Ucapan YB Saifudin Nasution Ismail (PKR Machang) membahaskan Bajet 2009

Saifuddin Nasution bin Ismail

Saifuddin Nasution bin Ismail

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya bangun untuk mengambil bahagian pada sidang bajet kali ini, kebetulan diadakan ketika UMNO sedang buat pemilihan parti. Saya tahu sahabat saya Yang Berhormat Sri Gading kalau berucap dalam perhimpunan agung UMNO penuh pantun. Pemimpin adalah cerminan rakyat, rakyat pula seakan terapan kepada corak tadbiran pemimpin. Mari kita renung pesan orang-orang tua dalam memilih pemimpin.

Biar pilih pada yang benar,
biar sokong yang patut bergantung,
biar membela yang layak didukung

Jangan dibiar pemimpin lesu,
lupa di sini terlena di situ,
nanti negeri mendapat malu
Jangan dibiar pemimpin liar,
pantang perempuan tangan menjalar,

segala harta mahu dikejar,
nama Tuhan pun mudah diikrar,
seakan tak takut bala menyambar

Pilih pemimpin sebenar banyak teruji,
walau dipenjara masih berdiri,
membela rakyat sentiasa difikiri,
mendepani cabaran dia tidak lari

Saya singkap kitab-kitab lama ini dan memilih pantun ini guna untuk berpesan pada diri saya, pemimpin dari Pakatan Rakyat dan juga pemimpin dari Barisan Nasional seluruhnya yang sedang memikul amanah kepimpinan bahawa persoalan kepimpinan ini bukan persoalan kecil. Ini persoalan amanah bukan satu anugerah, persoalan bebanan bukan satu banggaan. Saya tumpukan kepada tiga perkara Tuan Yang di-Pertua.

Pertama soal peralihan kuasa. Saya masih ingat waktu berucap dalam ucapan sulung sejurus pilihan raya umum sidang Parlimen yang pertama, saya sudah pun mengatakan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 sudah pasti akan memakan korban.

Buat Barisan Nasional khususnya UMNO, mereka akan melihat Perdana Menteri itu satu beban, satu liabiliti. Mereka kemudiannya menggusarkan satu post mortem dan retreat parti. Dikemukakan pelan peralihan Jun 2010, menjanjikan peralihan kuasa secara aman. Pilihan raya kecil Permatang Pauh pula berlaku, Barisan Nasional kalah teruk, sokongan Melayu, Cina dan India bahkan semakin meningkat kepada Pakatan Rakyat.

Perdana Menteri dipaksa mempercepatkan pelan peralihan. Nama lunaknya pelan peralihan, sebenarnya silalah berhenti kamu. Jun 2009, tetapi itu pun tidak sabar menunggu, dirangka segala macam pertemuan, diatur segala macam perancangan dan akhirnya Perdana Menteri terpaksa akur, Mac 2009.

Itu reality yang sedang berlaku dalam UMNO, tunggak dalam Barisan Nasional. Bagaimana budaya pemilihan mereka, tidak sukar saya memahami kerana sembilan tahun saya pernah berada dalam kelambu UMNO. Bukan di kaki lima dan hari ini pun penyakit itu masih berlaku. Menteri Dalam Negeri dicabar di Kota Tinggi, kemudian Menteri Dalam Negeri keluarkan kenyataan bahawa rasuah dan politik wang yang berlaku dalam UMNO sekarang paling buruk dalam sejarah.

Diakui sendiri oleh Menteri Dalam Negeri. Kata Menteri Luar Negeri pula, ada perbuatan mengugut calon-calon. Kata calon Ketua Pemuda, kedua-duanya sekali disekat untuk menemui perwakilan. Rasuah, politik wang, ugut, sekat, sudah menjadi darah daging mereka.

Bagaimana rupa pemimpin parti yang naik melalui proses yang serba kotor ini. Apakah rakyat boleh meletakkan harapan parti ini memimpin dengan baik? UMNO kuat selama ini kerana ada kuasa, hilang kuasa, lemah dan tidak bermayalah UMNO. 18 tahun mereka hilang kuasa politik di Kelantan. Mereka bukan makin kuat bahkan makin teruk.

Pengaruh UMNO itu sudah hampir hilang, cuma pemimpin UMNO yang kaya raya, Pemuda, Wanita atau kepimpinan bahagian. Semasa ada kuasa pemimpin itu dihormati, Tun Dr. Mahathir sekali pun saat melepaskan jawatan kemudiannya dianggap perosak, dianggap pengacau, dengan segala macam tuduhan oleh orang yang sebenarnya bingkas bangun waktu Tun Dr. Mahathir umumkan hendak letak jawatan.

Dengan pertanyaan “why”, “why”, menangis, patah tumit kasut tetapi kemudian apa jadi? Sejurus Tun Dr. Mahathir tidak jadi perdana menteri, dia diserang berubi-tubi cuma sekarang kembali pulih kerana proksinya bakal mendapat tempat. Nasib Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi pun macam itu juga. Sebab itu semalam kita mendengar ada Ahli Parlimen menyebut, tidak berkenan cara Ketua Pembangkang mengulas persoalan-persoalan yang dibangkit oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional. Katanya terlalu angkuh dan sarkastik tetapi hakikatnya Yang Berhormat Permatang Pauh lah yang diaibkan, dimalukan, dipukul, disepak, dan diterajang.

10 tahun dituduh pengkhianat, agen Yahudi, agen Amerika, boneka IMF, alat bank dunia, segala macam tuduhan, berbuih mulut. Sekali ini Yang Berhormat Permatang Pauh dapat tempat dan beliau kemudian cuma memberikan balasan balas terhadap persoalan dibangkitkan dan tidak mampu mereka hendak dengar, sebab itu tuduhan angkuh dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, walaupun peralihan kuasa ini tertumpu pada Yang Berhormat Pekan, mohon saya petik kenyataan Perdana Menteri dalam New Straits Times 12 Oktober baru- baru ini.

Katanya dengan izin, “It doesn’t matter whether perception is right or wrong. It is a negative perception and if not addressed it will harden into reality. Once people lose their trust and confidence in institution, the country cannot function properly”.

Maksud yang sama boleh kita lajakkan ketika bercakap mengenai watak Yang Berhormat Pekan yang dikatakan bakal menggantikan. Persoalannya ialah persoalan persepsi, bak kata Perdana Menteri, Eurocopters, Scorpene dan Sukhoi, Mongolia dan SMS. SMS Yang Berhormat Pekan tidak nafi cuma katanya ini hal peribadi. Anehnya ini tidak mengundang siasatan oleh pihak penguasa. Saya masih ingat satu hari Menteri Besar Kelantan berucap di mesyuarat PIBG Sekolah Maahad Muhammadi Kota Bharu.

Dalam ucapannya Menteri Besar sebut ketika mula-mula jadi Menteri Besar, ada tauke datang ke pejabatnya dengan wang yang cukup banyak untuk meminta diberikan habuan projek. Kepada tauke itu Menteri Besar nasihati bahawa rasuah itu haram, pemberi dan penerima masuk neraka.

Besoknya kenyataan itu dilaporkan dalam media bahawa Menteri Besar menyembunyikan maklumat pemberi rasuah. Ketua Pengarah BPR dari Putrajaya mengarahkan Pengarah BPR Kelantan segera datangi Menteri Besar untuk diambil kenyataan. Hanya kerana kenyataan menceritakan ada tauke besar hendak umpan rasuah, itu dianggap salah kerana menyembunyikan.

Pantas BPR bertindak tetapi SMS, Scorpene, Sukhoi, Eurocopters, tiba-tiba mereka bergerak sangat perlahan macam penyu tetapi kalau melibatkan pimpinan pembangkang, pantas pergerakannya, ini menimbulkan tanda tanya.

Soal persepsi ini, tidak selesai dengan nak nafi, dengan I did nothing wrong, dengan izin, “very no obvious of power” kata Yang Berhormat Pekan. SMS it’s a private matter.

Kata Perdana Menteri “I don’t believe that Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak abused his power, if he did how can he be my successor” tidak boleh selesai jawapan macam ini. Ini soalan persepsi, rakyat sedang perhati.

Tuan Yang di-Pertua, janji reform Perdana Menteri empat tahun dia tidak boleh hendak buat, dia nak selesai dalam masa lima bulan, tak apalah. Reform yang dijanj Perdana Menteri adalah reform dalam kerajaan, BPR, polis, kehakiman. Reform dalam parti tidak berlaku sebab itu dia jadi korban.

Khabarnya, hujung sesi ini kita akan bincang tentang…appointemnt commission’ kita akan bincang tentang Malaysian Anticorruption Commision, kita akan bincang tentang Special Complain Commision. Saya fikir untuk bab ini, saya boleh bersetuju dengan Perdana Menteri, Malaysian Anticorruption Commision misalnya harus diberikan tumpuan kepada kuasa menyiasat
dan klausa mendakwa.

Dalam kes berprofil tinggi misalnya, sering kali terlepas daripada pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara. Barangkali di sana sudah tiba masanya kalau pun tidak boleh dibuat reformasi menyeluruh, memperkukuhkan kuasa BPR dengan meletakkan satu komiti yang dianggotai oleh peribadi-peribadi yang terpilih untuk melakukan check and balance terhadap peranan Peguam Negara kalau terlepas pandang meneruskan pendakwaan terhadap kes-kes berprofil tinggi.

Satu ketika, pemimpin dari Sabah yang kebetulan berbeza pendapat dengan Presiden partinya,kemudian, membuat kenyataan terbuka bahawa dia pernah berjumpa Perdana Menteri, berbincang agar tidak diambil tindakan rasuah ke atas Presiden partinya. Terus terang, Timbalan Ketua Menteri dari sebuah negeri ini, sebut bahawa dia telah jumpa Perdana Menteri, berbincang jangan diambil tindakan ke atas Presiden partinya.

Saya masih ingat tahun 1998, kes rasuah yang terkena kepada Yang Berhormat Permatang Pauh, satu sen pun tidak terlibat, dia dikatakan menyalah gunakan kuasa memberi arahan kepada Pegawai Polis supaya tidak meneruskan siasatan, untuk itu, dia kena enam tahun. Dia kata gempar sahaja, enam tahun, yang ini ‘Raymond Tan’ ini mengaku terang-terang dilaporkan dalam media bahawa dia telah berbincang dengan Perdana Menteri, sebab itu katanya, Presiden partinya harus berasa terhutang budi, dia telah pun berjasa, tetapi anehnya, badan penguat kuasa terasa tidak terpanggil untuk memulakan siasatan.

Ketakutan pelabur untuk singgah, dan meletakkan pelaburan di negara kita bukan hanya kerana isu 16 September, tapi kalau beginilah cara badan penguat kuasa kita, mereka juga tidak akan terliur untuk meletakkan duit mereka di negara kita, yang ini dimensi baru buat sebahagian besar Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Terima kasih, Yang Berhormat Machang, saya hendak bertanya dengan Yang Berhormat Machang, semalam kita diberitakan Yang di-Pertua Besar Negeri Sembilan telah dikenakan perintah untuk membayar sejumlah USD1 juta dan jumlah itu dikatakan sebagai perintah untuk mengambil daripada…
Seorang Ahli: Yang Berhormat, 36 (8)
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Tuan Yang di-Pertua, saya menyebut ini sebagai bandingan…
Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Okey, saya tarik balik perkataan yang saya sebut berkenaan dengan Yang di-Pertuan tadi, tapi kes mahkamah yang mengaibkan berita ini, kemudian perkara yang sama juga berlaku apabila kes mahkamah yang sama menuntut seorang Menteri Besar supaya membayar hutang kerajaan negeri terhadap satu syarikat sebanyak RM60 juta yang mana sampai sekarang ini masih lagi nampaknya dilangsaikan atau tidak lagi ditunaikan.

Jadi, dua perkara yang agak sama tapi layanannya agak berbeza ataupun pengiktirafannya berbeza. Saya minta Yang Berhormat Machang untuk memberi pandangan terhadap dua perkara ini. Terima kasih.

Seorang Ahli: [Bercakap tanpa pembesar suara]
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Saya tarik balik perkataan yang saya sebut berkenaan dengan individu, tapi saya minta implikasi itu diberi ulasan. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Saya rasa Yang Berhormat Machang, tak payah respons terhadap Perkara ini.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Rompin, terima kasih Yang Berhormat Indera Mahkota..
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Saya setuju Yang Berhormat Rompin, saya tegur juga tadi 36(8), kalau kita baca perkara yang melibatkan Hakim-hakim dan sebagainya termasuk dalam 36(8) juga Yang Berhormat.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih, isunya ialah isu pendakwaan dan siasatan terpilih, sebegitu boleh, Yang Berhormat Rompin? Maknanya untuk si polan kalau kedudukannya sekian-sekian tak kena, kalau kedudukan si polan pula kedudukannya berbeza kena. Jadi ini isu yang menjadi concern, dengan izin, masyarakat, tak apa.

Saya juga, Tuan Yang di-Pertua, ingin menyinggung soalan ini kerana saya berikan contoh tadi, Timbalan Ketua Menteri Sabah, sebab itu dilaporkan meluas dalam media, saya bandingkan dengan kes tahun 1998 kepada Ketua Pembangkang, Timbalan Perdana Menteri waktu itu, saya bandingkan pula dengan kes Menteri Besar Kelantan, layanannya jelas cukup berbeza dari segi itu.

Saya pernah hadir dalam satu seminar Integriti dengan BPR dan Institut Integriti Malaysia, dalam satu sesi saya bertanya kepada pembentang dari BPR kebetulan. Kenapa kes yang melibatkan sahabat saya saudara Ezam satu ketika dahulu kerana memiliki dokumen yang sah, kertas pendakwaan ke atas bekas Menteri kerana memberi saham kepada menantu. Jelas, itu fakta kes, tak kena, rupanya Akta Pencegahan Rasuah ini, seksyen 15, dia tidak cover menantu, kalau bagi saham dekat menantu, boleh. Dia tidak dianggap mempunyai hubungan keluarga terdekat, ini seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah.

Saya mohon agar, pihak kerajaan dapat melihat kembali, bukan dengan tujuan khusus nak kenakan mana-mana menantu, tetapi kaitan kepentingan dengan penjawat jawatan itu bukan hanya urusan keluarga terdekat tetapi juga yang mempunyai kepentingan yang jelas, macam itu juga hendaklah dikaitkan sama dalam kes yang jelas itu. silakan Yang Berhormat Rompin.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: Terima kasih, saya tidak berapa dengar tadi, Ezam? Dulu sahabat, sekarang tidak sahabat? Itu tanya saja, saya pun tak mengikuti perkembangan Parti Keadilan ini.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Ezam sahabat saya dunia akhirat…
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: Alhamdulillah..
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Itu bezanya kita, berbeza dari segi pandangan politik, ikatan silaturahim..
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: Nantilah bila giliran saya minggu depan, saya akan buat kata-kata Ezam, sama ada Yang Berhormat akan…
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Tidak ada masalah,.. ikatan silaturahmi..
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: Alhamdulillah..
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: ..itu kekal, itu berbeza politik kita dengan politik Yang Berhormat Rompin ni,
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: Ini 36(6) pula, saya bertanya..
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: ..duduk Yang Berhormat Rompin, ini floor saya..
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: …Saya tanya yang benar..
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: …Yalah, saya pun jawab yang benar lah. Duduk! [Ketawa]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: [Ketawa] saya pula yang kena..[Ketawa]

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Dia saudara saya, saudara seagama, tidak ada beza, seperti mana Yang Berhormat Rompin, seperti mana Yang Berhormat Dr. Junaidy bin Abdul Wahab. Yang Berhormat Batu Pahat, lebih-lebih lagi lah sebab bekas pensyarah saya bukan? Satu hari Tuan Yang di-Pertua, Imam Ghazali ini, seorang tokoh falsafah, fukaha lagi, sehebat-hebat ilmu dia, dia tak kenal anjing yang cukup umur, dia tidak boleh beza anjing yang dah baligh dengan yang belum baligh.

Sekali datang, seorang lelaki yang cuma tidur di jalanan beritahu dia, “Wahai kamu Imam Ghazali, kalau nak tahu anjing yang dah cukup umur ataupun tidak, tengok waktu dia kencing, kalau dia angkat kaki, maknanya dia dah cukup umur. kalau dia tak angkat kaki belakang, itu belum cukup umur”.

Satu hari, Imam Ghazali sedang mengajar murid dia, lelaki tadi tu datang, Imam Ghazali itu bangun tanda hormat guru dia, padahal ilmu yang dia dapat, bab anjing cukup umur saja, jadi kalau Yang Berhormat Batu Pahat cikgu saya, memang saya hormat lebih daripada itulah. Itu tidak ada masalah, apa lagi hubungan saudara.

Jadi, saya nak teruskan begini, saya anjurkan tadi, sekejap, walaupun saya hormat, nanti sekejap, saya nak habiskan point dia. Akta Pencegahan Rasuah ini harus diperkembangkan lagi, iaitu harus juga dikenakan ke atas individu yang dekat dengan pemegang jawatan ini bukan hanya keluarga berupa emak, anak semua ni, tidak, ini harus juga diluaskan lagi, kita ada peluang sebab kita nak bentangkan Malaysian Anti Corruption Commission, dengan izin..

Seperkara lagi sebelum saya beri ruang kepada guru saya. Saya mengikuti satu pendedahan yang dibuat oleh bekas SAC 2, seorang pegawai tinggi polis yang menyiasat insiden mata lebam Yang Berhormat Permatang Pauh pada tahun 1998. Kebetulan saya pegang pun teks ataupun kenyataan afidavitnya.

Yang menakutkan saya ialah rupa-rupanya pada malam perbuatan itu berlaku, malam Ketua Polis. Kejap, kenyataan di mahkamah. Bukan lagi afidavit. Terima kasih Yang Berhormat Subang membetulkan saya. Seorang peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada malam kejadian itu yang berlaku di Lokap Rompin, pada malam kejadian itu 20 September itu, di Lokap Bukit Aman, Ketua Polis Negara waktu itu datang sepak, tendang, terajang, pijak, lempang, segala macam istilahlah. Yang Berhormat Permatang Pauh mata bertutup, tangan bergari ke belakang.

Rupa-rupanya Ketua Polis Negara hari ini dan juga Peguam Negara hari ini ada di bangunan itu. Mereka tahu jenayah itu berlaku tetapi mereka membiarkan dan membutakan mata mereka terhadap perbuatan jenayah.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Saya kurang pasti Yang Berhormat, adakah kes in dalam mahkamah dan…
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Tidak. Aduan. Yang Berhormat Permatang Pauh baru buat aduan. Ketua Polis Negara sudah balas balik, jadi belum ada apaapa tindakan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ingatan saya itu, kalau kes ini di dalam mahkamah, tidak boleh bincang.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Isunya ialah pegawai tertinggi polis dalam negara, ketua pendakwa dalam institusi negara tahu jenayah berlaku tetapi diam. Diam terhadap jenayah itu adalah satu jenayah. Apa kita hendak harap rakyat akan dapat keadilan dan pembelaan kalau watak-watak ini masih duduk dalam institusi penting negara. Ini menjadi ukuran pelabur-pelabur asing sebenarnya. Bukan soal 16 September. Ha, ini ya. Sila Yang Berhormat Gombak.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Yang Berhormat Machang. Kita bicarakan soal untuk memartabatkan Badan Pencegah Rasuah supaya lebih bebas, telus, bertanggungjawab. Apakah Yang Berhormat Machang percaya dan yakin dalam tempoh lima bulan ini Perdana Menteri boleh melakukan satu reformasi bersungguh-sungguh sedangkan lima tahun yang lalu tidak buat apa pun?

Sebagai contoh, apabila Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee buat kenyataan terbuka untuk memilih untuk sedikit berbeza daripada pendirian Barisan Nasional dan SAPP memilih untuk menyokong undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri. Immediately Tuan Yang di-Pertua, Badan Pencegah Rasuah cukup cekap, super efficient, dalam tempoh 24 jam buat kenyataan akhbar bahawa Datuk Yong Teck Lee akan disiasat kerana kononnya melakukan rasuah. Penuh di dada akhbar mengaibkan Datuk Yong Teck Lee semata-mata kerana dia memilih untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri dan Barisan Nasional.

Namun, tahu tidak Yang Berhormat Machang sampai petang ini belum ada pun seorang pegawai Badan Pencegah Rasuah yang berani tampil ke Kota Kinabalu untuk mendekati Datuk Yong Teck Lee merekodkan kenyataan beliau kerana mereka juga tahu kalau kes ini dibawa ke mahkamah kita akan londehkan UMNO dan Barisan Nasional di negeri Sabah. Di mana kewibawaan Badan Pencegah Rasuah dalam konteks ini Yang Berhormat Machang?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Pertama, terima kasih Yang Berhormat Gombak. Saya secara peribadi pesimis janji reform Perdana Menteri ini dengan berbaki lima bulan dapat beliau buat. Namun, apa sahaja ruang yang beliau hendak laksanakan, Parlimen ini kalau saya diberi peluang lagi saya akan menyokong agenda reform ini.

Keraguan saya terhadap kewibawaan institusi penguat kuasa yang saya sebutkan tadi. Jelas saya tunjukkan melalui kes-kes tadi. Apa lagi dengan kes yang disebut oleh Yang Berhormat Gombak. Kita tahu kita punya maklumat dengan kedudukan ini. Baru ini, saya kebetulan dengan Yang Berhormat Sungai Petani berhari raya di rumah bekas seorang ketua menteri. Dalam perbualan itu menyebut bahawa sebenarnya bagaimana BPR ini hendak membanteras rasuah kerana BPR itu sendiri sebenarnya penuh dengan penyakit rasuah, ini kenyataan. Disebut pengalaman dia menjadi ketua menteri sebuah negeri. Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya…
Ya, sila Yang Berhormat Rompin.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Tadi mempertahankan bosnya dahulu Menteri Dalam Negeri. Baguslah, pertahankan kawan-kawan ini dahulu supaya terus kawan yang tetap kawan. Saya setuju pada prinsipnya perlu dari semasa ke semasa apa juga institusi itu kita memperbaharui, mentransformasikan rasuah. Namun, tafsiran rasuah ini banyak angel dan pendekatannya dan kalau rasuah itu macam mana kita tafsir rasuah politik?

Mereka itu diundi oleh, diberikan mandat oleh rakyat, memperjuangkan satu badan institusi politik Barisan Nasional, PKR.

Namun, kalau sudah unsur-unsur mengenakan wang merasuah Ahli Parlimen supaya memihak kepada yang lain, adakah ini juga rasuah? Kita tengok 16 September pergi dan dating memutar tarikh baru, mungkin pergi dan datang macam mikraj. Dijanji konon macam di padang pasir, ini airnya. Sampai di situ bukan air, padang pasir. Adakah juga termasuk kita membuat transformasi saya tidak guna perkataan reformasi juga definisi rasuah politik Ketua Pembangkang yang cuba pergi kejut Ahli Parlimen, telefon.

Telefon Yang Berhormat Batu Pahat, apa janji. Itu bukan rasuah? Kalau kita bendung-bendung semua bentuk rasuah, di sini rakyat memberikan Barisan Nasional mandat untuk meneruskan negara tetapi siapa yang memulakan rasuah ini, rasuah politik? Cuba membeli mandat rakyat ini. Rakyat memberi mandat Barisan Nasional, ini juga rasuah. Siapa yang rasuah ini, rasuah politik ini?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Rompin, terima kasih. Kalau telefon pun kata rasuah, beratlah Yang Berhormat Rompin.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: [Bangun]
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Duduk, duduk kejap.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Janjinya…

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Nanti Yang Berhormat Rompin, duduk. Yang Pertama kita tegaskan tidak ada umpan rasuah pangkat, kedudukan, projek dan sebagainya, itu tegas. Biar rekod di dalam Parlimen ini menjadi bukti. Kalau hendak tahu kes rasuah politik wang, saya boleh sebut satu persatu. Saya pernah duduk dalam Jawatankuasa Disiplin UMNO Malaysia. Hendak dengar? Boleh saya sebut sekarang?
Seorang Ahli: Ya, hendak dengar.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Boleh? Boleh saya sebut?
Beberapa Ahli: Boleh.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Ada menteri di sini, kita jatuhkan hukuman kerana memberi rasuah wang dalam pemilihan parti. Ada timbalan menteri di situ, yang asal dari Johor pernah kita jatuhkan hukuman kerana rasuah politik wang. Pernah seorang Ketua UMNO bahagian di Selangor menjadi Exco kerajaan negeri, minta derma untuk membuat bangunan UMNO. Rupanya masuk akaun dia sendiri.

Kita pernah, seorang Ketua UMNO negeri di Sepang minta tanah, dia duduk dalam jawatankuasa tanah, kemudian dapat tanah untuk sendiri, buat sekolah litar memandu. Ada Exco di Negeri Sembilan duduk dalam jawatankuasa tanah, minta tanah untuk diri dia sendiri, bagi nama isteri dan nama pemandunya. Buat stesen minyak dan bela kuda. Hari kita melawat, kuda mati. Saya boleh panjangkan lagi kisah ini.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Penjelasan.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Saya boleh sebutkan lagi. Yang Berhormat Batu Pahat baru, masa itu masa dia pensyarah. Dia tidak terlibat lagi dan saya yakin dia tidak terlibat dan dia akan menang besar.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Hendak minta penjelasan.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Sekejap, sekejap ya. Saya belum habis cerita lagi kes rasuah ini. Belum lagi.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: …minta penjelasan.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO itu bakal diputuskan esok lusa sama ada boleh menjadi presiden atau tidak oleh Majlis Raja-raja yang bersidang di Terengganu petang ini. Saya hendak sebut, saya tahu Yang Berhormat Batu Pahat akan sebut tengok UMNO telus, kita ambil tindakan kepada pelaku rasuah. Saya boleh baca dah, dia akan kata begitu. Ini bukti UMNO mengambil tindakan.

Saya hendak kata budaya rasuah politik dalam UMNO ini membarah, dia tidak reda. Saya boleh
senarai satu-satu ini, ada lagi dalam rekod saya. Banyak lagi ya, banyak lagi saya.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Hendak bagi jalan Yang Berhormat?
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Saya tidak bagi. Duduk sekejap. Sebab itu saya katakan bahawa kalau hendak sebut bahawa percubaan kita untuk mengajak, itu digambarkan seolah-olah begitulah cara pemimpin UMNO berfikir. Hendak ajak orang mesti
rasuah. Sedangkan kita boleh memujuk, saya berkawan rapat dengan Yang Berhormat Rompin.
Waktu saya menjadi Setiausaha Politik Menteri, kita tahu.

Satu ketika Tuan Yang di-Pertua, kerajaan putuskan hendak beli tank, main battle tank. Maka Perdana Menteri minta menteri jelajah satu dunia ini pergi ke UK, Vicus tengok sana. Pergi South Afrika pergi Poland, pergi Slovakia, pergi Korea tengok. Setiap kali kita singgah mendarat di negeri itu, ada sahaja pemimpin UMNO jadi agen untuk jual alat-alat tentera ini. Yang Berhormat Rompin pun tahu sebenarnya, saya jumpa Yang Berhormat Rompin di Afrika. [Ketawa] Pada masa itu arwah Tan Sri Bashir kita banyaklah kocek ini sebenarnya. Jadi rasuah ini…

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Takkan hendak bagi berdiri lama ini?
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Sila, sila.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Machang. Ini masalah rasuah. Itu yang saya kata, saya sudah banyak kali berkata bahawa kita juga kena cermin diri kita apabila bercakap tentang rasuah. Tadi dia sebut tentang menantu.

Baru-baru ini sibuk juga di Kelantan bagaimana menantu dilantik CEO syarikat kerajaan negeri. Ini juga satu contoh yang tidak baik. Semalam saya lihat beberapa orang penyokong PAS bising sebab dipecat sebagai ketua kampung dan mengadakan perhimpunan di Pejabat PAS. Ini semua perkara yang harus kita lihat juga dalam diri kita. Oleh sebab itu saya kata bahawa soal rasuah adalah soal yang perlu diperangi bersama. Jangan kita hendak tuduh orang sahaja, kita tidak nampak diri kita. Maka dia tidak menyelesaikan masalah sebenarnya.

Apa yang penting ialah kerajaan cukup committed untuk membentangkan rang undang-undang mengenai dengan rasuah ini. Itulah masalah dengan Yang Berhormat Shah Alam, dia ketawa. Sebab dia tidak nampak diri sendiri sebenarnya. Itu yang menjadi masalah, lain kali tengok diri sendiri. Maksudnya apa yang kita buat diri kita.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih cikgu saya. Baik. Sebelum Yang Berhormat Shah Alam. Kes yang saudara sebutkan di Kelantan, BPR sudah masuk sebab ada orang mengadu, UMNO mengadu biasalah. BPR sudah masuk, bezanya ialah Menteri Besar Kelantan ini dia buka pintu siasatan pada BPR 25 jam sehari. Itu bezanya, dia buka. Fail sudah diambil, kenyataan telah diambil dan kita biarkan proses itu dibuat begitu sahaja.

Apa yang saya sebut tadi ialah kes-kes disiplin dan rasuah dalam UMNO yang apabila diangkat pada Majlis Tertinggi, Perdana Menteri kata, “BPR jangan masuk campur ini hal parti”. Itu isu dia. Sebab itu, sekejap…

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Isu yang saya bangkitkan itu dari segi amalan. Soal buka pintu, tidak buka pintu siasatan tidak apalah. Namun, soalnya yang paling penting di sini ialah kita buat benda yang tidak betul juga. Itu yang betul.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Betul atau tidak biar BPR yang siasat…
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Point of order…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Machang, point oforder.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Point of Order 36(6), ini sangkaan jahat. Adakah Yang Berhormat dalam…
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Duduklah…
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Duduk pula… point pf prder saya kamu ini. kata kawan, semalam cakap Ketua Pembangkang pun tidak bagi. Point of order saya ini jangkaan jahat.
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Berapa?
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: 36(6). Alah….apa ini?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Rompin. Helah hendak curi masa ini taktik lama saya sudah baca sebenarnya. Jadi yang saya tegaskan ialah soal penyakit ini, apabila rasuah itu dihukum dalam parti BPR tidak dibenarkan masuk, kebal. Ini masalah UMNO. BPR tidak boleh masuk dalam kes dia. Oh, tetapi kalau orang lain, kalau pegawai JPJ, yang makan 10, 20 itu kena. Ini yang songlap beratus juta itu bebas. Sebab apa? UMNO! Mana boleh?

Point saya yang terakhir. Ini saya pernah sebut dalam Dewan ini projek perintis e-Tanah. Pulau Pinang, RM65 juta dapat kepada Precision Portal Sdn. Bhd yang beberapa pemimpin pemuda UMNO berjuang agama, bangsa, negara ada kepentingan. Mereka dapat ini bukan kerana know how tetapi know who, pasal dekat dengan Perdana Menteri, dekat dengan Menteri Kewangan. Dapat projek RM65 juta.

Sain kontrak kemudian dua tahun janji siap. Buat bila? Oktober 2005. bila patut serah? Oktober 2007. Namun gagal disiapkan, duit sudah dapat. Bayaran FAT – Final Acceptance Test sudah bagi RM65 juta. Sambung lagi November 2007, tidak siap juga. Sambung lagi akhirnya Disember 2008.

Saya hendak mohon perhatian yang berkenaan Kementerian Alam Sekitar sebab Jemaah Menteri kena buat keputusan jika sekiranya projek Pulau Pinang e-Tanah ini berjaya, maka roll out dibuat keluasan pejabat tanah seluruh negara dengan bajet sebesar RM1.2 bilion akan buat keputusan. Saya hendak tanya sama ada status RM1.2 bilion daripada projek ini diteruskan atau ditangguhkan kerana kegagalan projek perintis e-Tanah ini di Pulau Pinang. Kelam-kabut sebenarnya projek ini.

Skop e-Tanah, 25 modul 466 urusan, 412 sub modul melibatkan hampir seribu business area. Kelam kabut, tidak ada kepakaran. Ada tiga unit sahaja dalam pasukan e-tanah, dilantik pula pasukan projek e-tanah di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan diletakkan di bawah TKSU 1. Walhal sudah pun ada Seksyen komputer di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan dengan fungsi pertama penggerak utama pengurusan tanah negara, kedua pakar runding pembangunan tanah, ketiga pemodenan pentadbiran tanah.

Akan tetapi bagi kepada syarikat swasta ada kaitan dengan pemuda UMNO Malaysia dalam pasukan itu, dalam syarikat itu dibuat tiga unit. Unit pengurusan, unit undang-undang, unit teknikal. Kepakaran ada di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Yang masuk tidak ada pengalaman.

Akhirnya projek kelam-kabut, dua tahun tidak siap sambung, sambung, sambung tidak siap. Duit habis RM65 juta. Syarikat yang sama Tuan Yang di-Pertua juga rupanya menguasai syarikat untuk projek di JUPEM yang bernama e-Cadastral, di Jabatan Ukur dan Pemetaan. Ini projek Coordinated Cadastral Infrastructure. 25 ribu point every 2 kilometers dengan izin. Dia dapat hampir RM3,000. Dia bayar kepada kontraktor yang buat surveyor, RM1,800. dia makan atas angin bagi setiap satu point RM1,200. Kelam-kabut juga projek ini.

Akibatnya apa yang diberikan oleh kerajaan dalam Jadual 16 Kanun Tanah Negara untuk mengadakan Project Electronic Land Administration System atau ELAS itu tidak kesampaian. Mereka juga menguasai e-Lembaga Hasil Dalam Negeri. Lembaga Hasil Dalam Negeri pun dia sapu, e-Tanah pun dia sapu, e-Cadastral pun dia sapu, sampai bila saya dedahkan di Parlimen Tuan Yang di-Pertua. Raya baru ini wakil syarikat dia datang pujuk saya.

Yang Berhormat Machang, kalau adalah hendak belanja apa-apa pusat khidmat ke, tolong bagi tahulah. Cuma jangan bawa kes ini dalam Parlimen. Ini cara fikir dia. Pemuda UMNO. Sebab itu saya kata sila balik…
Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Masa sudah cukup.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Ah?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, masa cukup Yang Berhormat. Saya hendak cakap yang itu Yang Berhormat.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Speaker siapa? Speaker di sini ke di sana? [Ketawa] e-Cadastral ini point saya yang terakhir. E-Tanah, e-Cadastral, e-Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam semangat e-Government ini. Pelaksanaan akibat daripada segelintir pemimpin Pemuda UMNO Malaysia yang melalui proxynya menguasai projek ribuan juta ringgit dan kalau hasilnya berjaya tidak apa juga, hasil gagal, duit kerajaan habis. Sebab itu musim pemulihan ini mewah mereka, musim pemilihan ini.

Oleh sebab itulah saya fikir kes-kes yang saya bangkitkan ini saya sebut tiga perkara. Yang pertama peralihan, yang kedua tentang janji reform Perdana Menteri dan ketiga secara khusus saya bangkitkan tentang penyelewengan dan tanda tanya dengan persoalan khusus dek kerana kegagalan perintis e-Tanah di Pulau Pinang dengan nilai RM65 juta yang hangus. Projek tidak berjaya, apakah kerajaan akan membuat roll out dengan meneruskan bajet sebesar RM1.2 bilion untuk pelaksanaan e-Tanah seluruh negara.

Itu saya mohon penjelasan, saya minta akhiri Tuan Yang di-Pertua, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. [Tepuk]

RUJUKAN: 16 Oktober 2008

Advertisements

Satu Respons

  1. […] Siapa JJ sebenarnya? Nak tahu JJ kena tanya orang yang sudah biasa dengan Umno, Saifuddin Nasution (baca teks penuh ucapan Saifuddin), Dato’ Kamaruddin Jaffar sudah amat arif dengan […]

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: