MP PAS Rantau Panjang dan Pokok Sena: Mencelah penggulungan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

12 November 2008, 3.31 petang:

Ahli Parlimen Rantau Panjang dan POkok Sena mencelah penggulungan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat pada 12 Nov. 2008.

Teks penuh:
Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya tertarik dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat. Program untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil kelapa sawit kita dan kita ucap syabas di atas usaha yang dibuat oleh kerajaan. Cuma saya ingin penjelasan, daripada keluasan penanaman kelapa sawit yang dianggarkan 4,450,000 hektar seluruh negara yang kita menyumbang lebih daripada 41.4% kepada pengeluaran minyak sawit di dunia.

Jadi saya ingat ini adalah satu keluasan yang cukup luas yang kita boleh manfaatkan untuk bidang penternakan yang sekarang ini bidang penternakan hanya menyumbang lebih kurang 9.9% kepada sumber penternakan negara kita. Jadi sekiranya 4 juta lebih hektar tanah yang ditanam dengan kelapa sawit ini diberi ruang yang seluasnya untuk penternakan, insya-Allah kita tidak payah lagi mengimport daging dari luar negara dan ini sebenarnya memberi kesan yang cukup besar.
Teruskan membaca

MP PAS Tumpat dan Pengkalan Chepa: Mencelah penggulungan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

12 November 2008, 2.41 petang:

Ahli Parlimen Tumpat dan Pengkalan Chepa mencelah penggulungan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat pada 12 Nov. 2008.

Teks penuh:
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Yang Berhormat. Saya masih lagi beranggapan bahawa penyusunan pengurusan pentadbiran kementerian itu agak kurang efisien kerana strukturnya sebagaimana yang saya sebutkan itu sebagai contoh yang mudah, lembaga-lembaga ini pejabat mereka pun berasingan yang Lembaga Tembakau ibu pejabatnya di Kota Bharu baguslah tetapi saya lebih mirip kalau di bawah kementerian itu ini bahagian tembakau, ini bahagian kelapa sawit di situ semuanya tetapi Lembaga Kelapa Sawit mungkin PORIM, PORLA atau lembaganya, ibu pejabatnya di lain pula.

Jadi pengurusan lain, ibu pejabat berpecah-pecah berselerak maka akan terganggu keefisienan perjalanan kementerian yang mana seolah-olah Yang Berhormat Menteri mengendalikan badan-badan yang agak bebas, ada sistem pengurusan sendiri.
Teruskan membaca

MP PAS Rantau Panjang: Mencelah penggulungan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi

12 November 2008, 12.50 tengahari:

Ahli Parlimen Rantau Panjang mencelah penggulungan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat pada 12 Nov. 2008.

Teks penuh:
Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya minta penjelasan di sini ialah sejauh mana pemantauan yang dibuat oleh pihak kerajaan tentang penyalahgunaan yang mana kita lihat sekarang ini, penyeludupan minyak masak ke negara-negara jiran amat ketara, terutama di kawasan sempadan.

Jadi sudah tentulah subsidi ini tidak sampai ke sasaran rakyat yang kita kehendaki. Oleh itu, sejauh mana pemantauan dibuat supaya duit yang kita belanjakan untuk rakyat ini tidak dialirkan kepada rakyat asing. Terima kasih.

Datuk Peter Chin Fah Kui: Terima kasih Yang Berhormat, memang kita faham dan kita sedar juga ada kes-kes penyeludupan tentang minyak masak ke negara-negara jiran. Akan tetapi dari segi penguatkuasaan untuk jaga pintu masuk negara kita ini adalah pihak kastam dan juga pihak polis dan lain-lain agensi yang bukan MPOB.

Oleh sebab itulah kita hanya mengendalikan secukupnya minyak masak yang bersubsidi itu kepada pasaran, tetapi aliran pasaran itu kita serahkan kepada agensi-agensi yang lain seperti pihak penguat kuasa di dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan juga pihak kastam untuk jaga supaya minyak-minyak yang bersubsidi itu digunakan oleh pihak-pihak yang kita sasarkan.

Rujuk: 12 November 2008, ms 45

MP PKR Machang: Bahas peruntukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

12 November 2008, 12.37 tengahari:

Ahli Parlimen Machang Membahaskan peruntukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat Jawatankuasa Dewan rakyat pada 12 Nov. 2008.

Teks penuh:
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Tuan Pengerusi, terima kasih. Butiran yang pertama ialah 00512 – Rubber Living Museum. Saya kira di Bukit Nibong Gila, Stesen RRIM Lembaga Getah Malaysia, Sungai Buloh.

Saya tengok dari segi anggaran harga projek yang diperuntukkan adalah RM300 juta, besar sekali. Cuma saya ingin bertanya tahap apakah komponen-komponen Rubber Living Museum ini pada tahap sekarang yang telah terlaksana.

Setakat semakan saya mendapati tender yang baru keluar ialah buat pondok pengawal, buat pagar dan buat menara tinjau. Di sana, di Taman Warisan Pertanian yang terletak di Presint 16, Putrajaya sebenarnya sudah pun ada satu komponen living museum. Bukan sahaja getah tetapi juga koko, palm oil, durian, mangga, herba dan buah-buahan. Untuk getah sudah ada 3.6 hektar. Ada 1,500 pokok, 71 klon, ada menara tinjau dan sebagainya sedang diuruskan oleh Marditech Corporation dengan Putrajaya Corporation local authority.
Teruskan membaca

MP PAS Bachok: Bahas peruntukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

12 November 2008, 12.29 tengahari:

Ahli Parlimen Bachok Membahaskan peruntukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat Jawatankuasa Dewan rakyat pada 12 Nov. 2008.

Teks penuh:
Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin membangkitkan butiran 070300 – Lembaga Tembakau Negara, 00509 – Pembangunan Sumber Pertumbuhan Baru: Kenaf, 00521 – Penyelidikan Peringkat Hiliran dan Pemasaran Produk Kenaf oleh UPM, 00522 – Kajian Soal Selidik Mengenai Minat Golongan Muda Dalam Memilih Kerjaya di Sektor Perladangan dan Komoditi.

Saya memilih tembakau dan kenaf Tuan Pengerusi, oleh sebab kedua-dua industri ini kebetulannya tertumpu di dalam kawasan Parlimen saya. Saya ingin tahu tentang dasar kerajaan di dalam hal yang berkaitan dengan tembakau.

Adakah kita akan terus memperluaskan industri ini, memperkembangkan ia di sebalik kempen-kempen yang telah pun menelan jumlah yang cukup besar untuk tidak menggalakkan orang menghisap rokok, kempen kesihatan, kempen ‘Tak Nak’ yang tak menjadi dan sebagainya.
Teruskan membaca

MP PAS Hulu Langat: bahas peruntukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

12 November 2008, 12.13 tengahari:

Ahli Parlimen Hulu Langat Membahaskan peruntukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat Jawatankuasa Dewan rakyat pada 12 Nov. 2008.

Teks penuh:
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sekadar untuk mendapat penjelasan Maksud B.20, Butiran 080700 – Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS), yang saya difahamkan semasa kita membincangkan perbelanjaan tambahan dahulu pun ada dipohon skim ini dan kali ini sebanyak RM1.2 bilion. Jadi saya ingin penjelasan dari segi bagaimana cara diagihkan, adakah hanya untuk pengilang sahaja dan apa pula nasib kepada petani yang mengeluarkan hasil kelapa sawit.

Kedua, Butiran 080100 – Bertugas di Luar Negara, iaitu lebih kurang RM3 juta. Jadi apa yang saya terfikir, tidakkah kedutaan-kedutaan kita boleh memainkan peranan ini untuk menyebarkan maklumat dari segi pasaran komoditi negara kita seperti minyak kelapa sawit dan sebagainya.

Kemudian ketiga dari segi Butiran 080500 – Minggu Komoditi 2009, yang diperuntukkan RM4.6 juta. Jadi saya ingin penjelasan dari segi apakah bentuk program-program dalam Minggu Komoditi ini.

Merujuk kepada Maksud P.20, di bawah Butiran 00508 iaitu Projek Perhutantani (AGROFORESTRY) Di Kawasan Tanaman Tembakau, RM1 juta, apakah bentuk atau variety pokok yang akan ditanam sebagai menggantikan tembakau. Kemudian Butiran 00509 iaitu Pembangunan Sumber Pertumbuhan Baru: Kenaf, RM14.5 juta.

Jadi persoalan saya, apabila tanaman ini ditanam, bagaimana dari segi pemasarannya? Adakah pihak kementerian telah pun bersedia untuk menerima hasil daripada penanaman perhutanan tani dan kenaf tadi ataupun pihak kementerian juga berhasrat untuk mewujudkan kilang pemprosesan produk ini.

Begitu juga yang terakhir, Butiran 00519 iaitu Pembangunan Sumber Pertumbuhan Baru: Sagu dengan RM3.3 juta, adakah tanaman sagu ini ditanam secara ladang atau hanya ditanam oleh petani-petani secara kecil-kecilan dan bagaimana juga pemasarannya.

Kemudian yang terakhir dari segi Butiran 00520 – Program Peningkatan Produktiviti dan Pendapatan Pekebun Kecil Lada Hitam di Sarawak, yang sahabat saya tanya tadi iaitu RM10.8 juta, adakah pihak kementerian memberi subsidi ataupun pembangunan untuk kilang pemprosesan ataupun dari segi memperbaiki proses untuk menghasilkan kualiti lada hitam yang baik dan juga packaging yang baik. Sekian, terima kasih.

Rujuk: 12 November 2008 ms 35-36.

MP PAS Kubang Kerian: Cadang Kerajaan tubuh Majlis Tindakan Harga Komoditi Negara

12 November 2008, 11.39 pagi:

Ahli Parlimen Kubang Kerian membahaskan peruntukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 12 Nov. 2008

Teks penuh:
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Semalam saya bermula dengan Butiran 00100 di bawah P.20 tentang Lembaga Koko Negara. Saya telah menyebut semalam bahawa sebagai orang yang pernah terlibat di dalam sektor ini, saya ingin untuk mendapatkan beberapa penjelasan daripada pihak menteri yang hadir sendiri pada hari ini supaya dapat memberitahu Dewan yang mulia ini adakah perancangan-perancangan dan tindakan-tindakan yang telah diambil untuk mempertingkatkan golongan yang terlibat di dalam industri koko ini khususnya pekebun-pekebun kecil.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Jawatankuasa]
Tuan Pengerusi, sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa di era tahun 70-an ataupun 80-an, tanaman koko adalah merupakan tanaman alternatif kepada tanaman kelapa. Maka kerajaan pada waktu itu telah menjalankan kempen besar-besaran dan ramai di kalangan pekebun-pekebun kecil seluruh negara telah mengambil tindakan menanam koko ini.

Sampailah kepada era 80-an di mana pada ketika itu berlakunya suatu malapetaka ataupun satu wabak yang menyebabkan industri koko negara ini mengalami bencana. Kerajaan pada waktu itu telah mengarahkan termasuklah saya sendiri pada waktu itu menebang pokok-pokok koko ini kerana serangan ulat pengorek yang telah menjejaskan industri ini.
Teruskan membaca

MP PAS Kubang Kerian: Sesi soalan jawab lisan, 12 Nov. 2008

12 November 2008, 10.20 pagi:

Soalan tambahan Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Tuan Yang di-Pertua, kita hampir bersetuju dengan pandangan daripada Yang Berhormat Arau tadi. Jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri itu saya rasa tidak tepat dan tidak menggambarkan hasrat penyoal ataupun soalan asal ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya bimbang satu perkara telah berlaku iaitu kita terpengaruh dan terperangkap dalam isu keganasan pos 16 September, pos 9 September yang saya rasa kerajaan hilang pertimbangan terhadap isu di Selatan Thailand ini. Kita bersedia untuk menubuhkan pusat bagi menangani keganasan yang terdapat di Kuala Lumpur dan saya rasa masalahnya adalah kita menghantar pulang pelarian ini atas desakan Amerika. Saya minta penjelasan.

Datuk Abdul Rahim bin Bakri: Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya kita tidak mendesak. Apa yang telah dikatakan tadi adalah tidak benar bahawa kita tidak mendesak pelarian yang datang ke Malaysia ini untuk dihantar balik. Oleh sebab itu, kita menempatkan mereka di pusat tahanan tersebut dan kita memberikan perlindungan kepada mereka dan kes ini adalah dikendalikan oleh Majlis Keselamatan Negara, polis dan juga jabatan imigresen.
Teruskan membaca

MP PAS Hulu Langat: Sesi soalan jawab lisan, 12 Nov. 2008

12 November 2008, 10.55 pagi:

Soalan
8. Dr. Che Rosli bin Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan piawaian yang digunakan oleh Kerajaan bagi menilai tahap kepimpinan seseorang mahasiswa dan graduan yang dihasilkan oleh universiti. Apakah faktor keseimbangan Emotion Quotient (EQ) dan Spiritual Quotient (SQ) turut diambil kira di dalam menentukan kecemerlangan seseorang mahasiswa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi II [Dr. Hou Kok Chung]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelbagai program berbentuk kurikulum dan kokurikulum yang bersifat holistik telah disediakan di IPT di samping keseimbangan Emotion Quotient atau EQ dan Spiritual Quotient atau SQ meliputi akademik sahsiah, kemahiran insaniah dan kepimpinan.

Program ini bertujuan untuk melahirkan para pemikir ilmuwan sarjana, tenaga kerja mahir, dan separa mahir yang seimbang, harmoni, berpengetahuan dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996. Kementerian juga turut menganjurkan beberapa program yang dapat membantu meningkatkan keterampilan pelajar seperti program pengantarabangsaan pelajar, kursus kepimpinan, program pembangunan sahsiah dan sebagainya. Sekian.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Adakah pihak kementerian bercadang untuk menawarkan latihan kepimpinan ESQ ini yang boleh memberi kesan yang positif dalam melahirkan kepimpinan mahasiswa, kerana saya juga telah mengikuti Program ESQ 165, saya dapati kesannya agak baik.

Jadi adakah kementerian membenarkan pihak syarikat swasta menganjurkan program ini di dalam kampus? Terima kasih.
Teruskan membaca

MP PAS Rantau Panjang: Sesi soalan jawab lisan, 12 Nov. 2008

12 November 2008, 10.48 pagi:

Soalan tambahan Ahli Parlimen Rantau Panjang.
Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Hasil daripada rondaan dan pemantauan yang dibuat oleh pihak keselamatan kita setakat ini, berapakah kes tangkapan yang telah dibuat dan berapakah pendakwaan yang telah dibuat dalam setiap tahun?

Dato’ Haji Hasan bin Malek: Yang Berhormat Rantau Panjang, kalau saya catatkan daripada kes-kes dari segi pemeriksaan dan sebagainya, dari segi pemeriksaan memang galak kali dibuat, kerana inilah sebenarnya tugas utamanya. Maknanya apa yang rasa diragui, dia akan buat pemeriksaan dan kalau pemeriksaan itu mendapati ada kesalahan, barulah dibuat tangkapan.

Tangkapan ini pun kalau perlu untuk didakwa, didakwa. Jadi saya ada…
Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Berapa jumlah maksud saya?
Dato’ Haji Hasan bin Malek: Jumlahnya ini ada. Kalau untuk yang di buat dalam tahun 2008, sebanyak 6156 pemeriksaan telah dibuat dalam tempoh sehingga bulan Oktober. Dari segi penahanan yang ada hubung kait soal dokumen, soal permit, soal lesen, kita ada bulan Oktober, 443 penahanan di buat. Kemudian pencerobohan nelayan asing sebagaimana Yang Berhormat Ketereh sebut tadi, kita buat penangkapan 81 penangkapan.

Penyeludupan, kita ada rekod di sini sehingga Oktober, 49 penyeludupan, pendatang tanpa izin, 32. Jadi jumlahnya daripada 6156 pemeriksaan itu, kita ada buat 6065 penahanan dan penahanan inilah kita susul dengan dakwaan-dakwaan. Jadi itulah dia dan kalau misalnya perlu maklumat ini, insya-Allah saya akan serahkan secara peribadi kepada Yang Berhormat Rantau Panjang. Terima kasih.

soalan asal:
6. Tuan Haji Ab Aziz bin Ab Kadir [ Ketereh ] minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk menjaga keselamatan nelayan yang beroperasi di kawasan perairan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Teks penuh akan menyusul ….