MP PAS Shah Alam: Kenapa peruntukan RM8 juta pembangunan Pasar Rantau panjang ditarik balik

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam] minta Menteri Pelancongan menyatakan berapa banyak peruntukan kerajaan untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 memandangkan hanya 21 juta pelancong asing melawat Malaysia dalam tahun berkenaan berbanding 92 juta yang melawat Thailand serta sejauh manakah usaha kementerian untuk menyelamatkan industri pelancongan dari dimangsakan oleh sentimen politik kepartian.

Menteri Pelancongan [Datuk Seri Azalina binti Othman Said]: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat telah bertanya berkenaan dengan berapa banyak peruntukan kerajaan untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 memandangkan hanya 21 juta pelancong datang melawat Malaysia pada tahun berkenaan berbanding dengan 90 juta yang melawat Thailand serta sejauh mana usaha kementerian untuk menyelamatkan industri pelancongan dari dimangsakan oleh sentimen politik kepartian.

Tuan Yang di-Pertua, jumlah perbelanjaan yang digunakan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2007 adalah sebanyak RM250 juta di mana RM80 juta adalah untuk tujuan promosi. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2007 telah berjaya kerana jumlah ketibaan dan juga pendapatan pelancongan yang diperolehi adalah lebih daripada sasaran asal penganjuran Tahun Melawat Malaysia iaitu sebanyak RM20.1 juta dengan perbelanjaan sebanyak RM44.5 bilion.

Bagi Tahun Melawat Malaysia 2007, Kementerian Pelancongan dan Malaysia telah berjaya mencapai jumlah kedatangan pelancong asing ke Malaysia sebanyak 20.8 juta iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 19.5% berbanding dengan 2006 di mana kedatangan pelancong ke Malaysia hanya sebanyak 17.5 juta orang. Manakala pendapatan yang diperolehi adalah sebanyak RM46 bilion menunjukkan peningkatan sebanyak 27% berbanding dengan RM36.2 bilion pada tahun 2006.

Para pelancong juga menginap lebih lama di hotel-hotel kerana average length of stay, dengan izin, yang dicatatkan sempena Tahun Melawat Malaysia adalah sebanyak 6.3 malam berbanding dengan 6.2 malam pada tahun 2006.

Berkenaan dengan persoalan tentang mengamalkan dasar sentimen politik, Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelancongan tidak pernah mengamalkan sentimen politik kepartian dalam usaha untuk menjadikan dan mempromosi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terunggul di rantau ini. Ini dapat dilihat melalui acara kementerian yang masih dijalankan di setiap negeri meskipun negeri tersebut bukan dipimpin oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Itu sebabnya, Tuan Yang di-Pertua, setakat Januari hingga September, jumlah pelancong naik 4.4% daripada tahun 2007 menunjukkan kiraan Kementerian Pelancongan tidak mengira negeri-negeri sama ada negeri pembangkang ataupun negeri Barisan Nasional. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya difahamkan bahawa semenjak negeri Selangor ini diambil alih oleh Kerajaan Pakatan Rakyat, Menteri Pelancongan tidak mempunyai hubungan secara rasmi dengan Ahli Exco yang bertanggungjawab untuk membangunkan industri pelancongan di negeri tersebut.

Begitu juga di negeri Kelantan di mana peruntukan yang sebanyak RM8 juta yang telah diperuntukkan untuk pembangunan pasar yang baru di Rantau Panjang telah ditarik balik. Lalu saya faham bahawa Kementerian Pelancongan sekarang ini mengadakan perbincangan dan tindakan melalui hubungan yang terus dengan pihak Majlis Tindakan Pelancongan Negeri, tetapi tidakkah dengan bertindak dengan sedemikian rupa, maka pembangunan industri pelancongan di negeri-negeri Pakatan Rakyat itu dan dengan itu pelancongan di seluruh negara akan terjejas.

Lalu saya rasa satu kaedah dan sikap yang lebih positif daripada kementerian Yang Berhormat Menteri perlu diasaskan dan perlu dijelaskan demi kepentingan negara keseluruhannya. Terima kasih.

Datuk Seri Azalina binti Othman Said: Tuan Yang di-Pertua, kementerian mengucap terima kasih kepada Yang Berhormat dari Shah Alam, tetapi kementerian ingin menyatakan fakta Yang Berhormat dari Shah Alam kurang tepat. Yang Berhormat dari Shah Alam sentiasa memberikan kenyataan berdasarkan kepada sentimen politik, tidak kepada sentimen yang lebih berlaku adil kepada Kerajaan Barisan Nasional, contohnya di negeri Selangor tidak benar mengatakan bahawa menteri tidak pernah berhubung dengan Exco, saya hendak mencabar kepada Yang Berhormat Shah Alam, Tuan Yang di-Pertua, buktikan di mana Exco Kerajaan Negeri tidak pernah dijemput ke program-program Kerajaan Persekutuan.

Contohnya, lawatan menteri ke Pulau Carey di negeri Selangor, Exco Kerajaan Negeri yang tidak menghadirkan diri ya. [Disampuk] Pelancaran Zon Pusat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Exco menghadirkan diri, makan minum.

Tuan Yang di-Pertua: Tertib, tertib, Ahli-ahli Yang Berhormat.
Datuk Seri Azalina binti Othman Said: Bila pergi ke Arab Tripple Market di Dubai, Exco Kerajaan Negeri pun pergi. Jadi fakta Yang Berhormat Shah Alam ini bagi saya adalah satu fakta yang tidak begitu tepat. Saya memohon sila berbincang dengan Exco Kerajaan Negeri dahululah. Ini fakta yang kita ada.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Maklumat yang saya berikan itu memang daripada Exco Kerajaan Negeri.
Tuan Yang di-Pertua: Shah Alam, Shah Alam.
Datuk Seri Azalina binti Othman Said: Shah Alam, mungkin Exco tersebut tidak berkata benar.
Tuan Yang di-Pertua: Tidak boleh mencelah begitu, Shah Alam.

Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Berniat jahat.
Datuk Seri Azalina binti Othman Said: Ini jawapan saya. Saya yang mempunyai fakta. Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Shah Alam, mungkin Yang Berhormat Shah Alam begitu peka kepada isu Exco Kerajaan Negeri. Saya memang cukup berterima kasih tetapi saya hendak Yang Berhormat sebagai Wakil Rakyat Shah Alam dan juga saya berharap Yang Berhormat sebagai orang Johor, berlaku adil kepada Ahli Parlimen Pengerang [Disampuk] bahawa kita melakukan yang sama ya.

Jadi di negeri Kelantan pun, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri ialah ejen yang sentiasa dipakai oleh Kementerian Pelancongan sama ada di bawah pimpinan Kerajaan BN ataupun Kerajaan Pembangkang.

Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya jaminan kepada Kementerian Pelancongan, kiraan pelancong ialah semua negeri ya, sama ada Pulau Pinangkah, Perakkah, Kelantankah, dari Selangorkah atau Kedah, kiraan adalah kiraan fakta yang sebenarnya. Setiap pelancong yang datang, belanja RM2,700, perbelanjaan di mana-mana negeri, perbelanjaannya sama, tidak bererti pelancongan di negeri pembangkang, belanjanya beza, pelancongan di negeri Kerajaan Barisan Nasional, pelancongannya lebih, belanjanya lebih, tidak.

Tuan Yang di-Pertua, jaminan Kerajaan Persekutuan, kerajaan yang adil, kerajaan yang sentiasa peka kepada rakyat, semuanya dilaksanakan. Masalah di sini ialah…

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sekiranya benar, maka kenapa yang RM8 juta itu ditarik balik?
Tuan Yang di-Pertua: Shah Alam, Shah Alam.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Dan begitu juga peruntukan untuk
negeri Selangor.
Datuk Seri Azalina binti Othman Said: Shah Alam, itu berkenaan dengan isu peruntukan dari segi dasar. Dari segi peruntukan Kementerian Pelancongan pun, Kementerian Kewangan telah membuat potongan dari segi perbelanjaan pembangunan di semua negeri termasuk negeri pembangkang dan negeri Barisan Nasional. Jadi, kenyataan Yang Berhormat Shah Alam kononnya begitu sensitif, kononnya hanya Kerajaan Negeri Parti Pembangkang sahaja mempunyai perasaan yang terluka. Kerajaan Negeri Barisan Nasional pun terluka, tetapi mereka menggunakan akal bila bercakap berdasar kepada fakta.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Okey, tetapi…
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Shah Alam, sudahlah Shah Alam, sama-sama luka, tidak apa.
Datuk Seri Azalina binti Othman Said: Tetapi Yang Berhormat Shah Alam, tidak ada diskriminasi daripada Kerajaan Barisan Nasional.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya rasa diskriminasi.

Rujuk: Sesi soalan jawab lisan, 4 November 2008

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: