MP PAS Hulu Langat: Bahas peruntukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

25 november 2008:

Ahli Parlimen Hulu Langat membahaskan peruntukan kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 25 Nov. 2008.

Teks penuh:
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya ingin mengambil bahagian dalam perbincangan ini dari segi peringkat awalnya iaitu perkhidmatan. Saya merujuk kepada Butiran 020100 – Jabatan Kimia Malaysia yang diberikan peruntukan sebanyak RM76.1 juta.

Saya kira Jabatan Kimia ini sangat penting dalam usaha untuk membantu menyelesaikan kes-kes forensik dan jenayah, tetapi yang lebih penting ialah dari segi menganalisis datanya secara tepat. Jadi, mungkin pertanyaan saya adakah Jabatan Kimia mempunyai kepakaran yang cukup dalam membuat analisa sampel-sampel tersebut di atas.

Dalam Butiran 00200 diperuntukkan RM14 juta. Jadi, saya juga ingin mendapat penjelasan, adakah peruntukan ini digunakan untuk menaik taraf kemudahan makmal bagi Jabatan Kimia, kerana Jabatan Kimia adalah satu agen yang penting untuk melaksanakan Akta DNA yang mungkin akan diluluskan nanti.

Perkara yang kedua mengenai Butiran 00601 mengenai Program Galakan Sains dan Teknologi yang diperuntukkan RM150 juta. Jadi, apakah bidang-bidang yang diberikan perhatian dan adakah peruntukan ini melibatkan dari segi pembangunan. Mungkin tadi makmal ataupun kempen-kempen sahaja ataupun merupakan pertandingan, promosi-promosi dan sebagainya.

Merujuk kepada Butiran 020500 iaitu Bahagian Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang diberikan peruntukan sebanyak RM46.3 juta. Jadi, saya merujuk kepada objektif utama iaitu memastikan maklumat berkualiti untuk membantu perkembangan polisi sains dan teknologi.

Jadi, apabila kita rujuk kepada laporan yang menyebut bahawa dijangka untuk penyediaan berita dan pangkalan data sebanyak 40 dan langganan majalah iaitu 40 sahaja bagi tahun 2009. Adakah ia berpatutan dengan peruntukan sebanyak RM46.3 juta itu?

Selain daripada itu juga ada objektif yang kedua iaitu memastikan perkongsian yang kukuh wujud antara sektor awam dan swasta. Jadi, sejauh mana kerjasama ini dapat berjalan bagi memajukan sains dan teknologi dalam menghebahkan hasil-hasil sains dan teknologi kepada masyarakat.

Perkara yang penting, yang ingin saya sentuh iaitu dari segi peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang agak besar iaitu bagi pengurusan sebanyak RM122.8 juta dan pembangunan RM250.7 juta. Saya merujuk kepada Butiran 030100 iaitu Agensi Nuklear Malaysia yang diberi peruntukan sebanyak RM60.1 juta untuk pengurusan. Jadi, saya kira peruntukan R&D untuk Agensi Nuklear Malaysia sebanyak RM60 juta itu agak besar, saya berharap satu penyelidikan yang lebih mendalam dan sofistikated ataupun maju (advanced) dapat dijalankan.

Saya ingin mendapat penjelasan apakah fokus penyelidikan semasa yang dilaksanakan oleh Agensi Nuklear dalam bidang-bidang umpamanya perubatan, industri dan juga pertanian.

Sekarang ini saya difahamkan Agensi Nuklear ini perlu mengkomersialkan R&Dnya untuk mendapatkan pendapatan lebih 30% daripada peruntukan perbelanjaannya. Selain daripada itu saya mendengar ramai sahabat Ahli-ahli Yang Berhormat telah pun menyebut mengenai kemungkinan besar pihak kementerian atau MOSTI meletakkan satu polisi yang jelas mengenai tenaga nuklear.

Sekiranya tenaga nuklear telah pun dipilih sebagai satu tenaga alternatif, maka saya hendak mencadangkan supaya peruntukan R&D khas untuk tenaga nuklear ini perlu ditambah, kerana mungkin perbelanjaan yang besar juga perlu untuk menentukan tapak yang sesuai bagi menentukan dari segi feasibility study, dengan izin dan juga untuk digunakan dalam menyampaikan maklumat yang jelas kepada masyarakat tentang kelebihan teknologi nuklear secara am dan tenaga nuklear khasnya.

Ini kerana apa yang menjadi masalah besar kepada masyarakat sekarang kalau bercakap dari segi tenaga nuklear, iaitu dari segi sinaran yang mungkin keluar daripada rektor yang sepatutnya kita tidak risau, tetapi mungkin public yang merasa risau. Ini kerana kita yang memahami perkara itu tentu faham bahawa rektor nuklear dalam generasi ketiga ini mungkin lebih selamat. Walau bagaimanapun masyarakat mungkin tidak jelas.

Begitu juga dari segi…
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, boleh habis dalam satu minit?
Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Insya-Allah. Saya sikit sahaja, dalam setengah minit. Jadi itu harapan kita. Kemudian dari segi Butiran 030300 iaitu Bahagian Bioteknologi Kebangsaan (BIOTEK). Ini apa yang saya ingin mendapat penjelasan, peruntukan agak kecil iaitu RM2.4 juta. Kalau saya rujuk balik kepada Biotechnology Commercialization Programme di bawah MOSTI ini pada tahun 2008 diperuntukkan sebanyak RM26 juta, tetapi hanya digunakan sehingga Mac iaitu RM2.34 juta.

Jadi bila saya tengok anggaran RM2.4 juta ini, maknanya seolah-olah menampakkan adakah bioteknologi ini selain daripada menghasilkan…[Gangguan pembesar suara] Ada lagi bidang-bidang lain yang boleh dikomersialkan iaitu persoalan saya yang saya pernah tanya kepada Yang Berhormat Menteri dulu. Jadi saya nak minta penjelasan itu supaya ada bidang-bidang yang mungkin boleh kita banggakan daripada R&D Teknologi.

Dari segi P.00605 yang diberi peruntukan agak tinggi ini atau agak banyak iaitu RM158.1 juta, saya kira tentulah sebagaimana yang Yang Berhormat Mambong sebut tadi mungkin ada research institute atau center of excellent yang akan dibina. Mohon penjelasan.

Kemudian yang terakhir Tuan Pengerusi, Butiran 03080 – Bahagian Inovasi dan pengkomersialan iaitu dengan peruntukan yang hanya RM1 juta. Akan tetapi apa yang saya ingin dapatkan penjelasan, saya difahamkan program inovasi ini banyak dilaksanakan di kawasan Yang Berhormat Menteri. Jadi tidakkah boleh kita memindahkan sebahagian daripada projek R&D inovasi ini ataupun projek inovasi ini ke tempat lain di Semenanjung Malaysia. Itu persoalan saya.

Terakhir, saya ingat saya kena sebut juga iaitu dari segi pelesenan dan kawalan. Merujuk kepada 0400 yang diberikan peruntukan kepada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom sebanyak RM10.7 juta. Selain daripada kajian-kajian mengenai kemungkinan perlindungan sinaran kepada dalam bidang-bidang industri perubatan, pertanian dan sebagainya.

Apa yang saya ingin minta sangat daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom ini iaitu kajian-kajian jangka panjang hasil daripada penggunaan seumpamanya sebagaimana Yang Berhormat Kuantan sebut iaitu aktiviti industri rare earth di Gebeng ataupun di tempat-tempat lain seperti Bukit Merah yang disebut hari itu yang berdasarkan satu saja daripada keratan akhbar mengatakan anak yang dilahirkan cacat kerana terdedah dengan sinaran.

Jadi saya ingat perkara itu kita kena buat kajian yang lengkap untuk pastikan sama ada benar ataupun tidak.

Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, empat minit dari satu minit tadi.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Jadi saya harap kementerian patut mengambil cabaran itu iaitu mengadakan penyelidikan yang lebih rapi untuk memastikan masalah ini. Bagi saya mungkin kecacatan yang berlaku bukan hasil daripada sinaran radioaktif. Jadi sekian sahaja Tuan Pengerusi. Terima kasih.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: