Pembangkang: Bajet mana yang perlu dibahas, Dewan Rakyat tangguh atas desakan Pembangkang

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya pohon pertimbangan Dewan sebelum kawan-kawan saya marah sana. Saya cuma hendak sebut semalam, di antara alasan kita hendak mencelah, kita hendak bertanya sama ada angka yang dibentangkan itu akan diedarkan kepada Ahli Dewan Rakyat untuk perbahasan, itu salah satu.

Yang Berhormat Bintulu dengarlah, tidak apalah, selepas itu boleh. Itu satu soalan iaitu sebaik ada revise estimate Tuan Pengerusi, kita kena tengok. Sekarang ini kita diminta bahas dari peringkat Jawatankuasa, hendak pakai angka mana?

Angka dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat bekas Menteri Kewangan itu sudah tidak dipakai kerana ada revise estimate oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan yang baru, Yang Berhormat Batang Lupar. Itu sahaja yang kita minta, bukan kita hendak ini…

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ya, tapi Timbalan Perdana Menteri semalam sudah jawab. Angka itu tetap kekal. Apa yang berlaku ialah langkah-langkah baru sebanyak RM7 bilion.
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Yang Berhormat Batu Pahat duduklah.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Satu-satu Yang Berhormat, Yang Berhormat Batu Pahat duduk dulu Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat, malu dekat anak-anak sekolah ini.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Padang Serai duduk Yang Berhormat.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Permatang pun kena malu. [Dewan riuh]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Macam mana kita hendak selesai Majlis kalau semua cakap, bagilah peluang.
Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Semua ini dimulakan oleh Yang Berhormat Batu Pahat. Yang Berhormat Batu Pahat jahat.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang lain semua duduk. Saya minta Yang Berhormat Permatang Pauh sahaja yang bercakap.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya hanya hendak minta Kementerian Kewangan berikan angka revise supaya kita boleh bahas di peringkat Jawatankuasa. Yang Berhormat Kinabatangan, itu sahaja yang saya minta.

Seorang Ahli: Ada bagikah, ada bagi?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Bukan bangkang. Saya cuma kata sekarang ini pada pembentangan belanjawan, Menteri Kewangan bagi series of figures yang kita harus bahas. Hari ini dia minta kita bahaskan di peringkat Jawatankuasa, ini yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ipoh Timur sebentar tadi.

Kita hendak berbalah apa dia Tuan Pengerusi? Hendak suruh sekarang ini bahas tajuk urusan Parlimen kepada Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya. Ini estimate yang lalu dipakai lagi atau tidak, itu kita soal. Macam mana Yang Berhormat boleh kata pakai bila estimate Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan kata tidak.

Tunggu dulu Yang Berhormat Batu Pahat belum lagi Menteri Kewangan, Timbalan Menteri pun belum. [Dewan riuh]

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Permatang Pauh pun belum jadi Perdana Menteri lagi.
Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Angan-angan sahaja.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, terima kasih. Doa, doa.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Batu Pahat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih atas doa.
Seorang Ahli: Tidak ada lah.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Tidur, hari-hari mimpi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Jadi, itu sahaja Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Yang Berhormat Permatang Pauh tidak boleh jadi Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya harap tidak payah kita buat kenyataan biadab, tidak payah. Saya bagi ini satu kenyataan yang dasar, yang basic Yang Berhormat Jempol ya.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Siapa yang biadab?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya hendak dia beritahu betul-betul.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Batu Pahat, saya mintalah kepada semualah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya. Kalau hendak biadab, kurang ajar bukan di majlisnya di sini. Ya, kamu kena belajar, tahu agama, tahu budaya.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya, sudahsudah. [Dewan riuh]
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Baik, baik Tuan Yang di-Pertua. Ini sebab saya bangkit, saya tidak bantah apa-apa. Saya cuma hendak minta Tuan Yang di-Pertua timbang bolehkah diminta Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat bahas angka yang dia tidak tahu angka mana. Itu sahaja. Kalau ini pun tidak boleh diterima. Saya rasa kecewa kalau Parlimen ini dipermainkan begitu.

Tuan Yang di-Pertua, apabila saya sebut saya katakan pengalaman dahulu, kita revise angka RM2 juta terpaksa diedarkan kepada Dewan Rakyat. Tanya pegawai-pegawai perbendaharaan di belakang itu, adakah saya cakapkan ini dusta atau tidak. Kita revise RM1 juta angka dia mesti dibentangkan dalam revised budget. Ini Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.

Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Peraturan mesyuarat.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: tunggu dahulu Yang Berhormat. Yang Berhormat Putatan duduk, tunggu dahulu. Hendak dengar ini dahulu.

Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Peraturan Mesyuarat 65, Anggaran Perbelanjaan Kerajaan Malaysia bagi tahun akan datang hendaklah dibentangkan di meja Mesyuarat sebelum dibawa Rang Undang-undang Perbekalan Tahunan ke dalam Mesyuarat. Apa yang dibuat pada 29 Ogos betul, diberi buku anggaran, dia ada Kertas Perintah 40 tahun 2008, dikemukakan di Dewan Rakyat, perintah penyata daripada Kementerian Kewangan mengenai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2009.

Disebut pula pendahuluan penyata ini dikemukakan sebagai Kertas Perintah 40 tahun 2008 bersama-sama dengan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan bagi tahun 2009 yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 41 tahun 2008. Ia menunjukkan ringkasan jumlah anggaran bagi perbelanjaan mengurus pembangunan perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2009.

Kedua-dua anggaran tersebut ditunjukkan di bawah maksud perbelanjaan yang sama. Apa yang kita dengar semalam tidak ada dalam buku ini, tidak ada dalam kertas perintah ini dan itu adalah tidak sah Tuan Yang di-Pertua. [Tepuk]
Teruskan membaca

Ketua Pembangkang: Cadang tubuh Suruhanjaya siasat Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya Anwar Ibrahim, Permatang Pauh mohon mencadangkan bahawa setelah mengamati keputusan Kerajaan Persekutuan terhadap Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi bernilai RM11.31 bilion.

Satu Suruhanjaya Bebas Diraja ditubuhkan untuk segera menyiasat keraguan dan kepincangan mengenai kelulusan Menteri Kewangan terhadap tawaran Telekom Malaysia Berhad tanpa melalui proses tender terbuka dan laporan penyiasatannya dibentangkan di dalam Parlimen.

Tuan Yang di-Pertua, pada 16 September 2008, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah meluluskan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi atau high-speed broadband yang bernilai RM11.31 bilion secara tergesa-gesa tanpa proses tender terbuka kepada Telekom Malaysia Berhad.

Amat tidak munasabah sama sekali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Jalur Lebar sehari sebelum dilantik secara rasmi sebagai Menteri Kewangan, Projek High-Speed Broadband diluluskan dengan begitu segera dengan harga yang umumnya disifatkan terlalu tinggi tanpa melalui proses tender terbuka yang justeru itu menjadi tanda tanya umum.

Menurut sumber industri, saya difahamkan sebuah lagi syarikat telekomunikasi berupaya menawarkan sebut harga berjumlah lebih kurang RM7 bilion dengan spesifikasi yang sama iaitu dengan harga RM4 bilion lebih rendah.

Dalam perjanjian dengan Telekom itu, kerajaan perlu menyuntik RM2.4 bilion untuk tempoh tiga tahun pertama, tetapi anehnya setelah suntikan dana awam disempurnakan, projek itu akhirnya akan menjadi milik mutlak Telekom sepenuhnya.

Berikutan implikasi kewangan yang melibatkan berbilion ringgit wang negara, saya menggesa supaya langkah segera dilakukan melalui Dewan Rakyat untuk menggesa penubuhan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bertujuan menyiasat kelulusan tender jalur lebar ini yang tidak dilakukan melalui proses tender terbuka.

Dan yang paling tidaknya untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya RM4 bilion dana awam. Atas perkara yang tertentu ini, yang melibatkan kepentingan rakyat umum yang perlu disegerakan, saya mohon usul ini dibincangkan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Terima kasih Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu Pemberitahu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) daripada Ahli Yang Berhormat kawasan Permatang Pauh pada hari Selasa, 4 November 2008. Teks Usul adalah seperti yang dibacakan oleh Ahli Yang Berhormat sebentar tadi.

Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat hari ini, saya sebagai Tuan Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat itu tadi memenuhi tiga syarat iaitu:
(i) bahawa perkara itu tertentu; (ii) bagi kepentingan orang ramai; dan (iii) ia berkehendak disegerakan.

Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa perkara ini adalah perkara tertentu dan ia adalah bagi kepentingan orang ramai, walau bagaimanapun, perkara ini tidak perlu disegerakan. Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2).

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, sementara menghormati keputusan Tuan Yang di-Pertua, sebab perkara ini ditegaskan sebagai segera ialah kerana kelewatannya akan menyebabkan kerajaan akan menanggung kerugian berbilion ringgit.
Teruskan membaca

MP PAS Kuala Krai: Literasi IT untuk masyarakat luar bandar sudah dibatal?

10. Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai] minta Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi menyatakan, langkah yang akan diambil bagi merapatkan jurang digital bandar luar bandar apabila projek high-speed broadband dilaksanakan, dan adakah benar satu projek infrastruktur broadband baru akan dicadangkan khusus untuk dimanfaatkan oleh penduduk luar bandar.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi [Dato’ Joseph Salang anak Gandum]: Tuan Yang di-Pertua untuk makluman Ahli Yang Berhormat pelan pelaksanaan jalur lebar nasional akan dilaksanakan ke seluruh negara meliputi tiga zon iaitu:
(i) Zon Pertama atau zon 1 di kawasan berimpak tinggi di bandar;
(ii) Zon kedua atau zon 2 di kawasan pinggir bandar; dan
(iii) Zon ketiga atau zon 3 di kawasan luar bandar.

Pelan tersebut merangkumi strategi-strategi pelaksanaan bagi kedua-dua aspek permintaan dan penawaran atau supply and demand, dengan izin. Perkhidmatan jalur lebar bagi mempertingkatkan penembusan jalur lebar di seluruh negara.

Projek high-speed broadband atau HSBB yang merupakan pelaksanaan fasa pertama zon satu akan dilaksanakan di kawasankawasan yang berimpak tinggi di kawasan Lembah Klang dalam, kawasan-kawasan perindustrian dan Wilayah Pembangunan Iskandar dengan kelajuan melebihi 10Mpbs.

Dalam pelan jalur lebar nasional ini juga penduduk pinggir bandar dan luar bandar akan turut dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar melalui inisiatif jalur lebar untuk orang ramai atau broadband to the general population (BBGP) dengan izin.

Inisiatif BBGP bukanlah inisiatif baru tetapi adalah merupakan peluasan liputan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar sedia ada ke kawasan-kawasan kurang liputan di bawah zon dua dan zon tiga melalui penggunaan pelbagai teknologi sambungan akhir atau last-mile seperti Asymmetric Digital Subscriber Line atau ADSL,

Worldwide Interoperability for Microwave Access atau WiMAX dan 3G High-Speed Downlink Packet Access atau HSDPA.

Pembangunan infrastruktur jalur lebar di kawasan luar bandar dan pusat komuniti jalur lebar akan disediakan menggunakan Dana Program Perkhidmatan Sejagat atau Universal Service Provision Fund dengan izin.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat di samping itu pelbagai inisiatif projek jurang digital yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kementerian ini akan diteruskan terutama di kawasan luar bandar bagi memastikan hak akses sama rata untuk orang ramai.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan oleh kementerian ini dengan fokus kepada penyediaan liputan dan akses serta literasi ICT ialah:
(i) projek penyediaan kemudahan infrastruktur ICT di perpustakaan desa, klinik desa dan klinik kesihatan yang merangkumi 1,169 lokasi;
(ii) penubuhan 42 buah pusat internet desa atau PID di lokasi-lokasi di pejabat pos seluruh negara; dan
(iii) program pemberian perkhidmatan sejagat USP di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Di dalam perancangan untuk program USP sebanyak 200 projek internet jalur lebar akan dilaksanakan sehingga tahun 2010 di kawasan-kawasan luar bandar di seluruh negara. Terima kasih.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri atas penjelasan panjang lebar mengenai jadual ataupun program jalur lebar nasional ini. Cuma kita tidak mendengar tadi dari segi jadual masanya bila zon dua dan zon tiga ini akan mendapat manfaatnya.

Kalau tidak diberikan satu masa yang tertentu kita akan tertunggu-tunggu dan mungkin tidak akan sampai dalam masa yang terdekat.

Saya juga hendak bertanya kepada Timbalan Menteri dalam usaha bagi zon tiga khususnya untuk meningkatkan literasi mengenai IT atau mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan IT ini saya dimaklumkan ada satu program pendidikan masyarakat yang dikendalikan oleh syarikat swasta yang diberikan hak pengendalian oleh kementerian.
Teruskan membaca

MP PAS Sik: Minta supaya matlamat baucar tuisyen ini diubah

Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Timbalan Menteri. Menyentuh soal baucar tuisyen ini berdasarkan pengalaman saya sebagai pegawai di jabatan dan juga sebagai pengetua dan juga isteri saya sebagai guru saya dapati walaupun Kerajaan Barisan Nasional ini cukup baiklah, saya setuju dengan tadi.

Tidak kita katakan diskriminasi di sini tetapi saya rasa banyak berlaku pembaziran. Tuan Yang di-Pertua,
apa yang berlaku di sini syarat untuk mendapat baucar tuisyen ini ialah …

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Itu saya setuju.
Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Supaya pelajar miskin dan akademik dia tidak luluslah dengan lain perkataan tidak lulus subjek-subjek yang hendak diberi tuisyen tadi. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Timbalan Menteri pelajar-pelajar yang lemah ini bukan sahaja lemah tetapi juga kelas biasa pun mereka ini kurang. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya….

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Soalan Yang Berhormat?
Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Soalan saya ialah, kalaulah kita terus membiarkan pelajar-pelajar ini diberi baucar tuisyen dan mereka ini tidak pernah hadir. Saya rasa ini adalah membazir dan saya minta supaya matlamat baucar tuisyen ini diubah supaya pelajar-pelajar yang mempunyai harapan untuk berjaya diberi kerana kalau kita terus memberi kepada pelajar-pelajar yang tidak berminat dan tidak pun hadir ke kelas baucar tuisyen ini, cikgu right juga tetapi hasilnya tidak ada. Itu hakikatnya kecualilah data yang diperoleh daripada Timbalan Menteri tadi yang telah diurut, terima kasih.

Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong: Terima kasih Yang Berhormat terima kasih kerana membuat pengakuan bahawa kerajaan Barisan Nasional memang prihatin tentang soal rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Duit rakyat!

Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong: Biar saya menjawab ya. Saya ingin memaklumkan kepada Yang Berhormat jawapan yang saya dapat ini tidak diurut langsung kerana ini berdasarkan kepada fakta. Seperti mana yang saya katakan sebarang kalau berlakunya kebocoran maka merupakan tanggungjawab guru besar atau PPD untuk menentukan dan kita tidak akan berkompromi dalam soal ini kerana garis panduan itu memang jelas dan tidak ada siapa yang boleh membuat interpretasi tentang perkara ini.

Keduanya Yang Berhormat saya ingin memaklumkan kepada Yang Berhormat sebenarnya di Kementerian Pelajaran Malaysia bukan sahaja kita ada skim baucar tuisyen. Kita juga ada Program KIA2M, PROBIM, PROTEM. Ini adalah program untuk pelajar-pelajar yang tidak boleh membaca, menulis. Dalam kelas tertentu kelas pemulihan itu pelajar-pelajar akan diberi program pemulihan khas. Di samping itu sebagai tambahan kita ada skim baucar tuisyen.

Maka jangan kita keliru bahawa pelajar yang tidak berminat itu kita akan biarkan begitu. Oleh kerana pelajar-pelajar ini masih di tahun empat atau lima atau enam minat belajar itu sepatutnya dipupuk. Jangan kerana faktor kemiskinan inilah mereka terus tidak hendak tidak larat ataupun tidak minat lagi membaca. Itu yang kita perlu mendidik mereka dan membetulkan persepsi mereka.

Itulah jawapan dan saya ingin menyatakan bahawa kita akan teruskan program ini dan pemantauan rapi akan dibuat oleh pihak jabatan. Dan kita tidak teragak-agak mengambil tindakan bagi mana-mana pihak yang ingkar dengan peraturan ini. Terima kasih.

Soalan asal:
9. Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Pelajaran menyatakan,
berapakah jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam melaksanakan Program
Baucar Tuisyen di seluruh negara bagi tahun 2007 serta jumlah pelajar yang mendapat faedah
dan apakah tahap kejayaan program ini.

Rujuk: Sesi soalan jawab lisan, 5 November 2008

MP PAS Kuala Selangor: Minta penjelasan … mana datangnya RM7 bilion

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya cuba memahamkan dan cuba memahami daripada mana datangnya RM7 bilion itu.

Yang jelasnya dikatakan dan didakwa ia adalah daripada revenue saving, hasil daripada penurunan harga minyak. Pada waktu yang sama saya minta Yang Berhormat Timbalan Menteri menjelaskan sebelum datangnya fuel subsidy ataupun revenue ini, kita mengalami penurunan revenue yang dianggarkan oleh katalah CIMB sahaja…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, janganlah berucap Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Ya, saya minta Yang Berhormat Timbalan Menteri menjelaskan kepada Dewan ini Tuan Yang di-Pertua. Anggarannya adalah pada setiap penurunan USD10 per barrel, pengurangan revenue sebanyak RM4 bilion dianggarkan oleh CIMB sebanyak RM18 bilion.

Kalau kita ambil situ saja, nett nya masih lagi RM11 bilion. Ia merupakan satu yang aritmetik nya jelas tidak mendatangkan RM7 bilion extra revenue kerana….

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sebab itu jangan keluar Dewan.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Please, kalau tak faham jangan cakap.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, minta tolonglah.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Kalau tak faham…

Seorang Ahli: Menteri Kewangan tak pernah masuk Dewan pun.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Dengan kata lain, saya minta Yang Berhormat Timbalan Menteri menjelaskan kepada Dewan ini mana datangnya RM7 bilion itu kalau kita sudah kehilangan RM18 bilion. [Tepuk] . Kalau nett-nett masih negatif RM11 bilion.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Itu tak faham, Yang Berhormat Batu Pahat masih tak faham.
Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Defisit, defisit bertambah.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tak apa Yang Berhormat, Yang Berhormat seorang saja faham, tak apa.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tolong jelaskan. Kalau tidak, katakan saja RM7 bilion itu adalah daripada borrowing, apa-apa benda bentuknya? Daripada mana pun sumbernya?
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jangan retoriklah.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Retorik Yang Berhormat Batu Pahat. Sedia berdebatlah kalau bersedia betul-betul.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sila, sila menteri.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Jangan mencelah macam itu saja.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, ya Yang Berhormat.

Timbalan Menteri Kewangan I [Dato’ Haji Ahmad Husni bin Mohd. Hanadzlah]: Tuan Yang di-Pertua, semalam Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri telah memberikan penjelasan yang cukup terang bahawa daripada segi perbelanjaan bajet pada tahun hadapan tidak ada perubahan iaitu sebanyak RM154 bilion. Dalam RM154 bilion itu termasuk RM20 bilion subsidi untuk minyak.
Teruskan membaca

MP PKR Machang: Membangunkan manusia dalam kawasan FELDA

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan untuk timbalan menteri. Saya tekun mendengar jawapan timbalan menteri, saya tidak ada sedikit pun keraguan tentang kesungguhan kerajaan bangunkan FELDA dari segi fizikal.

Akan tetapi yang saya hendak timbulkan ialah membangunkan manusia yang duduk dalam kawasan FELDA itu. Dua hari lepas, 31 anak-anak FELDA di Kota Tinggi kena tangkap kes dadah.

Tadi saya dengar sahabat saya dari Johor, Tenggara tadi beritahu adanya pekan di kawasan FELDA ini macam pekan cowboy. Pekan cowboy ini yang berkuasanya sheriff, kemudian ada ramai samseng dan tidak ada undang-undang dalam satu kawasan pekan cowboy.

Jadi saya hendak bertanya soalan tambahan kepada timbalan menteri ini ialah setelah diterangkan tadi berjuta-juta ringgit untuk pembangunan fizikal FELDA, apa pula rancangan untuk membangunkan, khususnya generasi kedua ini supaya betul-betul dapat melengkapkan maksud pembangunan yang bersepadu. Terima kasih.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Haji Hasan bin Malek]: Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua serta sahabat saya dari Machang, kalau ikut daripada soalannya, saya ingat tidak ada kaitan dengan soalan asal sebab soalan asalnya tadi tertumpu kepada pembangunan pusat pertumbuhan bandar baru.

Jadi banyak dia punya jawapan. Untuk jawapan khusus kepada soalan Yang Berhormat Machang tadi, saya memerlukan masa yang agak panjang sebab usaha yang telah kita buat, yang sedang kita buat dan akan terus kita buat ialah beberapa program yang bersifat pembangunan modal insan itu sendiri yang melibatkan anak-anak peneroka di luar daripada kawasan dan ini memerlukan masa yang
panjang.

Untuk itu memerlukan satu soalan khusus daripada Machang nanti dan insya-Allah saya akan terangkan.
Yang pentingnya, kesempatan ini saya hendak menyeru bahawa perlu kita untuk menyahut dan menyambut segala rancangan ini secara bersama, tidak bolehlah hendak serahkan ini soal FELDA, biar FELDA menyelesaikan, tidak begitu keadaannya, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua.

Apa yang saya sarankan supaya kita semua sama-sama rasa terpanggil bahawa masalah ini ialah masalah kita semua. Jadi bersama-samalah dan insya-Allah pada masa akan datang saya akan beri jawapan yang lagi terperinci soal pembangunan modal insan itu sendiri. Minta maaf. Terima kasih.

Soalan asal
3. Datuk Halimah binti Mohamed Sadique [Tenggara] minta Perdana Menteri menyatakan FELDA Penggeli Timur, Sungai Sibol, Linggiu, Bukit Besar, Bukit Ramun, Sungai Sayong dan Pasir Raja telah mendapat hak milik tanah dan terletak di Parlimen Tenggara dan apakah perancangan FELDA untuk pekan-pekan kecil di ketujuh-tujuh rancangan ini untuk mewujudkan pusat pertumbuhan bandar baru.

Rujuk: Sesi Soalan jawab lisan, 5 November 2008

MP PAS Pengkalan Chepa: Minta Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dijadikan pengangkutan kargo

Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa] minta Menteri Pengangkutan menyatakan bilakah Kerajaan akan menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa untuk pengangkutan kargo bagi produk-produk pertanian dan produk industri kecil untuk eksport.

Timbalan Menteri Pengangkutan [Datuk Seri Panglima Lajim Ukin]: Tuan Yang di- Pertua, urusan pengangkutan kargo darat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu akan diuruskan jika terdapat permintaan mana-mana pihak sama ada agensi kerajaan ataupun swasta.

Permohonan tersebut bolehlah dimajukan kepada pihak MAS Kargo dengan menyatakan jenis, kualiti, tarikh, destinasi penghantaran barangan yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan udara tersebut. Terima kasih.

Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya…
Dato’ Ismail Kasim [Arau]: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, tunggu saya, Yang Berhormat. Silakan, Yang Berhormat Pengkalan Chepa.

Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Pengangkutan kargo udara peringkat kebangsaan telah meningkat 55.6% daripada 393,707 tan kepada 416,770 tan iaitu peningkatan dalam nilai eksportnya sebanyak 44.6% daripada 760 tan hingga 1.1 bilion tan.

Industri-industri logistik udara memainkan peranan penting dalam peranan KDNK iaitu pengangkutan dan perkhidmatan penyimpanan barang.

Jadi, saya minta dengan polisi ‘langit terbuka’ khususnya di kawasan serantau ini, adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menjadikan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang mana Kelantan ini merupakan salah satu negeri pertanian yang menggunakan tenaga 21% daripada sumber tenaga manusia dan juga industri pertanian ini telah pun dikembangkan dalam bentuk seperti di lojing dan sebagainya yang perlu kepada pengangkutan segera.

Adakah kerajaan bercadang untuk menjadikan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa ini dibenarkan bagi mana-mana syarikat di rantau Asia untuk eksport.

Datuk Seri Panglima Lajim Ukin: Tuan Yang di-Pertua, jawapan saya tadi cukup tepat bahawa pada masa kini keperluan ataupun permintaan kargo di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra tidak ada permintaan yang memberangsangkan. Namun sebagaimana yang saya katakan bahawa sekiranya ada permintaan yang mendatang memerlukan kargo yang banyak.

Kalau hanya setakat lima atau enam tan, MAS tidak akan datang. Akan tetapi kalau banyak keperluan maka saya rasa tidak menjadi masalah sebab MAS pun mencari keuntungan, jadi ia tidak ada masalah.

Mengenai dengan polisi ‘langit terbuka’ dan sebagainya, negara kita mempunyai perjanjian dengan negara-negara asing sebanyak 10 buah negara. Yang mana sebahagiannya telah pun melakukan penerbangan ataupun mendarat di negara kita secara chartered flight. Kalau mereka ingin terbang ke Kota Bharu tidak ada masalah. Terima kasih.

Rujuk: Sesi Soalan jawab lisan, 5 November 2008

MP PAS Bachok: Rasuah hukumnya Haram, tidak perlu lagi kepada Fatwa

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Penjelasan saya berkaitan juga dengan apa yang telah ditanyakan sebelum daripada ini yang berkenaan dengan Darul Ifta. Sehubungan dengan penubuhan Darul Ifta ini adakah juga dicadangkan ataupun termasuk dalam perancangan diwujudkan jawatan mufti kebangsaan di peringkat Pusat sebagaimana yang dinyatakan tadi diselaraskan fatwa-fatwa ini dengan ketiga-tiga kaedah yang telah ditetapkan tadi.

Untuk penjelasan kepada Yang Berhormat Menteri menyebut tentang fatwa yang telah dinyatakan tadi tentang masalah-masalah yang timbul; saya rasa perkara yang telah jelas hukumnya tidak perlu kepada fatwa.

Rasuah hukumnya haram, tidak perlu lagi kepada fatwa untuk ditentukan sesuatu hukum tersebut. Persoalan yang ingin saya tanyakan adalah tentang Darul Ifta itu yang akan membawa kepada pewujudan sebuah jawatan mufti di peringkat kebangsaan. Terima kasih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi]: Tuan Yang di-Pertua, saranan untuk rujukan mufti negara ataupun mufti yang bertaraf peringkat kebangsaan memang pernah disarankan di Dewan yang mulia ini dan juga di Dewan Negara serta dinyatakan dalam beberapa media dalam tempoh waktu yang telah begitu lama.

Pihak Kerajaan Persekutuan belum berhasrat untuk mewujudkan jawatan mufti negara atau mufti bertaraf nasional atau kebangsaan. Jika timbul keperluan di suatu hari nanti, jika ada kerjasama daripada semua pihak dan diluluskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu, saya tidak nampak kenapa jawatan itu tidak boleh diwujudkan kalau ada munasabahnya ketika itu.

Manakala persoalan mengenai Darul Ifta bukan sekadar kelulusan. Ia sebuah institusi di mana pada peringkat awalnya ia diletakkan di bawah JAKIM, tetapi apa yang telah kita lakukan ialah kita akan mewujudkan sebuah jabatan, department by itself dengan izin, yang tidak terletak di bawah JAKIM, tidak terletak di bawah mana-mana agensi yang sedia ada.

Akan tetapi terus di bawah menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam dan Darul Ifta ini adalah sebuah institusi bebas yang akan mengkaji, menilai, meneliti serta mengeluarkan fatwa-fatwa berdasarkan kepada sumber-sumber hukum ataupun kes-kes terbaru yang wujud di kalangan negara-negara Islam yang lain terutama keputusan-keputusan yang dibuat dalam Persidangan Menteri-menteri MABIM.

Hal ini tidak mustahil dapat dibuat dalam kadar segera kerana permohonan untuk mewujudkan jawatan ini telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan saya sendiri telah meneliti permohonan itu. Insya-Allah dalam waktu yang terdekat Darul Ifta ini akan dapat ditubuhkan sebagai sebuah institusi kajian terhadap fatwa di Malaysia ini.

Soalan asal
1. Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi [Batu Pahat] minta Perdana Menteri menyatakan kaedah sesuatu fatwa yang diputuskan dan diselaraskan antara negeri-negeri yang mempunyai Mufti Kerajaan Negeri.

Rujuk: Sesi Soalan jawab lisan, 5 November 2008

Ketua Pembangkang: Apa susahnya Menteri hendak ulas komen pembangkang, saya tak faham …

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih kepada kesediaan Yang Berhormat Menteri Kewangan menjawab. Masalah-masalah yang dibangkitkan memang Dewan ini telah lama tunggu-tunggu.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya, sabar. Sabar.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, tolonglah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Peraturan Mesyuarat 37 tadi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tumpat itu menyentuh soal peluang Ahli Yang Berhormat minta penjelasan. Memang benar keputusan Tuan Yang di-Pertua tetapi yang kita bahaskan ini ucapan belanjawan dan adalah tidak munasabah dalam sejarah kita dalam jawapan menteri tidak boleh orang mencelah! [Disampuk]

Kata Tuan Yang di-Pertua jawapan setelah penjelasan dibuat ataupun selesai berikan beberapa pengarahan baru dalam menyelesaikan masalah ekonomi, itu ada kaitan dengan perbahasan, Tuan Yang di-Pertua. Saya harap Tuan Yang di-Pertua beri peluang. Parlimen ini bersidang dan kita tunggu berminggu minta satu campur tangan daripada menteri beri penjelasan sehingga hari ini, hari akhir baru dia hadir untuk memberi penjelasan.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, Yang Berhormat permatang Pauh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Berilah kesempatan Ahli Yang Berhormat berdebat.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, Yang Berhormat permatang Pauh. Ahli-ahli Yang Berhormat termasuk Yang Berhormat Permatang Pauh, mari kita baca sama-sama Peraturan Mesyuarat 37(1)(b) dan selepas itu saya buat ketetapan dan tidak boleh lagi untuk saya…

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Permatang Pauh, saya belum habis lagi.
Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Yang Berhormat Permatang Pauh hendak pelan…
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sebelum keputusan dibuat. Saya faham…

Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Hari itu Yang Berhormat Permatang Pauh hendak pelan pemulihan.
Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, tertib, Ahli-ahli Yang Berhormat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sebelum Tuan Yang di-Pertua buat keputusan saya hendak sebutkan di sini, kita tidak pertikai peraturan yang menetapkan menteri boleh diganggu kalau dia beri izin. Saya hendak sebut di sini precedent Parlimen selama 50 tahun kita dibenarkan mencelah pada tepat masanya.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Permatang Pauh.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua, sebelum buat keputusan.
Tuan Yang di-Pertua: Pokok Sena.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya mohon penjelasan 37(1) sebab tadi Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan menyatakan bahawa beliau tidak akan menjawab apaapa perbahasan yang dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen. Jadi bagi saya bahawa kami tidak tahu apa yang akan dibentangkan nanti.

Tuan Yang di-Pertua: Pokok Sena.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Point of order apa ini? Seorang Ahli: 37(1).
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Pokok Sena point of order apa ini?
Seorang Ahli: Duduklah.
Beberapa Ahli: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat.
Beberapa Ahli: [Bangun] [Dewan riuh]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Apa ini?
Beberapa Ahli: Duduklah.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya punya floor, duduklah. Point of order apa ini?
Seorang Ahli: Rompin duduk, Rompin duduk.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Speaker buat ruling Permatang Pauh dahulu. [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat! Pokok Sena tolong duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, seperti yang disebut oleh Pematang Pauh tadi, kita menunggu berminggu-minggu untuk mendengar ini. Jadi yang berdiri tidak ikut peraturan mesyuarat ini apa? Yang dibangkitkan oleh Pokok Sena ialah Peraturan Mesyuarat 37(1)(b).

Itu peraturan mesyuarat Parlimen ini juga sepanjang ingatan saya, Permatang Pauh, itulah peraturan mesyuarat. Yang saya dengar tadi bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan akan memberi laluan untuk penjelasan setelah beliau habis untuk membentang bagaimana menangani.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Menyampuk]

Tuan Yang di-Pertua: Pokok Sena, belum lagi saya habis bercakap, Pokok Sena, Peraturan Mesyuarat 42. Jangan bangkitkan peraturan mesyuarat kalau Ahli-ahli Yang Berhormat sendiri tidak patuh dengan peraturan mesyuarat. [Tepuk]

Selepas itu apabila beliau dapat bentangkan untuk menangani ekonomi, kan kita semua mahu dengar macam mana menangani ekonomi seperti juga Ahli-ahli Yang Berhormat mahu semua. Barulah boleh apabila beliau benarkan untuk mencelah, mencelah. Sila Yang Amat Berhormat.

Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: [Bercakap tanpa pembesar suara]
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ini pembangkang cuma cari alasan dan fasal sahaja.
Tuan Yang di-Pertua: Batu Pahat.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Dengarlah dulu.
Tuan Yang di-Pertua: Batu Pahat.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Dengarlah dulu.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Peraturan mesyuarat.
Tuan Yang di-Pertua: Peraturan mesyuarat apa, Kubang Kerian?
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, saya menggunakan 37 dan bersekali dengan 99 sebab kita keliru.
Tuan Yang di-Pertua: Berserta dengan apa?
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: 99. Keputusan muktamad…
Tuan Yang di-Pertua: 37(1) mana? (a) kah, (b) kah, di mana?
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Dua-dua.
Tuan Yang di-Pertua: Kalau dua-dua tidak berkenaan. Cuma yang berkenaan adalah (b).
Seorang Ahli: Duduklah, tidak faham.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Disebut bersekali dengan 99. Baik, konvensyen…
Tuan Yang di-Pertua: Apa Peraturan Mesyuarat 99?

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Saya minta keputusan muktamad Tuan Yang di-Pertua sebagai Speaker sebab kita keliru konvensyen Parlimen ini ialah apabila kita berbahas tentang satu bajet, Menteri Kewangan menggulung dan Yang Amat Berhormat tadi telah datang ke mari dan menyatakan tadi dan kita dengar semua, satu dasar baru akan dibentangkan. Kemudian maknanya di bawah peraturan mana dan tidak boleh mencelah.

Tuan Yang di-Pertua: Kubang Kerian, Kubang Kerian. Okey, sila duduk.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Adakah satu dasar baru boleh digunakan semasa menggulung bajet? Ini yang kita mahu.
Tuan Yang di-Pertua: Sila duduk Kubang Kerian.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Satu benda yang…
Tuan Yang di-Pertua: Sila duduk Kubang Kerian.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Unprecedented.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Apa point of order ini? Saya boleh bangun juga. Saya hendak berucap Tuan Speaker. Saya hendak bercakap juga.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Dalam hal kewangan pun…
Tuan Yang di-Pertua: Kalaulah sikap Ahli-ahli Yang Berhormat…
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya hendak bercakap juga.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Dengarlah.
Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya hendak bercakap juga.
Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat Rompin.
Tuan Ooi Chuan Aun [Jelutong]: Jangan angkat bos baru awal sangat.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ini semua hendak jadi menteri belaka.
[Dewan riuh] [Pembesar suara dimatikan]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, kalau lagi ada Ahli-ahli Yang Berhormat yang ingkar dengan keputusan saya, saya akan arah Ahli Yang Berhormat untuk keluar sementara daripada Dewan.
Beberapa Ahli: [Menyampuk] [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Amat Berhormat, teruskan.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di-Pertua tidak beri jawapan.

Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Tuan Speaker.
Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya tidak bagi laluan, saya hendak teruskan.
Tuan Yang di-Pertua: Sila.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Peraturan mesyuarat!

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Very unprecedented.
Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Saya akan bagi masa dan peluang. Tunggu dulu. Saya hendak bentangkan dulu, selepas itu saya bagi peluang.

Beberapa Ahli: [Menyampuk]
Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat! Tidak apa, Yang Amat Berhormat…
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ini sesi perbahasan, bukan sesi pembentangan.
Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Sabar.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]
Teruskan membaca

MP PAS Tumpat: TPM tidak benar penjelasan … kita hanya boleh mohon penjelasan semasa orang itu sedang berucap

Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat, 37(b): “Seseorang ahli tidak boleh mengganggu ahli yang sedang bercakap kecuali: (a) hendak mengeluarkan teguran; dan
(b) jika hendak meminta penjelasan.

Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri mengatakan bahawa Yang Amat Berhormat tidak akan memberi laluan untuk penjelasan sehingga selepas berucap. Kita hanya boleh memohon penjelasan semasa orang itu sedang berucap.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Jadi peraturan bagaimana yang hendak kita lakukan untuk memberi peluang kita mendapat penjelasan daripada Yang Amat Berhormat. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, Yang Berhormat. Sila duduk, Yang Berhormat. Yang Berhormat tidak memberi perhatian tadi. Apa Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan katakan ialah dia cuma akan memberi laluan selepas beliau membentangkan dasar-dasar untuk menangani permasalahan ekonomi dunia. Pada bahagian kedua ucapan tersebut baharulah Yang Amat Berhormat memberi laluan untuk pencelahan.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Nanti dulu, Yang Berhormat Pokok Sena, saya belum siap lagi. [Dewan riuh] Ahli-ahli Yang Berhormat, tertib. Lagipun, Peraturan Mesyuarat 37(1)(b) menyatakan bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat boleh mencelah sewaktu Ahli Yang Berhormat sedang berucap dengan syarat – baca baik-baik, Yang Berhormat Tumpat…

Dengan syarat ahli yang sedang berucap itu mengalah dan memberi laluan. Kalau beliau tidak mengalah dan memberi laluan, tidak ada hak untuk Ahli-ahli Yang Berhormat mencelah. [Disorak] Silakan.

Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Tumpat, sudah. Saya sudah buat keputusan. Itulah keputusan saya.
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Saya hanya hendak mengatakan saya bersetuju tetapi kalau tujuannya tidak memberi peluang untuk kami mencelah seolah-olah tidak perlu kami berada di dalam Dewan ini. [Dewan riuh]

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Pusingan kedua nanti, bangunlah.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua, saya minta point of order.
Tuan Yang di-Pertua: Kalau point of order saya benarkan, kalau tidak, tidak.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ya, ya. Point of order yang sama.
Tuan Yang di-Pertua: Sudah saya buat keputusan. Yang Berhormat Pokok Sena, duduk. Sila duduk.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya minta penjelasan tentang penggulungan.
Tuan Yang di-Pertua: Sila duduk, Yang Berhormat.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Yang disebut tadi bahawa Menteri Kewangan tidak akan menjawab apa-apa yang sedang dibahaskan.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Peraturan Mesyuarat 42, apabila Tuan Yang di-Pertua menegur tidak ada siapa yang boleh berhujah. Duduk.
Teruskan membaca