Ucapan Dr Mohd Hayati Othman (MP PAS Pendang) membahaskan Bajet 2008

Sesi Perbahasan Bajet 2009

Dr Mohd Hayati Othman, Ahli Parlimen Pendang

Dr Mohd Hayati Othman, Ahli Parlimen Pendang

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera, selamat pagi.

Semalam saya telah menyentuh tentang penswastaan hospital, hari ini saya nak sambung sedikit lagi berhubung dengan perkara ini kerana ia melibatkan ramai rakyat di dalam negara kita ini. Walaupun secara keseluruhannya tidak berlaku lagi penswastaan hospital awam masa kini, namun umum telah mengetahui dan merasai bebanan bahang penswastaan tersebut dengan peningkatan kos rawatan yang terpaksa dibayar oleh rakyat walaupun mereka dirawat di hospital awam sekarang ini.

Dari kos ubat, kos prostesis sehingga ke kos sesetengah jenis pembedahan yang memerlukan penggantian peralatan ataupun prostesis mesti dibiayai sendiri oleh pesakit. Kebanyakan pesakit yang baru dikeluarkan dari wad sering membawa resit bayaran membuat aduan berhubung kos yang tak mampu dibayar oleh mereka walaupun mereka ini dirawat di hospital awam atau hospital kerajaan.

Ini termasuklah kos pembedahan yang memerlukan prostesis seperti katarak yang mana pesakit diarahkan membuat bayaran atau membeli sendiri kanta. Atau pesakit yang mengalami patah yang perlu membeli sendiri besi, bukan besi buat bangunan, ini besi lain ya bagi mengukuhkan tulang yang patah.

Semua ini menjadi keluhan kepada pesakit yang miskin dan tidak berkemampuan. Akan tetapi mereka kebiasaannya tidak diberitahu berhubung dengan bantuan kepada pesakit melalui tabung yang disediakan di dalam wad di mana mereka dirawat. Jadi saya harap perkara ini dapat diselesaikan di dalam wad lagilah.

Kalau mereka tidak boleh membayar atau membeli, maka tersadailah mereka di dalam wad. Makin lama mereka duduk di dalam wad, makin banyaklah kos rawatan terpaksa dibayar. Ini belum kita bicarakan lagi tentang hospital yang mempunyai private wing yang mana doktor dibenarkan untuk mengenakan bayaran kepada pesakit yang dirawat seperti mana di hospital swasta dengan kemudahan yang terdapat di hospital awam ataupun hospital kerajaan.

Walaupun ianya dari satu segi dapat memberikan pulangan yang lebih kepada doctor yang berkenaan, ia berhasrat untuk mengurangkan penghijrahan doktor ke sektor swasta. Namun dari segi moralnya sudah pasti akan meninggalkan satu kesan yang kurang baik kepada pesakit yang tidak mampu atau tidak boleh membayar.

Mereka sudah pasti nanti akan dilayan seperti pesakit kelas dua kerana pesakit yang membayar sudah tentu mahukan rawatan dan belaian yang lebih kerana mereka membayar. Padahal yang tidak membayar hanya akan menerima masa yang terluang atau masa yang lapang daripada doktor berkenaan.

Walaupun ia ditentukan hanya masa di luar waktu pejabat sahaja mereka ini boleh untuk mengendalikan di private wing ini. Harapan rakyat agar perkara ini diteliti semula sebelum ianya menjadi lebih parah.

Saya ingin bertanya kepada kementerian sama ada Kementerian Pengajian Tinggi atau Kementerian Kesihatan kerana private wing ini kebiasaannya berada di bawah Kementerian Pengajian Tinggi tetapi hospital awam berada di bawah Kementerian Kesihatan. Jadi berapa ramaikah doktor-doktor ini dapat kita kurangkan daripada berlaku penghijrahan ke sektor swasta

Tuan Yang di-Pertua, walaupun sekarang ini hanya beberapa unit di bahagian hospital awam telah diswastakan iaitu seperti dobi, kebersihan, cleaning, elektrik tetapi ia pada masa ini tidak secara direct atau langsung membebankan pesakit berhubung dengan unit-unit yang diswastakan ini.

Akan tetapi baru-baru ini saya mendapat gambaran daripada sahabat-sahabat yang bekerja di hospital di unit bius dan juga unit makmal patologi, mereka juga sering dipanggil ke kementerian mengatakan ianya juga akan diswastakan pada masa akan datang ataupun pada masa terdekat.

Jadi saya risau tentang perkara ini kerana ini secara direct atau terus akan membebankan pesakit kerana setiap pesakit memerlukan rawatan direct ataupun ujian direct daripada makmal, x-ray dan juga apabila melakukan pembedahan, mereka memerlukan rawatan dari unit bius. Kalau sekiranya ini diswastakan saya rasa memang akan membebankan lagi bil-bil pesakit tersebut.

Dan saya pergi kepada masalah yang berlaku di kawasan iaitu sekarang ini semua orang dah tahulah dah masuk dalam TV pagi ini, di kawasan utara memang dilanda oleh banjir. Dan kalau tak silap saya, dua tahun lepas Perdana Menteri telah pergi ke kawasan saya, macam orang pergi tak beritahu tuan rumahlah, saya pun tak dapat jemputan tetapi alhamdulillah dia telah berjanji untuk memberi bantuan sebanyak RM21 juta. Akan tetapi apabila saya berbincang dengan pegawai daerah, pegawai daerah mengatakan 1 sen pun belum sampai baik kepada MADA ataupun kepada JPS.

Jadi maknanya masalah sungai merupakan satu masalah yang menyebabkan banjir ini berterusan dalam tahun ini, bukan tahun inilah, dalam dua bulan ini sudah dua kali kawasan saya dilanda banjir dan ini merupakan satu masalah yang perlu dihadapi kerana setiap kali banjir banyak kawasan-kawasan sawah padi tenggelam, tidak kurang daripada RM3 juta terpaksa dihabiskan ataupun dihanyutkan oleh air banjir ini. Baru-baru ini berhampiran dengan lebuh raya PLUS iaitu di kawasan antara Jerlun dengan Gurun dilanda banjir.

Ini berpunca daripada pembinaan lebuh raya PLUS tersebut yang menyekat aliran sungai. Jadi saya harap kementerian yang berkenaan tolong perhatilah, aliran sungai dia masuk dalam lubang, naik balik sebelah sana. Jadi bagaimanakah aliran air akan berlaku dengan cepat dan ini telah menyebabkan banjir. Kalau satu bulan dua kali ini saya rasa mungkin rakyat Malaysia lepas ini akan kebuluranlah kerana Kedah tak akan dapat nak supply beras lagi ke negeri-negeri yang lain.

Itu masalah banjir yang berlaku dan saya harap janji yang diberikan oleh Perdana Menteri itu dapat ditunaikan oleh Menteri Kewangan yang ada pada hari inilah iaitu Timbalan Perdana Menteri.

Satu lagi masalah muncul ekoran daripada banjir ini adalah pampasan yang diberikan. Ini semua kerja yang dilakukan oleh JKKP yang dilantik oleh menteri yang tak berkawasan inilah iaitu Menteri Luar Bandar, tidak hadir pada hari ini. Jadi saya harap benda ini perlu diberi perhatian kerana mereka membuat bancian JKKP ini, mereka yang sawahnya tidak tenggelam pun dibanci sama dan orang yang sawahnya tenggelam dan padinya hanyut tidak dibanci. Ini tidak dijalankan penyiasatan oleh pegawai pertanian dan juga pegawai MADA.

Ramai petani yang membuat keluhan kepada saya, saya kata ini kerja-kerja yang dibuat oleh JKKP yang dilantik oleh pihak pusat sebab kalau kita membuat siasatan, kalau pegawai pertanian dan MADA membuat penyiasatan saya rasa perkara ini dapat dihindari daripada berlaku. Kerana ini memberikan satu penganiayaan kepada petani yang betul-betul padi mereka rosak, tidak dapat dituai, tidak dapat diambil pada musim yang lepas iaitu pada awal bulan puasa yang lalu.

Berhubung dengan PLUS, berhampiran dengan lebuh raya PLUS itu sekarang ini pembinaan double tracking ataupun landasan kereta api berkembar yang sedang giat dijalankan. Ini juga memberi satu lagi masalah di kawasan saya iaitu banyak rumah-rumah yang terpaksa dipindahkan dan juga terpaksa berpindah kerana apabila landasan berkembar ini dibina, ianya mengenai rumah dan rumah ini apabila kami berbincang dengan pihak Gamuda, mereka tidak akan memberi pampasan. Jadi penduduk merasa kalau mereka tinggal di situ, mereka akan terdedah kepada landasan kereta api berkembar yang dikatakan akan membawa kabel,
mempunyai kapasiti elektrik yang tinggi. Jika sekiranya mereka berpindah, mereka terpaksa membuat rumah baru dan terpaksa memerlukan pembiayaan yang tinggi.

Jadi saya harap Kementerian Pengangkutan dapat memberikan satu penyelesaian terhadap masalah penduduk dengan Gamuda inilah.

Yang keduanya tentang KEDA, pada 21 hari bulan yang lepas Yang Berhormat Timbalan Menteri pun masih ada di sini, saya telah menanyakan soalan tentang penempatan di rumah KEDA iaitu 13 orang penduduk di situ yang telah dijanjikan dan telah dibawa ke Pusat Induksi KEDA di Sik. Mereka ini dijanjikan rumah KEDA di perumahan KEDA Bukit Jenun dan Yang Berhormat Timbalan Menteri pun berjanji untuk memberi jawapan.

Sampai hari ini saya masih belum lagi menerima jawapan wahai Yang Berhormat Timbalan Menteri. Kalau belum siasat, siasat segera dan berilah saya jawapan, kerana saya mendapat satu jawapan yang lain daripada pegawai KEDA yang mengatakan, jika sekiranya mereka ini telah dibawa ke pusat induksi ini mereka akan diberi rumah tersebut.

Apabila saya bertanya kepada penduduk, mereka mengatakan, penduduk yang sepatutnya yang mendapat rumah ini mereka mengatakan ianya diblok ataupun senarai ini dikeluarkan oleh ADUN daripada Barisan Nasional. Ini satu yang tidak sepatutnya berlakulah kerana dalam bajet prihatin ini banyak yang dijanjikan, tetapi jika sekiranya rakyat miskin tidak ada tanah, tidak ada rumah pun sanggup dilakukan begitu, saya rasa ini tidak sepatutnya berlakulah. Jadi saya harap Yang Berhormat Timbalan Menteri kalau belum mendapat jawapan sila buat siasatan dan berikan saya jawapanlah.

Seterusnya saya pergi kepada MADA. Ini juga merupakan kawasan yang saya mewakili kawasan yang besar di kawasan MADA. Salah satu daripada projek yang akan dijalankan bersesuaian dengan NCER ini adalah pembaikpulihan sistem saliran.

Dan Kerajaan Negeri Kedah pun telah berjanji untuk menambah ataupun membaik pulih kawasan-kawasan terbiar untuk ditanam dengan padi semula. Masalah yang dihadapi adalah tentang saliran yang disediakan oleh MADA ini. Jadi dengan wujudnya NCER, saya harap dalam belanjawan ini ianya tidak akan menjejaskan ataupun tidak akan mengurangkan program-program dalam NCER ini, yang mana ianya penting untuk makanan penduduk.

Di kawasan MADA kita tahu 97,000 hektar adalah kawasan MADA yang ditanam dengan padi hanya 30% sahaja, iaitu 29,000 hektar lebih kurang kawasan yang mempunyai saliran yang sempurna. Kalau kita hendak bandingkan kawasan MADA dengan kawasan Sungai Manik dan Sekinchan, di kawasan MADA kita dapat mengalirkan air hanya 30 meter untuk satu hektar berbanding dengan Sungai Manik dan Sekinchan 43 meter per hektar.

Maknanya jauh masih berkurangan sebab itulah hasil yang kita dapati paling banyak pun sekarang ini dalam lingkungan enam tan per hektar. Jadi saya harap perkara ini akan diberi perhatian oleh pihak MADA dan juga kementerian yang berkenaan.

Berkenaan dengan salah satu lagi daripada NCER, projek NCER adalah mengestetkan sawah padi. Berhampiran dengan kawasan saya iaitu di Kampung Jelai projek perintis sudah pun dijalankan. Dan kawasan ini sudah pun dituai padinya iaitu sekitar 7,982 hektar pada tahun 2008 ini.

Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pertanian, bagaimanakah dengan hasil tuaian pada musim ini iaitu pada musim sebelum bulan puasa baru-baru ini? Adakah ianya bertambah berbanding dengan hasil tuaian mereka sebelum ini kerana ini merupakan projek perintis? Sekiranya ia dapat menambah pendapatan petani, saya rasa ini satu yang cukup positif dan kita perlu memberi kredit kepada kementerian. Tetapi jika sekiranya ianya tidak memberikan hasil yang positif saya rasa estet padi ini perlu difikirkan semula oleh kementerian.

Seterusnya berhubung dengan laporan akhbar baru-baru ini Tuan Yang di-Pertua, iaitu tentang dua orang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Perlis di Kangar yang membelasah cikgu. Begitu juga pada akhbar semalam sekumpulan pelajar sekolah yang sama telah ditahan oleh polis kerana bergaduh di sekolah. Dan juga dalam Berita Harian di bawah tajuk tersebut Pelajar membawa tangannya yang putus dalam bakul motosikal pulang ke rumah dengan darah berlumuran.

Ini saya rasa satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh kementerian berhubung dengan cara kita mendidik baik di rumah ataupun di sekolah, kerana didikan yang kita berikan bukan hanya setakat untuk mendapat skor banyak A di dalam peperiksaan, tetapi penilaian tahap kehidupan mereka dari segi moral mereka, dari segi sahsiah, dari segi kehormatan mereka kepada guru.

Saya ingat kalau dahulu saya bersekolah dan sampai sekarang apabila berjumpa dengan guru atau cikgu kita, kita masih lagi memanggil dia cikgu dan kita menghormati mereka. Tetapi sekarang ini saya rasa nilai-nilai ini sudah tidak ada dalam pelajar-pelajar kita. Itulah sebabnya mereka sanggup menetak tangan kawan sampai putus, bawa balik tangan itu dalam raga moto, balik terpaksa masuk hospital. Ini merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian.

Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi kita sama-sama bertanggungjawab untuk mendidik, melatih warga kita sebab kita tahu ‘awalludin makrifatullah’ Seawal-awal agama itu kita kenal kepada Allah. Bila kita kenal Allah kita takut kepada Allah, maka kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak baik di dalam kehidupan kita.

Saya rasa inilah perkara yang perlu kita berikan perhatian dalam sistem pendidikan kita. Sebelum saya mengakhiri perbahasan ini, saya ingin melihat kepada salah satu laporan akhbar berhubung dengan…

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Boleh bagi laluan sedikit?
Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Sedikit ya.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikit sahaja. Boleh atau tidak kalau di sini kita minta supaya Yang Berhormat memberi persetujuan ataupun tentang cadangan saya supaya di sekolah misalnya kita dapati daripada priority ataupun keutamaan kepada pendidikan dari segi penghormatan kepada guru, penghormatan kepada ibu bapa ini sangat kurang.

Malah antara contoh misalnya mural ataupun tulisan-tulisan yang didinding. Yang ada tulis situ cemerlang, gemilang dan sebagainya tetapi tidak ada di situ satu penekanan tentang akhlak, penghormatan kepada guru, penghormatan kepada ibu bapa. Ini mencerminkan sebenarnya bentuk pendidikan ataupun penghayatan-penghayatan pendidikan di sekolah itu yang tidak menekankan ciri-ciri akhlak dan adab ini. Apa pendapat Yang Berhormat? Terima kasih.

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Titiwangsa. Saya mengucapkan takziahlah di atas pemergian ke rahmatullah ibu kepada Yang Berhormat Titiwangsa. Saya bersetujulah 200% di atas cadangan tersebut. Saya tidak mahulah panjang.

Satu lagi salah satu daripada program dalam NCER ini adalah penternakan lembu dan kambing. Setelah berbincang dengan mereka yang diberi kesempatan untuk memelihara kambing boer ini dan saya juga telah sentuh dalam perbahasan sebelum ini berhubung dengan masalah yang dihadapi oleh kambing yang kita import daripada luar. Walaupun Jabatan Haiwan mengatakan ia boleh, sesuai dan layak dipelihara kerana dagingnya tidak berbau dan lazat.

Saya rasa untuk petani memelihara kambing jenis ini yang harganya lebih mahal satu ekor mungkin sampai ribuan ringgit dan pasaran terhadap kambing tersebut perlu diberi perhatian oleh kementerian. Walaupun mereka mengatakan hasilnya banyak, dagingnya banyak dan boleh memberi pertambahan kepada sumber daging negara kita, tetapi apabila sampai kepada petani tidak adanya pegawai-pegawai haiwan yang memantau.

Banyak daripada kambing-kambing ini yang mati daripada yang hidup. Kalau kita lihat daripada laporan akhbar projek perintis di Pondok Tanjung, Selama Perak 500 benih kambing boer dibawa masuk. Saya tidak tahulah berapa banyak ataupun berapa jumlah kambing yang telah mati daripada yang hidup, kerana apabila sampai kepada petani-petani ini kambing-kambing ini tidak dapat hidup dengan sempurna, tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana, keadaan cuaca ataupun masalah rumput dan air di dalam negara kita.

Apabila mereka membuat post mortem ini bukan di dalam hospitallah di dalam ladang
haiwan itu mereka dapati ianya mempunyai penyakit hati…
Dato’ Ismail Kasim [Arau]: Mohon laluan.

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: ….bukan sakit hati, penyakit hati. Arau.
Dato’ Ismail Kasim [Arau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Pendang. Saya ingin penjelasan apabila Yang Berhormat bangkitkan tentang kambing-kambing yang telah diberi kepada orang kampung untuk memastikan bahawa ternakan ini dapat diperkembangkan dan tidak ada pemantauan susulan yang boleh menyebabkan kambing-kambing yang kalau ikut dari segi persekitaran. Walaupun Yang Berhormat bukan doktor veterinar, doktor betullah kan, tetapi faham jugalah apa yang berlaku kepada kambing tetapi di sini pada kita, sebenarnya kita rasa kerugian besar.

Kalau usaha kita untuk meningkatkan sosial ekonomi petani dan juga penduduk ianya tidak dibuat dengan berterus. Maka kita lihat apa yang kita sasarkan tidak mencapai kejayaan. Apa pandangan Yang Berhormat kalau sekiranya benda ini kita usahakan dengan lebih sistematik. Bermakna kata ada ladangnya, ada feedlot nya, ada orang yang mengawasi penyakit dan sebagainya menerusi koperasi dan juga dibangunkan secara kelompok.

Saya ingat program sebegini kalau kita cuba sedarkan kepada rakyat sebab sebenarnya peruntukan daripada kerajaan ada tapi khidmat nasihat dan pengetahuan itu tidak disampaikan, tidak disebarkan menyebabkan mereka tidak dapat knowledge yang sebenar, pengetahuan sebenar.

Apa lagi hendak menternak kambing boer. Saya ingat kebanyakan yang menternak kambing ini kebanyakannya ada satu, dua sahaja yang berjaya. Kebanyakannya tiap-tiap hari kalau kita ternak 100 ekor, sehari satu ekor akan kembali ke rahmatullah. Ini yang berlaku. Okey
apa pandangan Yang Berhormat?

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Yang Berhormat Kalabakan.
Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Haji Salleh [Kalabakan]: Tuan Yang di-Pertua, saya kalau masak kari kambing memang sayalah pakar. Akan tetapi berkenaan dengan kambing boer ini, saya ada pelihara kambing boer juga tetapi bermasalah kerana kalau kita bagi kepada penternak yang kecil-kecilan ini mereka tidak sanggup. Ini kerana pertama, makanan dia mahal. Kedua, tidak ada bantuan kerajaan, maka kita bermasalah. Misalan, kalau kita pelihara 100 ekor, dia mungkin sehari feed lot ini, makanan kita bawa ke sana belanja pun mungkin RM1.50 seekor sehari. Jadi berapa sebulan, berapa setahun?

Jadi kita punya penternak kecil-kecil ini dia tidak sanggup, tidak boleh. Melainkan kita ada koperasi, ada kumpulan yang kita bagi bantuan,baru boleh berjaya. Keduanya penyakit, kalau kita tidak ada dari jabatan haiwan jaga, doktor haiwan yang jaga maka kita punya masalah.

Misal di kawasan di Tawau satu pegawai haiwan. Jadi apa macam dia boleh jaga semuanya ini? Jadi ini bermasalah. Mungkin Yang Berhormat boleh cadangkan jangan bagi kepada pekebun pekebun kecil ini kambing-kambing boer ini. Kalau mahu bagi, bagi kambing kampung kerana kambing kampung lagi senang. Kita lepas begitu sahaja dia boleh biak banyak dan boleh dipelihara. Itu mungkin…

Dato’ Ismail bin Kasim [Arau]: Saya tarik balik “perkataan kembali ke rahmatullah.” “Mati, kambing-kambing itu mati” dengan niat untuk tidak mempersendakan kalimah.

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Yang Berhormat Arau dan Yang Berhormat Kalabakan. Saya rasa Tuan Yang di-Pertua boleh masukkan ucapan mereka ini ke dalam masalah perenggan daripada ucapan sayalah kerana saya bersetuju dengan apa yang dikemukakan oleh kedua-dua Ahli Yang Berhormat tadi ini. Saya rasa memang kalau kita…

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Yang Berhormat Pendang minta sikit?
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Peminat kambing ini.[Ketawa]
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Sama-sama makan kambing ini. Terima kasih Yang Berhormat Pendang dan Tuan Yang di-Pertua. Saya ingat Yang Berhormat Pendang tidak berapa perasan. Saya rasa eloklah kita tidak payah guna perkataan “ke rahmatullah” itu. “Ke rahmatullah” ini digunakan untuk orang yang beriman meninggal. Kalau kambing pun kita guna ke rahmatullah, ini satu…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Arau sudah tarik balik Yang Berhormat.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Yang Berhormat Arau tarik balik, Yang Berhormat Pendang belum.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Oh, Yang Berhormat Pendang ya?

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih kepada Yang Berhormat Baling. Saya pun ingin dibuangkan daripada ucapan tadilah perkataan tersebut. Apabila kita berbicara tentang kambing boer ini dan apabila saya berbincang dengan pegawai pertanian, mereka mengatakan kebanyakannya yang mati tersebut apabila dibuat post mortem mereka dapat ada masalah di hati dia. Sakit hati kambinglah. Saya tidak tahulah apa punya sebab saya doktor orang, bukan doktor haiwan.

Jadi kementerian perlulah melalui pegawai-pegawai haiwan ini menyelidiki dengan lebih lanjut kenapakah punca menyebabkan penyakit hati ini mengenai kambing boer ini. Sebab kalau kita sudah beli sampai ribuan ringgit, sampai kepada petani tiap-tiap hari seperti disebut oleh Yang Berhormat Arau tadi mati, maka ini amat merugikanlah. Lebih baik kita bagi petani kita memelihara kambing kacang ataupun kambing biasa ataupun bebiri yang lebih tahan.

Kena hujan pun tidak ada masalah, kena panas pun dia tidak ada masalah. Mungkin daging dia itu berbau sikit tapi kalau kita taruk banyak rempah ataupun juga perencah lain, mungkin dia punya bau itu akan kurang. Ini boleh kita tanya Yang Berhormat Kalabakan. Ya, Yang Berhormat Pasir Mas. Saya beri kepada Yang Berhormat Pasir Mas.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tidak, saya hendak tanya Yang Berhormat. Apakah Yang Berhormat sedar ada daging kambing yang paling sedap. Di Arausa Restaurant, Jalan Damai. Lovely restaurant. Terima kasih.
Seorang Ahli: Kempen restoran itu?

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Ada saham ke Yang Berhormat Pasir Mas? [Ketawa]
Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya hendak merayulah kepada Kementerian Alam Sekitar berhubung dengan masalah yang kita hadapi di negeri Kedah kerana di negeri Kedah kita mempunyai banyak balak tetapi di kawasan yang tidak boleh ambil.

Jadi kita terpaksa memelihara kawasan tersebut. Pada masa sebelum ini Kedah diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional, pampasan alam sekitar tersebut diberi RM100 juta setahun untuk memelihara kawasan alam sekitar. Jadi saya harap perkara ini dapat diteruskan supaya belanjawan ataupun perbelanjaan kita memelihara kawa hutan tersebut dapat di jimatkan dengan wang pampas an alam sekitar yang diberi kementerian tersebut. Saya rasa itulah sikit sebanyak ucapan saya yang dapat saya sampaikan. Assalamualaikum.

RUJUKAN: 22 Oktober 2008

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: