Petronas dicadang bantu pesakit kronik miskin

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) mencadangkan agar Petronas mewujudkan tabung khas bagi membantu pesakit kronik yang miskin.

Semasa bangun mengutarakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini, Ustaz Nasharudin bertanyakan sama ada Petronas akan menubuhkan tabung bagi membolehkan rakyat miskin mendapat rawatan penyakit kronik di Pusat Perubatan Prince Court milik Petronas.

Katanya dengan cara ini rakyat yang miskin tidak perlu bersusah payah bagi mendapatkan rawatan penyakit kronik dengan belanja yang besar di hospital swasta lain.

Begitupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Amirsham Abul Aziz yang menjawab soalan itu menyatakan Petronas tidak bercadang untuk berbuat demikian.

Soalan itu ditimbulkan selepas soalan asal yang dikemukakan Mohamad Azmi Ali (KeADILan-Gombak) berhubung rasional Petronas mewujudkan ‘Prince Court Medical Centre’ yang menelan belanja RM544 juta.

Menurut Menteri tersebut, penglibatan Petronas dalam bidang ini dibuat atas dasar tanggung jawab sosial, dan selaras dengan misi korporatnya.

Ia juga selaras dengan usaha kerajaan menyediakan pelacongan kesihatan bertaraf dunia, katanya._

Tetapkan gaji minima bagi elak kebanjiran pekerja asing

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS Marang) hari ini mencadangkan agar kerajaan menerima cadangan MTUC untuk menetapkan gaji minima bagi mengekang kebanjiran tenaga kerja asing di Malaysia.

Semasa bagun bagi mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Sumber Manusia, Dr S Subramaniam (BN Segamat), Presiden PAS berkata, pelaksanaan gaji minimum boleh menarik minta warga tempatan bekerja di sektor tertentu yang kini didominasi oleh warga asing.

Ujarnya lagi, dengan keadaan kos hidup yang meningkat hari ini berikutan kenaikan harga minyak dan barangan, kerajaan perlu memastikan akta gaji minimum ini dilulus dan dilaksanakan.

Sementara itu menjawab soalan itu, Dr Subramaniam berkata, kerajaan kini sedang mengkaji peruntukan gaji minimum tersebut.

Namun keadaan tertentu di beberapa sektor pekerjaan di negara ini menyebabkan pengambilan pekerja asing tidak boleh dielak.

Namun beliau turut berkata, dalam sektor tertentu tidak dinafikan adanya masalah berhubung gaji yang terlalu rendah yang menyebabkan ia hanya diisi oleh pekerja asing.

Kecelaruan dalam Pengajian Tinggi Negara – Salahuddin

Tuan Yang Dipertua,
Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mempunyai peranan yang amat penting dalam pembangunan negara, dan penerusan kemandirian negara di dalam era global yang serba mencabar kini. Walaupun bilangan IPT di negara ini masih belum mencapai angka (nisbah universiti kepada rakyat) yang setanding dengan negara maju, inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan dalam menambah bilangan IPT adalah satu langkah yang baik. Di waktu yang sama, penekanan kepada kualiti pendidikan adalah satu aspek yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali.

Beberapa senario negatif yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi adalah:

1. Menurunnya “employability” para graduan yang dikaitkan dengan kemahiran insaniah yang rendah, seperti kelemahan berkomunikasi, rendahnya keyakinan diri, gerun dalam menyampaikan pendapat, dan budaya pemikiran yang sempit.Yang paling menakutkan ialah hasil kajian sebuah akhbar mendapati pelajar IPT menganggap rasuah sebagai suatu perkara lumrah dan 60% mengatakan akan melakukan rasuah jika perlu. Fenomena ini sudah tentu berkait langsung dengan sekitaran pendidikan negara yang berbudaya jumud. Di IPT, AUKU dan akujanji mengikat keupayaan pelajar untuk lebih berani dalam meneroka ilmu dan menyampaikan idea dan perasaan mereka.

2. Ketidak-seimbangan perancangan pihak kerajaan dalam keghairahan memasyhurkan pendidikan tinggi negara. Pengishtiharan universiti penyelidikan adalah satu langkah yang boleh dipuji, tetapi perancangan dan pelaksanaannya kelihatan kurang cermat. Maklum-balas yang diperolehi dari ramai ahli akademik di universiti berkenaan (UM,UPM,UKM dan USM), menunjukkan ketidak-puasan hati serta kegelisahan di kalangan mereka. Mereka dikenakan dengan pelbagai bebanan baru dalam bentuk puluhan KPI yang mesti dicapai tanpa penyediaan prasarana sokongan yang mencukupi. Pensyarah memikul tanggungjawab penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan, di samping penambahan beban pengajaran serta pentadbiran.

3. Di waktu yang sama, pengambilan pensyarah baru dan kakitangan sokongan masih lagi tertakluk kepada dasar lama JPA yang menjadikan pengajaran sebagai asas utama pengambilan kakitangan. Dalam keadaan begini, pensyarah rata-ratanya memilih untuk memberi perhatian kepada penyelidikan yang lebih diberatkan dalam kriteria kenaikan pangkat. Pengajaran pula dilakukan secar ala kadar yang menyebabkan mutu pengajaran rendah.

4. Kegagalan pihak kerajaan dalam meningkatkan kadar pengkomersilan produk hasil penyelidikan tempatan. UPM mendahului dalam pengkomersilan dengan 7 produk sahaja, manakala UKM dan UM belum berjaya mengkomersilkan sebarang produk, walaupun begitu banyak pingat yang dimenangi saban tahun oleh penyelidik kita. Di sebalik pelbagai skim geran yang dibangunkan kerajaan seperti CRDF, TechnoFund dan skim Cradle dan produk yang diselidiki, kadar pengkomersilan masih di tahap rendah. Antara punca yang dkenalpasti ialah:

a. Masa yang sangat terhad dalam proses pengkomersialan produk oleh para penyelidik, kerana bebanan kerja yang lain yang berat.
b. Tiadanya keseriusan di pihak industri dalam meningkatkan lagi produk ke peringkat sedia-pasar (commercial-ready)
c. Tiadanya “track-record” oleh produk berkenaan yang menimbulkan keraguan di pasaran terutamanya produk berteknologi baru
d. Tiadanya komitmen termasuk di kalangan syarikat GLC dalam membantu mengaplikasi kan produk berkenaan
e. Tiadanya polisi yang jelas yang dilaksanakan secara tegas oleh pihak kerajaan bagi memastikan produk dan teknologi tempatan diguna-pakai

Tuan Yang Dipertua,
Berdasarkan kepada senario di atas, maka saya mencadangkan agar KPT:

1. Menyemak semula AUKU ke arah membentuk budaya pendidikan yang menghasilkan pelajar yang mempunyai lebih kebebasan berfikir, keberanian mengeluarkan pandangan secara beretika, dan keyakinan diri yang tinggi, yang dapat meningkatkan “employability”mereka dan daya-saing negara.
2. Memastikan elemen kerohanian berlandaskan kepercayaan agama diintegrasikan di dalam kurikulum, bukannya diasing-asingkan seperti sekarang, bagi meningkatkan nilai dan kemahiran insaniah para pelajar
3. Memberi autonomi Pentadbiran dan Pengurusan kepada universiti penyelidikan agar mereka dapat membangunkan prasarana yang seimbang dalam meningkatkan kualiti penyelidikan dan juga pengajaran. Antaranya ialah dalam urusan pengambilan pensyarah dan kakitangan sokongan.
4. Membangunkan skim yang sesuai bagi membenarkan penyelidik yang berjaya dalam pembangunan produk agar tidak dibebankan dengan tugasan lain dalam tempoh tertentu bagi memastikan meningkatnya pengkomersilan produk tempatan
5. Membangunkan dasar yang jelas dan melaksanakannya secara tegas bagi memastikan sekurang-kurangnya pihak GLC mengguna-pakai hasil penyelidikan tempatan bagi memberi “track record” kepada produk berkenaan.
——–
Ucapan penangguhan YB Salahuddin Ayub pada 25 Jun 2008

Sejauhmana Wisma Putra membantu kes rakyat Malaysia ditahan di negara asing

Dato’ Kamarudin Jaffar (PAS Tumpat) dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pertanyaan berhubung bilangan rakyat Malaysia yang ditahan di negara asing yang terlibat dengan kes jenayah atau pun kes tahanan politik.

Ketika mengemukakan soalan tambahannya, Kamarudin berkata jumlah kes tangkapan warga Malaysia di negara luar (724 orang) seperti yang dinyatakan Menteri Luar Negara, Dato’ Seri Dr Rais Yatim adalah jumlah yang besar.

Beliau juga mencadangkan agar pihak kementerian membantu rakyat Malaysia ini dari sudut bantuan yang boleh diberikan.

Namun dalam soal undang-undang terhadap kesalahan yang dilakukan itu beliau mencadangkan agar mahkamah yang menentukannya.

“Saya juga berminat nak tahu selain kategori tadi jika ada kes yang diumumkan seperti dalam laporan akhbar berhubung kes BSA Tahir yang mana beliau anak kelahiran Sri Lanka ditahan di Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kes berhubung satu syarikat Scomi Engineering Sdn Bhd yang terkenal.

“Beliau ditahan kerana dakwaan pembuatan senjata nuklear oleh Scomi itu.Adakah rakyat Malaysia yang pernah ditahan di Indonesia, Guantanamo Bay atau di Australia berhubung kesalahan jenayah yang berbentuk politi atau pengganas seperti kes BSA Tahir.

“Jika ada adakah pihak Wisma Putra (Kementerian Luar Negara) ambil tindakan tertentu untuk membantu orang-orang ini sebagai tanda prihatin kepada rakyat Malaysia.

Tentang kesalahan yang dilakukan itu katanya, biarlah ia ditentukan di mahkamah antarabangsa atau negara terbabit.

Dengan sinis Kamarudin berkata, “kita lawan di ICJ contohnya dengan bagaimana berjayanya kita dalam kes terhadap Pulau Batu Putih yang terlepas kepada Singapura tetapi ia dianggap sebagai kejayaan kononnya.”

Dr Rais yang bangun bagi menjawab persoalan itu berkata, pihak Wisma Putra sentiasa mendapatkan maklumat mengenai kes tangkapan warga Malaysia di luar negara.

Antaranya kes-kes membabitkan kes pengedaran dadah, kes imigresen dan penyeludupan manusia, katanya.

Sejak tahun 2004 hingga Jun 2008, jumlah tangkapan ialah 724 yang mana kes tangkapan paling besar membabitkan kes pengedaran dadah iaitu seramai 239 kes.

Beliau juga menyatakan nasihat kepada rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara supaya mengetahui tujuan mereka dihantar ke sesebuah negara selain memberi informasi kepada kedutaan berhubung perkara yang berlaku ke atas mereka.

Khalid selar Menteri Penerangan

Dewan Rakyat gamat lima minit berikutan berdebatan antara Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dengan Dato’ Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) selain Gobalakrisnan (KeADILan-Padang Serai) selepas Khalid mempertikai kenyataan Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shaberry Cheek.

Khalid yang bangun bagi menyuarakan Peraturan Mesyuarat 36 (10a) mendakwa bahawa kenyataan Shaberry yang disiarkan dalam akhbar satu penipuan.

Kenyataan dan tuduhan Shaberry terhadap Khalid yang dikatakan derhaka atau khianat dalam mencadangkan agar adanya tender terbuka terhadap telaga minyak.

Kenyataan itu kata Khalid seolah-olah menyifatkannya mengkhianati amanah negara dan mahu menyerahkan hak Malaysia kepada syarikat minyak asing.

“Ini tipuisme, keliruisme yang diperjuang BN.Cadangan saya supaya hanya untuk buktikan Petronas supaya sedia memberi subsidi kepada rakyat dan tak perlu rakyat tanggung beban kenaikan harga minyak,” ujarnya.

Beliau juga berkata bahawa Menteri Penerangan tidak faham apa yang dimaksudkan dengan cadangannya itu semalam.

Sejurus Khalid bercakap mengenai kenyataan Shaberry itu, Tajuddin bingkas bangun menyatakan ianya buang masa dan beliau turut memekik dengan suara yang lantang mengganggu ucapan Khalid.

Tajuddin menghamburkan beberapa perkataan yang akhirnya menyebabkan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat bangun dan mengecam kenyataan Pasir Salak.

Ketika itu juga Gobalakrishnan bangun menyatakan kecaman terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang disifatkan tidak faham isu yang dibincangkan.

Malah berlaku tuduh menuduh antara Gobalakrisnan dengan Tajuddin dengan perkataan yang kesat antaranya ‘awak minum berapa banyak todi'(mabuk), ahli Parlimen kurang ajar dan ‘awak ni gangster’.

Akhirnya Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Wan Junaidi Tunku Jaafar meminta ke semua ahli yang bertengkar agar menghormati dewan dan duduk.

129 MP BN sokong Kerajaan Naik harga minyak

Setelah dibuat pengundian belah bahagian atas permintaan PKR-Gombak dan DAP Ipoh Barat, usul Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mencadangkan usul kerajaan menaikkan harga minyak, sebanyak 129 MP BN bersetuju manakala 78 MP Pakatan rakyat dan Bebas menentang.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia bagaimanapun menerima usul yang dikemukakan PKR gombak, Azmin Ali mengikut peraturan mesyuarat 46 (4) suapaya diadakan belah bahagian dalam perakara memutuskan usul yang dikemukakan kerajaan melalui Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna, Datuk Shahrir Samad.

Sidang sebelum itu dikendalikan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee telah memuutuskan bahawa usul itu diluluskan berdasarkan suara majoriti namun ia dibantah M Kulaesgaran (DAP Ipoh Barat).

Anggota BN yang tidak hadir Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim (BN Jelebu), Menteri Di JPM Datuk Zahid Hamidi (BN Bagan Datoh), Menteri Wilayah Persekutuan, datul Zulhasnan Rafique (BN Setiawangsa).

Ahli BN lain yang tidak hadir Tan Sri Rafidah Aziz (BN Kuala Kangsar), datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (BN Kangar), Datuk Seri Tengku Azlan (BN Jerantut), Tiong Thai Ling (BN Lanang), Raimi Unggi (BN Tenom), dan Datuk James Dawot Mamit (BN Mambong).

Anggota BN dari parti SAPP Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) yang dikatakan akan mengundi usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri juga turut tidak hadir.

Tiga daripada empat Anggota Parlimen Pakatan Rakyat iaitu Chow Kon Yeow (DAP Tanjong) dan Gobind Singh Deo (DAP Puchong) dan Nurul Izzah Anwar (PKR Lembah Pantai) juga tidak hadir.

Kesemua 22 Ahli Parlimen PAS dan seorang Bebas mengundi menentang (tidak bersetuju) dengan usul yang dikemukakan kerajaan bagi menyokong kenaikan harga minyak yang diumumkan sebelum ini.

Sebanyak 18 ahli masing-masing 9 dari BN, dan 9 dari Pakatan Rakyat (4 PAS, 2 PKR dan 2 DAP ) dan satu Bebas membahaskan usul yang dikemukakan.

BN mempunyai 140 ahli, pembangkang 81 dan seorang Bebas.

Menteri tagih simpati mohon MP sokong kenaikan harga minyak

Hari ini kerajaan menagih simpati melalui Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengemukakan usul supaya semua ahli Parlimen menyokong kerajaan menaikkan harga minyak minyak .

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mencadangkan:

Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3) Dewan ini mengambil ketetapan berikut:

“Bahawa Dewan ini, Prihatin akan kenaikan mendadak harga minyak, makanan dan komoditi lain di pasaran dunia, yang merupakan fenomena global di luar kawalan Kerajaan.

Menyedari bahawa fenomena kenaikan harga ini membawa impak negatif yang besar kepada kesejahteraan rakyat serta kemajuan ekonomi negara.

Memahami dan menyokong langkah Kerajaan untuk menstruktur system subsidi minyak dan gas yang menjejas kewangan Kerajaan dan tidak dapat ditanggung tatkala harga minyak di pasaran global terus meningkat tinggi, agar beban ke atas ekonomi negara dapat dikurangkan dan subsidi dapat diagihkan dengan lebih saksama kepada mereka yang benar-benar memerlukannya yakni golongan miskin dan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menyokong langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mengurangkan beban ke atas rakyat yang disebabkan oleh kenaikan harga minyak, makanan dan komoditi, agar kesejahteraan hidup rakyat terus terjaga.

Menyedari keazaman dan usaha Kerajaan untuk terus mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi dan memperjuangkan agenda pembangunan nasional, walaupun persekitaran di peringkat global semakin mencabar.

Bahawa Dewan yang mulia ini menyeru kesemua lapisan rakyat Malaysia termasuk pekerja dan pengusaha agar tabah dan bersatu padu dalam menghadapi cabaran global ini serta memelihara keamanan, kestabilan dan kesejahteraan kita bersama”.

Adalah dijangkakan Pembangkang akan menentang habis-habisan usul yang dikemukakan kerajaan. Undi belah bahagi akan dilaksanakan selepas perbahasan hari ini juga.

Pakatan Rakyat akan buat Usul Undi Tidak Percaya bila tiba masa sesuai – MP PAS Tumpat

Pakatan Rakyat tidak akan membentangkan usul untuk membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Rakyat, Isnin depan atau dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata semua parti komponen Pakatan Rakyat termasuk daripada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan hanya berbuat demikian pada masa yang difikirkan sesuai.

“Tidak betul dakwaan kata kami hendak bentang usul tidak percaya kepada Perdana Menteri pada Isnin ini, siapa yang buat kenyataan macam itu?

“Kami hanya akan buat pada masa akan datang, bukan pada masa terdekat, kerana tidak mahu tergesa-gesa,” katanya yang juga Setiausaha Agung PAS ketika diminta mengulas pihak yang akan membentang atau mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata usul undi tidak percaya terhadap Abdullah tidak akan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin ini kerana ia perlu melalui beberapa proses serta prosedur tertentu.

Nazri berkata, beberapa peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat (buku peraturan yang mengawal selia perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat) berhubung pembentangan usul atas sebarang perkara perlu dipatuhi terlebih dulu.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Pas sudah tentu bersama-sama dengan rakan kongsi dalam pakatan untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.
Teruskan membaca

Kenaikan gaji 100% CEO TNB tidak berhati perut – Mahfuz

Kenaikan gaji 100 peratus bagi CEO Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah satu tindakan yang tidak berhati perut pada masa rakyat sedang bergelumbang dengan kenaikan bahan api yang melampau, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.

Beliau berkata, rakyat yang juga pengguna TNB telah menyumbang keuntungan berganda kepada syarikat GLC itu tidak mendapat apa-apa daripada keuntungan sebaliknya terus dibebani dengan pelbagai kenaikan.

“Rakyat terus terhimpit dengan kenaikan petrol baru-baru ini dan pada Julai nanti pula rakyat akan berdepan dengan kenaikan tarif elektrik, sedangkan CEO mereka mendapat kenaikan gaji sekali ganda di atas beban yang dipikul rakyat.

“Kenaikan gaji CEO itu menyebabkan wujud jurang pendapatan yang terlalu besar antara pegawai GLC dengan pengguna,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Perdana Menteri selaku Pengerusi Khazanah Nasional Berhad tidak menggunakan kuasanya sebaliknya hanya menyerahkan keputusan kepada Pengarah Urusannya iaitu Tan Sri Azman Mokhtar.

“Abdullah sepatutnya bertanggung jawab dalam hal ini tidak boleh serah bulat-bulat kepada Azman untuk tentukan kenaikan atau pertambahan gaji di kalangan CEO GLC termasuklah CEO TNB,” katanya.

Apa yang dikesali kata Mahfuz, pengguna TNB yang membayar tarif elektrik walaupun RM10 setiap bulan, sekurang-kurangnya mereka juga penyumbang kepada keuntungan kepada TNB.
Teruskan membaca

Undi Tidak percaya kepada Pak Lah pada sidang Dewan Rakyat mulai 23 Jun nanti?

Pengumuman yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia akhirnya terjawab hari ini apabila ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) didakwa akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Badawi dalam sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Tindakan ini adalah sejarah yang mungkin tidak dapat dilupakan Perdana Menteri dan rakyat Malaysia bahawa usul tidak percaya akan dikemukakan terhadap perdana menteri.

“Sewaku sidang Dewan Rakyat mulai Isnin ini, 23 Jun, ahli-ahli Parlimen kita akan menyokong undi tidak percaya kepada PM.

Sama ada usul itu akan dikemukakan oleh ahli Parlimen kita atau ahli Parlimen lain, akan diputuskan bila tiba masanya,ujar satu kenyataan yang tersiar dalam satu laporan hari ini.

SAPP mempunyai dua ahli Parlimen, iaitu Dato’ Dr Chua Soon Bui (Tawau) dan Dato’ Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) selain empat ahli dewan undangan negeri.

Majimbun yang kini berada di luar negeri, telah menyatakan sokongannya terhadap keputusan parti itu dengan menandatangan kenyataan tersebut.

Chua turut hadir dalam sidang akhbar yang diadakan khas di Kota Kinabalu memberi empat sebab mengapa beliau menyokong usul tidak percaya terhadap PM itu.
Teruskan membaca