikan meningkatnya pengkomersilan produk tempatan
5. Membangunkan dasar yang jelas dan melaksanakannya secara tegas bagi memastikan sekurang-kurangnya pihak GLC mengguna-pakai hasil penyelidikan tempatan bagi memberi “track record” kepada produk berkenaan.
——–
Ucapan penangguhan YB Salahuddin Ayub pada 25 Jun 2008

Sejauhmana Wisma Putra membantu kes rakyat Malaysia ditahan di negara asing

Dato’ Kamarudin Jaffar (PAS Tumpat) dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pertanyaan berhubung bilangan rakyat Malaysia yang ditahan di negara asing yang terlibat dengan kes jenayah atau pun kes tahanan politik.

Ketika mengemukakan soalan tambahannya, Kamarudin berkata jumlah kes tangkapan warga Malaysia di negara luar (724 orang) seperti yang dinyatakan Menteri Luar Negara, Dato’ Seri Dr Rais Yatim adalah jumlah yang besar.

Beliau juga mencadangkan agar pihak kementerian membantu rakyat Malaysia ini dari sudut bantuan yang boleh diberikan.

Namun dalam soal undang-undang terhadap kesalahan yang dilakukan itu beliau mencadangkan agar mahkamah yang menentukannya.

“Saya juga berminat nak tahu selain kategori tadi jika ada kes yang diumumkan seperti dalam laporan akhbar berhubung kes BSA Tahir yang mana beliau anak kelahiran Sri Lanka ditahan di Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kes berhubung satu syarikat Scomi Engineering Sdn Bhd yang terkenal.

“Beliau ditahan kerana dakwaan pembuatan senjata nuklear oleh Scomi itu.Adakah rakyat Malaysia yang pernah ditahan di Indonesia, Guantanamo Bay atau di Australia berhubung kesalahan jenayah yang berbentuk politi atau pengganas seperti kes BSA Tahir.

“Jika ada adakah pihak Wisma Putra (Kementerian Luar Negara) ambil tindakan tertentu untuk membantu orang-orang ini sebagai tanda prihatin kepada rakyat Malaysia.

Tentang kesalahan yang dilakukan itu katanya, biarlah ia ditentukan di mahkamah antarabangsa atau negara terbabit.

Dengan sinis Kamarudin berkata, “kita lawan di ICJ contohnya dengan bagaimana berjayanya kita dalam kes terhadap Pulau Batu Putih yang terlepas kepada Singapura tetapi ia dianggap sebagai kejayaan kononnya.”

Dr Rais yang bangun bagi menjawab persoalan itu berkata, pihak Wisma Putra sentiasa mendapatkan maklumat mengenai kes tangkapan warga Malaysia di luar negara.

Antaranya kes-kes membabitkan kes pengedaran dadah, kes imigresen dan penyeludupan manusia, katanya.

Sejak tahun 2004 hingga Jun 2008, jumlah tangkapan ialah 724 yang mana kes tangkapan paling besar membabitkan kes pengedaran dadah iaitu seramai 239 kes.

Beliau juga menyatakan nasihat kepada rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara supaya mengetahui tujuan mereka dihantar ke sesebuah negara selain memberi informasi kepada kedutaan berhubung perkara yang berlaku ke atas mereka.

Khalid selar Menteri Penerangan

Dewan Rakyat gamat lima minit berikutan berdebatan antara Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dengan Dato’ Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) selain Gobalakrisnan (KeADILan-Padang Serai) selepas Khalid mempertikai kenyataan Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shaberry Cheek.

Khalid yang bangun bagi menyuarakan Peraturan Mesyuarat 36 (10a) mendakwa bahawa kenyataan Shaberry yang disiarkan dalam akhbar satu penipuan.

Kenyataan dan tuduhan Shaberry terhadap Khalid yang dikatakan derhaka atau khianat dalam mencadangkan agar adanya tender terbuka terhadap telaga minyak.

Kenyataan itu kata Khalid seolah-olah menyifatkannya mengkhianati amanah negara dan mahu menyerahkan hak Malaysia kepada syarikat minyak asing.

“Ini tipuisme, keliruisme yang diperjuang BN.Cadangan saya supaya hanya untuk buktikan Petronas supaya sedia memberi subsidi kepada rakyat dan tak perlu rakyat tanggung beban kenaikan harga minyak,” ujarnya.

Beliau juga berkata bahawa Menteri Penerangan tidak faham apa yang dimaksudkan dengan cadangannya itu semalam.

Sejurus Khalid bercakap mengenai kenyataan Shaberry itu, Tajuddin bingkas bangun menyatakan ianya buang masa dan beliau turut memekik dengan suara yang lantang mengganggu ucapan Khalid.

Tajuddin menghamburkan beberapa perkataan yang akhirnya menyebabkan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat bangun dan mengecam kenyataan Pasir Salak.

Ketika itu juga Gobalakrishnan bangun menyatakan kecaman terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang disifatkan tidak faham isu yang dibincangkan.

Malah berlaku tuduh menuduh antara Gobalakrisnan dengan Tajuddin dengan perkataan yang kesat antaranya ‘awak minum berapa banyak todi'(mabuk), ahli Parlimen kurang ajar dan ‘awak ni gangster’.

Akhirnya Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Wan Junaidi Tunku Jaafar meminta ke semua ahli yang bertengkar agar menghormati dewan dan duduk.