Ucapan Ustaz Firdaus Ja’afar (PAS Jerai) membahaskan Bajet 2009

Ucapan Perbahasan Bajet 2009 pada 20 Oktober 2008

Ustaz Firdaus Ja'far, MP PAS Jerai

Ustaz Firdaus Ja'far, MP PAS Jerai

Tuan Mohd. Firdaus Ja’afar [Jerai]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Saya mulakan dengan firman Allah SWT. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] yang bermaksud: “Tolong bantulah atas jalan kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu membantu dan bersama atas jalan kejahatan dan permusuhan”.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang telah memberi ruang kepada saya pada petang yang mulia ini bagi membahaskan Belanjawan 2009. Mudah-mudahan dapat sama-sama kita mengambil manfaatnya dan pihak kerajaan mestilah penuh rasa tanggungjawab dalam melaksanakan tuntutan hak-hak kepada rakyat jelata.

Tuan Yang di-Pertua, saya memohon Kementerian Kerja Raya khususnya bagi memastikan kelangsungan pembangunan khususnya di Parlimen Jerai. Apabila mana kita sampai sahaja ke kawasan Parlimen Jerai sudah tentulah rakyat akan melihat perkembangannya.

Apa yang berlaku di sana adalah kesulitan dan keresahan rakyat berkaitan dengan pembangunan jambatan yang dibina pada awal tahun 70-an sehingga kini belum ada pembesaran dan pembangunan baru yang menyebabkan sering kali pada hari-hari perayaan mahupun hari-hari cuti umum, boleh dikatakan saban minggu berlakunya kemalangan disebabkan sempitnya jambatan tersebut yang mungkin sesuai pada era 70-an dan tidak sesuai lagi pada era 2008 dan 2009 ini.

Namun kita memohon kepada kementerian tersebut supaya mengkaji dan memberi peruntukan khas serta membina jambatan tersebut bagi kemudahan dan keselamatan rakyat yang menggunakannya berulang-alik dari Alor Star ke Sungai Petani.

Sama juga dengan kehendak trafik yang saban masa dan saban hari ada cuti umum dan seumpamanya Ops Sikap telah dilancarkan. Namun disebabkan laluan dan perjalanan ataupun prasarana tersebut menyebabkan kemalangan bertambah, maka dengan adanya pembangunan ini, jambatan baru ini, kita pohon kepada kementerian supaya dapat menyelamatkan kemalangan dan memberi kelancaran pembangunan di kawasan Parlimen Jerai.

Kedua, saya mohon kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, baru-baru ini sering kali hujan turun di kawasan Jerai di daerah Yan, Kuala Muda khususnya Gurun, walaupun tidak selebat seperti yang dijangka oleh pihak Jabatan Alam Sekitar, cukup dengan tiga jam sahaja, maka kampung-kampung di Jitra, Setoi dan seumpamanya sering kali ditenggelami air dan hasil perbincangan pihak saya dan juga JPS, yang mana pihak JPS telah pun memohon dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dalam anggaran RM11.3 juta bagi memastikan rakyat selesa dengan hujan yang lebat sekali pun, namun rakyat pasti akan selamat daripada banjir dan seumpamanya. Namun usaha ini gagal dan tidak dapat peruntukan.

Dalam majlis di Dewan yang mulia ini saya mohon sekali lagi agar kementerian tersebut lebih peka dan lebih melihat kepada keresahan dan kerosakan harta benda rakyat. Apabila peruntukan ini turun dan dapat diatasi masalah banjir ini, kita yakin rakyat lebih selesa dan kita mesti merujuk kepada kata-kata pemimpin Islam terulung Sayidina Ali r.a. mengatakan: “Pemimpin mestilah merasakan keselesaannya adalah keselesaan rakyat, penderitaan rakyat adalah penderitaan pemimpin”.

Jadi, dengan memohon daripada JPS ini peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ataupun Rancangan Malaysia Kesepuluh nanti pastilah mereka turun dan membantu menyelesaikan permasalahan yang sedang berlaku, isu banjir di Kedah dan di seluruh Negara khususnya di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat dan sudah pastilah kita tidak mahu ada unsur-unsur anak tiri dan seumpamanya.

Saya merujuk kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mana 70% penduduk kawasan Jerai adalah merupakan petani dan sering kali kita melihat pelbagai usaha telah dilakukan oleh kementerian bagi mengawal harga padi dan seumpamanya. Namun terdapat penindasan-penindasan yang tidak terancang, yang perlu saya sebut supaya rakyat dan kementerian dapat sama-sama mengatasi masalah ini.

Pertamanya adalah hal kawal selia padi yang telah memutuskan dan mengarahkan kepada pelesen-pelesen pembeli padi supaya tidak menjual harga padi melepasi 5 kilometer persegi. Apabila ini diarahkan, maka ini sudah tentulah memberi kerugian kepada petani apabila mana pelesen-pelesen pembeli ini hanya mampu menjual sekitar 5 kilometer sahaja. Ini bermakna kilang-kilang yang berada di sekitar itu membeli harga murah sudah pastilah pelesen ini akan membeli harga murah kepada petani menyebabkan petani terus ditindas dalam segala hal.

Seperti juga dengan hal lesen beras, ataupun lesen kecil membeli beras, kita mohon agar BERNAS membenarkan pelesen-pelesen kecil ini terus memberi beras kepada BERNAS kerana di sini dapat mengawal harga yang murah dan memastikan rakyat terus berbelanja dengan harga yang murah dan mendapat keuntungan yang besar kepada rakyat.

Kita pohon kepada kementerian tersebut membenarkan untuk diaktifkan semula B-Mart yang suatu masa dahulu telah pun berjaya mewujudkan harga yang terkawal, harga rendah kepada masyarakat dan kita meminta petani-petani tidak ditindas lagi.

Mengenai isu MADA yang mana kita melihat racun yang dibekalkan oleh pihak MADA tidak ada kualiti bahkan terlalu mahal jika dibandingkan dengan harga di pasaran. Apabila petani-petani membandingkan harga tersebut, maka petani merasa kesal kerana baja atau racun yang dibekalkan tidak ada kualiti dan lebih mahal daripada harga-harga pasaran atau harga runcit.

Kita melihat peruntukan racun RM500. Apabila petani mengambil harga racun RM450 maka disoal di manakah bakinya. Bakinya adalah dalam bentuk ringgit tidak dipulangkan kepada petani dan petani kerugian RM50. Bayangkan puluhan ribu petani yang kemungkinan dalam pembelian tersebut mengambil dalam nilai di bawah daripada RM500 maka bakinya tidak dipulangkan kepada petani. Ini juga menjadi tanda tanya dan persoalan kepada petani yang sering kali bertanya hak mereka diambil dalam bentuk begitu. Kita minta kementerian, kalaulah nilainya RM500, petani mengambil racun di bawah RM500 maka bakinya mesti dipulangkan balik kepada petani tersebut sebagai tanda ketelusan pihak kementerian, pihak agensi kerajaan,

MADA dan petani. Seterusnya dari segi subsidi minyak. Bagaimana petani hendak memastikan
kelangsungan hasil daripada padi tersebut apabila mana mesin-mesin pengusaha padi tidak dibekalkan subsidi minyak. Maka pada hari ini daripada RM80 satu relong dinaikkan kepada RM120.

Maka kita minta kalaulah kementerian yang sama boleh menyediakan subsidi minyak kepada nelayan kita mohon, kita mencadangkan agar kementerian yang sama menyediakan subsidi minyak kepada pengusaha mesin-mesin padi supaya petani tidak menjadi mangsanya, yang mana terpaksa berbelanja besar untuk kos mesin padi.

Seterusnya memohon Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mana kita melihat pada hari ini bomba merupakan sesuatu yang cukup penting dalam isu kebakaran, kemalangan dan sebagainya. Kita melihat bomba sukarela lebih banyak daripada bomba di bawah kelolaan kerajaan itu sendiri. Contohnya di Jerai sahaja bomba kerajaan hanya ada satu dan lapan lagi adalah bomba sukarela.

Jadi kita memohon kepada kementerian tersebut menyediakan peruntukan khas bagi membantu bomba di seluruh negara kerana mereka kadangkadang lebih awal dan cepat, kerana mereka berada di sekitar kawasan perumahan, bandarbandar kecil dan seumpamanya. Kita mohonlah peruntukan itu diberikan yang dapat membantu ahli-ahli bomba sukarela di seluruh negara kerana mereka juga menghulurkan jasa besar bagi menyelamat kebakaran dan seumpamanya.

Kita juga memohon diberikan bantuan kenderaan lori, kereta, paip dan seumpamanya bagi melancarkan lagi aktiviti-aktiviti bomba sukarela di seluruh negara. Kos-kos pembinaan bagi balai bomba sukarela perlu diberikan bantuan peruntukan agar bomba sukarela dapat meneruskan kejayaannya membantu rakyat seperti mana yang dihasratkan oleh kementerian tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, suka saya menyebut di dalam Dewan yang mulia ini berkaitan dengan Kementerian Belia dan Sukan, satu kementerian yang cukup penting untuk membina insan, memulihkan keyakinan anak-anak muda yang berkepercayaan mendidik anak-anak muda.

Saya melihat Kementerian Belia dan Sukan merupakan kementerian yang paling penting antara kementerian-kementerian lain supaya anak muda kita dapat didisiplinkan, disusun-atur kehidupan mereka, dan masa depan mereka. Maka kita mohon Kementerian Belia dan Sukan mestilah aktif bukan sekadar untuk melihat dari jarak jauh sahaja, tetapi mesti melihat perjalanan anak muda khususnya program-program berkaitan dengan golongan muda dalam negara kita.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, panjang lagi kah Yang Berhormat?
Tuan Mohd Firdaus Jaafar [Jerai]: Ada lagi 10 minit.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ha…
Tuan Mohd Firdaus Jaafar [Jerai]: Boleh?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya. Habiskan dalam masa 10 minit.

Tuan Mohd Firdaus Jaafar [Jerai]: Terima kasih. Pada saya, saya merujuk kepada aktiviti sukan yang berada dalam negara kita terutama kita melihat persatuan-persatuan sukan, persatuan-persatuan yang lebih cenderung kepada politik sehingga kita melihat tidak ke mana sukan-sukan tanah air kita.

Kita bercakap soal badminton, sepak takraw, soal bola sepak dan seumpamanya dan kita melihat seolah-olah kementerian ini mengadakan program sekadar batuk di tangga sahaja yang tidak boleh menjamin kelangsungan sukan dan membina anak muda cintakan sukan negara. Merujuk kepada keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia yang menterinya memberi jawapan kepada saya Khamis yang lalu diserah kepada pemilihan pasukan dan juga aktiviti sukan bola sepak kepada persatuan seolah-olah memberi gambaran kepada kita kementerian tidak mengambil tahu langsung hal-hal berkaitan dengan bola sepak.

Saya mengakui sukan ini adalah merupakan sukan yang paling hebat sambutannya dan merupakan satu perniagaan kepada kelab-kelab atau negeri yang mewujudkan team bola sepak yang hebat. Saya melihat apabila keputusan FAM khususnya, kita pohon Kementerian Belia dan
Sukan untuk mengkaji semula.

Kita masih punya masa dua bulan sebelum bermulanya liga 2009 ini untuk memikir semula tentang kebaikan adanya pemain import untuk mengharungi, mewarnai cabaran bola sepak tempatan. Bagi peminat keputusan yang dibuat adalah kurang bijak. Alasan kemerosotan bola sepak negara di samping ingin memberi peluang kepada pembangunan adalah satu alasan yang dangkal.

Belum pernah saya dengar liga profesional dalam negara lain yang prestasi bola sepak mereka merosot dengan hadirnya pemain import. Liga Singapura dengan lima pemain import telah berjaya meletakkan Singapura di tahap mengatasi Malaysia.

Liga V, yakni Vietnam telah meletakkan Vietnam sebagai sebuah kuasa baru bola sepak Asia
selepas Jepun. Mampu kah Malaysia tanpa pemain import? Dalam hal ini peminat bola merasakan sistem kita tidak betul, bukannya pemain import yang tidak betul.

Dalam hal ini, peminat merasakan sistem perlu diubah, perlu disusun semula bagi memastikan bola sepak negara kita penuh dengan minat dan mewarnai dengan pelbagai aktiviti melalui saluran pemain importnya dan menaikkan semangat sokongan di semua peringkat anakanak muda. Apabila persatuan bola sepak yang kementeriannya membisu seribu bahasa, membiarkan ini diteruskan, maka kita bimbang, kita takut bola sepak kita lebih ke bawah daripada negara lain dan akhirnya tidak mendapat sokongan daripada rakyat, golongan muda dan menyebabkan persatuan bola sepak terpaksa gulung tikar dalam hal-hal liga tempatan.

Apabila pemain import tidak mewarnai liga tempatan, maka di manakah sebenarnya kelangsungan liga kita? Apakah kita mampu bersaing dalam liga Asia, AFC dan sebagainya dan terbukti apabila mana Kerajaan Malaysia ataupun kementerian, persatuan bola sepak Malaysia tidak membenarkan pemain import beraksi pada tahun hadapan. Maka, contohnya negeri Kedah terpaksa gulung tikar di peringkat AFC kerana tidak dapat bersaing dengan negara-negara, kelab-kelab negara Asian disebabkan mereka mempunyai tenaga pemain import yang lebih berwibawa mengatasinya.

Jadi, persoalannya apakah langkah bijak yang dilakukan oleh kementerian, oleh persatuan bola sepak tempatan yang membiarkan keadaan ini berlaku? Apakah kita ingin maju seperti mereka yang sudah maju ataupun kita mahu undur ke belakang? Pelbagai persoalan yang timbul yang perlu dijawab oleh persatuan mahupun kementerian.

Maka, kita jadikan kambing hitam persatuan kita, pemain ataupun hobi anak muda dan menyebabkan anak muda beralih arah daripada bersukan yang lebih sihat, persaingan yang lebih sihat kepada mencari jalan memenuhi nafsu jahat dan seumpamanya. Kita bimbang dengan keputusan ini akan merudum, akan menjatuhkan lagi nilai prestasi sukan kita dan menyebabkan anak muda menghilang arah.

Hari ini kita melihat bagaimana persatuan-persatuan bola sepak negeri atau pun kelabkelab sedang mencari dan mengambil pendekatan membeli pemain-pemain dan harga pemain tempatan juga melambung, tetapi kualiti yang tidak ke mana. Kita tidak mahu pasukan ataupun mutu bola sepak tempatan merudum, menjadi bahan ketawa seluruh negara-negara, rakanrakan, jiran-jiran kita.

Pada masa ini sedang berlangsung pesta merdeka. Bagaimana peminat kita? Bagaimana anak muda membanjiri stadium pada malam ini? Malaysia bertemu Afghanistan contohnya. Kita hanya beraksi dengan pasukan-pasukan yang tidak ternama. Apa tujuan kita sebenarnya? Untuk menang sahaja kah ataupun kita sorak sendiri kah? Tahukah kita menang dengan pasukan tersebut mendapat sorakan, ejekan. Kita kalah, lagilah kita mendapat ejekan dari peminat-peminat tempatan. Sebenarnya tidak ada hala tuju yang jelas kepada persatuan bola sepak dan kementerian dan mesti bertanggungjawab hal ini.

Seumpama dengan badminton, kita juara sahaja, kita melatah. Kementerian, Timbalan Perdana Menteri melatah dan menawarkan RM1 juta kerana pemain kita, atlet kita yang memenangi pingat emas dan seumpamanya. Kenapa kita tidak mengikut susunan yang ada, imbuhan-imbuhan yang sewajar dengannya? Kenapa kita menggalakkan mereka? sebenarnya memberikan tekanan kepada atlet-atlet kita, memberi tekanan kepada pertubuhan-pertubuhan kelab-kelab dan seumpamanya.

Apabila kita mendidik dan mengambil pengalaman, bukan tidak pernah FAM telah pun memutuskan melarang pemain import bermain dalam liga tempatan. Pernah berlaku pada masa yang lalu dan banyak kali beberapa perkara yang telah dilakukan.

Namun, tahap permainan, tahap sukan Malaysia masih tahap yang sama. Jadi, kita mohon kementerian mestilah mempunyai objektif yang jelas, mempunyai kemahuan yang serius supaya segera memperbetulkan apa yang salah dan segera sama dengan liga-liga negara jiran supaya Negara kita bukan sahaja penyokongnya berpaling tadah menyokong kelab-kelab England contohnya, Chelsea dan sebagainya tetapi tidak mengambil peduli kelab-kelab tempatan yang
dilangsungkan di dalam negara kita sendiri.

Apabila kita hilangkan rasa minat, dorongan anak-anak muda terhadap sukan, maka masa yang sama, jangan kita salahkan mereka. Jangan kita salahkan mereka tidak ada semangat kesukanan negara, menyokong team pasukan kebangsaan negara. Disebabkan tangan-tangan kitalah, disebabkan ketidaktelusan kitalah kementerian dan orang yang berwajib menyebabkan mutu, nilai bola sepak tempatan merudum.

Saya mewakili hasil perbincangan saya dengan rakan-rakan pemain, rakan-rakan jurulatih, dan bekas-bekas pemain mohon agar kementerian merujuk dan mengkaji semula agar mana pemain import dapat datang dan mewarnai bola sepak tempatan tahun hadapan supaya peminat-peminat dan sorakan rakan muda sama-sama membangun dan bersama dengan sukan tempatan kita ini. Dengan tindakan yang kurang bijak tadi, kita percaya pasukan kebangsaan kita mahupun persatuan-persatuan kita tidak ke mana.

Tuan Yang di-Pertua dan akhir sekali saya memohon kepada semua pihak juga kementerian-kementerian yang melibatkan agenda-agenda pembangunan rakyat mestilah telus dan bersama-sama membasmi kemiskinan tegar, membasmi pengangguran di kalangan remajaremaja kita, di kalangan intelektual kita yang menganggur dan memastikan kerjaya mereka selamat, memastikan pelabur-pelabur terus berminat dengan negara kita ini, memastikan anakanak kita mempunyai akhlak budaya yang baik yang cemerlang, modal-modal insan mesti diperbanyakkan, pendidikan, rohani dan jasmani, membina akhlak mulia di kalangan remaja-remaja, mempunyai pemimpin yang bertanggungjawab, yang tidak rasuah dan korupsi, mempunyai warganegara yang bijak, yang baik, dan memahami tanggungjawab kita bersama.

Mudah-mudahan dengan saranan ini, saya yakin dan percaya kementerian dapatlah melihat, menjenguk keadaan rakyat di bawah sana yang tenggelam dengan banjir, kemiskinan, harga petrol yang merudum, yang turun ini, turut sama dengan harga getah, harga sawit. Kita memohon kepada jawatankuasa pemandu atau jawatankuasa kawal harga barang mestilah segera bermesyuarat memutuskan semula harga-harga barang di pasaran supaya turun seperti mana harga-harga petrol, harga-harga getah dan sawit supaya rakyat tidak tertekan dengan pendapatan yang kecil dan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.

Mohon kepada Tuan Yang di-Pertua untuk perhatian kepada menteri-menteri yang terlibat. Terima kasih.

RUJUKAN: 20 Oktober 2008

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: