Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Tentang program-program yang dibuat tadi, latihan, kepimpinan dan sebagainya. Saya hendak bangkitkan isu sejauh mana keberkesanan program-program ini mencapai satu matlamat untuk melahirkan khususnya di kalangan generasi baru kepada kepimpinan belia dalam negara kita.
Kalau kita lihat, diukur dengan perkembangan aktif ataupun tidak persatuan-persatuan belia yang terdapat dalam negara kita ini. Seolah-olahnya macam tak ada kepimpinan yang mampu untuk mengambil alih dan menerajui kepimpinan-kepimpinan belia di pelbagai peringkat ini.
Jadi seolah-olahnya saya lihat bahawa keberkesanan dari sudut kesedaran belia-belia yang dilatih melalui program-program latihan itu tidak begitu tertarik ataupun berminat untuk menyertai persatuan belia ataupun nak membangunkan persatuan belia seterusnya menjadi pemimpin kepada persatuan belia.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Terima kasih Yang Berhormat.
Sebenarnya kita telah pun, pihak kementerian sebenarnya telah pun mengarahkan pihak Institut Penyelidikan Belia Negara (IPBN) untuk menjalankan kajian keberkesanan setiap program yang telah pun
dilakukan. Kita memang akui bahawa selama ini memang banyak program dilakukan, dijalankan tetapi tidak ada satu kajian dibuat sejauh mana berkesan atau tidak program itu.
Kita mungkin melihat program itu berdasarkan mungkin kuantiti kepada kehadiran misalnya tetapi kita mungkin tidak melihat kepada kualiti hasil daripada program yang dijalankan. Jadi terima kasih Yang Berhormat, memang itulah sebenarnya yang sedang kita lakukan dan kajian ini akan diselesaikan dalam masa beberapa minggu daripada sekarang.
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua, satu lagi. Saya pun tak perasan dari segi program latihan kepimpinan belia itu. Apakah dimasukkan dalam jurusan latihan itu aspek-aspek yang berkaitan dengan soal integriti, soal amanah, keikhlasan, kejujuran dan kebertanggungjawaban.
Sebab saya melihat hari ini Tuan Yang di-Pertua, kalau kita lihat bahawa soal integriti di kalangan, kesedaran integriti di kalangan generasi muda ini agak begitu parah. Ini saya merujuk kepada pemilihan dalam Pemuda UMNO sendiri.
Saya tidak tahulah sama ada Pemuda UMNO ini terlibat daripada belia-belia yang telah dilatih melalui Kementerian Belia dan Sukan, melalui skim latihan kepimpinan dan sebagainya. Akan tetapi kalau kita tengok perebutan soal nak bertanding itu satu hal, itu hak masing-masing. Akan tetapi dari segi permainan politik wang dan sebagainya.
Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Pertandingan dalam PAS pun ada juga, dua kali lima.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Satu perkara yang saya rasa yang menggambarkan bagaimana generasi belia yang Pemuda UMNO ini yang bakal menyertai induk UMNO ini yang sudah tentu bakal untuk berada dalam Parlimen dan mungkin kalau terus memerintahnya menjadi Perdana Menteri ke, menjadi menteri-menteri ke.
Jadi saya rasa bahawa ini kita melahirkan belia yang akhirnya menjadi pemimpin yang tidak ada integriti. Jadi macam karipap tak ada inti sahajalah. Lebih kurang macam Yang Berhormat Batu Pahatlah.
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Sikit sama ya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Menteri. Terima kasih atas jawapan yang disebut tadi pelbagai antaranya ialah 1,614 aktiviti yang dicadangkan program belia. Sehingga jumlah 211,000 peserta. Persoalan yang ingin ditanya, peserta tersebut, remaja tersebut datang dari mana? Universiti kah, daripada belia-belia kampung kah?
Sebab kita melihat belia-belia kampung, seolah-olah tidak ada aktiviti apa, di peringkat daerah pun tidak ada. Liga-liga tempatan dianjurkan oleh persatuan-persatuan ataupun kampung sahaja, ahli korporat sahaja ataupun bukan daripada medan atau saluran yang sebenarnya.
Jadi persoalan yang kita rasa bimbang, 212,000 yang begitu ramai. Apakah melibatkan pelajar universiti ataupun kolej komuniti dan sebagainya yang dianggap peserta kepada program belia? Mohon jawapan.
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Kepada Yang Berhormat Pokok Sena iaitu tentang Pemuda UMNO dan sebagainya, itu andaian daripada pihak Yang Berhormat tanpa ada bukti jelas dan sebagainya. Jadi saya tidak mahu mengulas andaian yang tidak ada fakta …
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua, maksud andaian itu, maksudnya yang teruk memang lagi teruk dari itu?… [Ketawa]
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Saya pun memang tak nak bincang dari segi pemilihan di dalam Pakatan, PAS, PKR dan sebagainya. Jadi kita bincang soal belia ini, jangan kita politicize kan …
Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Penjelasan.
Teruskan membaca
Filed under: ADR Jerai, ADR Pokok Sena, Dewan Rakyat, Menteri, Ucapan | Leave a comment »